Bekas Ketua Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mungkin antara rakyat Malaysia yang paling tidak disukai ketika ini, berikutan AirAsia mencadangkan lebih 80 peratus pelanggannya menerima sistem kredit sebagai pilihan alternatif bagi penerbangan yang dibatalkan susulan COVID-19. Tetapi walau macam mana kepandaiannya dalam berbisnes tetap kita kagumi.
Di sini saya kongsikan tip-tip kejayaan bisnes yang diamalkan Tony Fernandes yang memacu syarikat penerbangan tambang murah AirAsia menjadi antara syarikat penerbangan paling menguntungkan.
Tidak Perlu Tahu Semua Benda
Beliau memulakan AirAsia tanpa memiliki sebarang pengetahuan tentang kapal terbang sementelah latar belakangnya yang sebenar adalah dalam dunia muzik. Nasihatnya kepada usahawan, anda tidak perlu arif semua benda dalam bisnes yang anda nak ceburi. Semuanya tentang idea. Ada idea, semua boleh jalan.
Buat Sahaja
Jangan biarkan sesiapa memberitahu yang anda tidak boleh melakukannya. Kita hanya ada satu nyawa, jadi tidak mencuba akan datang pasti kita akan menyesal dan berkata, “Kenapalah aku tidak melakukannya dulu.” Cadangan Tony, lakukan saja apa yang anda mahu. Jalani hidup anda semaksimum mungkin dan bersikap positif. Sekiranya anda gagal, tak mengapa kerana sekurang-kurangnya anda telah mencuba.
Penjenamaan
Pengasas JG Summit Holdings, John Gokongwei Jr. memberi tip penting dalam penjenamaan kepada Tony iaitu, “Dalam perniagaan, keuntungan saja tidak mencukup sebaliknya penting untuk mencipta kehebatan jenama.” Dan tentunya Tony seorang yang mempercayai kuasa jenamanya. Beliau mengambil masa tujuh tahun untuk membina jenama dan logo AirAsia secara konsisten menjadikan ia satu jenama dan logo yang yang tersendiri dan terkenal di peringkat antarabangsa.
Fokus Hanya Pada Satu Imej
Pada masa-masa terawal, terdapat perkataan ‘AirAsia’ dan logo burung dalam jenama AirAsia. Kata Tony, “Sekiranya anda melihat jenama teratas di dunia, hanya ada satu gambar yang terlintas di fikiran anda; apabila menyebut ‘Shell’ serta merta kita akan terbayang logo Shell. Sama juga dengan Coca-Cola dan Nike juga beberapa jenama lain. Oleh itu, berkenaan logo awal AirAsia, mereka membuang gambar burung tersebut dan kekalkan hanya satu logo saja. Lagipun gambar tersebut diletakkan di bahagian yang salah. Mereka hanya membiarkan satu logo saja iaitu ‘AirAsia’. Kata Tony, “Mengapa membelanjakan dua kali ganda wang untuk mempromosikan dua gambar?”
Selain itu mereka juga menggugurkan warna biru dan hijau dan menggunakan satu warna sahaja iaitu merah. “Pada mulanya saya tidak mahu menggunakan warna merah kerana sesiapa yang melihatnya beranggapan saya mahu menjadi Richard Branson, tetapi memandangkan itu warna yang terbaik, jadi kami terus menggunakan warna ini. Dan ya, warna memang memberi perbezaan besar!
Melabur Dalam Pemasaran
Sekiranya anda mempunyai idea terhebat di dunia, tolonglah salurkan sejumlah wang untuk pemasaran. Tony juga melabur dan berjaya dalam pemasaran. Beliau berkata, “Sekiranya anda mempunyai produk yang hebat tetapi tidak ada yang tahu tentangnya, produk anda akan menjadi sejarah.”
Pemasaran bukan sekadar tentang wang tetapi juga tentang perhubungan awam. “Dulu AirAsia tidak ada duit. Jadi saya ke sana sini memakai topi merah dan akan bercakap tentang topik yang kontroversi supaya akhbar sentiasa mengambil gambar saya. Itulah teknik pemasaran awal AirAsia.
Kami telah melalui banyak masalah, dan pemasaran memainkan peranan penting dalam mengatasinya. Masih ingat pada SARS (severe acute respiratory syndrome)? Ketika itu tiada yang mahu terbang, dan ramai yang menyangka kami akan mati. Banyak syarikat menghentikan pengiklanan mereka, tetapi saya beritahu pada staf, jangan hentikan kerana ini adalah masa terbaik untuk memperkuat jenama. Malah saya meminta AsiaAsia melipat gandakan iklan dan semua orang memandang saya dan berkata, “Are you on drugs?” Saya kata, “Tidak, ini adalah masa terbaik kerana tidak ada orang lain yang mengiklankan perniagaan mereka.”
Sama juga apabila insiden pengeboman buat pertama kali di Bali. Saya kata kepada staf, kita tidak boleh membiarkan laluan ke Bali mati. Kita mesti terus terbang. Oleh itu kami hadir dengan kempen ‘Love Bali’ dan memberikan 10,000 tempat duduk percuma, dan hasilnya kempen ini berjaya. Kesemua 10,000 tempat duduk direbut dalam waktu kurang daripada satu minit. Dan semua orang yang mendapat tempat duduk menyampaikan kepada rakan-rakan mereka tentang perkara itu di media sosial.
Manfaatkan Media Sosial
Apabila rakyat Malaysia mendapat banyak tawaran hebat, mereka akan memberitahu seluruh dunia mengenainya. Oleh itu, 10,000 orang yang pergi dan bersenang-senang di Bali, memberitahu 10,000 orang yang lain bahawa mereka sangat seronok di sana. Itu adalah gambaran awal media sosial AirAsia.
Kami menyedari kehebatan media sosial sejak awal, jadi ketika Facebook dan Twitter muncul, kami memanfaatkan kedua-duanya. Kami adalah pengguna awal. Kini kini mempunyai lebih 32 juta pengikut di pelbagai platform media sosial kami, dan tujuh peratus perniagaan kami datang secara terus dari media sosial.
Kempen Bali mengajar kami bahawa iklan terbaik kami adalah pelanggan kami.
Gunakan Teknologi Digital
Sebilangan besar perniagaannya datang dari AirAsia.com. Dan salah satu perkara yang unik mengenai AirAsia adalah majalah penerbangannya Travel 3Sixty yang datang dengan quote. “Sentuh saya, rasakan saya dan beleklah saya, tetapi anda tidak boleh membawa saya pulang. Baca saya dalam talian.” Satu idea yang bagus yang mana beliau tidak membiarkan syarikatnya terbeban dengan kos penerbitan, dan ini adalah sebahagian daripada strategi pemasarannya yang bijak untuk membuat penumpang mencari dan membelek laman webnya.
Jangan Takut Dengan Aduan
Sebenarnya aduan adalah penyelidikan pasaran percuma. Seseorang dengan rela hati menulis surat kepada anda untuk memberitahu anda di mana masalah berlaku dan bagaimana ia harus diperbaiki.
Ini antara aspek yang sesebuah syarikat membelanjakan banyak wang untuk mendapatkan perunding yang memberitahu mereka perkara yang sama.
Oleh itu, kami melayan setiap e-mel dengan sangat berharga.
Budaya Korporat Yang Unik
AirAsia ibaratnya seperti satu kilang impian. Mereka mahukan sebuah syarikat yang mana pekerjanya boleh mengejar minat mereka dan syarikatnya mahu memanfaatkan bakat yang dimiliki pekerjanya. Sebut Tony, “Budaya yang kita ada berasal daripada kenyataan bahawa kita menginginkan keterbukaan dan kita mahu orang menjadi kreatif dan bersemangat dengan apa yang mereka lakukan. Untuk melakukan itu, kita harus memberi inspirasi kepada mereka.”
Impian akan menjadi kenyataan. Jangan bimbang akan kegagalan. Anda mempunyai satu kehidupan saja, jadi manfaatkan sepenuhnya. Dalam skala sembilan daripada 10, jika ada minat anda akan mencari jalan mengatasinya.
Visi Berani
Tony mempunyai visi yang besar, global dan berpandangan jauh untuk pelbagai syarikatnya. Sewaktu kanak-kanak, dia mengimpikan tiga perkara; menjalankan perniagaan syarikat penerbangan, memiliki kelab bola sepak Inggeris dan memiliki pasukan perlumbaan Formula One.
*Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (bersama Pengerusi AirAsia Group Bhd AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun) melepaskan jawatan eksekutif masing-masing dalam syarikat untuk tempoh dua bulan, berkuat kuasa serta-merta (Februari) Sumber: Berita Harian Online/ Tarikh:Isnin, 3 Februari 2020