Batuk adalah tindakbalas semulajadi untuk menyingkirkan bendasing dan kuman di mana ia dapat membantu menghalang salur pernafasan daripada terkena sebarang jangkitan dan memasuki paru-paru yang boleh menyebabkan penyakit yang serius seperti radang paru-paru (pneumonia). Tindakbalas ini akan menghasilkan lendir atau kahak.
Sebab-sebab batuk
- Penyakit yang berkaitan dengan virus seperti selesema, influenza.
- Jangkitan pada salur pernafasan (bronchitis, sinusitis) atau paru-paru (pneumonia, tuberculosis).
- Alahan.
- Asma.
- Merokok.
- Penya kit paru-paru seperti chronic obstructive pulmonary disease (COPD).
- Terdedah kepada habuk, asap dan bahan kimia di tempat kerja.
- Asid dari perut naik semula ke esofagus, yang dipanggil gastroesophageal reflux disease (GERD).
- Rembesan cecair ke dalam tekak (postnatal drip syndrome).
- Tekanan / stres.
- Ubat yang dipanggil ACE inhibitors (Penghalang Enzim Penukar Angiotensin) yang digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi.
Rawatan
- Kebanyakan batuk tidak berbahaya.
- Rawatan di rumah membolehkan anda berasa lebih selesa. Minum lebih banyak air untuk mengelakkan kahak yang banyak.
- Madu yang dicampur dengan air panas, teh dan jus lemon sesuai untuk batuk yang kering dan kerap.
- Cuba kunyah gula-gula ubat batuk untuk menyejukkan tekak. Kebanyakan gula-gula ubat batuk ini tidak memberi kesan untuk mengurangkan batuk.
- Berhenti merokok.
- Elakkan terdedah kepada asap, habuk dan pencemaran. Pakai topeng muka sekiranya perlu.
- Penyediaan ubat batuk boleh membantu menghilangkan batuk. Terdapat dua jenis ubat batuk iaitu expectorants yang mana ia membantu mengeluarkan kahak dan suppressants untuk melegakan batuk dan ia sesuai untuk batuk yang kering.
Bila anda perlu berjumpa doktor?
- Batuk yang mengeluarkan darah.
- Baru pulang dari perjalanan luar negara.
- Batuk berterusan lebih daripada dua minggu.
- Semput / sesak nafas, sakit dada.
- Demam yang berpanjangan.
- Mengandung.
- Bintik / tompokan darah di bawah kulit (petechiae).
- Sakit atau bengkak pada sendi (tulang-temulang).
- Keluar lendir dan luka pada bahagian kemaluan.
Pencegahan
- Amalkan tabiat kebersihan yang baik.
- Minum banyak air.
- Tangani stres dengan baik.
- Elakkan berada berhampiran dengan orang yang terkena batuk dan selsema.
- Jangan merokok dan elakkan terdedah kepada asap rokok.
- Dapatkan suntikan influenza bila diperlukan.
- Dapatkan rawatan yang sewajarnya sekiranya anda menghidap asma dan penyakit lain yang berkaitan dengannya.
Jenis-jenis batuk
Terdapat pelbagai jenis batuk, antaranya batuk yang berpanjangan atau disebut batuk kronik, batuk kokol, batuk kering, batuk berkahak.
Fakta mengenai batuk berpanjangan/kronik
Batuk berpanjangan adalah apabila ia lebih daripada lapan minggu. Terdapat banyak kemungkinan yang menyebabkan batuk yang berpanjangan terjadi. Setiap individu mempunyai punca yang berbeza yang boleh menyebabkan batuk terjadi dengan lamanya.
Dalam kebanyakan kes, batuk yang berpanjangan terjadi disebabkan oleh jangkitan virus, seperti selsema, jangkitan kuman atau alergi. Walau bagaimanapun, ia mungkin terjadi disebabkan oleh beberapa faktor lain yang lebih serius seperti bronkitis atau radang paru-paru.
Dalam sesetengah kes yang lain, ia juga mungkin disebabkan oleh faktor persekitaran, seperti asap atau pencemaran dalam udara. Bagi kes yang serius pesakit terpaksa menjalani rawatan lanjutan dan terapi bagi merawat gejala batuk berpanjangan ini.
Apakah Tanda-tanda Batuk yang Berpanjangan?
Simptom batuk yang berpanjangan berbeza-beza bergantung kepada punca dan tahap. Walau bagaimanapun, gejala biasa termasuklah batuk berkahak, sesak dada, berdehit, gatal tekak, dan kesukaran untuk bernafas. Batuk yang berpanjangan juga boleh menjadi petanda punca penyakit yang serius. Jika anda mengalami batuk yang berlarutan lebih daripada seminggu, atau jika ia disertai dengan demam, sakit dada atau sesak nafas, anda haruslah berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.
Batuk selama sebulan juga boleh menjadi tanda masalah serius, seperti kanser paru-paru. Jika anda mempunyai antara simptom-simptom ini, anda disarankan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan menjalani ujian bagi mengenalpasti jenis jangkitan. Penyakit berkaitan paru-paru dan masalah bernafas yang dapat dikesan lebih awal mampu mengelakkan risiko kematian.
Di bawah ini kami jelaskan dengan lebih terperinci apa yang boleh menyebabkan batuk berpanjangan terjadi:
Tuberkulosis (TB)
Penyakit TB merupakan penyakit berjangkit yang boleh memberi kesan terutamanya kepada paru-paru. Ia merebak melalui udara dari satu orang ke orang lain. Ini terjadi apabila seorang individu yang mempunyai virus TB aktif dalam paru-paru mereka bersin atau bercakap. Ini sering terjadi terutama jika anda berada di kawasan yang tertutup dengan tahap pengudaraan yang tidak baik.
TB dapat memberi kesan kepada paru-paru, dan ia boleh menjejaskan bahagian tubuh badan yang lain, termasuk perut, kelenjar, tulang dan sistem saraf. Pesakit yang menghidap TB dan tidak menerima rawatan susulan berisiko menjadi lebih teruk, namun setelah dirawat dengan antibiotik keadaan TB beransur pulih.
TB merupakan jangkitan paru-paru yang serius yang selalunya boleh menyebabkan batuk yang berterusan selama berminggu-minggu. Dan dalam kes yang lebih serius ia boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan.
Asma
Asma merupakan keadaan kronik yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru. Ia adalah gangguan keradangan di mana saluran nafas menjadi sempit lalu menghasilkan lendir tambahan. Keadaan ini boleh menyebabkan semput, batuk, sesak dada, dan sesak nafas terjadi. Dianggarkan seramai 339 juta manusia di dunia menghidap asma. Asma merupakan penyakit pernafasan yang menyerang semua peringkat umur, kaum dan jantina. Terdapat pelbagai jenis asma, yang dikelaskan mengikut punca ia terjadi.
Secara umumnya, jenis asma terdiri daripada alahan dan bukan alahan. Asma alahan berlaku apabila sistem imun bertindak balas secara berlebihan terhadap keadaan persekitaran yang tidak berbahaya seperti debunga atau bulu haiwan peliharaan.
Asma bukan alahan berlaku apabila tiada penyebab alahan atau apabila orang itu tidak menyedari apa yang menyebabkan gejala mereka terjadi. Jenis asma lain termasuk asma yang terjadi akibat senaman, asma pekerjaan, dan asma yang terjadi semasa kanak-kanak.
Asma yang biasanya terjadi semasa kanak-kanak boleh menjejaskan kualiti kehidupan kanak-kanak yang membesar. Ini kerana seseorang kanak-kanak yang mengalami asma tidak dapat melakukan aktiviti seperti berlari kerana risau ia akan menyebabkan kesukaran nafas.
COPD (Chronic obstructive pulmonary disease)
COPD adalah istilah umum untuk penyakit paru-paru yang boleh menyebabkan masalah kesukaran bernafas. Golongan yang mempunyai COPD selalunya mempunyai banyak lendir di dalam paru-paru mereka. Ini yang menjadi punca batuk yang berterusan dan ia boleh menyukarkan untuk melakukan aktiviti harian.
Punca utama COPD adalah merokok, tetapi pendedahan kepada asap rokok dan pencemaran udara juga boleh menyumbang kepada masalah ini. COPD boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti serangan jantung, strok, dan radang paru-paru.
Tiada ubat untuk merawat COPD, tetapi menurut pesakit yang pernah mengalami COPD mendapati rawatan rapi dan pengesanan gejala mampu kekal sihat dan mendapat kualiti hidup yang baik.
Rawatan COPD umumnya menggunakan kaedah bronkodilator. Kaedah ini membantu membuka saluran udara dan meningkatkan aliran udara. Bronkodilator terdiri daripada ipratropium bromida, salbutamol, dan terbutaline.
Bronkitis
Bronkitis ialah jangkitan paru-paru yang menjejaskan bronkus anda, atau saluran udara besar di dalam paru-paru. Bronkitis terjadi disebabkan oleh virus atau bakteria, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh tabiat merokok, pendedahan kepada asap rokok, habuk atau asap kimia.
Gejala bronkitis yang paling biasa adalah batuk dan berdehit. Dalam kes yang teruk, bronkitis boleh menyebabkan radang paru-paru terjadi. Rawatan untuk bronkitis termasuk mendapatkan rehat dan minum air yang secukupnya dan ubat-ubatan farmasi untuk membantu melegakan gejala.
Dalam sesetengah kes, antibiotik mungkin diperlukan untuk merawat jangkitan bakteria.
Pneumonia, jangkitan paru-paru, selalunya disebabkan oleh virus, bakteria, atau kulat. Gejala mungkin termasuk demam, sakit dada, sesak nafas, dan batuk kering. Penghidap radang paru-paru sering berasa letih dan lemah dan ia boleh menjadi sangat serius jika tidak dirawat lebih awal.
Rawatan untuk radang paru-paru termasuk antibiotik untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan, rehat dan banyak cecair. Dalam kes yang teruk, kemasukan ke hospital mungkin diperlukan.
Sinus
Sinusitis adalah keradangan sinus, iaitu ruang kecil yang dipenuhi udara di dalam tulang tengkorak yang membantu menapis dan memanaskan udara yang kita sedut. Sinusitis boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus, atau ia boleh juga boleh disebabkan oleh alahan. Gejala resdung yang lain termasuklah sakit kepala, demam, hidung sentiasa berair, dan sakit muka.
Rawatan resdung bergantung kepada punca resdung terjadi. Jika ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus, antibiotik atau ubat antivirus mungkin akan diberikan. Jika ia disebabkan oleh alahan, antihistamin atau steroid hidung yang akan diberikan.