COVER STORY

Wani Kayrie “Kahwin? Tunggu dulu. Nak bahagiakan mak…”

Attention seeking business’ saya kira ini satu kerjaya yang begitu rumit sekali. Ada sahaja yang memerhati di kiri dan kanan membawa ke depan. Seketika, saya membayangkan diri menjadi selebriti, pasti seronok ada nama namun ianya datang dengan pakej tekanan dek perhatian, persaingan: oh si polan itu job-nya lebat, wajahnya di papan iklan gergasi, lagunya berjuta kali diperdengarkan di Spotify. Manakala aku? Dan satu hal pula bilamana jumlah pengikut di Instagram tidak menunjukkan trafik tinggi, jadi producer mana akan panggil berlakon selepas ini? Sheila Rusly, Haji Zil? Kalau pun hari ini mereka meletak aku dalam senarai utama pelakon mereka tetapi esok-esok ada wajah lain yang lebih mempesona. Aduh mak, stress!

Agaknya, sebab itu Tuhan melorongkan saya ke kerjaya yang ini…

Februari isu cinta. Satu bulan yang mana perniagaan bunga, restoran dan barang kemas antara lain mendapat untung besar kerana pelanggan lebih ramai daripada bulan yang lainnya. Kami di sini tidak mahu ketinggalan menikmati keseronokan. Pun begitu bukan saja mahu fokus hal itu tetapi juga mahu bercakap lain-lain hal yang yang berkait rapat dengan golongan muda (ya, anak muda yang lebih seronok kerana banyak acara dalam itinerary mereka bulan ini.)

Untuk itu kami bawakan seorang penyanyi, pelakon dan pengacara muda, Wani Kayrie. Comel orangnya. Untuk yang menonton anugerah ABPBH baru-baru ini Wani ada menyanyi bersama Fauziah Latiff yang jelita, “Siapa yang lebih bersedia, dialah yang selesa!” Wany dan Jee sama lincah menyanyikan lagu Tua Mengejar Kita malam itu. Kebetulan, sesuai sangat lirik lagu Jee dan topik yang saya sembangkan bersama Wani. 

Nama Wani Kayrie mula popular selepas menyertai rancangan nyanyian untuk penyanyi baru Big Stage. Namun begitu dia terlebih dahulu menyanyi semenjak usia 10 tahun. Pernah juga masuk pertandingan nyanyian kanak-kanak iaitu Kamilah Bintang di Astro Ceria. Saya bertanya dari mana seorang budak seusianya ketika itu mendapat keyakinan diri dan aspirasi sedangkan tiada artis dalam kalangan keluarganya. Namun dia ada minat selain dorongan ibu dan keluarga membuat dia percaya dengan bakat dan jalan yang dipilihnya. 

Kini Wani nampak hasil kepada setiap langkah yang diambil dulu. Sudah boleh berdikari dari segi ekonomi sendiri malah dapat juga membantu mengukuhkan kewangan keluarga. Dan ‘sok sek’ daripada jurusoleknya, Wani ada membeli sebuah Mercedes Benz buat ibunya dan dia sendiri memandu kereta berhias plaque yang sama. Bak kata orang kita, rezeki tidak pernah salah alamat.

Melihat Wani mengingatkan saya pada Amy Mastura, ada iras selain punya aura ceria sama seperti Amy. Dari segi vokal, tidak selantang Aina Abdul atau Erni Zakri tetapi lagu-lagunya easy listening. Ya lah kalau semua penyanyi bernada melengking alamat tiada warna dalam senarai lagu di laman Spotify kita. Saya melayan kepala mendengarkan lagunya Jangan Terlepas Pandang di YouTube, ada bunyi dance KPop. Sedap! Dalam pada menulis ini sempat saya mencari lagi videonya dan terjumpa satu video lama ketika dia menyertai choral speaking di sekolah, bertindak sebagai konduktor. Nampaknya di sekolah juga dia biasa ke depan. 

Kini selain bergelar selebriti, Wani belajar di Management and Science University (MSU) Shah Alam dalam bidang Bachelor in Law & Commerce. Dia mendapat biasiswa penuh daripada peringkat foundation sampai ke ijazah oleh MSU. Istimewanya, biasiswa yang diterima ditawarkan untuk golongan anak seni yang menyambung pelajaran di universiti swasta tersebut. Kini berbaki hanya satu semester panjang sebelum memulakan internship menjadi penasihat perundangan atau melakukan kerja-kerja berkaitan di firma guaman.

Satu persoalan yang selalu membelenggu bukan sahaja golongan selebriti tetapi kita-kita ini – do people take you seriously? Jika tidak pandai mengendali pertanyaan ini bisa membuat kita hilang keyakinan diri, seterusnya menganggap diri tidak seberapa bagus atau ‘tak functional‘ kata anak-anak sekarang. Saya tanyakan hal ini pada Wani, “Do you think people take you seriously in this business?” Sementelah pelbagai yang dia lakukan seperti menyanyi, berlakon, selain mengacara di Didik TV Road To Success milik Kementerian Pendidikan Malaysia. Mana satu yang anak muda ini mahu fokus? Nampak seperti tidak ada ‘core’ dalam bidang yang diceburinya. Dan jawab Wani dia mencuba pelbagai kerana mahu meluangkan masa mudanya bereksperimen dengan bakat. Dia mahu mencuba pelbagai supaya diri tahu kelebihannya di mana. “Yang penting saya tahu dunia hiburan adalah passion saya.” Tambahnya lagi, “Dan apa yang saya pasti I do take seriously in everything that I do. Ini demi masa depan saya dan saya tidak melakukannya untuk tempoh masa pendek sebaliknya juga untuk jangka masa panjang.” Saya setuju dengan responnya, seperti kata novelis Colombia yang menyebut, “Take advantage of it now, while you are young and suffer all you can, because these things don’t last your whole life.” Namun bagaimanapun, Wani tidak menolak yang dia masih struggle menaikkan nama. “Sudah 12 tahun dalam industri tapi recognition orang terhadap Wani masih belum capai target peribadi. Apa yang Wani sasarkan sekarang adalah sebuah pentas sendiri untuk orang nampak bakat Wani.”

Lebih mudah memetik bunga daripada memeliharanya; itulah sebabnya sesetengah orang lebih suka memusnahkan bakat daripada memupuknya. Wani tidak mahu mempersia-siakan peluang yang ada. Kini anak muda ini boleh menarik nafas lega kerana satu demi satu syarikat produksi memberi ruang padanya. Dua drama lakonannya bakal keluar di TV3, Adakah Engkau Menungguku dan 3 Nota Cinta di bawah OrangeTree Production, manakala Ratu Tenpin 2 bersama JS Pictures sedang dalam penggambaran untuk slot tayangan Astro.

Sudah lumrah orang yang bekerja dalam dunia hiburan sering dibandingkan antara satu dan yang lain. Siapa yang lebih hebat menyanyi live, vokal lebih padu dan sebagainya. “Adakah perkara sebegini sedikit sebanyak mengganggu Wani?” tanya saya padanya. “Tidak memberi kesan pada saya. Saya percaya rezeki diberi pada manusia dengan hikmah tertentu. Jika ada orang lain lebih cantik, lebih tinggi lampai, mahu pun lagunya lebih rating, bagi saya itu adalah rezeki mereka. Saya pun ada rezeki sendiri. Ada peluang yang saya dapat tetapi orang lain tak dapat. Mungkin orang nampak kelebihan tertentu dalam diri orang lain tetapi mereka belum nampak dalam diri kita.”

Wani enjoy bekerja dalam bidang ini. Dapat bergaul dengan ramai orang, berinteraksi dengan pelbagai jenis manusia sama ada yang tua atau muda. Katanya, “Lain orang lain kerenah, lain ragam. Saya dapat mengenali bermacam-macam karakter dan ini membantu saya belajar cara bergaul dan membawa diri.” Ini juga menjadikannya seorang yang mudah mesra tetapi perwatakannya masih kekal bersederhana. Seorang yang mudah buat kawan tetapi memilih mengelak hal yang complicated. Namun dia menolak seseorang yang gemar merendah-rendahkan orang lain. “Pada saya orang yang seperti ini ada negative mindset. Tanpa sedar mereka sedang merendahkan diri mereka sendiri. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya, jadi kita raikan semuanya.” 

Di saat senggang, Wani selesa meluangkan masa dengan keluarga. Dia juga masih tinggal bersama ibu bapa. Belum mahu tinggal sendiri melainkan sebaik berkahwin nanti. Alang-alang itu saya ajukan juga tentang kahwin, sementelah kebelakangan ini satu persatu selebriti muda menamatkan zaman bujang. Begitupun jawabnya mudah, “Kahwin? Tunggu dulu. Nak bahagiakan mak… ” 

Mengetahui dirinya masih muda satu yang saya mahu sangat tanyakan, “Antara love or fame mana satu yang Wani buru?” Kerana baru-baru ini saya tanyakan soalan yang sama pada pelakon Nafiez Zaidi. Pilihannya love. “True love…” (jawapan orang sedang berbunga hatinya.) Dan untuk Wani, dia memilih fame. “Love kalau ada pun sekarang ini kita tak pernah tahu kesannya terhadap kerjaya Wani. Fame sebaliknya beri ruang orang kenal kita, tonjolkan diri dan bakat kita. Ini usaha kita yang mana satu hari akan beri kelebihan besar jika kita buat dengan ikhlas.”

Sambil menulis saya mencuri masa lagi melayan lagunya Jangan Terlepas Pandang dan terpaut bait ini, 

“Sampai bila harus ku menunggu lagi,

Sungguh nyata bukan mudah tuk mengubah persepsi,

I’m gonna be who I wanna be,

Nak senang bukan sehari,

Sila ambil perhatian, I’m making history!” 

Ya Wani Kayrie sudah ada bakat dan semangatnya. Tinggal kita lagi untuk memberi dorongan pada anak muda sepertinya kerana walau bakat sebesar P. Ramlee atau Sharifah Aini sekalipun dan semangat yang gila-gila membara tetapi jika kita tidak menyokongnya pasti tidak ke mana lah anak seni sepertinya. Dan saya mahu menamatkan tulisan ini dengan berkongsi kata-kata Roy T Bennett, “Be an encourager: When you encourage others, you boost their self-esteem, enhance their self-confidence, make them work harder, lift their spirits and make them successful in their endeavors. Encouragement goes straight to the heart and is always available. Be an encourager. Always.”

All the best Wani Kayrie!

  • Penghargaan
  • Teks: Shaufik Yunus
  • Wajah hiasan: Wani Kayrie
  • Gambar: Azam Neurmaya daripada Neur Maya Media
  • Solekan & dandanan: Linda Rossa menggunakan alat solek Note Cosmetique
  • Pakaian: Fiziwoo Ready to Wear
  • Lokasi: Bangunan Perdagangan d7, Jalan Sentul, Kuala Lumpur
  • Pengarah seni: Wirda Adnan

Related posts

SELEBRITI BERHIJAB

Jantra Naqiah

Melissa Sargeant Young, Beautiful, Successful

admin

Poorani Rajoo, ‘Beauty Is Power’

admin

Leave a Comment