Melihat teman yang dilayan sebegitu baik oleh sang suami, saya terkesan sekali. Teman ini penghidap kanser payudara. Betul dia sakit kerana penyakitnya itu, namun jiwanya tenang, punya suami yang penyayang dan melayannya bagai menatang minyak yang penuh.
“Sebelum aku disahkan kanser tidaklah hubby aku ini macam penyayang sangat orangnya, itu yang aku rasakan. Suami tidak romantik langsung, hari jadi aku tidak pernah pun dia ingat. Kalau aku yang tidak ingatkan hari jadi aku sendiri kepadanya, dia buat tidak tahu. Hendak tunggu sekuntum bunga pun tiada. Gelang emas jauh sekali tetapi nafkah yang lain cukup. Aku tiada komplain. Pernah aku tanya mengapa tidak pernah ingat pun hari jadi aku, dia jawab hari jadi dia pun dia tidak ingat.
“Saat aku disahkan mengidap kanser tahap tiga dan kini masuk tahap empat, dunia aku hancur, sesungguhnya aku amat takut menghadapinya, apatah lagi memikirkan akan kekurangan diri. Sungguh aku sendiri tidak menyangka (mungkin juga buruk sangka dengan suami), rupanya Allah sebenarnya amat menyayangi aku. Betul aku diuji dengan kesakitan dan rasa tidak sempurna kerana sebelah buah dada sudah tiada. Namun aku bertuah sebab punya suami yang menyayangi sehingga kadang-kadang aku lupa yang aku ini ‘cacat’. Kamu tahulah, bagi wanita bila permatanya sudah tidak bernilai lagi dia rasa hidup pun tiada guna. Aku sendiri berasa tiada nilai diri, malu, takut malah rasa lebih baik mati cepat.
“Allah menghadiahkan aku sesuatu yang aku selama ini aku tidak sedari, iaitu seorang suami yang sungguh faham akan apa yang aku alami. Suami tidak pernah sekali pun mengeluh, tidak berkeluh kesah kerana terpaksa mengambil tugas sebagai suami, isteri, ayah, jururawat, driver… ha semua sekali. “Aku sakit tetapi jiwa tenang, terima kasih wahai suamiku kerana kau benar-benar mencintai aku dan melayan aku dan anak-anak sebaiknya. Rumahtangga yang aman bahagia. Aku rasa kasih dan sayang kau kepadaku langsung tidak kurang malah bertambah dengan layanan mesra, doa restu dan kasih sayang. Kini bilik tidur kami sentiasa harum, bukan dengan bunga ros kerana bunga ros akan layu sehari dua selepas ianya kembang tetapi sebuah alat pewangi yang bukan sahaja mengeluarkan bau harum tetapi bau yang dapat juga memberi ketenangan, rasa lena tidur.”
Itu cerita Dahlia dan membuat aku teringat kepada Maryam. Maryam sudah masuk empat tahun pergi menemui penciptaNya akibat barah payudara tetapi selain barah, pernah diakuinya sendiri dia menderita kerana suaminya kahwin lagi saat dirinya menderita sakit.
Maryam pernah menghadiri event bersama saya selama tiga hari di Paris, bilik kami sebelah menyebelah. Maryam anak kota, bapanya orang berada dan emaknya pula dari keluarga di Raja. Hidupnya mewah, semua ada namun katanya yang tiada ialah pendidikan agama. Tinggal di banglo mewah tetapi jiwa kosong dan tidak pernah tenteram. Emak ayah kalau ada pun di rumah, masing-masing dengan hal sendiri, ayah leka dengan cigarnya, dan mak dengan kawan-kawan Datinnya bersembang tidak pernah habis cerita. Anak-anak dilayan malah dibesarkan oleh pembantu.
Maryam bercerita lagi perihal ibu bapanya yang tidak pernah dilihat bersolat juga berpuasa. “Masa I di tingkatan lima, I pretend yang I puasa, hakikatnya tidak, sebab bila balik sekolah pembantu sudah sedia dengan hidangan di meja. Bulan Ramadan seperti bulan-bulan lain pada kami. I nak jadi journalist pun famili larang, kata mereka kerja bodoh gaji sikit, bayar kereta pun tidak cukup, tapi apa pun mereka restu dengan satu syarat. “Lupakan boyfriend budak pinggir kota itu sebab mereka ada pilihan sesuai untuk I yang setaraf.“”
Tamat kolej (Maryam memilik ijazah perundangan) tetapi langsung tidak berminat dengan kerja guaman. Dia memilih untuk membuat kerja perhubungan awam dan waktu sama menjadi penulis bebas. Dan seperti yang dijanjikan oleh keluarganya, dia dikahwinkan dengan ahli perniagaan. Yang suka sama suka ialah ibu ayah dan sesama besan. Suami juga jenis okaylah, tidak mahu membantah, mak ayahnya yang dia suruh kahwin, maka katanya dia pun kahwinlah asal, bisnesnya terjaga. Al maklum bisnes mudah tidak payah keluar modal, sebab orang tua yang punya.
Itu cerita Maryam masa kami sembang-sembang sambil duduk di kafe waktu santai selepas tamat event, dua malam masing-masing bertukar cerita. Ya, kami teruskan persahabatan sesekali mencari waktu untuk berjumpa dan bercerita hal masing-masing.
Teringat satu ketika kami lama tidak saling menghubungi, saya pun tidak tahu mengapa, mungkin kesibukan membuat saya lupa akan dia, dan dia juga tidak menghubungi. Mungkin orang ini menunggu orang di sini menghubungi dan di sana menunggu di sini. Dan satu hari ketika saya ke Hospital Pantai melawat kawan yang sakit, terserempak dengan Maryam. Saya amat terkejut, memang tidak menyangka dia Maryam jikalau dia tidak menegur saya, kurus, dan pucat, rambutnya pendek.
“Breast cancer,” katanya. Beberapa kali saya memohon maaf kerana tidak hubungi. Not to worry sebab nombor pun sudah tidak sama, emel pun saya tukar nama lain,” ceritanya. Dan kami berjumpa sekali lagi untuk bersembang panjang, dan menyambung semula silatulrahim selepas hari itu sebelum dia pergi buat selama-lamanya empat tahun yang lalu. Walau Maryam sudah lama pergi tetapi ceritanya melekat di sanubari dan bila mana orang bercerita fasal kanser pasti saya teringatkan dia.
Untuk dikisahkan semuanya memanglah panjang cerita di sini, tetapi sekadar meringkaskan, hidup kalau tidak dibekalkan dengan agama dan mengamalkannya, rumahtangga pasti akan goyang. Seperti Maryam, emak ayah tidak pernah memberatkan hal agama, hendak mengahwinkan anak bukan memilih orang beragama tetapi yang berduit, jadi Allah berikan apa yang dihajati. Hidup Maryam senang lenang tapi punya suami yang betul menyediakan segalanya, malah Maryam tidak perlu pun bekerja tetapi atas kehendaknya, dia bosan di rumah, kerana suami tidak pernah ada. Kalau ada pun bukannya hendak duduk bersembang dan bercerita sangat, asyik di telefon sahaja, ceritanya;
Empat tahun Maryam menderita barah payudara dan siapa yang menemani untuk ke hospital membuat rawatan? Oh tiada siapa sebab sang suami tidak pernah punya masa untuk menemani. Pergilah Maryam sendirian, terimalah kesakitan sendirian kerana tiada siapa peduli dan mendoakan. Mak ayahnya adalah menjenguk tetapi cerita Maryam dia teringin doa restu mak ayah terutama kata orang doa mak selalu mujarab tetapi maknya hanya tahu menangis sahaja. Maknya masih belum senang mendekatkan dirinya dengan Allah, lantaran hanya menjengoknya dan menangis. Hanya setakat itu, begitu juga dengan ayahnya, yang juga tidak sihat tetapi belum mahu sujud di tikar sembahyang.
Mujur kata Maryam, dia amat terkesan akan sembang-sembang kami sewaktu di Paris, lantaran bila pulang dia mencari guru agama, dan belajar agama dan anak-anak juga diberatkan dengan ilmu akhirat supaya mereka tidak cicir pengetahuan agama dan supaya dia tidak berdosa meninggalkan dua anaknya yang kontang ilmu akhirat, sekurang-kurangnya di akhirat nanti dia dapat menjawab yang tugasnya untuk mendidik anak hal akhirat sudah dilaksanakan.
Mengenai suaminya, Maryam pun sudah tidak mahu memikirkan sangat. Kerana ada suami seperti tidak bersuami. Dan yang paling sedih katanya, pada minggu dia di bilik bedah, sanggup suami bersanding. Memang teramat kejam. Bukan dia tidak tahu tarikh pembedahan tetapi dia sampai hati untuk berkahwin di waktu itu. Bukankah sepatutnya suami berada di sini isteri di dalam kesakitan dan kesedihan tetapi dia memilih untuk bergembira?
Mak dan ayah Maryam seperti tidak berkisah sangat pun menantu kesayangan mereka berkahwin. Maryam we can’t say much, your mummy (mak mentua) kata, Ismail kata dia perlukan isteri, dan since you are a cancer patient, sampai bila dia boleh menunggu you sembuh? Bayangkan my mak boleh kata macam itu. Dia pun tidak bersimpati dengan I,” cerita Maryam.
“Betul I sakit dan lemah seluruh badan, dengan kimoterapi enam kali buat I jadi lesu dan tidak bermaya tetapi bila ingat suami, lagilah semangat ini menurun lagi dan lagi. Mujurlah juga I sedar yang boleh memberikan kebahagiaan hanya Allah, lalu i banyak berzikir dan mencari keredhaanNya. Kalau I sihat, I akan bangun membuat solat tahajud dan solat taubat dan jika tidak lalu sangat, I basahi bibir dengan zikir. Itu sahaja yang buat I happy. Tetapi bila ingat suami, I rasa hidup ini sungguh kosong, ada suami tetapi dia tidak peduli, ada suami tetapi dia berbini lagi sedangkan isterinya yang ini tengah bertarung nyawa antara hidup dan mati. I hanya doa dia happy, dan jaga anak-anak I bila I dah mati,” ceritanya.
Saya sendiri pun tidak sempat menziarahi pada hari pemergiannya kerana hari sama, saya teringat mendapat berita daripada seorang teman, yang Maryam sudah pulang ke rahmatullah, dan waktu itu saya berada di lapangan terbang, kebetulan untuk ke Paris juga. Pastinya pemergian saya ke Paris pada ketika itu sesuatu yang begitu sayu, kerana terkenang kami bertukar cerita kisah keluarga dan rumahtangga. Maryam sudah lama pergi, begitu pun ceritanya kekal saya abadikan. Dan berdoa yang baik-baik untuk diri sendiri. Ya Allah jauhkan aku dari api neraka dan seksa kubur, dan jauhkan juga aku daripada hidup yang sengsara. Semoga doaku diterimaNya dan yang membaca kisah yang diceritakan ini, mari kita doa supaya hidup kita bukan seperti Maryam tetapi seperti Dahlia yang punya keluarga orang beragama dan suami yang mencintainya. Saya pasti setiap isteri mengimpikan hidup seperti Dahlia dan bukan Maryam yang sampai ke mati menangis kerana tidak dilayani dan dikasihi seperti mana keinginan seorang isteri daripada yang bernama suami.