GAYA HIDUPGELAGAT

Sekilas Sesi Live Wirda Adnan Bersama Majalah InTrend – Sayonara Naskhah Majalah

Sepuluh minit sebelum live, saya sempat mencatatkan jawapan kepada beberapa soalan yang dikemukakan…

Berikutan penutupan syarikat gergasi penerbit pelbagai judul majalah; tempatan dan yang difranchise; Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin, saya dijemput oleh Afiza Kamarulzaman daripada Intrend untuk berkisah hal majalah. Jujur pada awalnya saya menolak pelawaan live interview oleh Afiza. Masa PKP lebih senang pakai baju kelawar, mengadap laptop diselang seli kerja rumah, memasak, mengemas, mengaji dan tidak lupa juga melayani mesej-mesej serta menjawab emel. Boleh tahan juga emel-emel yang masuk semenjak dua bulan ini. Ya lah ramai minta publisiti percuma! Namun teringat, seandainya saya orang majalah tidak support rakan-rakan yang mencari makan dalam dunia penerbitan ini, dan andainya semua orang seperti saya tidak memberikan sokongan, seyugia, ia akan berhenti di situ. Kita perlu menyemarakkan usaha ini, dan wajib memberikan kerjasama supaya perniagaan ini akan berkembang.

Sebagai pengenalan diri. Wirda Adnan masih aktif menulis. MajalahWM.com sudah empat tahun itu yang saya beritahu Afiza. Bukan sebulan dua ini saja saya bekerja dari rumah, memang rumah sudah berfungsi sebagai pejabat. Jimat belanja dan tenaga, lari daripada stres traffic jam, tol, parking dan sebagainya.

Dapat membahagikan masa dengan lebih baik – menjadi suri rumah cum editor in chief saya sempat mengemas dan memasak. Ya membaiki skil masakan, dan kalau ada kawan-kawan nak tempah I LOVE WIRDA, saya ambil sebab saya ada tailor yang bagus. Saya juga ada produk Princess Kastula – Breast Firming Essence dan kalau ada jemputan untuk talk show di universiti dan forum tertentu…dan dijemput ke tv tengoklah jika bersesuaian dengan topiknya saya terima. Dan yang paling best ada ruang melayan cucu… sesekali  bila mereka menjenguk.

“Betulkah orang majalah glamor dan kerjanya seronok?” Betul dan memang seronok. Kalau tidak saya tidak akan bertahan sehingga lebih 40 tahun. Ya, saya mengalaminya sendiri. Memang seronok tetapi terpulang pada individu. Kalau dia rasa keluar pagi balik malam tidak tengok matahari, meeting dan running around, interview shooting, travelling dan itu padanya seronok, maka seronoklah. Dan jika glamor itu ditarifkan seperti  hadir majlis-majlis mewah, yang ramai vvip dan selebriti, yang barangkali pekerja biasa tidak akan merasainya, dan hadir di pentas fesyen dunia; di London, Paris, Milan, New York, makan bersama Donatella Versace, berselisih bahu dengan Sharon Stone,Mariah Carey, dapat bersembang-sembang dengan Shah Rukh Khan, bergambar dengan Karl Lagelfeld to name a few, tinggal di hotel lima atau enam bintang, dijemput dari rumah ke venue dengan Mercedes Benz…mengeliling kota Paris dan Hong Kong misalnya dengan helikopter.. kalau itu yang diistilahkan glamor, ya tulah… glamorlah, dan ini antara pengalaman saya sendiri.

“Wirda Adnan pernah dibabel editor diva/digeruni?” Sejujurnya juga saya tidak tahu saya digeruni dan diva. Bila kita terlalu sibuk dengan kerja, kita tidak pandang depan belakang dan tidak ambil kisah apa yang kata atau fikir tentang diri kita, dan kalau ada yang hendak kata saya sombong, mungkin kot kerana saya tidak boleh melayan semua orang, dan mungkin juga air muka memang nampak sombong, saya tidak marah jikalau anda yang mengatakan demikian. It”s okay to be sombang at the right place and the right time kalau tidak orang pijak kepala kita, hah.

“Beza cara bekerja dulu-dulu dan sekarang?” Pada zaman 80-an masih belum mengguna typewriter dan perlahan-lahan komputer mengambil alih. Namun begitu untuk mendapat bahan-bahannya perlu ke Perpustakaan Negara atau mencari berita melalui International News Agent. Mengambil gambar pakai polaroid, layout pun diatur dengan tangan sebelum kerjanya sekarang amat mudah. Tak terbayang dulu-dulu sukarnya membuat kerja berbanding hari ini tetapi dengan kerja jadi mudah kita masih ketinggalan banyak dan selalu tidak cukup masa, kenapa? Entah, tidak tahu jawapannya.

“Bagaimana melihat situasi majalah sekarang yang semakin lumpuh?” Yang lumpuh ialah majalah cetak sahaja. Kita kena terima hakikat ini sebab orang lebih suka baca daripada telefon sahaja, mudah, bila-bila masa dan tidak payah mengeluarkan duit lagi. Saya tidak terkejut bila Bluinc tutup sebab pada dasarnya orang tidak membaca bahan print lagi waima surat khabar sekalipun, dan berapa orang yang tetap setia membeli surat khabar setiap pagi?

Namun kita ada pilihan, majalah online sudah banyak. Ia tidak kurang dari segi content malah lebih up to date, dan tidak kurang dari segi presentationnya. It’s not just throwing all the articles macam itu aje, mesti dibuat layout cantik-cantik, fotografi dan styling juga mesti dibuat sebaiknya.

Sepatutnya dengan ketiadaan majalah dijual di gedung-gedung buku, dan di kedai-kedai mamak misalnya, kita jangan pula berhenti membaca. Maksud saya membaca majalah. Sebab dalam majalah online pun ada semua, kalau ia lifestyle magzine it is about lifestyle. Gaya hidup itu luas cabangnya; fesyen, kecantikan, hiburan, kisah hidup masyarakat, hal-hal kehidupan di dunia dan akhirat… semua terkandung di dalam sebuah majalah gaya hidup. Sementelah dunia yang kita hidup hari ini lebih kepada dunia digital, kita carinya ilmu melalui digital… BUT NEVER STOP READING. Masalahnya sekarang anak muda kurang membaca atau membaca yang entah apa… namun pandai pula mensensasikan perkara yang tidak sepatutnya. Malah ramai yang tidak membaca dan yang cetek ilmu itu pula pandai pula menunjuk-nunjuk, maka jadilah bahan-bahan yang merosakkan dan meracun minda masyarakat.

“Harapan majalah cetak untuk kembali gah?” Untuk majalah cetak kembali gah seperti sedia kala, pada pandangan peribadi saya tidak mungkin kerana kos mengeluarkan majalah itu sendiri amat mahal. Itu tidak termasuk perkara lain seperti colour separation, pengangkutan, verdor, gaji staf yang perlu ramai dan sebagainya… dengan ekonomi dunia yang meleset hari ini, amat susah.

Bila syarikat pengeluar majalah tutup, bukan sahaja pekerja di syarikat itu yang menanggung beban ekonomi yang menyedihkan. Mereka yang terbabit sudah tentulah, tetapi ramai lagi insan lain turut menerima bahang panasnya ini. Antaranya model, pereka fesyen, stylist fesyen, stylist rambut dan makeup artist, jurugambar, grafik artis, butik dan ramai lagi. Ramai hidup dengan ‘jasa’ sebuah majalah yang memberikan mereka kerja dan menaikkan nama mereka. Designers umpamanya mereka naik kerana model dan selebriti memakai ciptaan mereka dan bila orang berkenan, mereka cari pereka-pereka ini. Apakah designer lupa yang ramai orang majalah secara langsung menaikkan nama mereka tetapi bila sudah senang lenang dan popular dan nama disebut-sebut, mereka lupa yang si kerdil tadi yang awalnya memberikan publisiti. Teringat seorang teman bercerita, “Adalah seorang designer terkenal itu buat tidak ingat nama aku, sudahlah tidak pernah menjemput aku bila dia membuat pertunjukan. Dia lupa ke yang dia tinggal di rumah aku berbulan-bulan. Mak ayah dan adik beradiknya semua aku kenal. Makan minum sudah tentulah dan membantu lagi mengeluarkan dia belanja mengadakan pertunjukan, kemudian tidak henti-henti menghebahkan namanya, bukan sahaja di majalah tempat aku bekerja tetapi jual namanya dengan majalah lain juga. Lalu namanya besar dan wajahnya terpampang. Hari ini tidak ingat nama aku, aduh!”

Bila tiada majalah sebenarnya fashionista juga sudah tidak kuasa bergaya, hendak tayang kat mana lagi dan siapa nak tengok? Jadinya dari segi ini, majalah akan pudar dan perlahan-lahan lumpuh.

“Apakah kemusnahan ini terjadi disebabkan dunia digital? Atau orang malas membaca atau content juga tidak bagus?” Saya disoal lagi. Semuanya betul. Dunia digital tidak dinafikan menjadi tunjang utama kemusnahan ini berlaku dan di masa yang sama, benar, orang kita amat malas membaca. Dan dari segi (content) pengisian juga penyebab orang malas membaca. Selain beritanya lambat dan mungkin basi, content perlu up to date, dan kadang-kadang majalah tidak dibentangkan dengan ‘wajah’ yang menarik serta membosankan. Bagi majalah bukan sahaja rencananya mesti bagus tetapi dari segi visual dan fotografi perlu menarik supaya ia dapat memanggil orang menyelak dari satu muka surat ke satu muka surat. Dan kalau covernya sendiri sudah tidak menarik, menghilangkan minat untuk terus menyelak satu persatu muka suratnya.

Yang bertanggungjawab menyemarakkan majalah ialah editornya. Jikalau dia sendiri kurang kreatif, dan  mengambil beban kerja sambil lewa sudah tentu contentnya jadi tidak menarik… dan sementelah kini kita didedahkan dengan serbaneka bahan daripada setiap pelusuk dunia, pilihan kepada majalah menjadi tidak penting lagi. Dan bila editor pun nak kerja ikut time macam kerani dan office boy yang masuk jam sembilan balik jam terima kasih lah, majalah akan cepat say goodbye to the readers.

“Ini bersambung pada soalan seterusnya. Kriteria untuk jadi orang majalah?” Masa kerja bukan sembilan hingga lima atau enam petang. Kamu kena lebih ruangkan waktu untuk bersosial, dan menulis untuk majalah bukan cara menulis buku atau buat news, mesti ada style tertentu yang membuat orang tidak bosan membaca dan berasa selesa dengan editor/writer. And most of all editor dan team mesti kreatif, ya super creative dan fikir di luar kotak.

“Yang paling saya rindukan sebagai orang majalah (print)?” Bagi saya, saya rindukan momen-momen paling mendebarkan bila majalah itu siap diprint, mendapat majalah yang fresh dari oven, dan meniliknya, upp masa panas-panas itu, itulah yang paling saya rindu, dan momen itu tiada lagi. Bila majalah siap saya dan anak buah akan duduk di meja masing-masing menatapnya tidak jemu dan menyelak dari satu muka ke satu muka sehingga ke akhir muka surat. Dan yang membuat kami menggeletar terutama editornya bila ternampak kesilapan ejaan dan lebih teruk jika warnanya lari dan muka surat terbalik, alahai senak perut itu berpanjangan sampai berbulan-bulan lebih-lebih lagi client complaint dan tidak mahu bayar jika kesilapan itu daripada kita. Mohon ampun.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

BUBUR ASYURA RAHSIA DAN RESIPINYA

adminwm

Wanita Lemah Hanya Dalam TV! Anak Perempuan dan Ibu Berusia 50 Tahun Meluncur Dari Ketinggian 14,000 Kaki

admin

Hilton Garden Inn Jalan Tuanku Abdul Rahman South

admin

Leave a Comment