GAYA HIDUP

Kawalselia Kendiri Kandungan adalah Kemahiran Hidup yang Penting

Dialog awam anjuran Forum Kandungan mengupas isu bagaimana ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka menerokai dunia digital dan media sosial dengan selamat.

Pada zaman teknologi ini di mana platform sosial dan digital menjadi tumpuan utama, adalah penting bagi ibu bapa kepada anak jati digital (digital natives) untuk memperkasakan anak-anak mereka dan menerapkan kawalselia kendiri. Memandangkan platform maya pantas menjadi ruang yang menyediakan hiburan dan pendidikan untuk kanak-kanak seawal dua tahun serta platform sosial untuk kanak-kanak yang lebih besar, adalah penting bagi ibu bapa untuk melindungi mereka daripada kandungan berbahaya, ancaman pemangsa dan bahaya dalam talian yang lain.

Empat selebriti terkenal yang juga ibu bapa kepada anak jati digital berkongsi pengalaman

membesarkan anak dan cabarannya dalam era digital ini dalam satu sesi bual-bicara di

Clubhouse. Dengan tajuk,‘Membesarkan Anak Jati Digital – Peranti Bukan Pengganti’, pasangan ibu-bapa Dato' Fazley Yaakob – Datin Azrene Ahmad dan Nazrudin Habibur Rahman – Sheahnee

Iman Lee berkongsi pendekatan mereka yang berbeza berkaitan dengan gajet, media sosial dan ruang digital. Ia dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Mediha Mahmood.

“Anak-anak kami semuanya terlibat dalam aktiviti media sosial, termasuk TikTok. Suami saya Fazley menyimpan senarai semua kata laluan mereka dan kami juga ikuti mereka di media sosial untuk memantau aktiviti mereka di sana. Jika kami melihat sebarang perkongsian yang membimbangkan, kami akan bercakap dengan mereka mengenainya. Kami mengamalkan dialog terbuka tentang segala-galanya supaya mereka tidak merasakan keperluan untuk membelakangi kami dan mencari cara tersembunyi untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka, " kata Azrene, yang menambah bahawa terdapat juga aplikasi yang boleh digunakan ibu bapa untuk mengawal penggunaan internet kanak-kanak dan ibu bapa juga perlu lebih celik teknologi berbanding ibu bapa pada masa lalu.

Azrene dan suaminya juga berkongsi tentang bahaya pemangsa dalam talian yang tekad mencari jalan untuk mendekati kanak-kanak. Mereka memberi contoh permainan dalam talian yang secara asasnya tidak berbahaya di mana kanak-kanak memasuki bilik rawak untuk bermain. Namun demikian, terdapat satu bilik di mana pedofil sedang menunggu untuk antun (grooming) kanak- kanak, bermula dengan menjadi kawan mereka, bermain permainan dengan mereka dan kemudian meminta maklumat peribadi seperti gambar, nombor telefon dan sebagainya. Situasi itu terbongkar apabila Fazley sedang melihat anak mereka bermain permainan itu dan seorang pemangsa muncul dan menghubungi anak mereka.

“Ia sangat menakutkan. Mereka akan memikat kanak-kanak dengan barangan permainan dan meminta watak yang dimainkan oleh kanak-kanak itu untuk memakai pakaian dalam dan kemudian menanggalkannya. Pada platform pemesejan lain, orang yang sama dari permainan dalam talian itu juga dilihat cuba menghubungi anak saya. Apabila kami menyedari tentang cara pemangsa ini memanipulasi permainan untuk menyasarkan kanak-kanak, kami mengarahkan anak-anak kami untuk memadamkan akaun mereka. Ini mengecewakan mereka tetapi kami mengambil masa berminggu-minggu untuk meneliti peraturan dan garis panduan bersama mereka serta membincangkan tentang bahaya yang wujud dalam talian. Anak-anak kami merupakan pemain yang lebih selamat sekarang,” kata Fazley.

Sementara itu, Sheahnee dan Nazrudin mempunyai gaya keibubapaan yang berbeza di mana mereka tidak membenarkan anak-anak mereka sebarang akses kepada peranti tanpa pengawasan dan tiada akses kepada media sosial. Walau bagaimanapun, mereka juga percaya bahawa tidak kira betapa janggalnya perbualan mengenai kandungan sensitif atau berbahaya dalam talian, ibu- bapa perlu melakukannya. “Masa kita kanak-kanak dulu, kandungan dewasa tidak mudah diakses. Kini, akses adalah amat mudah. Sama ada saya bersedia atau tidak, saya perlu ada perbualan ini kerana kemungkinan besar, anak-anak saya sudah mendengarnya dari sumber lain,” kata Sheahnee.

Sheahnee memberi contoh siri Korea yang popular iaitu Squid Game, di mana beberapa ibu bapa pada mulanya tidak tahu tentang siri tersebut dan kemudian panik apabila mengetahui ia untuk penonton dewasa sahaja tetapi anak-anak mereka sudah menonton kesemua sembilan episod." Bayangkan bagaimana kita hendak terangkan semua tema itu kepada kanak-kanak, dan kanak- kanak ini kebanyakannya berada dalam Darjah 1," katanya. 

“Jika kita ingin memberi kebebasan kepada anak-anak kita untuk berada dalam talian, maka kita mesti bersedia untuk kekal selangkah di hadapan mereka pada setiap masa, sentiasa ikuti perkembangan semua risiko terkini yang ada dalam talian, lakukan penyelidikan dan bersiaplah untuk mengadakan perbualan yang sukar dengan mereka,” tambahnya.

Suaminya, Nazrudin, menambah bahawa dengan semua kelas dalam talian yang berlangsung baru-baru ini, anak-anak mereka juga telah diperkenalkan kepada permainan dalam talian percuma, yang sebahagiannya datang daripada pautan rawak yang dihantar rakan-rakan mereka. “Dan pautan tersebut memerlukan mereka mendaftar untuk mendapatkan aset dalam permainan yang mereka mainkan, jadi mereka memasukkan alamat e-mel mereka. Tak lama kemudian, kami ternampak terdapat pautan yang dipadamkan dalam trash folder yang mengandungi kandungan dewasa dan bahan berbahaya yang lain. Saya ketika itu terpaksa membincangkan isu yang tidak

pernah saya fikir saya perlu bincangkan dengan anak-anak saya pada usia yang begitu muda,” katanya. “Pada zaman ini, perkara paling sukar anak-anak kita perlu lakukan ialah untuk menjadi matang dan membuat keputusan matang sebelum mereka benar-benar matang. Jadi, saluran komunikasi dengan anak-anak dan saling mempercayai itu adalah sangat penting,” tambahnya.

Kesemua mereka bersetuju bahawa ibu bapa pada masa kini harus lebih terbuka dengan anak-anak mereka, mendidik mereka tentang persekitaran dalam talian dan elakkan daripada bersikap terlalu menghukum kerana ia boleh menyebabkan anak-anak menjauhkan diri mereka. Ia juga penting sebagai ibu bapa untuk sentiasa ingat bahawa tidak ada cara yang betul atau salah untuk membimbing anak jati digital kerana ia adalah pengalaman baru dan membuat kesilapan hanyalah sebahagian daripada perjalanan kita di zaman digital dan teknologi bermaklumat ini.

“Walaupun kedua-dua pasangan ini ada cara keibubapaan yang berbeza, persamaan yang mereka kongsi adalah kesedaran, kewaspadaan dan kepentingan saluran komunikasi terbuka dengan anak-anak mereka. Kita perlu sentiasa berjaga-jaga tetapi pada masa yang sama, kita sedar bahawa hampir mustahil untuk ibu-bapa memantau setiap aktiviti dalam talian anak mereka. Jadi, adalah penting untuk memastikan diri kita sendiri terdidik tentang bahaya di luar sana, bimbing kanak-kanak tentang kawalselia kendiri dan galakkan mereka untuk mengamalkannya pada setiap masa,” kata Mediha.

“Salah satu sumber untuk menerapkan amalan kawalselia kendiri, ialah Kod Kandungan

Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan). Dirangka oleh Forum Kandungan pada 2004, Kod Kandungan ialah satu set garis panduan yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika merentas semua platform media digital,” tambah Mediha.

Forum Kandungan kini sedang menjalankan perundingan awam di seluruh negara, bertujuan untuk mengumpulkan maklum balas daripada orang awam mengenai cadangan semakan Kod Kandungan, termasuk peruntukan untuk memperkasakan hak kanak-kanak dan menggalakkan pembekal perkhidmatan dalam talian untuk mengambil tindakan proaktif dan reaktif dalam menangani aktiviti terlarang dalam talian.

Orang ramai digalakkan untuk memberi maklum balas mengenai perundingan awam ini untuk memastikan Kod Kandungan baru mengambil kira keperluan dan kehendak semasa pengguna. Maklumat lanjut mengenai latihan ini boleh diakses di www.contentforum.my.

Related posts

Gelagat

admin

RAMADAN DI KAMPONG GELAM

adminwm

Janji Allah

adminwm

Leave a Comment