Seks diajarkan di dalam Islam. Islam adalah agama yang juga mengajarkan tentang seks, pernikahan, dan keluarga. Islam mengajarkan tuntunan yang benar semua tingkah laku manusia. Insan perlukan seks kerana ia adalah keperluan atau fitrah manusia. Justeru, dalam Islam konsep hidup ala rahib tidak pernah ada kerana agama Islam melayani fitrah manusia. Namun, keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak agar menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan.
Dalil
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. ” – (Surah An-Nisaa’: 222)
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman. ” – (Surah An-Nisaa’: 223)[2]
” Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. ” – (Surah Al-Mu’minun: 5-7)[3]
Seks Dalam Islam
- Hubungan seks hanya dilakukan oleh sepasang suami-isteri yang telah menikah secara sah.
- Hubungan seks tidak dilakukan ketika seorang isteri sedang keluar darah haid atau nifas
- Hubungan seks hanya dibenarkan melalui faraj dan tidak melalui dubur.
- Hubungan seks hanya dilakukan dengan lawan jenis. Homoseksual mahupun Lesbian diharamkan dalam Islam.
Keharusan Berasmara Dengan Segenap Tubuh Pasangan
Para ulama Syafieyyah menggariskan bahawa suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya dengan dua pengecualian:
- Makruh bagi suami untuk melihat kepada faraj dan bahagian dalamnya lebih dimakruhkan. Rujuk Raudhah al-Talibin (7/27) oleh Imam al-Nawawi. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
النَّظَرِ إلَى الْفَرْجِ يُورِثُ الطَّمْسُ أَيْ الْعَمَى
Maksudnya: “Melihat kepada faraj itu mewarisi kebutaan.”[1]
Begitu juga hadis daripada Aisyah R.Anha bahawa dia berkata:
مَا رَأَيْتُ فَرْجَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَطّ
Maksudnya: “Aku tidak pernah langsung melihat alat sulit Rasulullah SAW.”
Aisyah juga diriwayatkan bahawa berkata:
مَا رَأَيْتُ مِنْهُ وَلَا رَأَى مِنِّي: أَيْ الْفَرْجَ
Maksudnya: “Aku tidak melihat kemaluannya dan baginda (SAW) tidak melihat kemaluanku.”
Kami sebutkan di sini kesimpulan pandangan ulama empat mazhab tentang isu ini berdasarkan kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (32/89):
“Hanafiyyah, Malikiyyah, Hanabilah berpendapat bahawa dibenarkan untuk setiap pasangan melihat alat sulit pasangannya secara mutlak, berdasarkan hadis Bahz bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya bahawa dia berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Aurat kami, apa yang boleh kami tunjuk dan apa yang kami perlu hindari? Sabda baginda: Jagalah aurat kamu melainkan kepada pasangan kamu atau hamba yang kamu miliki [Riwayat al-Tirmidzi dengan sanad hasan]. Ini kerana faraj itu tempat berseronok secara seksual, maka diharuskan melihat kepadanya seperti badan.
Akan tetapi di sisi Hanafiyyah dan Hanabilah bahawa lebih utama secara adab untuk meninggalkan melihat kepada faraj, kerana sabda Nabi S.A.W: Jika salah seorang daripada kalian mendatangi isterinya hendaklah menutup badannya dan jangan bertelanjang seperti telanjangnya dua ekor keldai (Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang daif). Dan berdasarkan hadis Aisyah RA: Aku tidak pernah langsung melihat alat sulit Rasulullah SAW. Dalam lafaz lain: Aku tidak pernah melihat alat sulit Rasulullah S.A.W dan baginda juga tidak pernah melihat alat sulitku.
Syafieyyah berpendapat bahawa makruh melihat kepada alat sulit pasanganya dan alat sulit sendiri tanpa hajat, berdasarkan hadis Aisyah, dan bertambah kemakruhan itu pada melihat bahagian dalam faraj. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bahawa tidak dimakruhkan semasa jima` tetapi harus.”
Syeikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu`asarah (2/331) berkata:
“Tentang hadis yang digunakan oleh penulis kitab al-Hidayah sebagai hujjah atas tidak dibenarkan melihat kemaluan pasangan nikah, adalah tidak kuat. Sebab, hadisnya daif. Walaupun kita menerima penilaian Imam al-Suyuti yang dikenal agak longgar, dengan darjat hasan yang diberikannya atas alasan banyak jalur periwayatannya, paling jauh larangan tersebut terhenti pada hukum makruh tanzihi. Hukum makruh tanzihi, sebagaimana difahami gugur dengan adanya hajat yang ringan… Pendapat ini (keharusan melihat secara mutlak) ini dipegang erat oleh Ibn Hazm dan menolak keras pendapat yang melarangnya, kerana tiada nas sahih lagi sarih yang melarangnya, bahkan untuk menjatuhkan hukum makruh (Rujuk al-Muhalla (9/164).”
- Diharamkan bagi suami untuk menyetubuhi isterinya pada dubur [Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/84)]. Ini berdalilkan hadis Khuzaimah bin Tsabit RA bahawa Rasulullah SAW:
إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran maka janganlah kalian mendatangi isteri pada dubur mereka.”
Riwayat al-Nasaie (8942)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا
Maksudnya: “Orang yang dilaknat itu adalah seorang yang mendatangi wanitanya pada duburnya.”
Riwayat Ahmad (9733)
Sebelum memulakan aktiviti persetubuhan, disunatkan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Ini berdalilkan firman Allah Taala:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;”
(Surah al-Baqarah: 223)
Daripada Jabir bin Abdullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ
Maksudnya: “Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?”
Riwayat al-Bukhari (no.2967)
Justeru, para ulama juga menyatakan bahawa harus hukumnya bagi seorang suami untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit isterinya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari, murid Imam Ibn Hajar al-Haitami, dalam kitabnya Fath al-Mu`in (hlm. 482) :
يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ
Maksudnya: “Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (liwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.”
Berkata Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam Asna’ al-Matolib (3/113):
وَالتَّلَذُّذُ بِالدُّبُرِ بِلَا إيلَاجٍ جَائِزٌ
Maksudnya: “Menikmati (secara seksual) pada dubur itu dibenarkan tanpa melibatkan penembusan (zakar).”
Perkara yang sama juga dinyatakan oleh para ulama daripada mazhab-mazhab lain. Kami nukilkan keterangan daripada al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (32/90-91):
“Para fuqaha’ bersepakat bahawa harus bagi suami untuk menyentuh faraj isterinya.
Ibn Abidin berkata: Abu Yusuf bertanya kepada Abu Hanifah tentang lelaki yang menyentuh faraj isterinya dan isteri yang menyentuh zakar suaminya untuk merangsangnya; adakah engkau melihat ada masalah dengan perkara itu? Jawab Abu Hanifah: Tidak, dan aku mengharapkan pahala menjadi lebih besar.
Berkata al-Hattab: Telah diriwayatkan daripada Malik bahawa dia berkata: Tidak mengapa melihat kepada faraj semasa bersetubuh. Dalam riwayat lain ada tambahan: dan menjilat dengan lidahnya. Itu adalah hiperbola pada mengharuskannya sedangkan zahir bukanlah begitu.
Berkata al-Fanani daripada ulama Syafieyyah: dibenarkan bagi suami untuk menikmati tubuh isterinya selain daripada lubang dubur, sekalipun dengan menjilat biji kelentitnya.
Para ulama Hanabilah menyatakan dengan jelas bahawa harus mencium faraj isteri sebelum jimak dan makruh jika dilakukan selepas berjimak.”
Kami katakan bahawa segala aktiviti asmara ini hendaklah dilaksanakan dengan penuh adab dan penghormatan antara satu pasangan dengan yang lain. Keredaan dan keizinan pasangan itu penting untuk mencapai ketenteraman dan kepuasan yang diredhai Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT berfirman:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’ : 19)
Berkata al-Qurtubi: “Yakni bergaul dengan mereka dengan baik pada apa yang diperintahkan Allah.”
Rujuk Tafsir al-Qurtubi (5/97)
Berdasarkan kenyataan ini, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum bermain-main secara seksual dengan menggunakan mulut dan lain-lain adalah diharuskan oleh syarak dengan syarat tidak membawa kepada penyakit dan masalah kesihatan, dilakukan secara konsensual atau suka-sama-suka, tidak membawa kepada kerosakan dan dilakukan dengan penuh adab. Begitu juga bagi isteri terhadap suami. Apatah Lagi pada zaman sekarang yang terdedah dengan pelbagai fitnah syahwat seperti penzinaan, pelacuran dan pornografi, sebarang teknik untuk menambahkan lagi kualiti hubungan seksual antara suami dan isteri amatlah wajar dilakukan, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram seperti liwat dan menelan najis.
Sumber: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan