Beberapa tahun dulu, saya rajin membeli minuman tenaga. Bukan sangat untuk khasiat seperti yang dicanang dalam iklan tv, tetapi kerana sedap dan saya rasa satu kepuasan setiap kali menghabiskan satu tin. Dan ada masanya, saya bersarapan dengan minuman tenaga. Begitu lekanya saya dulu.
Dan kawan-kawan yang tahu habit saya selalu mengingatkan yang minuman tenaga tidak elok dan yang saya ingat, salah seorang daripada kawan beritahu jika terlalu kerap meminumnya, lama kelamaan badan akan cepat letih, dan untuk saya mendapatkan tenaga semula perlu bergantung sepenuhnya pada minuman tenaga. Kesahihannya saya tak pasti.
Saya baca satu post di FB di akaun Public Health Malaysia, menyebut tentang ‘Bahaya Energy Drink’ dan kerana berasa artikel ini amat dekat dengan saya, mahu saya kongsikan dengan pembaca di sini.
Rujuk informasi oleh akaun Public Health Malaysia tentang bahaya minuman tenaga di bawah;
Minuman tenaga merupakan minuman tanpa alkohol yang mengandungi kafien, taurin, vitamin dan bahan bahan tambahan lain.
Ia sering dipasarkan sebagai produk yang memberi tenaga berpanjangan, untuk menambah prestasi ahli sukan, untuk pemanduan jangka masa panjang dan juga untuk pelajar.
Pengkaji mendapati, punca utama yang menyebabkan risiko kesihatan adalah kandungan kafien yang terlalu tinggi dalam minuman ini.
Pengambilan kafien berlebihan mengakibatkan jantung berdegup dengan pantas,tekanan darah tinggi, kekurangan kalsium dalam badan, metabolic asidosis, sawan dan kematian.
Gambar: Facebook Public Health Malaysia
Selain itu, sepertimana minuman ringan lain, minuman tenaga mengandungi gula yang cukup tinggi. Cuba bayangkan, satu tin minuman tenaga popular mengandungi 27.5 g gula!
Dalam kajian terkini, pengambilan minuman tenaga juga meningkatkan risiko strok sehingga lima kali ganda. Kajian dari Universiti Texas menunjukkan hanya satu tin minuman tenaga cukup untuk menyebabkan penyempitan saluran darah dan meningkatkan risiko strok dan serangan jantung,
Untuk kanak kanak dan remaja, pengambilan minuman tenaga dikaitkan dengan risiko terjebak dengan gejala negatif. Menurut kajian, remaja berisiko untuk terjebak dengan pengambilan rokok, minuman beralkohol dan dadah .
Apakah yang dicadangkan oleh pengkaji?
- Bagi mengawal penjualan dan kandungan dalam minuman tenaga, pengkaji mencadangkan agar terdapat polisi khas bagi mengawal selia kandungan, pemasaran dan jualan produk ini .
- Mengawal had pengambilan kafein yang dibenarkan bagi setiap hidangan.
- Mengawal penjualan minuman tenaga untuk kanak kanak dan remaja.
- Memberi pendidikan kepada anggota kesihatan untuk mengenal pasti gejala pesakit yang mengalami masalah ‘caffeine intoxication’
- Mengawal pengiklanan minuman tenaga.
Artikel asal: Facebook Public Health Malaysia Link: https://www.facebook.com/publichealthmalaysia/photos/a.1715215348768330/2505636996392824/?type=3&theater