GAYA HIDUPHidangan, Resipi & Petua

Hidangan diRaja Kelantan oleh Bonda Tengku Faridah

Kelantan; sebuah negeri yang terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan serta bersempadan dengan Thailand. Ia memang cukup terkenal dengan aneka makanannya yang enak serta pelbagai. Daripada lauk pauk hinggalah ke kuih muih. Semuanya memang sedap dan unik.  

Menyenaraikan, memang menjela panjangnya makanan asli Kelantan ni. Tidak tahu makanan yang mesti dicuba dulu; Nasi Kerabu asli Kelantan, Nasi Tumpang, gulai Kuzi, , Kerutuk Ayam, gulai kawah, Laksam, kuih Lompat Tikam, kuih Tahi Itik dan banyak lagi dan setelah mencuba pelbagai masakan, kami daripada majalahwm tidak pulang kosong. Bukan sekadar membawa balik bekalan khas untuk keluarga yang menanti kepulangan, sempat ke pasar Siti Khadijah Kota Bharu membeli rempah ratus khas untuk menyediakannya. 

Ramadan baru seminggu berlalu, jika jemu dengan hidangan sama, di bawah kami sediakan resipi khas dua masakan yang amat terkenal di Kelantan iaitu Kuzi Kambing, Ayam Kerutuk ditambah dengan pulut kuning. Pastinya juga dua masakan istimewa ini paling dinanti oleh tetamu pada Hari Raya yang akan menjelang. Keduanya boleh dimakan dengan aneka jenis nasi; nasi putih, biryani, nasi tomato, dengan pulut amatlah sedap, malah dengan roti pun sedap.

Istimewa kami bawa tukang masak khas yang pernah sebelum ini menghidangkan masakannya untuk santapan di Raja Istana Kelantan. Tengku Faridah (kami bahasa Bonda). Bonda berbesar hati berkongsi resipinya. Lebih menarik Bonda dibantu khas bukan calang-calangnya orang tetapi Chef Nurhisyam Mustapha, Chef Eksekutif dari hotel Ibis Style.

Kuzi Kambing

Kuzi kambing sedap dimakan juga dengan roti jala

Bahan-bahan:

  • 1kg daging kambing dan digoreng
  • (diperap bersama bawang putih+halia)
  • Buah badam dan zabit (kismis)
  • (digoreng sebentar dengan minyak sapi)
  • 4 sudu besar rempah kuzi
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air
  • 3 biji bawang besar
  • (hiris dan digoreng lepas tu tumbuk jadi kerisik)
  • 1 botol tomato sos (Del Monte) 
  • Garam secukup rasa

Cara Membuatnya

Terlebih dahulu, daging kambing yang sudah diperap, digoreng dengan sedikit sahaja minyak. Biar ia separuh masak dan angkat.

Goreng badam & kismis dengan minyak sapi, angkat.

Lebihan minyak sapi daripada gorengan badam dan kismis, digunakan untuk menumis rempah kuzi yang telah dibancuh dengan sedikit air. Agak naik baunya, masukkan bawang goreng, kemudian sos tomato. Masak pada api sederhana. Bila dah menggelegak masukkan air  & susu cair, biar  agak pekat, kemudian masukkan buah badam dan zabit/kismis yang digoreng.

Biarkan ia betul-betul masak sebelum diangkat dan sedia dihidangkan.

Pada hari itu Bonda memilih untuk menyediakan masakan di dalam Pressure Cooker ditaja oleh Wonder Chef. Cara penyediaanya pun sama, tetapi di dalam periuk tekanan Wonder Chef, anda jimat masa. Jika selalu ia mengambil masa  30 – 45  minit tetapi dengan periuk tekanan ini, ya anda boleh memasak apa sahaja,  ia memakan masa tujuh hingga lapan minit saja. Selamat mencuba. 

Ayam Kerutuk

  • Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam – dipotong kecil
  • 4 sudu besar rempah kerutuk
  • Rempah 4 sekawan
  • 1/2 kg santan
  • 8 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 2 biji lada mesin
  • Asam gelugur
  • Garam
  • Nisan 

Cara membuatnya

Bawang merah, bawang putih, halia, semua dimesin sekali. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk tadi. Bila kuning-kuning masukkan 4 sekawan, lada mesin dan rempah kerutuk dan air sedikit sampai naik minyak.

Masukkan ayam dan air setengah cawan. Dah gelegak masuk santan bersama garam, gula nisan dan asam gelugur.

Masak sekejap lagi sehingga kuahnya sedikit pekat, angkat dan hidangkan bersama nasi, atau pulut mahupun roti.

Gulai Kawah

Bahan-bahan:

  • Daging 1/2 kilogram – dipotong kecil
  • Santan 1 biji kelapa atau 1/2 santan kotak
  • 3 sudu besar rempah kari ayam dan daging (Babas)
  • 2 sudu besar cili kisar 
  • 2 keping asam keping 
  • 1 sudu besar kerisik 
  • 2 biji kentang – dipotong baji
  • Garam secukup rasa 
  • Nisan atau gula melaka secukup rasa 
  • Air secukupnya 
  • Sedikit minyak masak untuk menumis 
  • Bahan tumis
  • 2 batang kulit kayu manis 
  • 2 biji buah pelaga 
  • 2 biji bunga lawang 
  • 3 kuntum bunga cengkih 
  • 2 labu bawang merah besar – dikisar
  • 2 inci halia – dikisar
  • 1 inci lengkuas – dikisar
  • 2 ulas bawang putih – dikisar
  • 2 biji Cili hijau – dikisar

Cara Membuatnya

1. Tumis bahan yang dikisar di dalam periuk hingga naik bau. Kemudian, masukkan cili yang dikisar dan diikuti rempah kari Babas. Tumis lagi hingga garing dan masukkan daging (yang telah empuk) 

2. Rebus daging hingga 3/4 empuk (anggaran 30-40minit) dengan api kecil. Kalau tak cukup empuk, masukkan lagi air. 

3. Bila dah cukup empuk, masukkan santan dan bahan-bahan lain seperti asam keping, garam, kerisik dan gula melaka. Kacau biar sebati. 

4. Tunggu santan menggelegak, masukkan kentang yang dipotong kecil dan masak menggunakan api kecil. Kacau gulai sekali-sekali. 

5. Masak lagi hingga kentang empuk dan rasakan kuah. Siap dan sedia untuk dihidangkan.

Peringatan: Jika anda menggunakan periuk tekanan tumis dulu bahan-bahan dan  masukkan kesemuanya ke dalam periuk tekanan termasuk daging. Anda tidak perlu merebus untuk melembutkan daging dan masak memasak adalah lebih kurang10 hingga 15 minit terpulang kepada jenis dagingnya. 

Pulut Kuning

  • 4 cawan beras pulut
  • 1 cawan santan pekat (lagi pekat lagi sedap)
  • 3 kawan air biasa 

Peringatan: Gunakan untuk sukatan tadi gelas atau cawan yang sama.

Garam secukup rasa, satu sudu kecil guna (optional), satu sudah kecil minyak, Dua atau helai daun pandan

Pulut direndam (terpulang jenis pulut) selama sejam mahupun jam, dua jam lagi. Untuk pulut kuning, masukkan sedikit kunyit, kacau dan pastikan kunyit sekata. Dan boleh lah dikukus. Untuk ini perlu dua kali kukus, pertama dikukus sehingga pulut masak. Angkat, gaulkan santan yang sudah dimasukkan garam, dan kukus sekali lagi. Kukusan kedua ini memasti santannya masak untuk mengelakkan daripada cepat basi dan pulut betul-betul masak bersama santan.

JIka anda memilih periuk tekanan (Pressure Cooker)  pulut tidak perlu direndam, basuh dan masukkan semua bahan dan masak selama lapan minit, masak dan angkat dan boleh dihidangkan terus. (betapa mudahnya kerja dengan adanya Wonderchef. Dan untuk jenama lain, pasti ada tunjuk ajar yang disediakan. 

Selamat mencuba.

Penghargaan: Hotel Ibis Style Kota Bharu Kelantan

Gambar: Andrew C

Penyelaras: Nora Muhamad

Terima kasih kepada Bonda Tengku Faridah dan Chef Nurhisyam Mustapha

Terima kasih tidak terhingga kepada Hotel Ibis Style Kota Bharu yang juga menaja penginapan kami.

Kerjasama Wonder Chef (peralatan untuk memasak yang didatangkan dari Jepun)  

Related posts

1 BILION LAZCOINS UNTUK DIREBUT PADA 11.11 LAZADA

adminwm

Apakah fenomena biologi (sarcopenia) yang muncul pada manusia apabila mereka sudah tua?

adminwm

Buah-buahan Yang Elok Untuk Diabetes

adminwm

Leave a Comment