PERSONALITI

Designer of the Month

Biodata

Jenama: UMMIRIAZ / UMMIRIAZ INTERNATIONAL
Pereka & Pemilik: AZURA SHAFAWI
Website: www.ummiriaz.com
FB/ IG UMMIRIAZ: UMMIRIAZ / UMMIRIAZ.OFFICIAL
Umur: 40 Tahun
Asal: Johor Bahru, Johor
Pendidikan Tertinggi: Master in Tourism Planning & Management, UTM
Pekerjaan Terakhir: Penolong Pengarah, Jabatan Perancangan Bandar & Desa, Negeri Johor

 

AZURA SHAFAWI – Tawanan Alam Fesyen Yang Bolos

Minatnya melakar dan nalurinya yang kental terhadap dunia fesyen terbit sejak kecil. Apabila menjejaki sekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah, keghairahannya semakin mendalam dan menyerlah. Habis buku sekolah dicontengnya dengan lakaran-lakaran fesyen. Malah di dalam kelaspun angan-angannya merayau jauh dan tidak pernah sepi dibuai impian untuk digelar pereka fesyen gah satu ketika nanti.

Sering mendapat teguran daripada orang sekeliling dan walaupun secara akademiknya dia memegang ijazah sarjana di bidang lain, impiannya untuk mendekati alam fesyen tidak pernah pudar hingga sanggup melepaskan jawatan penolong pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Kedudukan yang sepatutnya membuat dia berasa selamat dan puas, ditinggalkan demi mengejar impian yang semakin tegar, bagi Azura Shafawi, opportunities don’t just happen, you create them.  

Ikuti kisah seterusnya bagaimana wanita comel berjiwa kental ini menangkis segala cabaran, mengharugi pelbagai rintangan untuk mengejar impiannya hingga bergelar pereka fesyen. Anak seni yang kian gah namanya di arena fesyen tempatan dan juga di luar negara ini cuba membuktikan, to live a creative life, one must lose his or her fear of being wrong… and that is what she does best.

BAGAIMANA ANDA BERMULA?

Pada asasnya, UMMIRIAZ dibangunkan atas dasar minat dan keinginan saya sejak kecil yang gemar melihat pakaian cantik. Saya memang teringin memakai pakaian yang cantik-cantik seperti yang saya ilihat di kaca TV atau majalah. Selain menjadi tabiat saya memerhatikan gaya teman-teman sebaya ketika itu, saya juga gemar buat eksperimen pada gaya dan penampilan saya dengan apa yang ada. Memandangkan keluarga kurang berkemampuan, saya hanya mampu terjemahkan keininginan dengan lebih terperinci lakaran.

Melalui lukisan dan contengan rekaan pakaian pada buku-buka nota semasa di dalam kelas ketika di bangku sekolah memberikan kepuasan yang tidak terhingga waktu itu. Tidak cukup dengan itu, saya juga sering membuat alteration sendiri pada baju-baju readymade yang saya beli agar baju-baju tersebut nampak lain dari yang lain, nampak unik dan tidak sama seperti orang lain.

Keinginan ini semakin kuat dan menjadi pendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh demi merealisasikan impian tersebut. Walabagaimanapun, minat itu terkubur sementara, dalam usaha membina kerjaya dan misi bagi membantu keluarga. Namun, pada awal tahun 2007 bermula dengan niat untuk membantu suami, saya telah mulai menjual secara sambilan pelbagai tudung dan pakaian siap kepada teman-teman sepejabat, saudara dan rakan terdekat.

Melihat kepada maklumbalas dan hasil jualan yang diterima, secara langsung telah mendorong saya untuk terus mencuba mengeluarkan koleksi di bawah jenama saya sendiri, walau secara kecil-kecilan. Dari titik itu bermulalah sejarah saya sebagai seorang pereka.

PENGALAMAN AWAL PEMAHAT SEMANGAT

Oleh kerana ketika itu juga, saya sedang berkhidmat di sektor awam, yang mana memerlukan saya banyak bertugas di luar pejabat dan ke lapangan amat kerap, maka saya cuba untuk menghasilkan rekaan kurung yang sesuai untuk keperluan tugasan saya yang sentiasa sibuk, agak lasak, perlu cepat namun tetap ingin selesa dan cantik.

Dengan itu, rekaan pertama yang saya hasilkan adalah Kurung Pahang yang mana saya modifikasi potongannya mengikut citarasa saya sendiri. Tanpa disangka, ia mendapat maklumbalas yang positif dari teman-teman sepejabat dan kenalan terdekat. Sejak itu, saya cuba menghasilkan koleksi Kurung Pahang ini secara berdikit-dikit dengan mengunakan pelbagai fabrik yang sesuai untuk wanita bekerjaya seperti saya. Alhamdullillah, sehingga kini Kurung Pahang tersebut masih mempunyai permintaan yang tinggi dan merupakan antara koleksi pilihan utama pelanggan kami, sejak ia dikeluarkan.

BAGAIMANA DAN APA YANG MEMBERANIKAN ANDA MEMBESARKAN PERNIAGAAN?

Penubuhan UMMIRIAZ INTERNATIONAL pada tahun 2013 adalah terhasil daripada desakan yang saya lihat ketika itu, yang mana pasaran Malaysia mulai dibanjiri dengan jenama-jenama baru bagaikan cendawan tumbuh. Untuk terus competitif dan lestari, saya telah membangunkan jenama UMMIRIAZ INTERNATIONAL dengan menfokuskan kepada pasaran yang baru dan khusus bagi pasaran sopan atau modest fashion antarabangsa, yang juga masih baru ketika itu.

Oleh kerana itu juga, jenama UMMIRIAZ INTERNATIONAL lebih dikenali sebagai jenama pakaian sopan antarabangsa di kalangan pengemar fesyen sopan luar negara berbanding di Malaysia sendiri. Hanya setelah hampir 5 tahun pengembangan kami dalam pasaran luar negara, kami memilih untuk kembali menerokai pasaran Malaysia, tetapi hanya melalui penjualan secara atas talian. Pendekatan ini dilihat lebih mudah kerana reputasi dan penjenamaan yang telah sedia kukuh serta menawarkan kepelbagaian rekaan unik dengan kualiti pasaran antarabangsa.

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”12922″][thb_gap height=”40″]
CIPTAAN PALING ISTIMEWA DAN MENJADI SAMBUTAN SEHINGGA HARI INI

Walaupun sepanjang lebih 12 tahun ini, telah banyak rekaan dihasilkan di bawah jenama UMMIRIAZ dan UMMIRIAZ INTERNATIONAL samada untuk pasaran tempatan atau luar negara. Namun, koleksi KURUNG PAHANG LYCRA merupakan rekaan yang masih lagi mendapat permintaan yang begitu tinggi dan sangat istimewa bagi diri saya. Ini kerana ia bukan sahaja rekaan pertama yang dihasilkan dari hati yang benar-benar ingin membantu memudahkan wanita-wanita bekerjaya seperti saya di luar sana tetapi Kurung Pahang ini juga sehingga kini amat luar biasa jualannya, pantang ada stok baru pasti cepat sahaja di sambar oleh peminat-peminatnya.

Bagi yang sudah mencubanya sekali, pasti akan terus membeli dan menyimpan hasrat untuk memiliki koleksi terkini yang dikeluarkan. Bak kata pelanggan setia UMMIRIAZ, koleksi-koleksi ini bukan sahaja cantik di badan, tetapi amat selesa dan memberi keyakinan kepada si pemakai, tidak mengira usia mahupun bentuk badan.

Walaubagaimanapun, UMMIRIAZ INTERNATIONAL secara langsung lebih memberi saya banyak ruang dan peluang untuk berkarya dan dapat mencurahkan lebih banyak idea untuk menghasilkan rekaan yang unik, tetapi ringkas dan tetap sopan (modest), sesuai dengan jiwa dan citarasa saya. Rekaan-rekaan sebegini juga sedang mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran modest tempatan mahupun luar negara. Melalui jenama UMMIRIAZ INTERNATIONAL, saya juga dapat bermain dengan pelbagai jenis fabrik, warna dan mencuba pelbagai teknik jahitan dalam menghasilkan rekaan yang lain dari yang lain.  Ini secara langsung memberikan lebih banyak kepuasan kepada saya sebagai seorang pereka fesyen.

HURAIKAN KONSEP & REKAAN UMMIRIAZ

Secara umumnya, UMMIRIAZ dan UMMIRIAZ INTERNATIONAL mempunyai identiti, rekaan dan segmen pelanggan yang berbeza antara satu sama lain. Jenama dan koleksi UMMIRIAZ pada asasnya lebih menfokuskan pada pasaran tempatan dengan rekaan dan potongan yang bersesuaian untuk pemakaian harian wanita tempatan (khususnya untuk wanita berkerjaya yang sibuk dan mementingkan masa).

Pemilihan fabrik juga lebih tertumpu kepada fabrik campuran yang elastik seperti Lycra, Cotton Spandex, Moss Crepe, Scuba dan ia sememangnya telah menjadi identiti atau signature kepada jenama UMMIRIAZ, semenjak ia ditubuhkan. Walaubagaimanapun, bagi menjadikan ia lebih unik dan tetap menjadi pilihan utama pelanggan, rekaan dan potongan setiap koleksi yang dihasilkan itu amat dititik beratkan. Ini bagi memastikan sesiapa sahaja yang memakainya buat pertama kali, akan terus jatuh cinta dan akan sentiasa membeli dan seterusnya menjadi pelanggan tetap kami.

Berbeza pula dengan koleksi-koleksi di bawah jenama UMMIRIAZ INTERNATIONAL, ia mempunyai sasaran dan segmen pelanggan yang lebih luas serta sesuai dipakai oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira agama, umur, bangsa mahupun negara.

Konsep rekaan yang ringkas dan ada stail tersendiri namun tetap sopan (modest) menjadikan ia pilihan ramai dan boleh dipakai bila-bila masa sahaja serta mudah juga untuk disuaipadankan. UMMIRIAZ INTERNATIONAL juga turut mengeluarkan koleksi Capsule atau koleksi-koleksi khas mengikut tema atau musim tertentu bagi memberi kelainan dalam penghasilan koleksi-koleksinya sepanjang tahun. Ia lazimnya akan di peragakan di pentas fesyen bertaraf antarabangsa samada di Malaysia mahupun luar negara, bagi menjamin standart penjenamaan tersebut.

PENGALAMAN PALING PAHIT & PALING MANIS MEMBANGUNKAN MEMBANGUNKAN UMMIRIAZ

Adatlah dalam perniagaan memang ada jatuh dan bangunnya, sepanjang 12 tahun membangunkan dan mengembangkan UMMIRIAZ, pasti ada cabaran, dugaan serta kepayahan yang ditempuhi. Seperti usahawan dan pereka-pereka lain, pastinya ada suatu ketika dalam perniagaan atau diri sendiri teruji dan menyebabkan kejatuhan yang hampir membuatkan rasa putus asa. Saya sendiri memang pernah rasa sampai nak terjun bangunan, tapi sebenarnya saat dan ketika itulah saya sedar ALLAH nak menguji sejauhmana kita lakukan sesuatu itu kerana Dia dan untuk Dia, betapa kitakan rasa kita hanya ada Dia, Dia sahaja yang boleh bantu dan membuat banyak keajiban.

­Namun, saat kejatuhan juga adalah saat paling manis bagi saya, kerana di ketika itu, saya belajar mencari kesilapan sendiri dan memperbetulkan, saat itu kita kenal siapa kawan, siapa lawan, siapa yang ikhlas bersama atau sekadar menempel di kala gembira dan senang yang tak seberapa ini. Saat kejatuhan merupakan pengalaman yang sangat berharga dan saya bersyukur ALLAH menguji saya dan memilih saya untuk melaluinya. Kini, alhamdullillah, UMMIRIAZ telah kembali bangkit dan saya amat yakin UMMIRIAZ akan terus berkembang mahupun dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa, serta mempunyai peminat-peminatnya yang tersendiri.

Selain itu, di antara kenangan dan pencapaian lain UMMIRIAZ dalam industri fesyen tempatan dan antarabangsa adalah apabila berpeluang memperagakan koleksi-koleksi kami di pentas peragaan antarabangsa seperti di SAVERAH EXPO LONDON 2015, INTERNATIONAL TRADE  EXHIBITION IN MAKASSAR, INDONESIA 2016, LONDON MODEST FASHION WEEK 2017, ASIA ISLAMIC FASHION WEEK 2017, MALAYSIA FASHION WEEK 2016 & 2018, ISTANBUL MODEST FASHION WEEK 2019, AMSTERDAM MODEST FASHION WEEK 2019. Menerusi penglibatan dan kemunculan UMMIRIAZ di pentas sebegini, secara langsung telah memperkenalkan jenama UMMIRIAZ sebagai sebuah jenama pakaian MODEST bertaraf antarabangsa dan menjadi liputan media fesyen antarabangsa seperti EMIRATES WOMEN, SUBVRT MAGAZINE NEW YORK, GLOBAL ISLAMIC ECONOMY GATEWAY, NONA MALAYSIA, HIJABISTA MALAYSIA, HIJAB&HEELS MALAYSIA, PINKER MODA AMSTERDAM dan banyak lagi.

KESAN COVID-19 KEPADA PERNIAGAAN DAN JENAMA ANDA?

Apa yang saya boleh perkatakan COVID yang berlaku ini banyak memberi impak yang positif kepada saya dan UMMIRIAZ. Alhamdullillah di UMMIRIAZ, kami telah lebih awal belajar dari kesilapan dan pengalaman lalu, yang mana kami tidak hanya fokus pada pembangunan dan pengembangan produk dan jenama semata-mata. Tetapi telah memperbaiki aspek pengurusan dalaman, luaran dan kawalan risiko. Risiko ini boleh datang tiba-tiba, tanpa di jangka dan bila-bila masa sahaja tetapi ia perlu diurus dengan baik.

Sejujurnya, saya belajar mengurus risiko tetekala melihat lambakan jenama muncul dalam pasaran Malaysia, saya belajar mengurus risiko ketika penjualan dilihat semakin merudum sejak 2016, saya belajar mengurus risiko dengan mengurangkan tanggungan-tanggungan atau liabiliti dan menukar gerak kerja, operasi dan business model mengikut kesesuaian keadaan semasa dan akan datang. Ye, memang bukan mudah untuk mengecilkan operasi, bukan mudah membuat banyak kerja dengan tenaga kerja yang terhad, bukan mudah untuk mengurus kewangan dan pada masa yang sama perlu menyimbangkan keperluan pengeluaran, pemasaran dan lain-lain keperluan perniagaan agar tetap terus dapat beroperasi dengan lancar.

Alhamdullillah, di saat COVID berlaku, syarikat dan saya sendiri telah bersedia dan alhamdullillah perniagaan tetap dapat dijalankan kerana kami telah memilih untuk beroperasi secara online di pelbagai platform dan sosial media sejak tahun 2017 yang lalu, saya telah mengambil langkah mengurangkan tanggungan saya dan syarikat secara berperingkat sejak 2017 lagi.

Apabila pendapatan bulanan dilihat semakin menurun, ekonomi tidak menentu, masalah politik dan saya sendiri telah mula semula melakukan kerja-kerja pejabat dan perniagaan dengan sendiri dalam kumpulan yang kecil. Jadi apabila COVID ini berlaku, saya tidaklah terkesan sangat. Malah pendapatan bulanan sepanjang PKP telah meningkat berbanding bulan dan tahun-tahun terdahulu.

Namun, dalam proses penguncupan operasi dan perubahan business model daripada offline kepada online memang mendapat tentangan, sindiran dan pandangan negative sesetengah pihak, namun pada saya, saya yang akan melalui dan mengemudinya, maka saya harus berani melakukannya demi kebaikkan UMMIRIAZ pada masa akan datang dan agar kami tetap dapat terus bertahan, walau dalam keadaan apa jua pun.

ISU DAN KONSEP GO GREEN, SUSTAINABILITY & ENVIROMENTAL FRIENDLY

Bagi koleksi basic UMMIRIAZ, sejujurnya tidak banyak konsep Go Green, Sustainability atau Environmental Friendly yang dapat saya terapkan dalam penghasilan koleksi, cuma saya cuba untuk memastikan bahan sisa atau basi daripada penghasilan baju-baju ini diminimumkan dan dilupuskan dengan pendekatan yang sewajarnya. Selain itu, baju-baju yang dihasilkan di bawah jenama UMMIRIAZ basic ini juga sangat tahan lama dan tetap boleh dipakai oleh para pelanggan kami hampir lebih dari 8 tahun.

Manakala bagi koleksi-koleksi UMMIRIAZ INTERNATIONAL pula, sememangnya sejak koleksi pertamanya dikeluarkan, kami telah memilih untuk menerapkan konsep dan tema warna yang berunsur alam semulajadi agar ia lebih dekat di hati para pelanggan mahupun pengemar fesyen. Menerusi mainan warna, pemilihan dan rekaan corak pada fabrik dan perincian rekaan baju turut cuba diadaptasikan dengan warna dan unsur-unsur yang boleh membawa pelanggan atau si pemakai rasa lebih dekat dengan alam. Seterusnya dengan harapan ia dapat menwujudkan rasa sayang dan menghargai alam sekeliling DAN SETIAP ELEMENNYA.

Sebagai contoh Tema koleksi UMMIRIAZ INTERNATIONAL di pentas peragaan Landon Modest Fashion Week 2017 adalah bertemakan “BACK TO NATURE” dengan paparan 9 rekaan berkonsep modest daripada pelbagai ton rona hijau, terapan dari keindahan dedaun dan ribunan kehijauan di dalam hutan dan digabungkan pula dengan rona coklat pelbagai ton dan warna coklat keemasan terilham daripada warna batang-batang pokok dan dahan-dahan sebagai penambah seri dalam deretan peragaan koleksi ini.

Manakala, koleksi yang diperagakan di Istandbul Modest Fashion Week 2018 pula memainkan gabungan rona biru yang terinspirasi daripada lapisan warna air laut. Rekaan yang diketengahkan juga turut memaparkan alunan ombak dan gelora laut biru serta turut memberikan rasa ketenangan dalam barisan rekaan ini. Dan yang terkini, kami cuba menterjemahkan suasana dan rasa keindahan matahari terbenam di tepi pantai dalam olahan corak fabrik untuk koleksi yang diperagakan di Amsterdam Modest Fashion Week 2019.

APAKAH MERDEKA YG ANDA FAHAM DALAM KONTEKS KEHIDUPAN HARI INI SEBAGAI ANAK SENI DI MALAYSIA?

Merdeka dalam konteks kehidupan hari ini amatlah rumit dan berkait dengan kepesatan teknologi khususnya pengunaan media sosial tanpa sempadan yang dilihat amatlah  mencabar dan meluas. Masyarakat harus dididik supaya dapat mengawal minda atau didedahkan dengan pemikiran terbuka ke arah tindakan sikap dan tindak-tanduk yang lebih positif, matang dan bertanggungjawab. Inilah yang boleh dikatakan sebagai MERDEKA MINDA & JIWA.

Seharusnya peluang dan hak kebebasan mengunapakai teknologi dan media sosial ini dimanfaatkan untuk kebaikkan dan yang boleh memberi impak positif bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan untuk keluarga, masyarakat dan juga negara.

Sebagai anak seni kelahiran Malaysia, saya mengambil peluang memanfaatkan kelebihan menggunakan teknologi dan media sosial ini untuk mempromosi serta memperkenalkan jenama dan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan. Usaha ini bukan sahaja saya lakukan untuk pasaran tempatan malahan untuk pasaran luar negara. Saya yakin menerusi laman sosial seperti instagram, facebook, youtube, pinterest dan link telah banyak membantu memperkenalkan lagi jenama dan produk UMMIRIAZ dan UMMIRIAZ INTERNATIONAL kepada para pelanggan dan pengikut kami dari pasaran tempatan mahupun luar negara.

Malah ia juga menjadi medium penghubung antara saya di Malaysia dengan rakan-rakan pereka dan pengikut jenama UMMIRIAZ INTERNATIONAL dari luar negara, yang mengenali kami ketika mengadakan peragaan di pentas2 peragaan antarabangsa seperti London Modest Fashion Week 2017, Istanbul Modest Fashion Week 2019 dan Amsterdam Modest Fashion Week 2019. Ini secara tidak langsung telah membantu memperkenal dan juga mempromosikan MALAYSIA kepada pemain dan pengemar industri Modest Fesyen Antarabangsa.

SETELAH LEBIH 60 TAHUN MERDEKA APA YGNG ANDA HARAPKAN ATAU INGIN LIHAT PERKEMBANGAN DALAM DUNIA FESYEN DAN DARI SEMUA PIHAK KHUSUSNYA KERAJAAN DLM MEMBANTU PERKEMBANGAN INDUSTRI?

Saya bersyukur menjadi sebahagian pemain dalam industri fesyen di Malaysia dan sebagai seorang pereka pastinya saya ingin melihat industri fesyen Malaysia terus berkembang kukuh dan gah di mata dunia.

Saya juga amat berharap akan ada sebuah pertubuhan pereka fesyen Malaysia seperti MBDA (Malaysia Bumiputera Designer Association) contohnya, yang mampu menjadi sebuah pertubuhan yang diiktiraf dan disegani di persada fesyen antarabangsa. Dan secara langsung menjadi platform untuk mengetengahkan lagi lebih ramai pereka-pereka Malaysia ke pentas fesyen antarabangsa.

Saya yakin, pelbagai usaha juga telah direncanakan dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan demi memastikan industri terus kekal dan bertahan dalam keadaan pasaran ekonomi yang kurang baik dan kejatuhan matawang terutamanya di saat-saat seperti ini.

IKON FESYEN DALAM NEGARA DAN ANTARABANGSA YANG ANDA KAGUMI?

Saya begitu terilham oleh KIMORA LEE SIMMONS, bagaimana cara beliau membina empayar fesyen antarabangsanya dan menjadi mercu tanda jenama fesyen gah di persada fesyen antarabangsa. Saya amat meminati dan mengikuti program realiti tv ‘KIMORA : LIFE IN THE FAB LANE”  sejak 2007 hinggalah beberapa tahun yang lalu.

Jenama tempatan yang membuat saya teruja dan kagum dengan pengasasnya ialah Dato Farah Khan. Kejayaan beliau selama 30 mengendalikan empayar fesyennya melalui jenama mewah antarabangsa dan termasuk jenamanya sendiri yang dijual di serata 70 dunia bandar fesyen dunia termasuk Milan, Rome, Dubai dan Paris.

[thb_gap height=”40″]
VISI DAN HARAPAN

Saya mendoakan UMMIRIAZ INTERNATIONAL suatu hari nanti menjadi jenama fesyen modest yang dikagumi dunia. Kami baru saja lima tahun bersaing di persada fesyen antarabangsa. Masih jauh lagi perjalan dan cabaran yang perlu kami lalui.

[thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”12920″]
[thb_gap height=”100″]

Related posts

Man of the Month/ Personaliti

admin

TINA TAJUDDIN

Mahani Awang

Muhamad Razif Nasruddin Always evolving and expanding

admin

Leave a Comment