AGAMA

Covid-19 Bukan Sekadar Penyakit Berjangkit

Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang Allah turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam bukan sahaja sebagai ganjaran kemenangan dalam bentuk kesabaran fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menjinakkan hawa nafsu dalam bulan Ramadan secara spiritual. Seharusnya, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT di samping memenuhi masjid-masjid pada malam dan pagi Hari Raya dengan memuji Allah SWT dan bermaaf-maafan mengakui salah silap dan kelemahan diri. Menziarahi bagi meraikan golongan fakir miskin dan muallaf pada hari tersebut juga amatlah dituntut.

Bagaimanapun tahun ini adalah tahun kedua kita merayakan AidilFitri dalam suasana kita masih diuji dengan wabak COVID-19 yang melanda negara. Dengan kes yang masih lagi tinggi dan suasana Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, ia amat merisaukan dan mencabar kita dari segi keupayaan ekonomi, pendidikan, kesihatan, kekeluargaan dan sebagainya.

Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini adalah suatu ujian besar bagi kita semua. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang menakutkan. Jutaan kematian yang dilaporkan sejak wabak ini melanda menunjukkan bahawa wabak ini tidak mengira bangsa, kulit, rupa mahupun status ekonomi. Sesungguhnya ujian yang datang ini tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk menguji hambanya agar kita menghadapi dengan tenang dan sabar.

Dalam Surah al-Taghabun, ayat 11, Allah berfirman:

https://lh5.googleusercontent.com/Q8AlxT7rJuyGDVhKhmwxCNPiNFTxLsnOIlrbYMfd7qI8dTwE3D4hZ5V7EFvqyfOREQ7UJCwqkA7CsZlhn2dF3ldqe-9laWAn9HT0KWefKECg6bE4bGKw8DVLVZXbgJgQXZRy9cxK

Maksudnya:

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

COVID-19 ini sebenarnya mencabar kita dari segi keupayaan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak ini. Kepatuhan kita dalam menjaga penjarakan sosial dan menerima program vaksinasi antara ikhtiar kita dalam usaha menangani wabak ini.

Sesungguhnya Islam amat menitikberatkan kesihatan dan menolak kemudaratan dengan meletakkan beberapa prinsip asas mendepani penyakit.  Apabila seseorang ditimpa penyakit, Islam memberi penekanan kepada kepentingan merawat selain redha dengan takdir ALLAH SWT serta tuntutan merawat penyakit yang tidak boleh diabaikan.

Oleh itu hendaklah kita mematuhi setiap arahan dan langkah yang disarankan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya. Apabila kita bersatu padu tanpa mengira pangkat dan usia, sudah pasti kejayaan akan menjadi milik kita bersama.

Sebagai umat Islam, perlunya kita bermuhasabah dengan mengambil pengajaran dan hikmah daripada musibah COVID-19 ini. Apa yang berlaku dalam setiap kehidupan kita bukanlah sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya ia penuh dengan hikmah yang perlu dihayati bersama. Adalah sesuatu yang amat merugikan jika seorang Muslim hanya beranggapan bahawa virus COVID-19 ini adalah jangkitan penyakit semata-mata. Ia sebenarnya memperlihatkan kepada manusia bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesuatu, mencipta, mematikan dan melenyapkan segala benda.

Sebagai hamba pula, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini serta usaha yang berterusan dengan memohon doa kepadaNya. Kesabaran dan kepatuhan inilah merupakan cabaran kita yang sebenarnya.

Kita masih belum menang melawan wabak COVID-19, oleh itu hendaklah sama-sama kita terus membantu barisan hadapan negara dalam memerangi wabak ini. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

Petikan Dr. Anas Madani

Error! Filename not specified.

Related posts

Gandakan Amalan 10 Malam Pertama Bulan Dzulhijjah

admin

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu

admin

Banyakkan Bersujud Kerana Ada Kebaikan Besar di Dunia dan Akhirat

admin

Leave a Comment