AGAMA

Tamak Sifat Paling Keji

Sesungguhnya manusia adalah ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala dan di dalam jasad manusia itu terdapat segumpal daging yang akan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan ataupun kejahatan iaitu hati, kerana dalam hati inilah tempat berkumpulnya sifa-sifat yang mulia dan keji. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

عن النعمان بن بشير يقول، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: وإن في الجسد مضغة إذا صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب.

{رواه الإمام البخاري}

Maksudnya:
Daripada Nukman bin Basyir berkata, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati”.

Adapun salah satu sifat keji yang terdapat di dalam hati adalah sifat tamak. Tamak adalah sifat haloba iaitu ingin memiliki sesuatu tanpa batasan dan berasa tidak cukup sehingga menyebabkan seseorang itu membuat kerja-kerja yang hina seperti membolot harta, merampas, menipu, mengambil hak orang lain dan seumpamanya. Mereka yang bersifat tamak tidak memperdulikan halal dan haram serta hanya mengikut kehendak hawa nafsu. Setentunya hal ini boleh menimbulkan perasaan benci, perkelahian, perpecahan, perselisihan faham, dendam, permusuhan dan sebagainya.

Ketahuilah, sifat tamak boleh mengundang kepada hasil rezeki yang tidak halal atau syubhah. Setiap rezeki yang diperolehi daripada jalan yang salah ataupun syubhah yakni bercampur antara yang halal dengan yang haram pasti memberi kesan yang tidak baik, sama ada pada diri sendiri atau keluarga mahupun masyarakat dan negara. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah memberi peringatan yang keras mengenai sesuatu yang tumbuh dalam diri manusia hasil dari sumber yang haram pastinya neraka lebih utama baginya. 

Terdapat sebuah kisah untuk diambil pengajaran mengenai seorang sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam iaitu Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu ketika ia makan, lalu orang suruhannya memberitahu bahawa makanan yang dimakan itu adalah hasil daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik sebelum dia memeluk agama Islam. Lalu Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu memuntahkan semua makanan yang telah dimakannya itu. Maka ditanya kepada Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu mengapa ia melakukan hal yang demikian, lalu Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu menjawab bahawa beliau takut kalau-kalau makanan itu subur dan tumbuh di dalam badannya. Lalu membacakan hadis yang didengarnya daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ka’ab bin Ujrah:

Ka’ab bin Malik RA berkata, “Rasulullah SAW bersabda, dua serigala yang lapar yang dilepas di tengah kumpulan kambing, tidak lebih merosakkan jika dibandingkan dengan sifat tamak manusia terhadap harta dan kuasa yang sangat merosakkan agamanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW membuat perbandingan antara orang yang tamak dan rakus terhadap harta dan kekuasaan lebih membawa kerosakan berbanding kerosakan yang berlaku apabila dua ekor serigala yang kelaparan dilepaskan dalam sekawan kambing. Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas sekali bahawa mereka yang tamak dan rakus terhadap harta dan kuasa akan merosakkan agamanya.

Memang sangat benar sekali apa yang disabdakan Rasulullah SAW. Mereka yang cintakan harta, akan habiskan masa hidupnya dengan mencari dan mengumpul harta sehingga tiada masa untuk urusan agamanya. Rasulullah SAW seterusnya memberi peringatan bahawa manusia memang tidak pernah puas. Digambarkan dalam sebuah hadis bahawa manusia ini jika diberikan kepadanya satu lembah yang penuh dengan emas, dia pasti akan ingin memiliki lembah kedua, ketiga dan seterusnya. Hanya tanah sahaja (iaitu kematian) yang dapat menamatkan ketamakan dan kerakusan tersebut.

Manusia yang tamak dan rakus terhadap harta akan sanggup mengambil hak orang lain secara salah.

Kecintaan pada harta itu dirangkaikan oleh Rasulullah SAW dengan cintakan kuasa. Kenapa Rasulullah SAW menyebut dua perkara tersebut seiringan? Ini kerana dengan harta dan kekuasaan, segalanya boleh dilakukan. Penipuan, penindasan, pembunuhan dan segala bentuk kejahatan boleh dilakukan apabila ada harta dan kuasa.

Orang yang tidak tamakkan harta dan kuasa tidak akan menonjolkan dirinya untuk dilantik. Dia tidak akan meminta-minta untuk dilantik memegang jawatan tertentu. Rasulullah SAW telah mengajar kita tentang hal itu. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, dikhabarkan bahawa dua sahabat berjumpa Rasulullah SAW dan meminta Baginda melantiknya sebagai ketua. Jawapan tegas Rasulullah SAW terhadap permintaan tersebut adalah: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.”

Rasulullah SAW menjelaskan lagi dalam sebuah hadis lain ketika memberi pesanan dan nasihat kepada Abdul Rahman Samurah agar tidak meminta untuk menjadi pemimpin kerana perbuatan tersebut akan mengakibatkan manusia meninggalkannya dan tidak membantunya malah dia juga tidak akan mendapat pertolongan ALLAH SWT.

Amanah kepimpinan adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Pemimpin yang tidak menunaikan amanah dengan baik, bukan sahaja membawa kerosakan kepada dirinya dan agamanya sahaja, malah kerosakan itu akan merangkumi keseluruhan masyarakat dan muka bumi yang dikuasainya.

Pemimpin yang amanah akan membawa kesejahteraan dan rahmat kepada rakyat. Ini kerana dia tahu bahawa rakyat telah memberikan kepadanya amanah untuk menjaga kepentingan mereka dan bukannya rakyat mengangkat mereka menjadi pemimpin untuk mereka melakukan onar terhadap rakyat.

Sejarah telah membuktikan bagaimana pemimpin yang amanah akan memberikan kesejahteraan kepada dunia. Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik dalam hal ini. Antara pemimpin yang terbaik juga adalah Khalifah Umar Abdul Aziz. Antara perkara yang dikuatkuasakan pada zaman pemerintahannya adalah larangan menerima hadiah oleh gabenor kerana itu dianggap sebagai rasuah. Beginilah sikap pemimpin agung.

Sumberhttp://www.kheu.gov.bn › khutbah

Related posts

Dinyatakan Imam Ghazali 23 Adab Bersahabat Dalam Kitab Bidayatul Hidayah

admin

Bagaimana Wanita Haid/Nafas Perolehi Lailatul Qadar?

admin

Hukum Muslim Membersihkan Rumah Ibadat Agama Lain

adminwm

Leave a Comment