AGAMA

Anak Luar Nikah Tanggungan Siapa?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal agama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf dan memutuskan seperti berikut:

  1. Anak Tak Sah Taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Soalan: Bagaimana situasi anak kepada yang sedang dikandung di luar nikah dan bapanya adalah bapa biologi kepada anak tersebut? Anak tersebut masih dikira sebagai anak tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan kepada teman lelakinya. Tambahan anak tersebut lahir kurang daripada tempoh enam bulan dari tempoh perkahwinan mereka.

Seterusnya bagi hak jagaan anak bagi anak tidak sah taraf adalah sepenuhnya diberikan kepada ibu kandung dan saudara mara ibu kandung tersebut sahaja. Manakala bagi isu berkaitan dengan nafkah anak tidak sah taraf adalah di bawah tanggungan ibu kandung anak tersebut.

Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 ada memperuntukkan berkenaan perkara ini dalam Seksyen 80 dan 85.

Oleh itu, seorang perempuan yang melahirkan anak tidak sah taraf tidak boleh menuntut nafkah anak ke atas bapa biologi anak tersebut di mana-mana Mahkamah Syariah. Begitu juga sebaliknya bagi kes hak jagaan anak.

Namun jika terdapat persetujuan bersama berkenaan hak jagaan dan nafkah anak tidak sah taraf di antara ibu kandung dan bapa biologi anak tersebut, suatu perjanjian persetujuan boleh dibuat dan di endorse di Mahkamah Syariah.

Walaupun anak tidak sah taraf ini adalah hak sepenuhnya ibu kandung, namun atas dasar tanggungjawab dan kemanusiaan, adalah tidak menjadi kesalahan jika bapa biologi anak tersebut turut bersama membantu membesarkan anak tersebut sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan sebagainya.

Benar anak tidak sah taraf ini adalah hasil kesilapan pasangan tersebut, namun jangan ditambah lagi kesilapan itu dengan membiarkan kebajikan dan kemaslahatan anak tidak sah taraf tersebut terabai.

Anak tidak sah taraf ini perlu dilayan sama rata dengan anak sah taraf yang lain kerana mereka juga manusia biasa yang ingin merasakan kehidupan yang normal seperti kanak-kanak lain.

Soalan:

Fatwa mengatakan hukum nikah dengan wanita hamil sah tetapi jika kelahiran bayi itu kurang daripada enam bulan kandungan, bayi tersebut tidak boleh dinasabkan kepada suami ibunya walaupun beliau merupakan bapanya kalau mengikut secara biologinya.

Jawapan:

Para Fuqaha sepakat bahawa anak zina/anak luar nikah/anak tak sah taraf adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah. Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua-dua ibu bapanya.

Jumhur berpendapat anak yang tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, walaupun setelah bapa biologinya itu berkahwin dengan ibunya. Ini memberikan implikasi daripada sudut penamaan, keturunan anak, pergaulan dalam keluarga, hadanah, nafkah, pusaka, wali, kematian, amal kebajikan, penghakiman hukum qisas dan hudud serta lain-lain lagi

Fatwa Negeri Sembilan

  1. Jika seorang bayi itu dilahirkan kurang enam bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kelahiran anak tersebut.
  2. Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dan kurang daripada empat tahun daripada tarikh tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.
  3. Wajib bagi suami tersebut menafikan bayi berkenaan adalah anaknya.
  4. Pihak berkuasa yang mendaftarkan kelahiran ditegah daripada membinkan atau membintikan mana-mana bayi di dalam perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.

Related posts

Bahana Covid-19 – Ayuh Kembali ke Jalan Allah

admin

Adakah Free Thinker Dianggap Murtad?

adminwm

Punca Rezeki Yang Tidak Akan Putus

admin

Leave a Comment