DESPERADO

Tragedi di Majlis Harijadi, Cukup Setakat Ini…

Setelah 20 tahun berumah tangga, akhirnya Sally menghalau suaminya keluar dari rumah. Rumah itu rumahnya, dia yang membayar wang pendahuluan,dia yang membayar ansuran bank setiap bulan, yang membayar api, air dan bil-bil lain juga termasuk makan minum seluruh ahli keluarga, sekolah anak dan segalanyalah.

Suaminya membayar apa? Sally sendiri tiada jawapannya kerana sang suami sentiasa tidak ada wang. Syarikat logistik miliknya konon maju sangat tetapi hujung bulan bila diminta membantu melunaskan hutang, jawabnya mesti dia tiada duit. “Berjudike dia?” Entah, Sally tidak pasti. Merokok dan minum memang dia tahu, tetapi yang dia pasti, duit suaminya banyak dihabiskan dengan kereta. Asyik bertukar ganti kereta, menokok tambah aksesori dan ada sahaja yang tidak kena pada keretanya sehingga wangnya barangkali dihabiskan di situ. Kereta tip top, dan sentiasa berkilat.

Namun bukan kerana Sally yang menanggung semuanya dia mahu berpisah, kerana memang daripada awal perkahwinan pun Sally yang menyediakan segalanya. Leon suaminya buat bodoh andai diberitahu susu anak kehabisan, atau api hendak dipotong atau bulanan ansuran rumah belum berbayar… kerana jawapannya dia tiada duit. Mahu tidak mahu sang isteri terpaksa menanggung beban segalanya. Dan dia redha. Katanya Tuhan memilih dia untuk diberinya rezeki yang lebih justeru dialah yang diamanahkan untuk menyediakan keperluan.

Sebaik Leon keluar dari rumah, Sally termenung lama. Dicapainya gambar perkahwinan mereka, salah satunya berlatar belakang Porsche biru. Ya, apakah kerana kereta ini membuat aku jatuh hati kepadanya?

Zaman bujangnya penuh dengan glamor. Ramai sekali teruna dan duda mendekatinya. Ada berpangkat datuk, ada dari istana, ada mat-salih malah pak Arab pun ada yang mengajak dia berkahwin, tetapi dalam yang segak dan kacak, yang tebal dompet dan yang berpangkat, kepada Leon juga dia tertarik.

Leon pula bijak, selang sehari jambangan mawar akan dihantar ke pejabatnya, ke rumahnya kadang-kadang diselang seli dengan coklat. Dan bukan calang-calang coklat, hanya yang mahal sahaja. Hari jadinya ‘boyfriend-boyfriend’ lain kadang-kadang lupa untuk mengucapkan happy birthday tetapi Leon bukan sahaja detik 12.01 minit sudah berada di luar kondominium dengan jambangan bunga tetapi sudah siap untuk membawanya ke tempat hiburan dan menari hingga ke subuh. Tidak cukup itu, keesokan harinya mesti Leon mengambil cuti dan mahu bersama Sally sehinggalah ke malamnya, menyambut lagi dengan candlelight dinner dan hadiah mahal yang menanti. Setahun bukan sekali, meraikan detik pertemuan, detik Leon melamar dan mengucapkan syahadah. Perempuan mana yang tidak jatuh hati, dengan layanan dan belaian manja. “Come on ladies, dia sanggup convert untuk nikah dengan aku? Aku rasa dia betul-betul hero,” kata Sally, bila ada juga kawan-kawan hairan mengapa dia memilih Leon sebagai pasangan hidupnya.

Mereka bertunang, dan tidak lama kemudian bernikah. “I yang menguruskan pernikahan mereka, ikutkan Sally tak bernikah pun tak apa, tapi I kata apa masalahnya kamu tidak mahu menikah dengannya. Lagipun Leon sudi convert, kalau apa-apa terjadipun kamu boleh mengadu di mahkamah syariah. Boleh tuntut harta sepencarian dan sebagainya dan anak-anak anak bapa sah dan dalam Islam dia bertanggungjawab,” teman rapat Sally memberikan pandangan. “Lagipun dosa berzina.”

“Okay-okaylah, you uruskan perkahwinan I, from A-Z,’ okay.” Sally memerintah kawannya untuk menguruskan segalanya. “Janji I macam puteri dari kayangan supaya Leon kata I wanita paling cantik di dunia.”

“Leon pick up most of the bill,” Sally gembira memberitahu kepada kawan-kawannya. “I memang tidak salah pilih, he is a gentleman. Mujur I tak pilih Tengku Aman atau Datuk J, tak tahulah apa akan jadi pada I kalau kahwin dengan casanova itu,” Sally teringat memberitahu kawan-kawan rapatnya.

“Sally you better think twice,” kawannya Shameen mengingatkan dia. “I tak rasa Leon betul-betul jujur.” Membuatkan Sally menjerit dekat kawannyanya itu. “You ni apa Shameen, I thought you’re my best friend and you nak tengok I happy, tetapi you pulak asyik-asyik bawa cerita yang you reka mengenai Leon, kawan apa you ni? Please get lost, I tak mahu tengok muka you lagi. I rasa you syok kat dia, so you buat cerita.” Sejak peristiwa itu, Shameen yang merupakan kawan baik sejak di darjah tiga terus putus hubungan. “Di mana Shameen?” Berjujuran air matanya mengingatkan bagaimana dia menghina Shameen dan mengusirkan dari rumahnya.

“Eh mengapa aku buta dan tolol sangat?” Sally mengetuk-ngetuk kepalanya. “Memang aku bonggok, dan terperdaya dengan Leon. Tetapi… he was never so caring,” Sally mengimbas semula kenangan selepas bertunang. Entah apa yang silapnya daripada cerita Sally, (di ketika itu mereka di dalam kereta untuk pergi dinner), Leon memecut kereta Porche nya teramat laju sehingga hampir terbabas. “I nak warn you Sally you jangan nak main-main dengan I sebab I tak takut mati, okay.”

Kecut perut Sally, dia ingat nyawanya melayang hari tu. Dan kemudian Leon terus menghantarnya pulang. Langsung tak makan. Dan itu bukan peristiwa pertama dan terakhir, beberapa kali juga di waktu mereka ‘dating’ Leon menunjukkan the other side of him, tetapi Sally tetap dengan keputusannya. Dia juga yang memujuk Leon untuk kembali kepadanya, sebab itulah Leon naik muak.

Islam hanya untuk Leon supaya dapat bernikah dengan Sally, dan setelah itu dia pun lupa yang dia Islam. Arak minuman yang sentiasa ada di dalam peti aisnya. Sally pun tidak menghalang, tiada halal haramnya, kecuali Sally tidaklah sah-sah makan babi tetapi biasanya mereka ke restoran Cina untuk makan-makan… “We dont eat pork,” Sally memberitahu kawan-kawannya. “Leon pun sudah kahwin tidak lagi makan babi, it’s okay dia minum. I pun social drinker, you pun tahukan,” cerita Sally kepada kawan-kawannya. “So bila kami balik rumah parents Leon, instead dia jamu kami ayam. I pun tidak pernah masuk kitchen mereka… hopefully they don’t put pork in our food.”

Sally terkenang, sebulan dua sahaja selepas kahwin Leon menunjukkan yang dia gentleman, dan machonya… lepas itu dia lepas tangan. Bila ke pasar, Sally yang berbelanja. Anak nak tuisyen dia juga yang terpaksa mengurus daripada a hingga z segala-segalanya. Dan Leon juga kuat mengarah, stokinnya hilang sebelah, Sally dimarahi. Makanan tidak dimasak betul oleh pembantu, Sally yang disalahkan. Sally lupa meletakkan barangan miliknya di tempat yang betul, dia dijerit kerana semak. Barangan keretanya tidak semak tetapi buku-buku dan fail-fail Sally itu semak buatnya. Sudahlah dia yang menyediakan semuanya, dia juga letih melayan kehendak Leon yang bermacam-macam.

Sering juga Sally mengadu kepada teman-temannya. Leon curang. Ada kekasih gelap. Sally pernah terserempak Leon berpegangan dengan seorang wanita. Sally pulang hampa, dia tidak sangka Leon sampai hati menduakannya. “Betullah kata temannya, mereka ada memberitahu yang Leon ada kekasih tetapi jawab Sally apa yang dia boleh buat, lantaklah dia.”

Masa berlalu, Leon terusan menyakiti hati Sally. Sedang dia mengandung anak ketiganya Leon mencari fasal lagi. Bercinta dengan seorang janda yang akhirnya Leon memilih untuk tinggal bersama kekasihnya.

Sepatutnya inilah masa terbaik Sally untuk bercerai, tetapi tidak. Sally masih mengharapkan Leon pulang ke pangkuannya. Lagipun Leon sayangkan anak-anak, lantaran itu yang membuat Sally boleh memaafkan suaminya itu.

Memang ramai yang kehairanan bilamana Leon pulang setelah ‘bercerai’ dengan kekasihnya. Dia yang tiada tempat tinggal memujuk Sally, Sally menerimanya semula dengan tangan terbuka. Sally lupa dia pernah disakiti, dimaki hamun dan dicerca malah mukanya pun selalu lebam kerana ditampar oleh Leon. Dia lupa Leon bila tiba waktu tidak betulnya sanggup mencederakan isterinya, dan yang sedih di hadapan anak-anak. Sally lupa wang simpanannya kehabisan dipinjam Leon untuk memuaskan nafsu serakahnya.

Leon sebenarnya juga tidak boleh menerima hakikat yang isterinya jauh lebih berjaya dibandingkan dia. Dek kerana selalu disepak terajang oleh sang suami, Sally mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Dia tidak boleh bekerja bila mukanya lebam hitam bekas ditampar. Dan setelah berbulan juga tidak bekerja dia mengambil keputusan membuka syarikatnya sendiri, ternyata kejayaan demi kejayaan diterimanya. Daripada kerja sendiri tanpa kaki tangan sehingga boleh mengaji 15 pekerja. Satu kejayaan buat Sally dan kejayaan itulah yang dicemburi oleh suaminya. Dia pula daripada 10 pekerja dengan pejabatnya yang gah dan mewah terpaksa gulung tikar dan mengambil sudut di rumahnya untuk meneruskan perniagaan.

Melihat Sally, Leon pula sakit hati, tetapi duit Sally dia mahu. Sally pula semakin lawa dan seksi, dan itu juga buat dia cemburu. Sally pula kerana kerja selalu pulang lewat dan itulah yang menjadi kemarahannya. Tetapi dia tahu kalau Sally tidak bekerja, siapa pula yang hendak membayar hutang piutang, sekolah dan kolej anak-anak. Namun egonya yang tinggi, amat tidak tahan melihat Sally kian hari kian disebut-sebut namanya. Kawan-kawan pun sudah di kalangan vvvip, keluarga di Raja dan selebriti-selebriti terkenal. Kejantanannya tercabar bilamana dia melihat wajah isterinya di merata majalah, sakit sangat hatinya. Melepaskan kemarahan, isteri jadi mangsa. Di luar isteri hebat, bergaya cantik dan muncul di kaca tv sentiasa, pulang ke rumah, kalau tidak disepak terajang, telinganya sakit dengan maki hamun. Namun Sally tetap menerima keadaan itu sehingga satu hari, dia merasa enough is enough. Dia bertekad untuk menutup episod hidupnya bersama Leon.

Pejabatnya hari itu bertukar menjadi venue yang cukup cantik. Siap menggunakan pakar untuk menghias luar dan dalam. Syarikatnya akan meraikan ulangtahun ke lima dan waktu sama ia juga bertepatan hari kelahirannya. Masakan Sally tidak mahu membuat parti besar-besaran, lagipun kawan-kawan mendesaknya… kejayaan mesti diraikan, dan hari jadi kali ini seharusnya yang terindah buatnya. Dua bulan Sally, rakan-rakan baiknya juga stafnya menguruskannya.

Tidak mungkin tidak diberitahu suami, dan tidak cantik juga jikalau Leon tidak bersama pada hari itu. Sejak diberitahu juga akan majlis yang bakal berlangsung, Leon sudah tidak senang duduk. Cemburu sangat dia mendengar siapa dan siapa yang bakal hadir. Geram sangat dia kerana wakil dari tv dan media juga akan hadir ke majlis itu.

Belon baru dilepaskan di awangan sebagai meraikan kejayaan syarikatnya dan kemudian kek yang tinggi lagi cantik disorong ke sebelah Sally. Mikrofon terusan memanggil nama Leon untuk bersama isterinya, kerana pentinglah kalau memotong kek ditemani sang suami tetapi di saat itu juga, semua tetamu terdiam, merenung sesama sendiri bilamana deruman bunyi kereta meninggalkan kawasan pejabatnya. Leon melepaskan api kemarahannya dengan meninggalkan kawasan pejabat dengan menekan minyak kereta sekuat-kuatnya. Sally tergamam.

Sampai hati Leon memalukan dirinya di hadapan mak, ayah dan familinya yang lain, klien-klien, kawan-kawan dan khasnya orang media yang hadir membuat liputan. Sally rasa dia tidak tahu di mana dia hendak meletakkan mukanya bila Leon bertindak sedemikian.

Make a wish Sally?” jerit teman-temannya selepas lagu hari jadi dialunkan tetamu. Dengan linangan airmata, Sally membuat pengakuannya di dalam dirinya… “Yes i want a divorce  dan cukuplah setakat ini.”

Malam itu juga, Sally mengeluarkan isi almari baju-baju Leon, mencampakkannya dan menghalaunya keluar rumah. “It’s time for you to get out of this house and out of my life… kamu memalukan aku… di hadapan orang-orang yang terpenting dalam hidup aku…”

Related posts

Aku Tinggalkan Anak Di Depan Pintunya

admin

Tipu! Suami Tak Akan Boleh Adil, Percaya lah

admin

“Puan Dah Pernah Bersedih/Kecewa Teruskanlah”

admin

Leave a Comment