Bahang Aidilfitri masih terasa dan semangat menyambut lebaran dengan gaya terkini sentiasa membara. Bagi yang masih mencari pakaian untuk beraya dan ziarah rumah terbuka, MagLifestyle memperkenalkan koleksi Aidilfitri 2025 yang menarik dengan tema menggiurkan.
Diinspirasikan daripada salah satu minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu Sirap Bandung, minuman manis lagi menyegarkan yang seringnya menjadi pilihan setiap kali tibanya bulan Ramadan dan sepanjang Hari Raya.
Simbolik dan keistimewaan minuman menarik ini mencetus inspirasi koleksi terbaru Aidilfitri 2025 buat mereka yang dahagakan sesuatu yang segar dan manis dipandang mata. MagLifestyle menampilkan keanggunan moden yang diterapkan dengan elemen tradisi, langsung mencipta gaya yang sesuai untuk pelbagai suasana perayaan.







Koleksi menarik ini terdiri daripada 12 rekaan dan merangkumi baju kurung moden, gaun elegan, serta padanan blaus dan skirt. Setiap rekaan memberikan pilihan pakaian yang versatil untuk digayakan sepanjang musim perayaan dan terdapat untuk semua citarasa.
Selain menghasil beberapa rekaan segar untuk digayakan oleh generasi muda, terdapat juga gaya sesuai untuk mereka yang lebih dewasa. Malah beberapa rekaan turut mengambil inspirasi daripada warna merah jambu sirap bandung yang menambat hati,
Dengan hiasan dan motif bunga serta perincian eksklusif, menjadikan setiap helaian unik dan istimewa. Tidak kiralah anda sekadar menziarah saudara mara, ke rumah terbuka kawan-kawan mahupun untuk menghadiri jemputan Aidilfitri istimewa di hotel mewah, koleksi menawan ini menawarkan pilihan gaya yang sesuai untuk semua suasana dan tempat.
Menariknya, Sirap Bandung oleh MagLifestyle bukan sekadar koleksi Hari Raya, ia juga simbol keyakinan, ekspresi diri, dan keanggunan fesyen moden. Yen dan Shirley, dua beradik di sebalik jenama ini, percaya bahawa trend pilihan pakaian sopan bukan sekadar gaya, tetapi juga lambang keberanian dan kepribadian seorang wanita. Dengan fesyen sopan semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa, MagLifestyle ingin menawarkan rekaan yang selesa, elegan, dan menawan bagi semua lapisan masyarakat.


Bagi memperkukuh dan memberi impak pada koleksi, jenama ini turut menampilkan dua penyanyi berbakat dan sahabat karib, Sissy Iman dan Sarah Suhairi, yang mencerminkan semangat ceria dan versatil MagLifestyle.
Kempen ini memperlihatkan bagaimana setiap helaian dalam koleksi ini boleh digayakan dengan pelbagai cara, membolehkan pemakai menyerlahkan gaya unik mereka. Sissy dan Sarah, yang tampil sedondon dalam busana Raya mereka, membuktikan bahawa mereka masih dapat menonjolkan keunikan peribadi masing-masing yang tersendiri.
Siapa di sebalik MagLifestyle?
Diperkenalkan pada 2010 sebagai butik berkonsep ‘high-street’ oleh pereka adik beradik, Yen dan Shirley pada mulanya ia diberi nama Butik Magazine dan terletak di Bangsar yang waktu itu terkenal sebagai pusat gaya terkini.
Sejak di bangku sekolah lagi, Yen dan Shirley telah mula mengadaptasikan pelbagai rekaan pada pakaian terpakai mereka sendiri. Menariknya, setiap kali muncul, mereka berdua sentiasa menerima pujian untuk rekaan mereka yang menampilkan gaya minimalis dengan sentuhan anggun.
Walaupun pada mulanya hanya sekadar seronok mendapat pujian tetapi lama-kelamaan tercetus hasrat untuk berkongsi inspirasi gaya mereka itu dengan Masyarakat.
Koleksi ini kini boleh didapati secara dalam talian di www.maglifestyle.com serta di semua butik MagLifestyle di sekitar Lembah Klang.