Birkin jenama terkemuka dan mewah dari The House of Hermes. Birkin, Hermes menjadi igauan peminat beg berjenama ini serata dunia. Ia bukan sembarangan beg, tidak boleh dibeli semudah masuk ke butiknya, belek-belek, berkenan, bayar harga yang ditetapkan dan membawanya pulang. Oh tidak, anda tidak akan nampak ia disusun di rak-raknya. Tidak, wajah beg itu pun tidak ada dipamerkan di mana-mana butik dunia. Di Malaysia dikatakan, anda perlu menunggu (booking) sehingga paling cepat pun lima tahun, dan andai nama anda sudah ‘naik’ dan bila beg itu sampai ke butik, dan setelah diberitahu, andai lewat beberapa jam pergi mengambilnya, nama orang selepas anda sudah pun menunggu untuk membelinya. Malah yang ‘prelove’ pun, sudahlah jarang sangat ada, bila ada ia cepat disambar. Begitu tabsubnya sesetengah orang untuk memilikinya beg berhantu ini.
Beberapa tahun lalu saya di London. Sudah lima hari, kami berulang ke gedung mewah itu. Saya menemani teman dan kerana diberitakan beberapa beg Birkin akan sampai di butik Hermes itu. Teman, seperti ratusan orang lain, beratur berdiri penuh sabar, mengharapkan hari itu hari bertuah untuknya. Jikalau beg itu sampai dan kalau bernasib baik, ia menjadi milikinya. Pendek kata, tidak juga pengurus butik itu sendiri tahu sama ada beg itu akan sampai, warna apa, materialnya jenis apa, dan sebagainya. Ia amat rahsia, dan jumlah yang sampai ke butik itu pun tidak diketahuinya. Jam berapa pun sampai ke butk mereka tidak tahu, seperti orang lain, mereka juga menunggu daripada kilangnya. Ini yang diberitahu kepada saya. Ya, seminggu di situ setiap pagi dan sehingga ke akhirnya tidak dapat.
Teringat pula sewaktu di Paris, begitu lah juga teman saya ini, setiap hari mesti ke sana, dan kerana ada ‘contact’ yang memberitahunya ada beg Birkin akan sampai, namun letih sahaja kerana begnya tidak sampai-sampai atau mungkin sudah ‘disambar’ orang lain, yang punya kedudukan, ada nama dan contact, dan dialah dapat.
Hem saya terkenang pula kisah, beberapa bulan selepas peristiwa pertama itu. Kami ke Paris lagi, dan seperti biasa, agenda teman bila ke Paris mesti hendak mencari Birkin. Ya, nasib teman kali itu teramat-amat baik. Barangkali pengurus butik sudah kenal teman, Dia mendekati kami, dan mengajak kami ke bilik rahsianya. Di situ ada disimpan sebuah Birkin, warna maroon dan bertanya sama ada teman mahu. Sudah tentulah, kerana saat itu tidak boleh fikir sangat akan warna, sudah mendapatnya pun satu rahmat. Puas hatinya dan kini jumlah beg Birkinnya kian bertambah. Ada pelbagai size, besar dan kecil. Pendek cerita kalau nama anda dalam list mereka, dan membeli barangan lain dalam butiknya, dan ada kaki di dalam, ia memudahkan segala urusan. Bila mana beg itu sampai anda antaranya yang mendapat keistimewaan berpeluang untuk ‘view’ dan membelinya.
Ada memberitahu tidak semua mendapat layanan khas ini, sekalipun duit seguni diletakkan di hadapan mereka, tambahan orang-orang ini datang dari negara-negara tertentu. Kalau ada pun pihak pengurusan sengaja tidak mahu menjual. Ada kata mereka hanya jual pada selebriti terkenal dunia; Kim Kadashian, Victoria Beckham antaranya. Mereka mahu orang ini bawa dan nampak elegan, juga bila selebriti tersebut menyandangnya seluruh dunia dapat melihatnya. Atau isteri-isteri pembesar dunia, kerana ini publisiti terbaik buat mereka.
Seorang teman bercerita, beberapa kali dia cuba untuk (bagi mendaftar nama dalam wait list). Itu pun terlalu sukar, tetapi dia terlupa bahawa suaminya warga Paris, berkulit putih. Geram, dia meminta suaminya sahaja yang berurusan. Ceritanya masalahnya selesai kerana sang suami diberi keistimewaan disebabkan Hermes, berasal dari France.
Dan cerita teman saya Mona, sehingga hari ini melekat di ingatan. Katanya suaminya membuat satu kejutan, menghubungi Hermes seluruh dunia untuk mendapatkan beg ini. Bukan satu usaha yang mudah, dia sudah merancangnya lama. akhirnya dia mendapat panggilan dari salah sebuah butik Hermes, memberitahu hanya ada satu sahaja di Australia. Jika betul berhajat, uruskan bayaran segera dan datang ambil.
“I sendiri rasa tidak percaya dia akhirnya mendapatkan juga. Dia terbang ke Australia, hanya untuk mendapatkannya, dan setelah urusan pembelian selesai terus pulang hari itu juga. “Hadiah harijadi yang paling istimewa buatnya, satu kerana usaha suaminya mencari di seluruh dunia, dan satu lagi kerana ia Birkin,” katanya.
Satu lagi cerita Birkin yang tidak boleh saya lupakan, bilamana kata seorang teman. Setelah puas pencariannya untuk mendapatkan Birkin Hermes, yang dibelinya pun pada seorang kenalan, dan pada hari pertama dia membimbitnya, seorang warga Jepun (kalau tidak silap mendekatinya), memujuk dan menawarkan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga dibelinya. Katanya warna hijau lumut memang susah diperolehi dan bersedia membayar apa sahaja harga dipinta. “Tetapi, oh tidak aku tidak akan menjualnya…untuk mendapatkannya pun usaha, how can i easily sell this to a stranger.” Yang sedihnya cerita seorang teman, ada satu manusia cuba berbaik dengannya, sudah berkawan dia mengundang ‘si teman’ ke rumah. Pada tengah malam sedang dia nyenyak tidur, si teman ini melarikan diri dengan beg Birkin. Begitulah orang boleh membuat apa sahaja demi sebuah Birkin.
Oh ya, beberapa tahun lalu majalah kami pernah menemuramah orang kuat Hermes. Teringat apa katanya, “yang menjadikan ia mahal bukan kerana berlian itu tetapi kulit buaya itu sendiri (hanya sebuah beg sahaja yang boleh dibuat daripada seekor buaya putih itu. Dan penjagaan buaya itu sendiri terlalu-lalu rumit, antaranya suhu di kawan tempat tinggalnya, dan menjaga setiap sudut kesihatan si buaya. Saya teringat dia berlawak, si buaya tidak boleh batuk kerana ditakuti kulitnya merkah dan yang begitu harganya akan merosot.
Fakta mengenai Birkin
Pada 1981, bermula daripada kisah wanita bernama Jane Birkin yang mengeluh betapa sukarnya mendapat beg kulit mengikut cita rasanya. Keluh kesah itu disampaikan kepada Ketua Eksekutif Hermès, Jean-Louis Dumas yang kebetulan duduk bersebelahan dengan Jane Birkin dalam penerbangan ke London dari Paris.
Menurut berita, ilham dan reka bentuk asli Hermès Birkin dilakar di atas beg muntah dalam kapal terbang yang dinaiki mereka. Pada 1984, Dumas membuat sebuah beg kulit lembut untuk Birkin, berdasarkan satu rekaan 1892. Jane Birkin menggunakan beg itu untuk dirinya sendiri namun kemudian mengubah fikirannya dan sejak itu ia menjadi ikon fesyen mewah.
Sejarah Hermès
Hermès International SA atau Hermès ditubuhkan pada 1837. Selain beg tangan, ia mengeluarkan barangan mewah berfesyen seperti barangan kulit, aksesori gaya hidup, perabot rumah, barang kemas dan jam tangan. Logo Hermès, sejak 1950-an adalah kereta Duc dengan kuda. Nama Hermès bukan diambil sempena nama Dewa Greek yang juga bermakna “pesuruh tuhan” tetapi nama pengasasnya, Thierry Hermès yang berdarah Perancis-Jerman
Menarik mengenai Birkin
Setiap unit beg tangan Birkin mengambil masa minimum 48 jam, disiapkan oleh seorang pakar terlatih dalam pembuatan beg yang bukan sahaja cantik tetapi berkualiti.
Birkin termahal pernah dilelong bernilai RM988,375 yang diperbuat daripada kulit buaya rona merah jambu fuschia dilengkapi kancing berlian serta logam emas putih 18 karat.
Birkin memperoleh beg Birkin secara percuma selain royalti secara tahunan yang dilaporkan sekitar £30,000 (RM166,890) pada 2012.
Beg merah jambu terang kulit buaya ini merupakan beg tangan model Birkin antara yang termahal di dunia dijual pada harga RM988,375 di Hong Kong. Namun pada 2017 Birkin kulit buaya Himalaya berwarna putih kancing berhias berlian berjaya dijual di Christie, Hong Kong pada harga US$380,000 (RM1.5 juta), menjadikan ia adalah Birkin termahal pernah dijual setakat ini.
Tidak setakat begnya, kotak oren itu ada nilai, begitu juga dengan kertas tisu di dalam kotak yang special itu. Bila isinya mahal ia perlu diletak pada kedudukan yang tidak boleh merosakkan isi di dalamnya, memastikan Birkin anda dalam ‘perfect shape.’
Seperti yang saya sebut tadi, untuk mendapatnya ada ‘wait list’. Dan untuk mendapatnya juga pelanggan mesti sudah berbelanja banyak untuk produk lain daripada jenamanya.
Juga Hermes tidak pernah dan tidak akan memberikan beg-beg Birkin ini pada mana-mana selebriti dan personaliti. Sepopular mana pun selebriti atau personaliti ini, mereka masih perlu membayarnya dan tidak ada discount.
Dilaporkan Jimie Chua, seorang sosialite Singapura mempunyai koleksi terbesar beg Birkin lebih 200 manakala Victoria Beckham mempunyai 100 beg pada 2009 dan keluarga Kardashian dilihat membawa pelbagai warna Birkin ketika berpergian.
Kalau anda rasa pernah terlihat mana-mana rakyat Malaysia yang bawa beg Birkin Hermès, ketahuilah ia bukan sebarangan koleksi daripada jenama Hermès. Jual satu beg, mungkin boleh beli sebuah rumah.
Mengapa Birkin menjadi amat popular? Kerana ada orang yang mahukan sesuatu yang mereka sukar atau tidak boleh mendapatkannya. Dan dengan meletakkan harga yang tinggi, menghadkan pengeluarannya dan mengadakan ‘wait list’ ia menjadi barangan terkawal.
Pada sesetengah, memilikinya beg ini, adalah salah satu cara yang anda ‘have arrived’ in high society, is to carry a Birkin.’
Hari ini Birkin juga mendapat perhatian amat luar biasa di seluruh dunia dan di Malaysia khasnya. Dikatakan bekas isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor sendiri memiliki ratusan, dan beg Birkinnya daripada pelbagai saiz dan warna, juga daripada kulit paling mahal di dunia.