AGAMA

Saham Yang Mengalir Hingga Akhirat

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dan tahukah anda, terdapat beberapa jenis saham yang masih berterusan, sekalipun setelah kita meninggal dunia. Saham ini juga akan membantu kita di akhirat kelak.

Amal jariah adalah amalan yang terus mengalir pahalanya, walaupun orang yang melakukan amalan tersebut sudah meninggal dunia. Ringkasnya, amalan tersebut terus menghasilkan pahala yang terus kepada pelakunya yang sudah meninggal.

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Daripada hadis tersebut, jelas terdapat beberapa jenis saham atau amal jariah yang akan beroleh pahala secara berterusan, antaranya;

1 – Ilmu Yang Disebarkan

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk sebarkan ilmu. Selain melalui sekolah, universiti, kolej, berceramah, kursus motivasi, anda juga boleh berkongsi ilmu melalui di media sosial atau medium lain.

2 – Anak Soleh Yang Ditinggalkan

Caranya adalah mendidik anak menjadi anak soleh, iaitu anak yang sering melakukan kebaikan di dunia. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah SWT.

3 – Mushaf (Kitab-Kitab Agama) Yang Diwariskannya

Mewariskan kitab seperti kitab suci al-Quran, kitab tafsir, buku agama di masjid, surau, perpustakaan awam, sekolah atau maahad untuk kegunaan orang ramai sebagai bahan bacaan dan rujukan.

4 – Masjid Yang Dibina

Besar ganjaran bagi mereka yang membantu membina masjid bagi kegunaan masyarakat. Sama ada daripada sudut fizikal, tenaga, buah fikiran, kewangan atau apa jua pertolongan. Kesemuanya bernilai ibadah di sisi Allah.

5 – Rumah Yang Dibina Untuk Penginapan Orang Yang Sedang Dalam Perjalanan

Membangunkan rumah penginapan, atau pondok bagi orang yang bermusafir sama ada untuk berehat sebentar, bermalam atau kegunaan lain asalkan bukan untuk bermaksiat.

6 – Sungai Yang Dialirkannya Untuk Orang Ramai

Mengalirkan air yang bersih ke tempat orang yang memerlukan atau menggali perigi. Semakin ramai orang memanfaatkannya, semakin banyak sahamnya di akhirat nanti.

7 – Harta Yang Disedekahkannya

Harta yang kita miliki hakikatnya terdapat hak orang lain di dalamnya. Asalkan sedekah tersebut diberikan secara ikhlas dan tidak diungkit kembali. Contoh, mewakafkan tanah untuk kawasan perkuburan.

Sedekahkan sebahagian harta juga boleh membersihkan rezeki yang kita peroleh kerana tidak diketahui sumber asalnya dan bimbang ia daripada sumber yang syubhah.

Firman Allah SWT bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah As-Saff :10-12)

Perniagaan yang terbaik adalah khusus buat orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Mereka yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah SWT serta mengorbankan diri mereka untuk membela agama Allah SWT. Pulangannya adalah pengampunan daripada Allah dan dikurniakan syurga sebagai tempat istirehat.

Di dalam ayat lain, Allah membuat perumpamaan ganjaran bagi orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT.

Bandingan (sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. “Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah Al-Baqarah: 261).

Inilah saham akhirat yang tidak mempunyai risiko akan tetapi nisbah keuntungan 700% dan lebih sepatutnya menarik perhatian ramai untuk memilihnya. Ternyata sesiapa yang memberi kerana Allah, pasti akan mendapat pulangan dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jugalah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah: 245)

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Seorang Raja Di Syurga

admin

SEJARAH TURUNNYA AYATUL KURSI – HEBAT !

admin

Ibadah Haji Dan Jenis-jenis Haji

admin

Leave a Comment