Saat saya menulis ini, jutaan manusia berduyun-duyun menuju ke padang Arafah. Kelihatan ribuan khemah-khemah putih (disebut Maktab) bertebaran di bumi kontang ini, berbeza pada hari-hari biasa.
Tanpa disedari air mata ini mengalir mengingatkan peristiwa pada Haji 2018, saya antara jutaan umat Islam yang dijemput-Nya ke situ. Allahu Akbar, doa yang saya panjatkan bertahun-tahun supaya dipilih-Nya telah diangkat-Nya.
Pernah saya ditanya oleh teman, perjalanan apakah yang paling membahagiakan saya? Dia mengharapkan jawaban saya ke New York. Pernah saya bercerita padanya kala berpergian ke sana, dan memastikan bila berada di Big Apple kami ‘wajib’ ke Broadway Theatre dan kebetulan waktu kami ke sana sebaik tamat persembahan, ditakdirkan di sebelah kami ialah Hilary Clinton. Gosh, Hilary is right in front of my eyes, what a day?
Atau dia menjangkakan saya akan bercerita kenangan makan malam di Forbidden City di China bersama Donatella Versace dan Jet Li, atau kala di Rome dapat bersembang dengan Jessica Alba, di Milan sempat bergambar di belakang pentas dengan Karl Lagerfeld (kini mendiang). Di Hong Kong dapat menatap wajah antara wanita tercantik dunia, Charlize Theron, di Paris di hadapan saya (saya baris kedua) pada minggu fesyen Chanel, melihat Rihanna, Priyanka Chopra, Prince (kini mendiang) dan ramai lagi.
Di Paris melihat ratusan selebriti A list dunia pada parti Louis Vuitton. Atau di Shanghai bergambar dengan John Galliano, ya saya boleh menulis seramainya A list selebriti yang pernah saya temui atau nampak. Di Switzerland menemu ramah Nicole Kidman dan ternampak Salma Hayek. Oh ya, saya peminat setia Johnny Depp, macam kenal baik, saya meloncat gembira dengan berita Depp menang saman fitnah terhadap Amber Heard. Tidak pernah saya mengikuti pembicaraan artis-artis dunia ini tapi adoii, saya terjebak juga dengan kisah hangat Depp Heard. Ya, barangkali dia mahu saya bercerita bagaimana saya berkesempatan melihat dari dekat Johnny Depp kala berada di satu parti jam di Geneva, Switzerland.
Sungguh perjalanan tidak kurang menyeronokkan apabila dijemput ke negara Eropah, dari Milan, Frankfurt, ke Belgium juga ke Spain sahaja untuk berseronok-seronok membeli-belah di outlet terbesar dunia. Semua percuma cuma sedia kad dan wang saku sekiranya berminat membeli belah jenama-jenama terkenal dunia pada potongan harga terendah. Mind you, walaupun produk musim terdahulu tetapi kebanyakan cuma satu musim sebelumnya, berbeza outlets di negara kita kebanyakannya entah-entah empat lima musim sebelumnya.
Begitu pun dengan semua pengalaman dan keseronokan kala melihat dunia dan berjumpa dengan insan-insan terkenal, jawapan saya membuat teman Tionghoa ini terpingga-pingga. “Tapi kamu pergi tengok Kaabah saja, just a black big box, and spending time, pray, and pray, and pray, what is so special about it? Begitu dia rasa pelik bagaimana saya boleh memilih perjalanan rukun Islam ke lima dan dua kali kala mengerjakan umrah, itulah yang terkesan sangat sehingga kini.
Lalu kepelikannya tadi dijawab, “Aku pergi menghadap Allah yang Esa, yang menjadikan sekalian alam, yang memberikan kita nafas untuk hidup sehingga diambil nyawa kita lalu berakhirnya hidup ini. Tetapi demi Allah yang menghidupkan dan mematikan, DIA juga akan membangkitkan semua makhluk-Nya di padang mahsyar. Aku mahu dibangkitkan dan ditempatkan di syurga Firdaus-Nya. Di situlah rumah abadi yang tidak boleh difikir oleh akal akan keindahannya. Jiwa dan ragaku terlalu dekat dengan-Mu ya Rabb.
Dia kelu mendengar jawapan pendek ini, menjauhkan pandangannya seolah malu menghadap muka saya. Semoga Jenny kawan baikku diberikan hidayah dan sebelum dia menutup mata sempat meletakkan kakinya di tanah haram Makkah.
Terkenang kala wukuf di Arafah. Kala itu matahari betul-betul ‘terletak’ di langit Arafah. Panasnya tidak terhingga, begitupun kenyamannya terasa membalut badan yang berpeluh ketika berada di luar Maktab, yang sejuk selesa berhawa dingin. Sebelum panas melanda, tiupan angin sekencang-kencangnya tetapi maktab penempatan kami teguh tidak dibawa bersama taufan kencang. Rupanya beberapa Maktab mengalami nasib malang, dan ada bertempiaran mencari tempat berlindung.
Begitu juga kala di Mina, sebelum kami berangkat ke Arafah, angin yang kencang dengan bunyi yang menderu membuat tetamu Allah yang berada di dalamnya cemas.
Ujian apakah ini, ya Allah? Dengan doa yang tidak putus-putus tetiba angin kuat berhenti. Saya jangkakan bertempiaran khemah-khemah tapi tidak, segalanya normal dan kemudian perjalanan ke Arafah kami sungguh licin.
Doa di Arafah, tempat doa paling mustajab. Doa-doa-doa, ya seribu doa dipanjatkan, kerana Allah membuka ruang seluas-luaskan untuk umatnya memohon apa sahaja.
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah, “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”. (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).” (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
Waktu mabit di Muzdalifah, juga satu pemandangan indah kerana di dalam kegelapan ribu-ribu tetamu Allah mencari batu untuk ibadah melempar jumrah. Walaupun disediakan batu oleh pihak agen, pun disunat sendiri mengutipnya. Satu pemandangan yang indah bilamana berjamaah solat magrib dalam gelap di tanah Muzdalifah yang berbukit-bukit.
Kembali ke Masjidil Haram untuk tawaf wajib Haji. Syukur dimudahkan lagi kerana Baitullah amat lenggang, kami antara kumpulan terawal bertawaf. Dan detik melontar juga saat yang menyeronokan kerana tidak terkata gembiranya dapat betul-betul di hadapan tempat melontar.
Berakhir dengan tawaf Wada, ya Allah hamba-Mu ini dalam sendu meninggalkan kota Makkah, tidak henti mengalirkan air mata kerana urusan hajiku setenang dan di setiap perjalanannya dimudahkan sehinggalah tamat fardu Haji, Allahu Akbar.
Madinah, satu lagi tempat ‘wajib’ dikunjungi oleh setiap umat Islam. Kami berada hampir seminggu di situ, bersolat di al Masjid an Nabawi setiap waktu, menziarahi dan diberi-Nya peluang beberapa kali untuk bersolat betul-betul di baris depan Raudhah tanpa berhimpit-himpit dan dimarahi pengawal.
Pesan saya pada setiap jemaah, kita kena redha dengan apa yang terjadi di depan mata. Zip mulut seketat-ketatnya. Berbaik sangka selalu serta elak komplain, walaupun keadaan tidak disenangi. Makan apa yang disediakan, usah terlebih meminta sekalipun anda ada hak ke atasnya. Elak menghabiskan masa dengan bershopping. Allah menguji pelbagai cara, justeru bawa berzikir dan tidak lekang menyebut nama-Nya.
Doaku,
Ya Allah kurniakanlah padaku kejayaan terbesar – selamat daripada api neraka dan masuk ke syurga Firdaus Ya Allah masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman, yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.
Ya Allah, kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah S.A.W.
Ya Allah selamatkanlah rakan-rakan bukan Islam ku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.
Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata kerana-Mu.
Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadahku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.
Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmat-Mu untukku dan selamatkanlah aku daripada kehinaan pada hari hitungan amal.
Ya Allah, apabila aku mati, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi.
Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.
Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan-Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain daripada Arash-Mu.
Oh Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku pada-Mu. Janganlah ada keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaan Mu, kehebatan-Mu dan kekuasaan- Mu.
Ya Allah tingkatkanlah kecintaanku untuk-Mu dan Nabi-Mu (saw).
Ya Allah ampunilah aku dan tingkatkanlah kurniaan rahmat dan rezeki-Mu
Ya Allah berilah aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaan-Mu.
Ya Allah ya Rabb, sucikan niatku hanya untuk-Mu semata dan lindungi aku daripada menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku daripada sifat angkuh, sombong, menunjuk nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.
Oh Penciptaku dan Tuhanku, jangan biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.
Oh Tuhanku, jadikanlah aku daripada orang-orang yang sabar dan patuh kepada-Mu dan kepada ibu bapaku.
Selamatkanlah aku daripada fitnah Dajjal.
Selamatkanlah aku dari azab kubur dan azab api neraka.
Ya Allah, tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja sadakatul jariah.
Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud pada-Mu dengan mudah sehingga akhir hayatku.
Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami daripada fitnah dan permudahkanlah bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.
Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan daripada Mu Ya Allah.
Ya Allah tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepada Mu.
Ya Rabb, selamatkan aku daripada kemunafikan.
Ya Allah lindungi kami daripada syaitan, jin dan arak. Lindungi kami daripada perbuatan jahat dan niat mereka.
Ya Allah ampuni dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.
Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua daripada kufur, putus asa, salah laku dan sihir.
Ya Allah berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.
Rindu serindunya untuk menjadi tetamu-Nya. Semoga dilayakkan lagi kedatanganku di lain kali dan alangkah seronoknya jikalau dapat bersama seluruh ahli keluarga, suami, anak menantu dan cucu, adik beradik dan ipar duai juga. Allahu Akbar.