GAYA HIDUP

‘Ramadan Stories’ Oleh Fennel & Co. – Bufet Ramadan Yang Ada Cerita Rasa dan Nuansa

Ramadan tahun 2026 menjadi detik bersejarah buat jenama restoran lokal, Fennel & Co. apabila buat pertama kalinya memperkenalkan bufet Ramadan eksklusif bertemakan “Ramadan Stories at Fennel & Co.”. Bufet ini bukan sekadar menyajikan hidangan, malah mengangkat kisah, kenangan dan detik bermakna yang terjalin di meja berbuka puasa bersama insan tersayang.

Sebagai pembuka tirai, Fennel & Co. telah menganjurkan pratonton media eksklusif pada 6 Februari 2026 di Kuala Lumpur, menjemput rakan media, pencipta kandungan serta rakan jenama untuk merasai sendiri pengalaman bufet ini sebelum ia dibuka kepada orang ramai.

Walaupun restoran mereka terkenal dengan masakan barat, namun istimewa sempena bulan Ramadan ini, mereka mengangkat citarasa tempatan yang dekat di hati dengan menampilkan pelbagai hidangan klasik Melayu yang menjadi kegemaran ramai. Antara sajian utama yang disediakan termasuklah Asam Pedas Barramundi, Kerabu Daging Salai, Dalcha, Masak Lemak Cili Api bersama Telur Itik, serta Sambal Paru. Kesemua hidangan ini disajikan bersama Nasi Minyak Diraja, nasi beraroma harum yang melengkapkan keenakan setiap lauk-pauk.

Bagi tetamu yang menggemari sentuhan moden dalam sajian tradisional, Fennel & Co. turut menawarkan stesen hirisan secara langsung yang menyajikan kambing panggang dan ayam panggang yang lembut dan berjus. Hidangan ini dipadankan dengan sayur-sayuran panggang serta sos thyme, memberikan keseimbangan rasa yang memikat.

Pengalaman bufet ini diperkaya lagi dengan pilihan hidangan berinspirasikan Timur Tengah seperti hummus, roti pita dan roti Lubnan, selain stesen mi secara langsung serta pelbagai pembuka selera. Sebagai penutup malam berbuka, tetamu boleh menikmati aneka pencuci mulut manis yang disediakan khas untuk melengkapkan hidangan.

Dalam meraikan semangat kebersamaan Ramadan, Fennel & Co. turut memperkenalkan promosi tempahan awal istimewa. Tempahan yang dibuat dari 2 hingga 16 Februari 2026 layak menikmati harga RM99 untuk dewasa (tidak termasuk cukai dan caj perkhidmatan), RM59 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun, manakala kanak-kanak di bawah 6 tahun boleh menikmati hidangan secara percuma.

Bufet “Ramadan Stories at Fennel & Co.” akan berlangsung dari 23 Februari hingga 15 Mac 2026, mengundang para tetamu untuk memperlahankan langkah, mengeratkan silaturahim, dan mencipta kenangan indah sambil menikmati sajian warisan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Related posts

Peminat Gajet Membanjiri Roadshow Samsung Galaxy S10

admin

What Another Year Of Extreme Horror After 2020!

adminwm

Durian Sedap Di Makan Tetapi…

admin

Leave a Comment