DESPERADOGAYA HIDUP

“Puan Dah Pernah Bersedih/Kecewa Teruskanlah”

Adik beradik, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan teman-teman sepejabat Mahmud (senang dipanggil Med, nama singkat isteri Jad) cemburu melihat kemesraan dia dan isteri. Sudah 15 tahun berkahwin, pasangan ini nampak amat serasi dan berkasih sayang. Waktu pasangan sebayanya membahasakan suami dengan ‘ayahnya, abahnya, awak’ atau nama suami/isteri tetapi tidak mereka. ‘Yang’ adalah panggilan isteri kepada suami, dan ‘honey’ pula digunakan suami kepada isteri. Maka ramailah teringin hendak tahu apa rahsia kebahagiaan rumahtangga mereka. Sehingga banyak dalam kalangan saudara mara dan kawan-kawan khasnya mahu nanti, kalau berkahwin hendak jadi seperti mereka ini.

Hampir setiap minggu dua sejoli pergi menonton wayang atau keluar bersama, bersiar-siar di Taman Tasik Perdana atau Taman Tasik Titiwangsa atau ke mana sahaja asal dapat berduaan. Sungguh romantik. Maka dimintalah adik atau sepupunya datang menjaga tiga anak yang ketika itu masih kecil. Dahlan,13, Khaira,7, dan Lisa 3 tahun atau dihantar kepada mereka andai tidak dapat ke rumahnya. Malah kalau terdesak sangat, adik atau sepupu tidak dapat menjaga (kerana jarak rumah mereka boleh tahan jauh), dimintanya jiran tetangga menjenguk anak-anaknya. Di sebelah kanan rumah mereka, sebuah keluarga empat anak sudah remaja, mahu tidak mahu si jiran terpaksa mengata ya bila diminta tolong menjaga anak kecil. Terutama Dahlan dia pula sering ke rumah jiran bermain-main dengan uncle bujang ini. Kebetulan uncle bujang tinggal dengan ibu saudaranya, jadi rumah itu tidak pernah tiada makanan. Nama pun kanak-kanak, bila ibu mereka lambat atau malas memasak, mereka akan mencedok apa sahaja di dalam periuk di rumah uncle jiran ini. Kadang-kadang balik sekolah tanggal baju terus ke rumah sebelah. Si ibu pula sibuk menghantar mengambil ayah mereka ke tempat kerja, ke appointment dan sebagainya, kadang-kadang balik lewat kerana menemani suami ke majlis-majlis. Bagi sang isteri lebih penting baginya menjaga sang suami… sementelah hanya sebuah kereta, dialah yang menghantar mengambil, malah sang isteri sanggup menjemput sang suami waktu rehat, supaya dapat makan tengahari bersama.

Yang menarik, dan ramai terkejut si isteri akan menghidang beria-ia, beralas cantik, dengan bunga dan selalu mereka berdua ‘candle light dinner’. Untuk anak, pandailah si Dahlan dan Khaira nak mencedoknya di belanga. Khaira yang berusia tujuh tahun lah yang selalu menjadi mangsa, kerana dia perempuan dia kena menjaga adiknya, atau Dahlan yang kadang-kadang dalam terpaksa menggoreng ikan dan memasak nasi untuk mereka makan tengahari, jikalau mak  ayah lunch di luar. Dahlan selalu mengambil langkah cerdik, bawa dua adiknya makan di rumah sebelah. Si mak cik tua tak terkata, dia takut juga tinggi belanja bila sepatutnya dia dan anak saudaranya sahaja yang makan tetapi selalu ada lagi tiga perut yang mesti diisi. Kata si anak saudara, “Tak apalah mak Kiah, bila tiba hal makan kita tak boleh berkira sangat dan kedekut. Apa yang ada, hidangkan.”

Si ibu memang tahu anak-anak selalu cari makan di rumah sebelah. Dia lega, sebab tidak payah bersusah payah memasak. Padanya tak mengapa, yang penting sang suami mesti diberi keutamaan. Pelik tapi benar,  begitulah dia melayan suaminya. Ada kata suami menyerah semua wang gaji kepada isteri, kalau dihantar diambil dan waktu makan pun bersama, suami memang tidak pegang duit langsung. Jika dia perlu dia akan minta pada isteri, itu pun banyak soal jawab. Namun sang suami tidak pernah pun bersuara, jadi nampak semuanya okay. 

Dan setaman kenal mereka sebagai pasangan ideal, lagipun memang pun kalau dilihat dari sudut wajah dan penampilan, rata-rata mengakui bagai pinang dibelah dua. Walaupun sudah punya tiga anak, bentuk badan isteri masih cantik, kulit putih licin, dan walaupun kemudiannya dia memilih untuk bertudung, ramai memuji dia seksi.

Masa berlalu jiran-jiran hairan juga dan tertanya-tanya kerana mereka jarang nampak Encik Med, dan sang isteri seorang sahaja di dalam kereta. Yang penyibuk dan suka ambil tahu hal orang tertanya-tanya kat jiran-jiran yang lain kerana agak lama tidak nampak muka si Med. Pernah ditanya dan jawab Jad, “Oh abang pergi kursus di luar negara.” “Lama ke?” “Empat lima bulan, tidak bolehlah ikut, sebab anak-anak. Ikutkan abang dia hendaklah saya ikut.” Namun dalam pada itu ada juga yang terserempak dia di kedai mamak minum teh tarik. “Pelik ada juga pelanduk dua serupa?” kata Kamsiah kepada jiran-jiran-jirannya yang lain. “Kot dia balik malam dan keluar pagi, kita tak nampak dia lagi,” jawab seorang lagi jiran-jiran di situ.

Satu petang, sedang di rumah Mak Kiah riuh rendah kerana anak-anak saudara si uncle bujang cuti sekolah, Puan Jad tergesa-gesa mencari Tijah yang bercuti semesta. Menarik tangan Tijah ke rumahnya, sehingga berjam-jam pula Tijah tidak pulang. Dan sekembalinya ke rumah, dia masuk ke balik dan bersiap… Ke mana?” tanya Mak Kiah. “Tolong bagitahu uncle saya hendak keluar dengan Kak Jad kejab.”

Sebenarnya sudah lama Jad tidak menyingah di rumah Mak Kiah dan anak-anaknya pun sudah jarang datang. Memang dia pelik, si Dahlan yang sering membuka tudung sajinya tidak lagi datang, begitu juga Khaira, dia tidak lagi menarik tangan adiknya ke rumah si uncle. Si uncle  bujang ada bertanya, “Mak Kiah mana pergi budak-budak sebelah rumah, mak Kiah tak beri mereka datang lagi ke, biarlah mereka makan apa yang ada, atau buatlah kuih-kuih tu lebih sikit supaya mereka boleh makan.” Kecil hati mak Kiah bila dituduh begitu, tetapi dia hairan juga, kereta Jad tersadai, dan sesekali sahaja tiada. Dan kemesraan Jad pun kian menurun, dia nampak mak Kiah tetapi buat-buat tak nampak dan terus masuk rumah. Terfikir juga mak Kiah apa salahnya atau salah anak saudara bujangnya diperbuat begitu. Tak pernah sekalipun dia memarahi budak-budak itu yang dianggap seperti cucunya sendiri.

Tengah malam baru Tijah pulang dan esok keluar lagi bersama Puan Jad, dan esok juga keluar lagi dengan Puan Jad, sehingga orang di dalam rumah itu terutama mak Kiah hendak tahu apa ceritanya. Ditanya Tijah jawabnya, “Nantilah, bila semua beres, Tijah akan cerita semuanya.” Mak Kiah dan dua adik Tijah yang juga bercuti di kala itu dan terutamanya uncle bujang mereka, teramatlah nak tahu ke mana Tijah pergi, kadang keluar petang dan kekadang malam. Amat mencurigakan, kerana Tijah begitu berahsia. Mesti ada sesuatu yang berlaku dan keadaannya serius. Terutama uncle bujang, hendak dilarang anak saudaranya tidak ikut Jad, tidak boleh juga, mungkin Jad ada masalah, dan sebagai jiran mereka harus membantu.

Masuk petang hari ke enam, Tijah tidak lagi keluar dengan Tad, tetapi wajahnya suram. Sambil duduk makan malam bersama uncle bujangnya, Tijah buka cerita. “Sebenarnya aunty Jad, keketar-ketar pula dia hendak mengeluarkan kata-kata… “Aunty Jad found out uncle Med kahwin lagi.”

Terdiam semua, “Habis akak yang keluar dengan aunty Jad pergi mana? Hendak berahsia sesangat pula? Macam jadi spy, keluar petang balik tengah malam. Eh kami orang susah hati tau. Infact kalau akak tak cakap ini memang uncle Din akan make sure akak beritahu pergi malam, sebab it is just not nice to go out and came back late night…” adik Tijah bersuara.

“Kami sebenarnya memang jadi spy.” Ceritanya bila aunty Jad pergi ke pejabat uncle Med, receptionist akan call ke biliknya dan tidak berjawab, tapi untuk aunty naik ke atas dia orang tidak benarkan. Bila aunty Jad cuba tanya a few officemate dia semua jawab dia keluar appointment dan ditanya, semua mengaku tidak tahu. Dan bila aunty Jad cuba telefon, line pun seperti sudah tiada. Kalau sehari dua hilang aunty Jad tidak kisah, tapi sudah masuk sebulan, uncle Med menghilangkan diri, aunty Jad syak sesuatu yang tidak baik berlaku. Untuk dia pergi membuat aduan di balai polis pula dia rasa macam dia boleh selesaikan sendiri, lagipun dia tidak mahu nanti kes uncle menjadi besar. Malu.

“Aunty Jad pasti uncle Med memang di tempat kerja tetapi pergi ke satu tempat waktu habis kerja, tapi di mana? Itulah yang dia ajak Tijah temankan dia… start from office, kami duduk di bawah pokok, tunggu uncle Med keluar pejabat, naik teksi dan kami follow teksi itu bawa dia ke mana. Ya malam pertama missed, sebab jalan sesak tidak dapat track, kami balik kecewa. Petang kedua, uncle Med keluar lewat sikit, dan hari hujan, dia lama tunggu teksi, dan terus bawa dia, kami ikut dari belakang, dan sampai ke Petaling Jaya, dari KL ni, dan entah macam mana lost track. Petang ketiga, uncle Med, naik kereta kawannya, mereka singgah di kedai mamak, lama bersembang dan aunty Jad kata jom balik, sebab dia pun sudah letih.

“Tijah tanya aunty Jad kenapa tidak terus aje pergi tarik tangan dia masa dia tunggu teksi, tapi kata aunty Jad, kalau dia tarik tangan dan ajak balik, dan dia pasti tidak akan bagi tahu apa-apa. Tijah kata bukan ke aunty dan uncle so loving, kenapa pula uncle Med buat aunty macam ini. Jawab aunty Jad, aunty pun tak tahu apa masalah dia, sebab aunty dah buat yang terbaik… Tijah tengok macam mana aunty layan uncle kan? 

“Dua malam Jad dan Tijah berjaya mengekori sehinggalah berhenti di hadapan sebuah rumah teres. Malam pertama itu, dia biarkan sahaja uncle Med masuk ke rumah itu. Nampak bayang dari lampu ada seorang wanita di dalamnya. Berderau darah aunty Jad. Dan esoknya juga setelah ditrack juga balik ke rumah sama, sah kata aunty Jad, uncle Med ada perempuan lain, tapi dia tidak tahu status mereka, berkahwin atau sekadar kekasih.

“Masuk tiga malam berturut-turut, setelah dibiarkan lebih sejam uncle Med masuk ke rumah, aunty Jad dengan beraninya keluar dan mengetuk pagar, dan akhirnya seorang wanita keluar. Aunty Jad terus memperkenalkan dia isteri uncle Med, dan mendesak masuk ke rumah. Pendek cerita keduanya mengaku sudah berkahwin. Aunty Jad meraung-raung, Tijah di dalam kereta pun dengar bunyi orang mengamuk menangis. Lama mana sudah mereka berkahwin, kata aunty Jad, mereka sudah hampir setahun. Awalnya jumpa siang-siang, malah uncle Med selalu cuti. Uncle Med tipu wifenya, dihantar ke ofis, selepas itu, dia ambil teksi atau si perempuan itu datang menjemput. Tetapi sampai bila hendak berahsia, lama-lamaan itulah dia menghilangkan diri.

Episod seterus kisah Med dan Jad, orang sekeliling pun sudah tahu Med kahwin lain, saudara mara dan rakan taulan pun sudah tahu ceritanya, dan apa yang terjadi dengan Jad. Dia seperti perempuan tidak siuman. Med, sudah mula membahagikan masanya di rumah Jad dan isteri mudanya. Sang isteri tua bukan lagi seperti isterinya dulu, dia langsung tidak berkisah tentang hal rumah tangga. ‘Pagi, petang dan malam, dia keluar beli makanan dan kadang berlapar. Bila lapar anak-anak pun cari uncle bujang. Masa itu mak Kiah pun sudah balik kampung. Kalau uncle bujang rajin sesekali dia beli roti canai atau nasi lemak bungkus dan hantar ke rumah sebelah. Dengan Med, dia pun sudah lama tidak bersembang semenjak Med berkahwin dua. Sekali dua nampak, angkat tangan dan masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Oh ya, Jad bukan lagi Jad yang sweet dan ayu bertudung litup, dia sudah membuka tudungnya dan memakai skirt… satu taman mengatanya tetapi dia tidak kisah apa orang nak cakap. Pada dia okay bini muda laki pakai skirt, tapi dia dipaksa bertudung, itu jenis jantan kurang ajar, so dia pun buka tudung. “Kalau dia tegur aku, siap dia, aku akan jerit biar satu taman dengar,” ceritanya pada teman. “Aku siap warning dia, kalau you tak masukkan gaji you sekian-sekian untuk aku dan anak, siap engkau, aku akan serang pejabat pula. No more  membahasakan Yang ”

Dan satu hari Jad mendapat tahu yang suaminya hendak bercerai. “Puas hati aku, akhirnya mereka bercerai juga. Aku dengar cerita dari isteri kawannya. Tak rugi aku pergi bomohkan dia, biar dia benci pada bininya.” Namun cerita yang sebenarnya, si isteri mahu menyambung pengajian master dan Ph D di luar negara. Med diajak pergi diminta meninggalkan kerjaya serta anak isterinya, tetapi keputusan Med, dia tidak sanggup, dia mahu bersama anak, isteri dan akhirnya jalan terakhir, sang isteri mohon dilepaskan, kerana dia pun tidak tahu lama mana dia akan di sana kerana dia juga berhajat bekerja selepas tamat pengajian.

Cerita Jad dan Med belum tamat. Jad ingat dia dapat membina kembali cinta mereka seperti dahulu, hari minggu ke panggung wayang, candlelight dinner sesekali sekala dan pergi bawa anak-anak ke tepian pantai mandi manda daripada pagi hingga senja. Dan pergi bekerja dihantar, diambil sebelah petangnya, tetapi cerita lama tidak berulang lagi. Kerana selepas dilepaskan isteri kedua, Med mencari seorang lagi untuk dijadikan isteri. Gadis ini pernah membuat internship di tempat kerjanya, dan di bawah jabatannya dan masa itu dia masih punya seorang sahaja isteri. Dan setahun selepas bercerai (kira-kira tiga tahun sebenarnya jarak waktu intership), mereka bertemu di sebuah majlis. Si perempuan ini bekerja sebagai Pegawai Khas kepada CEO di situ, lalu mendekatinya, “Ingat Laila lagi? Yang… (tidak habis cakap),” Med bukan sahaja bersalaman tetapi memberikan ciuman di pipi Laila. “Wow Encik Med dah berani sekarang ya,” Laila bergurau, “Dulu takut kat bini kan. Apa khabar kak Jad?” “Baik.” Dan cerita mereka bersambung keesokan hari bila Med memberitahu, dalam waktu singkat dia pernah berkahwin lagi dan sudah pun bercerai.

Kisah mereka tidak berhenti di senja dan bersambung di keesokan harinya di telefon tetapi sambung menyambung berbual lagi esok dan esok dan esoknya. Ya keduanya sudah jatuh cinta dan keputusan pun sudah dibuat. Mereka juga kahwin senyap-senyap tetapi sepandai tupai melompat akhirnya jatuh juga.

Jad sudah tidak boleh menahan sabar, lalu menghubungi si bini Med. “Aku hendak jumpa kamu. Datang di sekian-sekian tempat esok, jam 10 pagi, kalau kamu tidak datang, kamu akan tahu nanti apa yang akan aku lakukan terhadap kamu? Dan kalau kamu bagi tahu Encik Mahmud, juga kamu akan terima nasib, jangan tanya apa yang aku akan buat kepada kamu.” 

Madu bertemu madu di tempat duduk di tasik Tasik Perdana. Jad pun tidak tahu kenapa, dia memilih tempat ini tetapi kenangannya di sini terlalu banyak. Dia dan suami sering ke sini hari minggu, makan-makan di bawah pepohon rendang atau jogging sebelah petang. Sungguh romantik, bila dia mengingatkan kenangan manis bersama suaminya.

Jad telah menyusun ayat untuk memberitahu sekian-sekian perkara yang hendak diberitahu kepada perempuan muda, yang katanya gatal hendak berlakikan suaminya. “Eh kamu ini, tak ada jantan lain ke hendak dibuat laki?” katanya sebaik si madu sampai di situ, dan dia memang sudah sedia menunggu. “Laki aku tak kaya, tahu tak? Ada satu rumah, sebuah kereta dan ada duit sikit di ASB, itu sahaja, dan semua hak kami anak beranak. Kamu jangan berangan-angan hendak sebahagian daripadanya faham. Kamu ini sebab muka pun hodoh dan kulit pun hitam, aku pun tidak faham macam mana laki aku nak kan kamu. Ini semua sebab kamu bomohkan dia kan? Muka kamu ini, di Chow Kit berlambak, muka Jawa totoh.”

Si madu diam tidak menjawab sepatah pun. Dan bila Jad sudah habis bercakap katanya, “Dah habis? Kalau habis saya mohon untuk pergi. Cuma ini yang saya hendak cakapkan kepada Puan Jad, “Puan sudah pun terguris hati/frust/kecewa sebab abang sebelum ini kahwin dengan kak Rubi kan? Teruskan lah terguris, kecewa dan bersedih, sebab saya tidak akan melepaskan abang. Terima kasih.”

Dan sehingga kini mereka masih bersama dikurnia dua anak, dua-dua pun sudah besar. Med menghabiskan lebih banyak masa di rumah isteri mudanya, sesekali dia menjenguk bini tuanya, anak-anak sudah punya keluarga sendiri, dan dia lebih senang bersama isteri muda, yang tidaklah melayannya dengan candlelight dinner dan rumah berbau wangi dengan lilin-lilin tetapi Med bahagia.

Ada juga yang bertanya, mengapa Med memilih perempuan ‘Jawa’ kulit gelap, sedangkan Jad melayanan bagaikan raja? Yang tahu jawapannya hanya Datuk Med, ya dia sudahpun dianugerah Datukahip tetapi penghidupannya amat sederhana bersama Rina yang tidak mahupun kawan-kawannya memanggil dia Datin.

Bagaimana dengan Datin Jad, dia sudah give up dan malas hendak berebut laki. Katanya, lantaklah dia. Aku tidak payah lagi masak dan gosok bajunya. Cukup bulan, aku hendak duit aku. Walaupun dia sudah pencen, I care less, aku pastikan wang dimasukkan setiap bulan, sampailah dia mampus, dan aku juga mampus.”

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Nasi Briyani Pakistan

adminwm

Mr. BIBIM Spicy Chicken di Seluruh Malaysia

adminwm

Qatar Airways  New Order for GE9X Engines 

adminwm

Leave a Comment