Minta Cerai Tanpa Alasan – Haram Bau Surga

Rumah tangga bermasalah. Bolehkah seorang wanita mohon dilepaskan oleh suami?” Benarkah jika wanita ini memohon cerai maka haram baginya bau syurga?”

Dalam sebuah hadis diriwayatkan seorang sahabiah yang takut kufur kerana ia tidak menyukai suaminya meski lelaki itu berakhlak baik tetapi kerana tidak menyukai parasnya.

Maksud hadis: “Dari Ibnu ‘Abbas, bahwasanya isteri Tsâbit bin Qais mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: “Wahai, Rasulullah. Aku tidak mencela Tsâbit bin Qais pada akhlak dan agamanya, namun aku takut berbuat kufur dalam Islam.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apakah engkau mahu mengembalikan kepadanya kebunnya?” Ia menjawab,”Ya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam,” lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ambillah kebunnya, dan ceraikanlah ia”. [HR al-Bukhari].

Jelas dalam hadis ini Nabi SAW membenarkan kehendak sahabiah itu dan mereka pun bercerai, dengan alasan seperti di atas.

Namun di sana ada syarat yang membolehkan wanita mohon cerai. Jika ada sebab-sebab berikut, maka harus memohon cerai. Alasan-alasan tersebut di antaranya :

1. Suami membenci isteri, nyata kebencian itu, tetapi suami tidak menceraikannya.

2. Suami menganiaya isteri samada secara mental seperti selalu mencaci maki, bercakap dengan bahasa kasar, atau menyakiti fizikalnya.

3. Suami tidak menjalankan kewajiban agama seperti tidak solat, tidak puasa dan seumpamanya. Atau melakukan maksiat seperti berzina, homoseks, hisap dadah dan sebagainya.

4. Suami tidak membiayai nafkah isteri seperti tempat tinggal yang sesuai, makan minum dan pakaian dan lain-lain keperluan isteri, samada suami itu memiliki harta atau tidak, isteri berhak mohon cerai.

5. Suami tidak memenuhi keperluan biologi (seks) isteri, samada suami enggan atau tidak mampu kerana cacat atau sakit.

6. Suami hilang atau tidak jelas khabar dan keberadaannya dalam tempoh yang lama.

7. Isteri tidak menyukai suami dan takut berbuat kufur seperti akan berlaku ingkar kepada suami atau tidak boleh memenuhi kewajibannya sebagai isteri dengan baik.

Mohon Cerai Tanpa Alasan

Wanita yang menuntut cerai daripada suaminya tanpa alasan syarie (selain sebab di atas), maka haramlah baginya bau syurga, sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW berikut:

Maksudnya: “Siapa saja wanita yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau surga atas wanita tersebut.” (HR. Abu Dawud, Al-Tirmidzi, dan Ibnu Majah. Disahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW mencela isteri yang demikian dengan menggolongkan mereka dalam golongan munafik. Maksud hadis: “Wanita-wanita yang meminta khulu’ dan cerai adalah wanita munafik. (Riwayat Imam Ahmad)

Dapat disimpulkan bahwa hukum wanita menuntut cerai daripada suaminya adalah boleh atau harus asalkan isteri itu memiliki alasan yang jelas. Meskipun demikian, ada baiknya jika isteri yang mengalami masalah dalam rumah tangga bersabar dan tetap menerima dan mendoakan suaminya agar rumah tangganya tetap terjaga dengan baik. Ada baiknya juga beliau mencari ikhtiar yang lain sebelum membuat tuntutan cerai.

Adapun cara perpisahan itu ada tiga iaitu mohon talaq dari suami, mohon fasakh di mahkamah atau mohon khulu’ daripada suaminya atau dari mahkamah.

Sumber: JAIS

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON