“Jumpa di mana?”
“KLCC boleh?” tanya teman. Tiba-tiba saya jadi excited, rasanya lama sangat tidak menjejak kaki ke sana, tempat yang pernah saya kata ‘my second home.’ Pernah ‘berjiran’ dengan KLCC, dari bilik pejabat jelas dilihat bangunan 88 tingkat ini, dan waktu malam pancaran cahayanya memukau. Terlalu banyak aktiviti saya di situ; bermesyuarat, bertemu pelanggan, brunch, luncheon, hi tea, dinner, menonton wayang, bersantai, manjakan diri di salon, lepak di Kunikuniya, oh itu sebahagian aktiviti saya satu ketika dulu dan shopping, sudah semestinya.
Biasanya di KLCC hari Jumaat dengan waktu rehat panjang, Tuhan sahaja yang tahu betapa sesaknya komplek ini tetapi tidak pada hari itu (awal Mac), oh senangnya parking. Mungkin ramai yang masih takut untuk keluar, dan dengan penalti yang menakutkan, helo RM10 ribu jika gagal mematuhi SOP, membuat orang berfikir seratus kali untuk keluar, kecuali terpaksa. Entah mengapa saya yang berasa sayu, bila lapang sangat kebanyakan butik-butiknya, malah kala masuk ke restoran, kami tidak perlu beratur menunggu giliran dan senang mendapat tempat duduk. Timbul persoalan, berapa ramai lah yang sudah hilang pekerjaan semenjak pandemik ini; restoran tidak perlu ramai petugas di dapur, tidak perlu ramai pelayan. Butik juga tidak perlu sales assistant yang ramai, malah yang berpangkat top executives dan pengurus pun terpaksa mengosongkan jawatan.
Teringat pula cerita suami mengenai teman yang menjadi penyanyi di ‘coffee house’ sebuah hotel nun di Terengganu. Sebelum PKP lagi sang isteri yang juga penyanyi di situ menerima arahan tidak dibenarkan lagi menyanyi dari pihak hotel (yang menerima arahan dari majlis agama Islam Negeri, bahawasanya orang perempuan tidak boleh lagi menyanyi di khalayak kecuali dalam kumpulan penontonnya wanita sahaja). Maka hanya sang suami dibenarkan menyanyi, (tapi boleh pula penontonnya wanita, hah! itu yang peliknya). Mengadu lah dia kerana berdua pun pendapatan tidak mencukupi, kini seorang sahaja yang keluar mencari rezeki. Anak ramai, semua masih belajar, katanya isterinya kepandaian lain pun tiada. Dan sejak PKP setahun yang lalu, ‘coffee house’ yang seorang dua saja pengunjungnya, sudah tentu tidak memerlukan lagi penyanyi. Sekarang kedua-duanya menganggur, Allahu Akbar. Andai yang terbabit itu anak menantu kita dan anak-anak mereka masih kecil dan bersekolah, sedangkan emak ayah tidak ada pendapatan tetap, aduh senak. Sebak memikirkan nasib mereka.
Hari ini dia membuat segala macam kerja untuk memenuhi kehidupan yang penuh keperitan, membanting tulang empat kerat supaya setiap hari ada makanan di meja dan anak-anak dapat meneruskan persekolahan mereka. Jika terpaksa jual apa juga harta yang ada kerana perut wajib diisi setiap hari. ‘Struggles are required in order to survive in life, because in order to stand up, you gotta know what falling down is like.’
‘Small deeds done are better than great deeds planned.’ – Peter Marshall
Saya teringat juga empat bulan yang lalu kala membantu teman yang bersedekah makanan kepada gelandangan di Jalan Jalan Chow Kit. (saya bangga dengan kawan-kawan yang prihatin, andai waktu membenarkan, kami mahu terus memberikan mereka sedikit nikmat merasa makanan sama dengan kita makan.) Datanglah sekumpulan kanak-kanak membawa bekas makanan, “Abah bawa lori tak boleh rentas negeri, mama kerja cuci, dan majikan suruh cuti (kalau cuti tak bergaji).”
“Aunty boleh lebih sikit tak?” Berapa orang adik beradik? “Lima, tujuh campur mak dan abah.” “Tinggal mana?” “Flat.” Berapa bilik? “Satu.” Bertambah senak perut.
Sayu, ada gelandangan yang bila ada orang beri, dapatlah makan atau carilah air-air botol buangan orang untuk diminum. Ahh sedihnya, inilah keadaan di negara kita kini, rakyat kian hidup melarat. Itu yang di depan mata, bagaimana yang di kampung? Ada kata hidup di kampung senang. Siapa cakap? Tidak semua orang kampung ada rumah dan tanah bendang atau kawasan untuk bercucuk tanam atau senang-senang boleh jadi nelayan. Ada juga yang menyewa, bila si penyewa tidak membayar sewa rumahnya, tuan rumah pula jikalau itu sahaja pendapatannya, bagaimana? Dia perlu mencari penyewa lain.
Teman yang punya rumah di kampung yang sudah lama kosong, bercerita, di tengah malam dia menerima panggilan daripada kawannya di kampung. Ada sebuah keluarga yang minta sangat diberikan tempat berteduh. Mereka datang dari kota, sudah dihalau tuan rumah. Tidak tahu ke mana arah dan tujuan, malam itu, mengisi apa yang patut di perut kereta, tanpa mengetahui destinasi, membawa mereka ke Utara. Di stesen minyak dia menyapa seorang wanita dan bertanya di mana dia boleh menyewa murah-murah. Wanita itu teringat rumah pusaka datuk kawannya yang lama kosong. “Tapi rumah kami tu.. tak tahu lah boleh didiami lagi ke, entah-entah lantai dinding sudah reput, api air pun sudah lama dipotong, kami pun sudah bertahun tak balik kampung.”
Atas rasa simpati dia membenarnya keluarga baru itu mendiami rumah pusaka neneknya. Malah rumah saya di kampung pun didatangi sebuah keluarga berhajat untuk tinggal di situ, dan atas belas kasihan adik, dibenarkan tanpa caj kerana penyewa pun tidak ada pendapatan. Begitulah, keadaannya sekarang, di mana-mana terlalu ramai yang hidup susah.
Hakikatnya ramai sangat terkesan dengan kelembapan ekonomi negara dan virus Covid-19 yang belum reda. Sesuatu harus dilakukan segera!
Ramai juga dalam kesesakan paling boleh mereka lakukan ialah menjual makanan. Malah yang tidak tahu memasak pun hendak menjual makanan. Sabar aje lah kalau makanan yang dipesan, sering kali mengecewakan. Saya pernah berapa kali membuat pesanan, kadang-kadang hanya hendak membantu kawan, kadang-kadang hendak memberi semangat mereka yang hilang kerja, sekurang-kurangnya ada pendapatan untuk bayar sewa rumah dan hutang kereta. Beberapa kali juga pesanan, indah khabar dari rupa, kadang-kadang rupa pun tak ada. Ramai menyediakan tidak mengikut sukatan tepat, untuk mengurangkan kos barangkali, dan kerana memikirkan si penjual terpaksa melakukan kerja demi menyara keluarga, saya redha membayar walaupun rasanya menyedihkan. Jadi jangan kita mengungkit atau menghina mereka yang kadang-kadang buat kerana terpaksa, tetapi ini tidak bermakna mereka boleh menjual sesuka hati dan mengharapkan orang terus bersimpati.
Hidup ini susah dan kamu mungkin ingin menyerah, tapi ingatlah Tuhan mengasihi. Dia mendengar, Dia peduli bahawa kamu berarti!
Apa pengajaran atau ilmu yang kita semua perolehi akibat pandemik ini? Sebenarnya terlalu banyak. Bermacam cara pandemik mengajar manusia. Sedikit sahaja sebenarnya Allah cuit orang yang sombong dan bongkak dengan pandemik ini untuk menyedarkan mereka. Allah ingatkan kamu kerana tiada apa yang boleh disombongkan. Allah mengingatkan kamu Dia boleh ambil bila-bila masa; nyawa, kesihatan, harta atau apa sahaja yang kamu sayangi. Bila Allah berkehendakkan, seminit pun tidak diberiNya peluang. Allah bisa mencurah rezeki waktu sama Allah bisa menarik balik bila murka. Bila kamu lupa surahanNya, bila kamu rasa dunia ini seakan kamu yang punya, kerana kamu ingat kamu berkuasa, kamu ingat bila kamu ada nama, ada wang, kamu lah ‘Raja’ tetapi Allah benci semua ini, lalu Allah rentap. Maka sedar-sedar kamu yang bernama manusia.
Pandemik mendidik kita mengagumi kebesaranNya, mengajar manusia untuk tidak bertuhankan wang. Wang yang banyak sekalipun menjadi tidak berguna bila sudah sakit, bila tidak boleh keluar rumah, bila tidak boleh enjoy dengan duit kamu yang bertimbun itu.
Kamu rasa wang yang kamu miliki kamu seorang sahaja yang punya? Kamu gagal mengeluarkan zakat. Kamu ingat mengeluarkan 2.5 peratus (ke atas jumlah baki terakhir dalam tempuh setahun simpanan) daripada harta kamu itu, akan merugikan kamu, nah Dia berikan kamu virus. Kamu duduk lah di hospital dengan semua anggota badan termasuk muka berbalut, dan tidak seorang pun dibenarkan melawat. Atau Dia kurangkan ujian kepada kamu, kamu cuma negatif tetapi kena kuarantin di bilik. Di rumah sendiri pun kamu tidak bebas bergerak walau ke bahagian dapur. Ya, sebanyak mana kamu boleh meraikan hidup kalau kamu dihalang di rumah sendiri?
Allah benci kepada manusia yang tidak peduli akan nasib orang lain. Allah minta kita melihat sekililing, yang susah dibantu, yang melarat dan menderita, mereka inilah yang kamu wajib utamakan dulu.
Pendemik mengajar manusia supaya jangan memandang rendah kepada manusia yang lain. Semua insan di muka bumi ini sama di mata Allah. Yang membezakan adalah iman, amalan, ketaqwaan kita denganNya, yang Allah pandang adalah kamu yang bisa membahagiakan orang lain, lebih daripada kebahagiaan dirimu sendiri. Yang Allah sayang adalah kamu yang berbuat baik sesama insan, kamu yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk keselamatan dan kesejahteraan orang lain.
Allah menyedarkan kamu yang sombong kerana setinggi mana pun kelulusan kamu, Allah tidak pandang jika kamu jijik melihat orang yang miskin, daif dan yang tidak setaraf, tidak sekufu. Pandemik tidak melihat pada pangkat dan kelulusan kamu. Pelbagai kisah kita dengari. Seorang perempuan menyerang keluarga kekasih anaknya. Al maklum si kekasih cuma tukang masak di restoran sedangkan anak perempuannya berkerja sebagai jurutera. Apa kelasnya jurutera nak kahwin dengan tukang masak, dan tak malu pula masuk meminang. Bukankah Allah benci pada insan yang merasa dirinya besar, pandai dan gah. Tengok bagaimana pandemik mengajar si ibu. Anaknya dibuang kerja, jadilah anaknya ‘budak’ Grab, dan dia si tukang masak dengan pesanan makanannya bertimbun mengambil si bekas jurutera untuk membuat penghantaran ke merata tempat.
Kau yang suka menghina
Aku kasihan padamu.
Matamu dibutakan oleh kesombongan yang Fana
Semoga saat kau tersadar kau masih bisa
Melihat kebaikan dan punya kesempatan berujar maaf. Agar jalanmu di kehidupan selanjutnya tak perlu tersendat; dizaz.me
Jangan senang-senang menghina orang yang berjual makanan di gerai. Kamu singgah untuk membeli, dan kamu jerit dekat dia kerana sambal nasi lemak terpercik ke baju kamu. Siapa tahu jika esok kalau kamu dibuang kerja, entah-entah budak nasi lemak itulah yang akan memberikan kamu makan.
Pandemik juga mengeratkan lagi hubungan ahli keluarga. Allah suruh kita duduk rumah bermesra dengan keluarga. Allah suruh kita melayani mereka. Allah suruh kita bersolat berjemaah dan ajar anak-anak membaca Al Quran. Sebelum covid-19, jam 12 malam tidak tentu balik dari tempat kerja dan jam tujuh pagi sudah keluar rumah. Kadang-kadang hari minggu pun bekerja. Kesibukan menghalang suami isteri dan ana k-anak bertemu muka malah anak-anak diberikan smart phone, mereka gembira ada anak-anak kisah tujuan memberi belajar sebaliknya mereka memilih untuk main games.
Pandemik mahukan kita supaya tidak membazir dan berjimat cermat. Bila kepayahan mendapatkan bekalan makanan, baru kita tersedar betapa bernilainya sekampit beras, semangkok gulai dan seketul ayam. Allah juga mencegah kita bermegah-megah. Betapa sebelum ini ada berlumba-lumba menunjukkan kekayaan, kemewahan, berbelanja berjuta-juta untuk kenduri mengahwinkan anak misalnya. Belanja hiasan dewan sahaja enam angka, tempahan baju pengantin yang hanya dipakai sekali seumur hidup mencecah ribuan ribu. Makanan melimpah luah yang akhirnya jadi timbunan longkang. Sungguh Allah benci kepada perbuatan yang menyamai syaitan.
‘Orang yang tinggi adab walaupun kekurangan Ilmu lebih mulia daripada orang yang banyak ilmu tetapi kekurangan adab.’
Oh ya, cerita saya masih belum ke penamat. Kembali kepada kisah kami di KLCC, diheret teman dari satu butik ke satu butik yang lain. Orang yang berduit masih galak membeli. (tak mengapalah kerana kita tidak mahu semua sektor stagnant, sila kan yang berduit mengerakkan ekonomi). Katanya lebih setahun dia memendam hati. Saya faham, bila suami tidak pulang berhari-hari, malah sepanjang PKP, alasan tidak boleh rentas negeri lalu duduk di rumah bini yang satu lagi, sudah tentu isteri makan hati. Membeli demi membahagiakan diri.
Saya melihat teman tidak membeli banyak. Katanya tidak sampai hati kerana ramai di luar tidak makan dan dia rasa bersalah kalau belanja beliannya boleh menanggung 100 keluarga miskin berbulan-bulan mungkin setahun dua.
Dan di sebuah butik, masuk lah seorang hamba Allah. Disapa salah seorang daripada pembantu jualan, dengan pantas dia membetulkan, “Datin Sri.” “Maaf Datin Sri?” “Mana beg yang saya pesan dua bulan lalu, saya hendak tengok?” “Sekejab saya check? Tiga minit kemudian dia memberitahu beg itu sudah pun dijual. Allahu Akbar, satu butik mendengar makinya, satu butik dan semua mata ke arahnya. Siapa gerangan perempuan yang eksyen dan sombong itu? Teringat katanya, “Kamu ingat aku tidak berduit dan tak mampu beli. Butik ini pun kalau aku hendak, aku boleh beli, faham?”
Kami meninggalkan butik mewah itu tanpa mengetahui apa cerita seterusnya. Seperti yang saya katakan kepada teman, ada ratusan beg di situ mengapa menjerit bila yang diingini sudah ada pembeli. Betul lah pandemik tidak mengajar dia apa-apa, tidak insaf dengan apa yang terjadi sekeliling. Orangnya sombong dan tak ada kelas. Helo perempuan, shame on you. Ini bukan waktu untuk menunjuk-nunjuk, ini zaman keinsafan, waktu untuk kita memusahabah diri, masa kita memberi bukan mengagungkan apa yang dibeli. Masa kita berkongsi dan saling menyayangi. Dunia hari ini sudah tak kisah lah kalau kamu sandang apa sekalipun, Chanel ke, Birkin ke, orang sudah tidak peduli, who cares what you wear. Beg bukan ekoran kamu berjaya, kamu kaya raya atau kamu hebat. Beg adalah beg walau dibeli di kedai bundle sekalipun.
Rencana ini disiarkan di website getaran.my pada 27 Mac dan 10 April 2021. Sila layari getaran.my untuk pelbagai lagi cerita menarik