GAYA HIDUP

Kisah Caregiver @KanWork

Anda pernah dengar tentang penjaga pesakit kanser (caregiver)? Siapa caregiver? Apa peranan mereka? Dalam keluaran kali ini, KanWork akan kongsikan maklumat tentang caregiver.

Penjaga pesakit kanser merujuk kepada seseorang yang memberi bantuan dan sokongan kepada pesakit kanser yang biasanya terdiri daripada ahli keluarga, saudara serta rakan terdekat. Pelbagai peranan yang dilakukan oleh penjaga pesakit kanser. Peranan ini boleh berubah mengikut keperluan pesakit. Antara peranan penjaga pesakit kanser adalah :

  1. Membuat keputusan
  2. Mencari maklumat
  3. Menjadi perantara antara doktor dan pesakit
  4. Mengurus pesakit
  5. Memberi sokongan emosi, spiritual dan sosial
  6. Memperkasa pesakit (empowerment)

Sumber: Panduan untuk Penjaga Pesakit Kanser. (2019). Serdang : Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan.

[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”40″]
Caregiver @KanWork

KanWork berperanan memberi sokongan kepada pesakit/pejuang kanser atau sesiapa sahaja yang terkesan dengan kanser. Walau bagaimana pun peranan caregiver tidak dipinggirkan. Mereka ini sebagai tulang belakang pesakit kanser yang juga memerlukan sokongan dalam pelbagai aspek. KanWork sentiasa memberikan sokongan kepada caregiver ini samada ahli KanWork atau bukan ahli. KanWork mempunyai 30% ahli KanWork yang terdiri dari caregiver. Sama seperti sokongan pesakit, KanWork menyokong caregiver melalui sokongan rakan senasib mahu pun sokongan emosi. KanWork turut juga membangunkan bahan pendidikan seperti buku (Panduan Penjaga Pesakit Kanser) untuk memberi maklumat kepada mereka tentang mengurus pesakit serta risalah (Kisah Pejuang Kanser) sebagai sumber inspirasi mereka. 

Sokongan terhadap caregiver tidak terhad semasa mereka sedang menjaga pesakit. Ianya akan berterusan walaupun mereka telah kehilangan insan tersayang. Perasaan sedih (grieving) sentiasa menyelubungi mereka. Oleh yang demikian, KanWork akan memberikan sokongan dan sentiasa menghubungi mereka.  

Dalam situasi pandemik Covid-19, caregiver turut terkesan dengan keadaan tersebut. Pelbagai cabaran mereka hadapi seperti; bekerja dari rumah, mengurus pembelajaran dalam talian anak-anak di rumah, mengurus urusan rumahtangga, memasak dan lain-lain. Ada juga yang memulakan aktiviti berkebun untuk menghilangkan kerisauan. 

KanWork membuat inisiatif untuk menyediakan ruang kepada caregiver untuk berkongsi aktiviti sepanjang tempoh pandemik ini melalui Siri CERITA KAMI. Pelbagai cerita yang mereka kongsikan antaranya; pengalaman caregiver bersama anak-anak semasa PKP, tip menangani cabaran PKP, aktiviti berkebun, memasak bersama anak-anak serta pengalaman menjadi khatib raya semasa solat sunat Aidilfitri. 

Di sini, kami kongsikan dua Siri CERITA KAMI oleh dua orang caregiver. Masing-masing berpengalaman sebagai caregiver kepada isteri.  

Oleh: Dr. Mohd Faisol Ibrahim

(Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia / Ahli KanWork)

[thb_image alignment=”center” image=”13546″]
Pesakit Kanser Perlu Sokongan Kuat Orang Sekeliling

Seseorang yang dijangkiti penyakit kanser bukan kehendak mereka, sebaliknya ia satu ketentuan Allah SWT yang memilih mereka untuk diuji keimanan terhadap nikmat dunia yang sementara dan kesabaran serta redha. 

Pesakit kanser sering terganggu emosi disebabkan perubahan fizikal dan gaya hidup serta pandangan masyarakat terhadap mereka. Oleh itu mereka sangat memerlukan sokongan kuat daripada orang sekeliling. Sebagai penjaga pesakit kanser, kita perlu bersabar dan berfikiran positif serta tenang dan bijak untuk mengurus pesakit.

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pergerakan menjadi terbatas. Sebagai penjaga pesakit kanser, saya perlu kreatif mengisi masa isteri. Saya mengajaknya mengemaskan halaman rumah di samping menaikkan akar beberapa pokok bonsai bunga kemboja agar kelihatan cantik. Kami juga bercucuk tanam sayur-sayuran seperti sawi, ulam cekur, ulam raja dan sebagainya.

Kami lebih banyak masa bersama di Ramadan musim PKP lalu. Rutin pagi sibuk dengan menyediakan juadah bersahur. Di waktu petang saya dan anak-anak akan bergotong-royong memasak juadah berbuka puasa pula dengan tunjuk ajar isteri. Ini amat membantunya melupakan seketika kesakitannya. Demi merebut pahala berganda di bulan Ramadan, isteri mengambil peluang bersedekah terutama juadah berbuka. Waktu malam dihabiskan dengan solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah. Tugas saya sebagai imam manakala isteri akan memberikan komen dan nasihat kepada saya dan anak-anak selesai solat.

Sebagai penjaga pesakit kanser, kita perlu sabar dan memberi sokongan 100% kepada mereka tanpa rasa jemu. Sesungguhnya Allah SWT sangat suka kepada orang yang sabar dan bersyukur.

Oleh: Haji Badrulhaisham Shamsuddin

(Ahli Seumur Hidup KanWork/Ketua Biro Publisiti dan Komunikasi KanWork)

[thb_gap height=”40″][thb_image alignment=”center” image=”13547″][thb_gap height=”40″]
Caregiver Individu Penting Dalam Proses Penyembuhan Pesakit

Satu Syawal 1441 merupakan tarikh keramat bagi semua yang menjadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri. Pengalaman ini turut dirasai oleh saya sendiri, setelah sebulan menjadi imam solat tarawih, kini solat sunat Aidilfitri pula. 

Saya tinggal bersama tiga anak dan ayah mertua yang berusia 83 tahun di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk meraikan lebaran di rumah ahli keluarga yang lain di Bangi. 

Pagi 1 Syawal, saya bergegas mengejutkan anak-anak bersiap. Raya tetap Raya! Setelah berpakaian baju Melayu bersampin dan bersongkok, kami memulakan perjalanan sambil mendengar lagu raya. ‘Mood raya dah on!’. Terdetik dalam hati, kalau disuruh jadi imam macam mana? 

Setibanya di sana, ambil sunnah dengan menjamah sedikit juadah sebelum solat. Selepas itu, ayah mentua memberi sedikit ‘briefing’ dan membahagikan tugas. Mengambil afdal, tuan rumah (biras saya) jadi imam. Lega sebab nama tidak dicalonkan! Tiba-tiba, “… Badrul, baca khutbah Raya.” Alamak! Terus capai telefon dan cari teks khutbah dalam WhatsApp. Fuh! Nasib baik sempat baca sebelum ini. 

Selesai solat, saya terus berdiri untuk membaca khutbah. Saya baca dengan jelas, setiap ayat-ayat al-Quran cuba disebut dengan elok dan bertajwid. Rasa panjang pula khutbah ini. Sebagai seorang yang tidak pernah berkhutbah di mana-mana, memang berdebar walaupun di hadapan keluarga sendiri. Nasib baik aircond kuat. Kalau tidak, basah baju!

Alhamdulillah selesai khutbah pertama. Tibalah khutbah kedua. Macam pelik pula teks ini. Sebelum ini doa khutbah kedua ada terjemahan Bahasa Melayu, yang ini dalam Bahasa Arab! Alamak! Silap download!. Banyak sangat teks yang ‘available’ dalam ‘pakcik Google’ ini, terambil yang susah pula. Nasib baik permulaan doa khutbah telah melepasi syarat sah khutbah. Selepas itu, saya membaca doa yang saya hafal. Alhamdulillah, selesai. ‘Bravo Badrul!’

Saya pasti peluang menjadi imam dan khatib merupakan pengalaman yang tidak ternilai. Inilah norma baharu. Semuanya jenis ‘DIY, do it yourself’. Pengalaman ini mengajar saya tentang pentingnya ilmu dan pendedahan dalam setiap amalan supaya kita lebih peka dan bersedia untuk menjadi muslim yang lebih berwibawa. 

Caregiver adalah individu penting dalam proses penyembuhan setiap pesakit kanser. Pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi dan ianya semakin bertambah khususnya dalam pandemik ini. Walau apa pun, caregiver terus berfikiran positif dan sentiasa mengambil tindakan yang bersesuaian dalam keadaan sekarang demi penyembuhan insan tersayang.

Sila layari Page Facebook KanWork (https://www.facebook.com/kanwork.official) untuk ikut lain-lain kisah Siri CERITA KAMI. KanWork menyediakan talian Helpline secara percuma untuk yang ingin mendapatkan sokongan rakan senasib dan maklumat kanser (1 800 22 8672).

Maklumat lanjut :
Tel/Faks: 03 – 8940 8672
Web: https://www.kanwork.org/
Blog: https://kanwork.blogspot.com/
Facebook: https://www.facebook.com/kanwork.official
Instagram: https://www.instagram.com/kanwork_official
Twitter: https://www.twitter.com/kanworkofficial
YouTube: Persatuan Kanser KanWork
[thb_gap height=”40″]

Related posts

Garnier Malaysia Memperkasa 1,000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan

adminwm

“Ceraikan I, ceraikan I,” Dari Banglo Mewah, Kini Merempat Di Flat

admin

Kate Spade New York Meraikan Wanita

admin

Leave a Comment