GAYA HIDUP

Tisham & Janna Kini Bersatu

Sekitar majlis pernikahan dan persandingan
Mohamed Ihtisham Hisham dan Nur Janna Syaqira Ahmad Nur Hisham

Pagi yang penuh bersejarah. Tarikhnya 31 Disember 2017.

Cuaca di pagi Ahad itu baik sekali. Tepat jam 10, tujuh jejaka tampan berpakaian serba merah bersampin songket hitam masuk di perkarangan rumah pengantin perempuan. Menunggu di ruang tamu ialah ahli keluarga sebelah lelaki dan ahli keluarga tuan rumah.

Hantaran dipersembahkan. Sejurus kemudian tujuh gadis jelita berpakaian serba merah menuruni anak tangga berarak ke ruang yang indah berhias, mempersembahan hantaran mereka. Doa mengiringi pengantin lelaki yang mengambil tempat khas. Majlis bermula dengan doa dan istiadat bertukar barangan hantaran.

Tujuh bekas dibalas sembilan. Cantik berseri, pihak lelaki menggunakan khidmat Puan Azliny Ahmad yang memang terkenal dengan gubahan-gubahannya yang sungguh unik. Tiada pernah sekali katanya, dia menghias dengan rupa yang sama, kerana setiap manusia bercita rasa berbeza dan sudah tentu hiasan pun lain daripada sebelumnya. Sementara di sebelah pengantin perempuan, pengantin perempuan sendiri yang menghias ke semua sembilan dulang.

“Janna mahu peristiwa yang paling bersejarah dalam hidup Janna, Janna kenang sehingga ke akhir hayat. Janna gembira dapat merealisasikan impian Janna, menghiasinya sendiri.” Sambil tersenyum katanya, “Jarang pengantin membuatnya sendiri,” katanya tersenyum pabila ditanya mengapa dia tidak menggunakan khidmat juruhias.

Irama Timur Tengah berkumandang mengiringi pengantin perempuan masuk dan mengambil tempat di singgahsana yang indah. Sungguh jelita, menggenakan gaun putih berulam dengan renda.  Menemaninya kiri kanan dua gadis jelita, adik kepada pengantin perempuan.

Upacara akad nikah bermula. Dengan mas kahwin RM1100.01 Janna Nur Hisham yang diwalikan oleh adik lelakinya, sah menjadi isteri kepada Ihtisham Hisham.

Selesai majlis kelihatan seorang wanita membawa mangkuk berisi kismis dan campuran buah-buahan kering, dan meminta tetamu mengambil sebiji dua sebagai pemanis mulut dan mengambil berkat majlis penikahan tersebut. Sementara itu tetamu kedua pihak mengambil kesempatan bergambar dengan pengantin, sebelum beredar ke ruang khas untuk sarapan sepenuhnya di pagi itu.

Sementara itu di rumah seorang jiran, pengantin lelaki bersiap sedia untuk bertukar pakaian. Daripada baju Melayu serba putih bersampin songket dan bersongkok hitam, pengantin tampak tampan dalam pakaian baju songket lengkap bertanjak. Pengantin diarak kembali ke rumah pengantin perempuan yang menunggu di ruang khas untuk berjalan bersama ke singgahsana.

Majlis merenjis dan ucapan ringkas daripada ibu pengantin kedua belah pihak. Serba sedikit nasihat untuk anakanda keduanya sebagai memulakan penghidupan baru sebagai suami isteri.

Tetamu sekali lagi ke taman yang berhias cantik untuk hidangan tengahari sementara itu pengantin diraikan dengan majlis makan beradap.

Selamat pengantin baru kepada kedua mempelai. Doa kami semoga bahagia sehingga ke Jannah.

Related posts

MOSTA, MPOC, NONOSUGAR MERAIKAN KEMENANGAN PARA PEMENANG OLIMPIK KULINARI 2024 MALAYSIA

adminwm

Embark on a Winter Adventure in Western Australia

adminwm

HARI SINDROM DOWN SEDUNIA 2023

adminwm

Leave a Comment