
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau kepada industri seni kreatif tanqhair, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media oleh Universiti Sunway.
Walaupun ramai tidak terkejut denaan penganugerahan tersebut kerana kejayaan dan kewibawaannya, namun Siti berasa amat teruja. Dalam satu kenyataannya, beliau menyifatkan pengiktirafan daripada Fakulti Seni dan Sains Sosial universiti tersebut sebagai satu penghormatan yang amat besar dalam perjalanan kerjayanya sebagai seorang penyanyi terkenal negara.
Siti berkata, anugerah tersebut bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap perjalanan seni beliau, malah satu penghormatan kepada industri muzik dan seni kreatif Malaysia secara keseluruhannya, yang mana kejayaannya ini akan menjadi contoh dan menjadi ice breaking moment kepada generasi dan muka baru dalam industtri untuk masa depan.
Siti menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana, dengan izinNya beliau dapat menerima Ijazah tersebut, sesuatu yang tidak pernah beliau duga selama ini.
Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Universiti Sunway ini merupakan satu penghormatan yang amat besar dan julung-julung kali dianugerahkan.
“Ini bukan sahaja satu penghargaan terhadap perjalanan seni saya, malah pengiktirafan tertinggi buat semua pihak dalam industri muzik dan seni kreatif di Malaysia,” katanya.


Beliau amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Universiti Sunway atas usaha mereka itu dan memilihnya. Penghormatan yang amat bermakna ini, telah turut Siti kongsikan dan dimuat naik di laman Facebook beliau.
Secara tidak langsung katanya, pengiktirafan itu turut mencerminkan sikap, peneriman serta tanggapan masyarakat terhadap dunia seni hiburan. Kini terbukti adanya peningkatan penghargaan dan penghormatan yang dinikmati oleh industri seni kreatif dan media dalam kalangan komuniti akademik.
Siti melahirkan harapan agar anugerah itu dapat memberi inspirasi kepada artis tempatan dan generasi muda untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti yang boleh menjulang nama Malaysia.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media merupakan satu profesion yang sangat dihormati dan berprestij dalam dunia akademik.
“Semoga anugerah ini memberi inspirasi kepada generasi muda dan artis tempatan untuk terus menghasilkan karya berkualiti tinggi dengan penuh integriti, sambil mengangkat martabat seni dan budaya kita ke tahap yang lebih tinggi. Terima kasih @sunwayuniversity,” katanya.


Siti bersiap sedia sambil dibantu Pengurus Peribadinya dan beberapa petuga Universiti aSunway. (photo: Facebook peribadi Dato Seri Siti Nurhakiza)
Dalam pada itu, pihak Universiti Sunway juga mengucapkan tahniah kepada Siti atas kurniaan ijazah kehormat tersebut, dan menyatakan bahawa sudah tiba masanya pengiktirafan itu diberikan pada seorang ikon seni yang berjaya dan konsisten pencapaiannya.

Sesugguhnya kecemerlangan dan perjalanan seni Dato Seri Siti sejak awal hingga sekarang telah memberi inspirasi dalam industri seni kreatif.
Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atas penerimaan Ijazah Sarjana Kehormat Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Sunway.
