Bagaimana persiapan kita menyambut Ramadan? Apakah amalan terbaik di bulan yang mulia ini?
Berikut 11 langkah bagi persiapan bulan Ramadan:*
Taubat yang tulus dan ikhlas
Taubat merupakan kewajipan di setiap masa, tetapi kerana mendekati bulan yang agung lagi diberkati maka taubat lebih baik disegerakan atas dosa yang dilakukan kepada Allah atau pun dosa yang dilakukan kepada manusia.
Hal itu dilakukan agar apabila masuk bulan yang diberkati ini dia dapat menyibukkan diri dengan pelbagai ketaatan dan ibadah dalam keadaan jiwa dan hati yang tenang.
Firman Allah:
وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” [al-Quran surah an-Nor 24:31]
Daripada Al-Aghar bin Yasar daripada Nabi ﷺ:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Maksudnya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari 100 kali.” [HR. Muslim, 2702]
Berdoa agar dipertemukan dengan Ramadan
Telah diriwayatkan daripada beberapa ulama terdahulu bahawa mereka berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan, kemudian mereka berdoa lagi kepadaNya selama lima bulan sesudah itu sehinggalah Allah menerimanya.
Untuk itu hendaklah seorang muslim berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan Ramadan dalam keadaan baik agamanya dan sihat badannya, berdoalah agar Allah memberi pertolongan dalam melakukan ketaatan, serta berdoalah agar Allah menerima amalannya.
Bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan
Kedatangan bulan Ramadan merupakan salah satu rahmat Allah yang besar bagi umat Islam kerana ia salah satu bulan kebaikan di mana pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, dan ia adalah bulan Al-Quran.
Firman Allah:
قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ
Maksudnya: Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira.
"Kurnia Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan."[al-Quran surah Yunus 10:58]
Segera mengganti puasa
Aisyah berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلا فِي شَعْبَانَ.
Maksudnya: “Aku pernah tidak berpuasa di bulan Ramadan dan kau tidak dapat menggantinya melainkan di bulan Syaaban.” [HR. Bukhari, 1849 & Muslim, 1146]
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Dan dapat difahamkan daripada kesungguhannya mengganti puasa di bulan Syaaban menunjukkan bahawa tidak boleh mengakhirkan mengganti puasa sehingga masuk Ramadan yang berikutnya." [Fathul Bari, 4/191]
- Mempelajari dan ulang kaji tentang hukum-hukum puasa dan mengetahui fadilat-fadilat Ramadan.
- Segera menyelesaikan kerja-kerja yang boleh mengalihkan perhatian seorang Muslim daripada beribadat pada bulan Ramadan.
- Berkumpul dengan keluarga termasuk isteri dan anak-anak untuk memberitahu mereka tentang hukum puasa dan menggalakkan budak-budak agar berpuasa.
- Menyediakan beberapa buku yang boleh dibaca di rumah, atau memberikannya kepada imam masjid supaya dia boleh membacakannya kepada orang ramai pada bulan Ramadan.
- Membanyakkan puasa di bulan Syaaban sebagai persiapan untuk puasa di bulan Ramadan
Salah satu manfaat puasa di bulan Syaaban adalah agar merasa terbiasa dengan puasa di bulan Ramadan sehingga apabila masuk Ramadan seseorang dapat menjalankan puasa dengan senang tanpa susah payah dan tidak ada perasaan berat.
Membanyakkan bacaan Quran.
Salamah bin Kuhail berkata: "Bulan Syaaban disebut sebagai bulan Qurra’ (ahli Quran). Apabila bulan Syaaban tiba, Amr ibn Qais menutup kedainya dan meluangkan masanya untuk membaca al-Quran."
Bagi sesiapa yang ada rezeki, sebelum puasa tiba hendaklah memberi hadiah seperti kurma atau memberi sumbangan untuk berbuka puasa kepada fakir miskin atau anak yatim atau ibu tunggal atau kerabat atau kawan, atau selainnya.
Hal ini dilakukan bagi membantu dan meringankan beban mereka malah ini termasuk amal kebaikan yang pahalanya dilipat gandakan.
Jika mereka berbuka puasa dengan makanan yang kita sumbangkan maka InsyaAllah kita akan mendapat pahala puasa mereka dengan sempurna.
Diriwayatkan oleh Zaid Ibn Khalid Al-Juhani bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.” [HR. At-Tirmidzi: 807. Hadis sahih]
Semoga dapat diambil manfaat.
Wallahu taala a’lam
Sumber Artikel: https://islamqa.info/ar/answers/92748/: al-Isti’dad Li Syahri Ramadan dengan diringkaskan dan sedikit penambahan.
Unit Dakwah Yayasan Ta’lim
AHMD