Siapa yang banyak mengalirkan air mata kerana manusia, dia akan kurang mengalirkan air mata kerana Allah. Siapa yang banyak menangis kerana makhluk, mahupun kerana kereta tercalar atau kerana rumah serba kekurangan atau bab-bab dunia yang lain, berhati-hati kerana bimbang akan kurang menangis kerana al-Khaliq iaitu kerana Allah. Sebaliknya, orang yang kurang menangis kerana makhluk, dia akan banyak menangis kerana Allah.
Perlu diingat, ujian tidak akan lari.
Kita tidak boleh minta kita tidak diuji kerana jalan menuju syurga Allah adalah jalan ujian. Yang kita boleh minta pada Allah adalah hati yang kuat. “Ya Allah jadikan aku orang sabar.” Atau kita menyeru nama Allah dengan asmaul husna, ‘ya Sabur, ya Sabur, ya Sabur’ (nama Allah) kerana yang paling sabar adalah Allah. Dia sangat sabar dengan kita dan sudah memberi segala yang kita perlukan, tetapi mulut kita tidak pernah berhenti mengeluh.
Kalau kita dengar anak kita atau suami kita mengeluh. Kita sudah penat memasak tiba-tiba suami mengeluh, “Kenapa lauk terlebih masin?” Kita jawab, “Awak ni tak reti bersyukur ke? Saya dah masak penat-penat. Isteri orang lain jejak dapur pun tidak.” (Contoh)
Kita tidak boleh mendengar keluhan manusia terhadap kita tetapi Allah saban hari mendengar keluhan kita sedangkan Dia adalah Ya Malik; telah memberikan semuanya kepada kita. Sebab itu bila kita lemah jangan minta, “Ya Allah selesaikanlah masalah, ringankanlah…” sebaliknya berdoa, “Ya Sabur, ya Sabur, ya Sabur (seru nama Allah) berikan aku kesabaran.”
Kita perlu ada motivasi yang kuat, “Ya Allah aku mahu berhenti menangis kerana makhluk.” Siapa yang banyak menangis kerana makhluk kena bersedia menderita seumur hidup. Ada wanita yang sudah tidak punya air mata kerana suami waima kerana anaknya kerana Allah sudah memberinya keindahan menangis kerana Allah SWT.
Dalam satu riwayat yang sahih, Abu Hurairah sahabat Nabi SAW menyampaikan satu hadis nabi yang sahih; Nabi bercerita sambil menangis, “Aku diberi gambaran umatku yang telah diheret untuk dilemparkan ke dalam neraka. Apabila nak dicampakkan ke dalam api neraka, tiba-tiba sehelai daripada bulu matanya berkata kepada Allah, “Ya Allah, sesungguhnya nabiMu SAW pernah bersabda, air mata yang mengalir kerana Allah tidak akan disentuh oleh api nerakaMu selama-lamanya. Aku menjadi saksi kepada hambamu ini, dia pernah mengalirkan air mata keranaMu ya Allah.”
Terus api neraka yang sedang menyala nak membakarnya itu padam, kemudian dia dirahmati Allah dan dikeluarkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga Allah SWT.
Wanita sinonim dengan air mata; sikit-sikit menangis.
Wanita yang solehah itu bijak mengalirkan air mata untuk apa? Sebab air mata dan wanita tidak boleh dipisahkan. Berdoa supaya diberikan satu kekuatan pada hati, “Ya Allah bantu aku dengan kekuatan supaya tidak menangisi hal-hal dunia.” Kerana hal dunia, selagi mana kita hidup akan diuji dengan bermacam hal dunia. Sebab itu juga hadis Nabi SAW ada menyebut, “Barang siapa yang banyak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat, manakala siapa yang banyak menangis di dunia akan ketawa di akhirat.”
Subhanallah, Mashallah, Alhamdulillah…
Jadi para wanita, menangis itu bukannya tanda lemah, tetapi menangis itu tandanya anda kuat.
Sumber: Facebook Kuliah Ustaz Wan Hizam