Seorang teman bertanya, “Kenapa permaisuri dan puteri Raja zaman sekarang fesyennya biasa?” Sambungnya, “Kalau kita tengok mendiang Puteri Diana sewaktu hayatnya bergaya glamor. Katalah kita tidak tahu status Puteri Diana itu sekalipun, tetapi melihatkan penampilannya kita boleh agak dia dari kalangan keluarga Diraja.”
Jawab saya, “Itu zamannya lain. Waktu itu orang biasa berpakaian ringkas dengan t-shirt dan jeans jadi mungkin permaisuri dan puteri-puteri Raja ini perlu ‘up‘ gaya mereka supaya nampak ada perbezaan dengan rakyat jelata. Sebab itu fesyen Puteri Diana ke acara karpet merah tidak ubah macam puteri yang kita lihat dalam cerita kartun dulu-dulu.
Zaman sekarang berbeza. Orang biasa bergaya beria-ria. Bukan saja ke majlis glamor, yang nak ke KLCC pun pakai baju sudah setara artis. Jadi mungkin atas sebab itu golongan Diraja ini tampil minimal. Namun kena tengok jugalah siapa gerangan Diraja itu. Ada antara mereka yang memang selesa memakai persalinan sederhana dan ada juga yang betul-betul bergaya. Sebagai contoh, kita ada DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom yang selalu kita pakaiannya yang glamor dengan sekuin, batuan berkilau, renda. Barang kemas yang disarung pun jenis besar-besar dan rekaannya memang selayaknya dipakai seorang permaisuri. YAM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman pula lebih polos pilihan fesyennya, siluet yang lebih simple dan rambut pun bersisir ringkas sahaja.”
Penampilan berubah mengikut peredaran masa. Jika rakyatnya bergaya over, yang Raja-raja pula ke arah sederhana dan begitu juga sebaliknya. Adakah ini jawapan paling tepat? Untuk saya ya, lagi pula itu yang saya lihat. Cumanya perlu juga tahu yang mana golongan high society ranking paling atas ini tidak memilih sendiri gaya mereka sebaliknya ada sekumpulan penata gaya yang melakukannya. Jadi persalinan permaisuri dan puteri Raja ini tidak dipilih semena-mena sebaliknya diambil kira waktu, lokasi dan apa majlis yang dihadiri mereka.