FESYENJantra Naqiah Simply Love Fashion

Pakaian Menunjukkan Kepribadian

Assalamualaikum, para pembaca setia majalah WM. Biar saya memperkenalkan diri saya. Nama saya ialah Jantra Naqiah. Meminati fesyen sejak kecil, saya suka tengok gaya arwah opah dan ibu saya. Opah sering menemani arwah atuk menghadiri majlis-majlis rasmi negara khasnya, dan pelbagai majlis santai. Atuk, Tun Abdullah Ayub, adalah Ketua Setiausaha Negara waktu tu, sudah pasti sebagai isteri, opah perlu berketerampilan sesuai dengan majlis dan tempat.  Opah mengambil berat setiap inci gayanya, dari hujung rambut ke kaki. Opah juga menitik berat penampilan wajahnya, sentiasa bersolek dan berdandan. Dan rumah kami sering didatangi tetamu, maka itu opah sentiasa rapi dengan kurung sedondonnya, mencalit sedikit gincu dan celak. Opah sentiasa ceria menerima kedatangan tetamu dari jauh dan dekat. Pesan opah, sentiasalah nampak segar dan lawa menyambut tetamu yang tidak kira masa hadir. Opah mendidik anak-anaknya supaya sentiasa kemas, dia tidak mahu anak-anaknya selekeh. Mama mendapat ilmu bergaya daripada opah, cuma mama lebih memilih pakaian moden. 

Pada saya opah dan mama sangat ‘fashionable’. Membuat saya menyimpan cita-cita untuk mendalami ilmu fesyen. Saya pernah mengambil kursus fesyen di Olympia College, dan sewaktu keluarga saya tinggal di luar negara, banyak ilmu fesyen yang saya pelajari membuatkan saya berhasrat menjadi ia sebagai kerjaya. Berkecimpung dalam industri selepas tamat pengajian pada 2008, dan tahun sama saya mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen, alhamdulillah mendapat sorakan gemuruh dan semua pakaian saya habis dijual pada hari itu. Ini menaikkan semangat membuat saya lebih yakin inilah bidang yang mahu saya jadikan kerjaya. Inilah antara gambar-gambar daripada fashion show tersebut. 

Pada mulanya saya hanya mereka baju untuk keluarga dan rakan-rakan tetapi selepas itu saya memberanikan diri menjual kepada semua dan menerima tempahan klien. Saya mula dengan menjual dalam online. Melalui Facebook dan juga Instagram. Saya designs khusus untuk wanita dan kanak-kanak. Daripada baju, seluar, dress, baju pengapit, baju pengantin dan baju Raya.

Trend Kini Berwarna Warni dan Ceria

Di luar negara sekarang ialah musim panas (summer). Banyak trend yang baru menarik sesuai digayakan oleh wanita di sini khasnya.  Berwarna-warni. Warna yang ceria dan cantik, sekurangnya dapat menghidupkan perasaan jemu dengan pandemik ketika ini. Betul kita lebih banyak menghabiskan masa di rumah, tidak semestinya tidak boleh melaram mahupun mengambil ilmu daripada gaya mereka. ‘Style is something each of us already   has, all we need to do is find it.’ – Diane von Furstenberg

Elok kita semua tahu akan perkembangan semasa, dan gunakan waktu ini sebagai persediaan hari esok apabila PKP dilonggarkan. Gaya pada saya seeloknya dilengkapi  seperti memakai aksesori, contohnya memakai beg berwarna kuning dipadankan warna tona sorbet pastels. Berikut adalah gambar-gambar untuk trend musim panas ini. 

The dress must follow the body of a woman, not the body following the shape of the dress,” – Hubert de Givenchy

Sesuatu yang tidak patut dilakukan, kita memilih pakaian kerana ramai memakai sebegitu rupa. Kerana tidak mahu ketinggalan gaya, kita turut menggayakan walhal bentuk badan kita tidak serupa dengan kawan-kawan yang mengikut trend terkini, kita mungkin kurang dari segi ketinggian dan berat badan dan begitu juga dengan pilihan fabrik. Ini memainkan peranan untuk sesuatu rekaan. Ada fabrik tidak sesuai dibuat long dress umpamanya, ada fabrik tidak menarik untuk sesuatu design, tetapi yang lebih penting di sini kita belajar memilih sesuatu gaya sesuai dengan bentuk badan, berat dan ketinggian. Juga dengan warna kulit, ia memainkan peranan penting supaya gaya kita sentiasa nampak ‘ada kelas’. Saya tidak mahu bercakap mengenai jenama, kerana ramai menjangkakan kalau sudah Hermes atau Chanel disangkut di bahu, semuanya menjadi cantik. Pada saya ia tidak betul sama sekali.

Saya juga ingin menasihati agar anda memakai pakaian yang sesuai dengan umur. Adalah tidak menarik sama sekali wanita berusia misalnya 60-an mengenakan dress sendat, tanpa lengan dan singkat, say mini skirt. Walaupun dia masih mengekalkan kelangsingan bentuk badannya, tetapi perhatikan, sesuatu masih tidak kena, seperti otok-otok pada lengan dan paha sudah kendur, ini sebagai contoh. 

Buat apa memakai pakaian yang sudah tidak layak dipakai, jikalau masih ada baju yang lebih layak dipakai. Pakaian bagaikan kulit kedua, sehingga gaya berbusana mampu mencerminkan kepribadian penggunanya.” –  Anne Avantie.

Maka saya sarankan untuk mengenakan potongan lebih simple dan ringkas, contoh skirt labuh dan celana potongan lurus ‘straight cut’ dan baju yang berlengan. Dan bagi wanita muslimah saya lebih senang melihat wanita-wanita ini memilih untuk bertudung. Bercakap tentang tudung, nanti di keluaran seterusnya akan saya bawa gaya-gaya bertudung dan pilihan memakai tudung yang sesuai dengan bentuk muka, juga  keselesaan waktu sama mengenai warna dan sebagainya.

Bagi yang memiliki tubuh bersaiz ‘petite’, anda beruntung, kerana banyak gaya yang boleh anda kenakan, dan sama ada warna terang mahupun gelap, ia sesuai. Colour blocking juga sesuai untuk mereka ini. Tambah dengan memakai aksesori dan juga kasut tinggi. Bagi yang memiliki tubuh yang ‘oversize’ pula, lebih sesuai memakai pakaian yang longgar dan juga corak yang kecil.  Baju tidak ketat sampai melekat di tubuh dan nampak ketulan mahupun terlalu besar, buat nampak lebih besar. Dan sekali lagi yang penting ialah jenis fabrik. Untuk ‘complete look’ pakailah aksesori, beg mahupun kasut yang cantik. Jangan lupa bersolek. Sekurang-kurangnya foundation/ powder dan gincu. Agar tidak kelihatan pucat dan lesu. Perlu bijak untuk ‘mix & match’. Tidak perlu memakai semua warna yang sama. Contohnya, boleh memakai baju hitam dan juga seluar putih berserta kasut yang bercorak. 

Satu hal yang mahu saya sebut, anda mesti merasa yakin dan gembira bila mengenakan. Ini pun mengikut kesesuaian tempat. Saya pernah hadir pada satu majlis perkahwinan, helo kenapalah kamu pakai gaun putih sendat berlabuci sedangkan itulah pakaian terbaik si pengantin? Tolong jangan overshadow dia, ia hari istimewanya, biarlah dia yang tercantik pada hari itu, kasihanlah pengantin, kalau kamu yang menjadi perhatian. 

Saya berharap agar pembaca terhibur dengan column saya hari ini. Semoga semua dilindungi Allah daripada covid 19 dan stay safe. Jumpa lagi pada bulan hadapan. 

Saya pinjam kata mutiara fesyen oleh Pharrell William, “Fashion has to reflect who you are, what you feel at the moment and where you’re going.” 
Jantra Naqiah love fashion.  Jika anda ada soalan, atau hanya mahu berkongsi maklumat, saya boleh dihubungi di fb:Jantranaqiah  atau masuk ke website majalahwm.com

Related posts

LOVE, BONITO MERAIKAN IBU BERSALIN

adminwm

‘Very Peri’ Warna Keramat 2022

adminwm

Kate Moss & Anak Perempuannya, Tetamu Yang Tidak Dijangka Di Pernikahan Diraja Princess Eugenie

admin

Leave a Comment