Masuk dua tahun Aidilfitri sepi dan suram. Keheningannya terasa amat. Anak menantu dan cucu juga sama merasai lebih-lebih lagi bila melihat Sheraaz yang tidak beberapa suka makan, memberitahu great grandmanya, “I love your butter cake per dadi.” Dan airmata orang tua itu berlinangan; keknya, kuah kacang dan rendangnya memang tiada siapa yang boleh lawan dan menjadi kegemaran arwah anak tunggalnya itu.
Hanya anda yang kehilangan orang yang disayangi akan merasai nikmat kebahagiaan bila semua berkumpul pada hari yang mulia ini dan bila seorang sudah tiada, sakitnya tidak tertanggung, dan hanya dengan cerita sekeping kek boleh mengeluarkan airmata.
“Dadi makanlah”… saya melihat Imtiaz bangun dan memujuk neneknya. “Dada will not be happy if perDadi is sad,” pandai cicitnya menjawab.. Dan airmata orang tua itu dikesat oleh cucu kesayangannya. “Macam tak menjadi kuah kacang Dadi, rasa tidak sedap,” dia cuba mengalihkan cerita. “Sedap,” Tisham memujuk neneknya, siapa boleh lawan kuah kacang Dadi,” katanya.
Dalam tidak beberapa sihat nenek Tisham tetap teruja memasak untuk menjamu cucu-cucu dan cicit-cicitnya. Memastikan hidangan tradisional tetap menjadi hidangan utama di meja makannya. Di satu meja yang lain manisan seperti dodol, wajik dan bahulu… kadang anak menantu cucu tidak pun menyentuhnya tetapi demi menjaga adat dan tradisi zaman berzaman, dia tidak mahu makanan-makanan itu hilang dalam arus kemodenan. Boleh sahaja masak spaghetti dan makaroni bakar, lagi senang setengah jam beres dan pasti licin, sebaliknya memasak rendang dan ketupat nasi dan ketupat palas mengambil masa berjam-jam. Dari pagi penyediaannya dan hingga ke malam baru beres. Begitu pun, hidangan Raya bukan pasta dan KFC, tolong jangan merosakkan budaya dan warisan kita dengan hidangan fast food yang ada di setiap kawasan perumahan kita dan boleh makan hari-hari. Sedangkan ketupat dan lemang adalah hidangan special, dimakan pada majlis istimewa sahaja seperti Hari Raya.
Saya menulis ini kerana saya pun tidak menyangka bahawa adanya orang kita yang tergamak menjamu KFC di pagi Raya. Malas memasak sekalipun bukankah gerai-gerai lemang dan ketupat banyak? Go and buy lah… atau tempahlah, ramai kawan-kawan sudi menambah pendapatan di musim perayaan ini. Sedih bila teman Tionghua saya memberitahu, dia dihidangkan dengan ayam salut tepung itu di rumah kawannya. “Wirda can we beraya rumah you? Susan dan Alice menghubungi. “We want to makan your ketupat and rendang, hah.”
Bagaimana lagi kita memuliakan Hari Raya? Selain mengutamakan hidangan warisan, kita juga menyambut mereka dengan berpakaian yang serba cantik berbaju Melayu. Begitu juga yang bertandang, tolonglah your jeans and off shoulder top simpan untuk ke pasaraya atau ke pawagam tetapi di Hari Raya hormat tuan rumah atau yang menyambut tetamu dengan baju Melayu atau paling kurangnya abaya. Sekurangnya ia jauh lebih sopan daripada mengenakan denim. Sedih bila ada orang kita yang tidak pernah belajar bagaimana to dress up bila hadir pada majlis-majlis penting seperti Hari Raya atau majlis kenduri kendara Melayu. Tidak perlu pun tuan rumah meletakkan dress code, kamu mesti faham sendiri, yang datang meraikan majlis nikah kahwin, mahupun kenduri tahlil atau yang bersangkutan dengan adat dan keagamaan tidak perlu fikir panjang, nak pakai apa. Kerana dengan berbaju Melayu sahaja kamu tidak akan salah tempat. Semoden mana pun kita, tinggal di London dan New York 30 tahun sekalipun kalau kamu bangsa Melayu, cuba hormati bangsa kamu dengan mengenakan pakaian yang melambangkan keunikan bangsa kamu itu. Jangan membuat orang menoleh seratus kali melihat kamu berkemban dan baju yang menampak pusat di majlis Hari Raya atau kenduri kahwin. Dan bagi kaum lain, berpakaian modest, inilah yang terbaik, sekalipun kamu miliki bentuk badan cantik, elak pakaian mendedahkan, ini Hari Raya bukan girls and boys party.
Cerita lagi tentang baju Raya. Betul, janganlah sampai 30 helai baju baru kerana Hari Raya disambut orang kita sampai sebulan. Betul diikutkan hati memanglah setiap kali bertandang pada majlis rumah terbuka, pasti tidak mahu baju sama, tetapi melampau kalau berhabisan di situ. Memadai tiga empat helai baju baru dan tidak salah ulang pakai mahupun mengenakan semula baju yang banyak di almari. Al kisah baju kurung tradisional misalnya dan kebaya fesyennya kekal sepanjang zaman.
Dan sampai hari ini saya tidak boleh melupakan majlis di sebuah hotel terkenal, dihadiri tetamu-tetamu vvip antaranya pembesar negara kerana atuk pengantin juga pernah menyandang jawatan menteri. Sayugia, ayah pengantin perempuan membawa isteri barunya (Melayu) dan membuat satu dewan ternganga seketika kerana sebaik mereka dijemput ke pentas, hampir terkeluar biji mata tetamu bilamana pakaian si ibu tiri sungguh ‘maut’. Ya terdedah seluruh belakang. Dan saat sang isteri berjalan mengikuti suami berjabat tangan dengan tetamu, butang baju hadapan terbuka, dan terburai buah dadanya… Allahuakbar, malunya. Pendek cerita, mengapa buka aib sendiri di khalayak, dan tidak cukup dengan baju terdedah di belakang pada majlis itu, tiba masa bertandang dia hadir berkebaya pendek tetapi kainnya yang terbelah bila duduk sebahagian besar pehanya terdedah. Orang kampung tutup mata.
Itulah namanya dia tidak tahu adab. Beradab jauh lebih penting daripada segalanya. Tak ada ilmu yang didapat tanpa adab yang mendahului.
Dan satu lagi, bukankah Hari Raya hari paling istimewa; berjabat mesra mohon dimaafkan segala dosa jika terlepas kata mahu pun mengata. Inilah masa bermaaf-maafan supaya yang tinggal cumalah pahala; pahala mengerjakan ibadah, pahala meraikan saudara mara dan jiran tetangga dan pahala berinfak dan bersedekah. Ya, bukalah pintu rumah supaya saudara mara dan jiran tetangga bisa bertandang. Sedih, bila ada yang marah dan menarik muka bila ramai berkunjung..”eh kita tidak jemput pun, mengapa datang?”
Sebenarnya adab beraya tidak payah pun dijemput, terima semua tetamu sama ada miskin atau kaya “Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ومَن كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamu.” Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (74)
Namun begitu di kehidupan hari ini sebaik dan secantiknya khabarkan akan kedatangan anda. Jangan serbu rumah sekalipun dia saudara baik kamu atau bawa satu kampung ke rumahnya kerana dia akan berasa malu jika makanan tidak cukup. Pernah terjadi di rumah teman, saudaranya datang 10 kereta tanpa diberitahu, sampai licin dan kemudian tetamu lain yang datang selepas itu, teh dan kopi pun tidak ada untuk dijamu, kesian dia.
Dan, Raya juga masa untuk menghias rumah. Saya tidak faham, ada rumah yang siap bergantungan baju-baju dan seluar dalam di tangga dan baju-buju kotor berlonggok di merata, malah di ruang tamu dan di meja makan. Dan sampah yang berbau busuk, berhari-hari dibiarkan lalat dan ulat berkumpul, pinggan mangkuk kotor di sinki. Tolonglah kalau sudah pemalas sangat, kamu lebih baik tinggal di hutan dan berkawan dengan babi hutan… rumah tempat mulia untuk manusia bukan untuk menerima babi sebagai tetamu.