EYE ME

HARTA YANG KITA KONGSIKAN

Ke pekan membeli suasa,
Singgah sebentar membeli sukun;
Adat dan budi warisan bangsa,
Jangan dibiarkan hilang berkurun.

Ada kenangan yang kekal dalam ingatan bukan kerana besarnya sesuatu peristiwa, tetapi kerana manusia yang hadir ketika kita memerlukannya.

Saya masih ingat ketika menguruskan majlis perkahwinan anak saya, Ihtisham. Tetamu yang dijangka hadir hampir seribu orang. Persiapannya bukan sedikit, dan seperti kebanyakan ibu yang mahu memastikan majlis perkahwinan anak berjalan dengan baik, banyak perkara perlu difikirkan dan diselesaikan.

Antara yang perlu disiapkan ialah telur yang mesti dimasukkan satu demi satu ke dalam bekasnya, sebelum disusun ke dalam kotak untuk dihantar ke hotel. Kerja yang kelihatan mudah, tetapi apabila jumlahnya begitu banyak, tentu memerlukan masa dan tenaga.

Saya tidak sampai hati hendak meminta keluarga dan sahabat datang membantu. Masing-masing mempunyai urusan sendiri, dan saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Namun, keluarga dan kawan-kawan yang rapat dengan kita kadangkala mempunyai cara tersendiri menunjukkan kasih sayang.

Kak ipar menyediakan seribu biji telur yang siap direbus. Dan sehari sebelum majlis ramai yang datang dengan rela hati, tanpa perlu diminta. Mereka mengambil tempat, mula bekerja dan bersama-sama menyiapkan segala yang diperlukan. Dalam tempoh kira-kira setengah hari, telur-telur itu selesai dimasukkan ke dalam bekas, malah sudah disusun ke dalam kotak untuk dihantar ke hotel.

Apabila saya mengenang kembali peristiwa itu, saya sedar bahawa yang paling berharga bukan sekadar kerja yang berjaya diselesaikan. Saya teringat kesudian mereka meluangkan masa, tenaga dan perhatian untuk membantu saya. Mereka tidak menunggu jemputan rasmi, tidak bertanya apa yang akan mereka peroleh. Mereka datang kerana memahami bahawa sebuah majlis keluarga turut menjadi kegembiraan dan tanggungjawab orang yang dekat dengan keluarga itu.

Satu lagi kenangan yang masih segar dalam ingatan berlaku sehari sebelum saya berangkat menunaikan ibadah haji.

Di rumah saya, sahabat-sahabat datang seorang demi seorang, masing-masing membawa makanan. Tidak lama kemudian, meja dipenuhi pelbagai hidangan. Mereka datang daripada kelompok persahabatan yang berbeza, dan pertemuan itu turut menemukan mereka antara satu sama lain. Ada yang sudah lama mengenali saya, ada yang datang daripada lingkungan pergaulan yang berlainan, tetapi pada hari itu, semuanya berkumpul dengan satu tujuan.

Mereka tidak dijemput untuk menghadiri suatu majlis rasmi. Mereka datang kerana mahu bertemu sebelum saya berangkat, mendoakan agar perjalanan dipermudahkan dan semoga saya mendapat haji yang mabrur.

Bagi saya, itulah yang menjadikan pertemuan tersebut begitu istimewa. Mereka tidak datang kerana ada kewajipan untuk berbuat demikian. Mereka datang kerana mahu turut berdoa.

Dalam kehidupan, kita tidak pernah tahu berapa banyak lagi kesempatan yang akan diberikan untuk bertemu orang yang kita sayangi. Perjalanan ke Tanah Suci membawa makna yang besar, dan doa daripada keluarga serta sahabat menjadi bekalan hati sebelum melangkah pergi. Ada ketenangan apabila kita mengetahui bahawa pemergian kita diiringi dengan ingatan, kasih dan harapan yang baik daripada orang-orang di sekeliling.

Kedua-dua pengalaman ini membawa saya kembali kepada suatu budaya yang pernah begitu dekat dengan kehidupan masyarakat kita.

Dahulu, apabila sebuah keluarga mengadakan kenduri kahwin, rumah mereka bukan sekadar tempat berlangsungnya majlis. Rumah itu menjadi pusat pertemuan keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga. Ada yang datang dari jauh, ada yang mengambil cuti untuk membantu, dan ada yang sudah berada di dapur sejak awal pagi. Kerja memasak, menyediakan bahan, membungkus telur, menyusun hidangan dan mengemas dilakukan bersama-sama. Sehari sebelum itu jiran tetangga lelaki bergotong royong mendirikan bangsal, untuk tetamu dan ruang teduh menyediakan pinggan mangkuk dan tempat memasak dan jiran wanita menolong memasang langsir serta menghias bilik pengantin.

Kita mengenali amalan ini sebagai rewang.

Rewang bukan sekadar tenaga kerja percuma untuk menjimatkan kos kenduri. Di sebaliknya terdapat nilai gotong-royong, tanggungjawab bersama dan hubungan sosial yang dibina melalui perbuatan. Ketika tangan sibuk bekerja, cerita keluarga dikongsi, hubungan yang lama tidak bertemu dieratkan dan generasi muda belajar melalui pemerhatian. Mereka melihat bagaimana orang tua bekerjasama, bagaimana tetamu dilayan dan bagaimana sebuah keluarga dibantu oleh masyarakat di sekelilingnya.

Ada kalanya, kesibukan di dapur itulah yang menjadi kenangan paling manis selepas majlis berakhir.

Begitu juga dengan amalan mendoakan seseorang sebelum berangkat menunaikan haji. Keluarga, jiran dan sahabat datang untuk bertemu, memohon agar perjalanan dipermudahkan dan ibadah diterima Allah. Pertemuan itu turut menjadi ruang untuk bermaafan dan memperbaharui hubungan. Bagi orang yang akan berangkat, doa dan restu tersebut memberikan ketenangan. Bagi mereka yang datang, ia merupakan tanda kasih dan penghormatan terhadap suatu perjalanan yang sangat bermakna.

Namun, kehidupan masyarakat telah berubah. Hari ini, banyak urusan perkahwinan diserahkan kepada wedding planner dan penyedia perkhidmatan profesional. Makanan boleh ditempah, persiapan boleh diuruskan oleh pasukan yang khusus, dan keluarga tidak lagi semestinya perlu menghabiskan beberapa hari untuk menyiapkan kenduri.

Semua ini mempunyai kelebihannya. Kita tidak perlu menolak kemajuan untuk menghargai tradisi. Malah, kemudahan moden membolehkan keluarga menguruskan majlis dengan lebih teratur, terutama apabila masa dan kemampuan menjadi pertimbangan.

Tetapi, dalam perubahan itu, kita wajar bertanya: adakah kita masih memberikan ruang kepada semangat yang dahulu menyatukan kita?

Kita mungkin tidak lagi memerlukan saudara-mara membungkus telur atau jiran tetangga memasak dari pagi hingga malam. Namun, kita masih boleh mengajak mereka terbabit dalam cara yang sesuai dengan kehidupan hari ini. Kita masih boleh membuka pintu rumah untuk pertemuan yang sederhana, menyediakan ruang untuk keluarga berkumpul dan mengekalkan kebiasaan menziarahi orang yang bakal memulakan perjalanan penting dalam hidup mereka.

Tradisi tidak semestinya dipelihara dengan mengulangi setiap perbuatan lama. Ada kalanya, yang perlu kita pertahankan ialah nilai di sebalik perbuatan itu.

Rewang mengajar kita bahawa kegembiraan sebuah keluarga boleh dikongsi bersama. Pertemuan sebelum menunaikan haji mengingatkan kita tentang pentingnya doa, restu dan hubungan sesama manusia. Kedua-duanya memperlihatkan bahawa dalam budaya kita, kehadiran seseorang mempunyai makna yang lebih mendalam daripada sekadar memenuhi ruang.

Kita juga perlu mengakui bahawa tidak semua orang mempunyai keluarga besar, jiran yang rapat atau sahabat yang dapat hadir pada setiap kesempatan. Sebab itulah semangat kebersamaan perlu melangkaui adat dan majlis tertentu. Ia perlu diterjemahkan dalam kesediaan kita membantu mengikut kemampuan, mengambil tahu keadaan orang lain dan tidak membiarkan seseorang berasa keseorangan ketika melalui saat penting dalam hidupnya.

Di sinilah saya melihat hubungan antara tradisi, agama dan kehidupan moden. Kita boleh menikmati kemudahan masa kini, menghargai rumah yang indah, menyediakan hidangan yang baik dan meraikan detik istimewa dengan penuh cita rasa. Namun, semua itu menjadi lebih bermakna apabila manusia tetap menjadi pusat kepada setiap pertemuan.

Dalam edisi November ini, Woven Modern mengajak pembaca melihat kembali seni menyambut tetamu, keindahan berkumpul dan nilai silaturahim. Kita turut meneliti apa yang wajar disimpan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Kerana warisan bukan hanya terdiri daripada pakaian, barang kemas, resipi atau benda yang mempunyai nilai sentimental. Warisan juga terletak pada adab, cara kita menghormati orang lain dan kesediaan menghulurkan tangan tanpa menunggu diminta.

Semakin jauh kita melalui kehidupan, semakin kita memahami bahawa kekayaan manusia bukan hanya terletak pada apa yang berjaya dikumpulkan. Ia juga terletak pada hubungan yang dibina, kepercayaan yang dipelihara dan orang-orang yang sudi berdiri bersama kita ketika mereka tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk berbuat demikian.

Dalam budaya kita, nilai ini sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan bermasyarakat. Kita mengenal semangat gotong-royong, amalan menziarahi saudara-mara, membawa buah tangan apabila berkunjung dan menyediakan hidangan untuk tetamu. Perkara-perkara ini mungkin kelihatan sederhana, tetapi di dalamnya terkandung adab, rasa hormat dan kesediaan untuk berkongsi rezeki.

Hari ini, cara kita berhubung mungkin sudah berubah. Kita boleh mengirim pesanan dalam sekelip mata, berkongsi gambar kepada ratusan kenalan dan mengikuti kehidupan orang lain melalui skrin. Namun, hubungan yang benar-benar bermakna tetap memerlukan sesuatu yang tidak dapat digantikan oleh teknologi — kesediaan untuk hadir, mendengar, membantu dan mengambil berat.

Begitu juga dengan seni menyambut tetamu. Meja yang cantik, hidangan yang disediakan dengan teliti dan rumah yang teratur sememangnya menambah keselesaan. Tetapi yang menjadikan sesuatu pertemuan itu istimewa adalah perasaan yang dibawa pulang oleh mereka yang hadir. Adakah mereka berasa dialu-alukan? Adakah mereka pulang dengan hati yang gembira? Adakah pertemuan itu mengeratkan hubungan yang mungkin sudah lama tidak diberikan perhatian?

Bagi saya, inilah antara kemewahan hidup yang paling wajar dihargai. Kita boleh menikmati perkara yang indah, tetapi keindahan itu menjadi lebih bermakna apabila dikongsi dengan orang lain.

Prinsip yang sama juga terpakai kepada apa yang kita simpan dan wariskan. Sehelai pakaian lama, barang kemas milik ibu atau sesuatu yang diwarisi daripada nenek mungkin mempunyai nilai sentimental yang tidak dapat diukur dengan wang. Namun, warisan paling penting tidak semestinya berbentuk benda. Ia boleh hadir melalui adab, ilmu, pegangan agama, cara kita melayan orang lain dan nilai yang kita tunjukkan melalui perbuatan seharian.

Dalam Islam, silaturahim dan amalan berbuat baik kepada sesama manusia mempunyai kedudukan yang besar. Rezeki bukan sekadar sesuatu yang kita nikmati sendiri, tetapi juga peluang untuk membantu. Masa bukan hanya untuk memenuhi urusan kita, tetapi juga ruang untuk memberikan perhatian kepada mereka yang memerlukan. Dan persahabatan bukan sekadar berkongsi kegembiraan, tetapi turut bermakna bersedia menghulurkan tangan apabila diperlukan.

Menjelang penghujung tahun, mungkin ada baiknya kita bertanya kepada diri sendiri: siapakah yang telah banyak membantu kita sepanjang perjalanan ini kepada siapakah kita belum sempat mengucapkan terima kasih? Hubungan manakah yang perlu kita perbaiki, dan apakah kebaikan yang masih boleh kita lakukan selagi diberi kesempatan?

Mungkin inilah harta yang paling wajar kita wariskan: bukan sekadar apa yang kita tinggalkan untuk generasi seterusnya, tetapi nilai yang mengajar mereka untuk hadir dalam kehidupan orang lain, membantu dengan ikhlas dan memahami bahawa sebuah kehidupan akan menjadi lebih bermakna apabila tidak dilalui sendirian.

Related posts

Saya Cantik

Wirda Adnan

Cinta dan Perkahwinan

Wirda Adnan

This Is Wirda

Wirda Adnan

Leave a Comment