GAYA HIDUP

LEGASI FESYEN Diwarisi dan Yang Ditinggalkan.

“Kemewahan yang sebenar tidak pernah diukur pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang mampu bertahan apabila masa berlalu.”

Tanggal 31 Ogos, rakyat Malaysia sekali lagi menyambut Hari Kebangsaan. Kita meraikan 69 tahun sebuah negara merdeka — sebuah perjalanan yang dibina oleh generasi terdahulu dan diwariskan kepada generasi hari ini.

Maka pada September ini, WM memilih untuk melihat dunia fesyen dari sudut yang sedikit berbeza. Ada rumah fesyen yang lahir lebih satu abad lalu. Ada yang melalui dua peperangan dunia dan yang kehilangan pengasasnya. Ada yang melalui beberapa generasi pengarah kreatif dan ada yang hampir tenggelam, sebelum bangkit semula dan menjadi antara jenama paling berpengaruh di dunia.

Namun satu perkara tidak pernah berubah. Mereka terus hidup kerana mempunyai legasi. Koleksi datang dan pergi mengikut musim. Warna berubah.
Siluet berubah dan trend silih berganti.

Apa yang dianggap luar biasa hari ini mungkin dilupakan enam bulan kemudian. Tetapi legasi tidak pernah mengikut musim. Ia dibina perlahan-lahan — melalui masa, ketelitian, keberanian dan kesanggupan mempertahankan sesuatu yang lebih besar daripada keuntungan.

Bukan sekadar tentang apa yang sedang popular di pentas peragaan Paris, Milan, London atau New York tetapi  yang diwarisi dan yang ditinggalkan.

Persoalan ini bukan hanya milik sebuah negara. Ia juga persoalan yang sentiasa dihadapi oleh rumah-rumah fesyen terbesar dunia. Bagaimana sebuah jenama mengekalkan identitinya apabila dunia berubah begitu pantas? Bagaimana tradisi dipertahankan tanpa menghalang inovasi? Dan yang paling penting — apakah nilai yang masih layak diwariskan kepada generasi akan datang?

Jawapan kepada persoalan ini mungkin berbeza antara satu rumah fesyen dengan yang lain. Namun kesemuanya berkongsi satu hakikat: kemewahan yang sebenar bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang indah. Tetapi menghasilkan sesuatu yang cukup bermakna sehingga terus dihargai walaupun masa berlalu. Kerana fesyen bukan hanya apa yang kita pakai, ia juga yang kita tinggalkan.

HERMÈS — Legasi Ketukangan

Di sebalik sebuah objek yang sempurna, ada tangan yang menghabiskan bertahun-tahun untuk mempelajari kesempurnaan.

Hermès — Apabila Kesabaran Menjadi Kemewahan

Kisah ini bermula pada 1837 apabila Thierry Hermès membuka sebuah bengkel di Paris yang mengkhususkan pembuatan abah-abah dan peralatan berkuda. Daripada sebuah bengkel kecil untuk golongan bangsawan dan penunggang kuda, nama Hermès akhirnya berkembang menjadi salah satu rumah mewah paling dihormati di dunia.

Namun selama hampir dua abad, satu perkara tidak banyak berubah — penghormatan terhadap kerja tangan.

Di Hermès, kemahiran seorang artisan bukan sesuatu yang boleh dipelajari dalam beberapa minggu. Ia memerlukan latihan, kesabaran dan pengalaman bertahun-tahun. Setiap potongan kulit diperiksa dengan teliti. Setiap jahitan mempunyai tekniknya sendiri. Dan setiap beg membawa bersamanya sentuhan manusia yang menjadikannya berbeza daripada produk yang dihasilkan secara besar-besaran.

Ironinya, dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, nilai sebuah objek mewah mungkin kembali kepada perkara paling asas: tangan manusia.

Hermès tidak menjadikan kelambatan sebagai kelemahan. Mereka menjadikannya sebahagian daripada kemewahan.

Sebuah beg Hermès bukan sekadar beg. Ia adalah hasil masa, kemahiran dan disiplin — sesuatu yang boleh digunakan hari ini, diwariskan esok dan, jika dijaga dengan baik, terus hidup untuk generasi seterusnya.

Mungkin itulah sebabnya nama Hermès tidak begitu bergantung kepada trend. Kerana trend mempunyai tarikh luput.

Ketelitian lebih bernilai daripada kepantasan.

CHANEL — Legasi Identiti

“Ia tidak perlu kekal sama untuk kekal dikenali.”

Chanel — Berubah Tanpa Kehilangan Diri

Pada awal abad ke-20, Gabrielle “Coco” Chanel membawa satu idea yang pada ketika itu kelihatan sederhana tetapi sebenarnya revolusioner — wanita tidak seharusnya terperangkap oleh pakaian yang menyukarkan pergerakan mereka.

Jersey, siluet yang lebih santai, little black dress, tweed, rantai emas dan gabungan hitam-putih menjadi sebahagian daripada bahasa visual yang akhirnya dikenali sebagai Chanel.

Pengaruh Coco Chanel jauh melampaui pakaian. Beliau menjadikan kesederhanaan sebagai bentuk kemewahan dan kebebasan sebagai sebahagian daripada gaya.

Selepas kematiannya pada 1971, rumah Chanel berdepan persoalan yang sering menghantui mana-mana jenama yang kehilangan pengasasnya: Bagaimana meneruskan legasi seseorang tanpa menjadi tawanan kepada masa lalu?

Kemudian datang Karl Lagerfeld. Selama beberapa dekad, beliau mengambil kod-kod Chanel yang sudah dikenali dunia lalu menafsirkannya semula dengan bahasa zaman moden.

Tweed terus ada. Mutiara, Camellia dan Rantai emas terus ada. Namun  semuanya berubah bentuk, skala dan konteks. Itulah rahsia sebuah identiti yang benar-benar kuat. Ia tidak perlu kekal sama untuk kekal dikenali.

Ia hanya perlu tahu siapa dirinya.

Chanel mengajar bahawa legasi bukan tentang menyalin masa lalu. Legasi ialah keberanian untuk membawa nilai masa lalu ke masa depan.

Legasi Yang Diwariskan

Identiti sentiasa lebih berharga daripada trend.

LOUBOUTIN — Legasi Kreativiti

Satu warna. Satu idea. Satu identiti.

Christian Louboutin — Apabila Satu Warna Menjadi Sejarah

Tidak ramai pereka mampu dikenali hanya melalui satu perincian. Christian Louboutin melakukannya dengan tapak kasut berwarna merah.

Menurut kisah yang sering diceritakan mengenai kelahiran signature tersebut, pada 1992 Louboutin sedang melihat sebuah kasut yang direkanya dan merasakan ada sesuatu yang kurang. Seorang pembantu wanita di studionya dilihat mengilatkan kukunya dengan warna merah. Louboutin mengambil pengilat tersebut dan menyapukannya pada tapak kasut.

Merah itu kekal dan menjadi identiti.

Hari ini, red sole Louboutin dikenali di seluruh dunia.

Apa yang menarik bukan sekadar warnanya. Tetapi bagaimana satu keputusan kreatif yang kelihatan kecil mampu berkembang menjadi bahasa visual sebuah jenama.

Dalam dunia fesyen, keaslian sering bermula dengan keberanian untuk melakukan sesuatu yang belum dilakukan orang lain. Louboutin tidak cuba menjadikan kasutnya kelihatan seperti kasut orang lain. Beliau mencipta sesuatu yang apabila dilihat dari jauh pun, orang sudah tahu siapa pembuatnya.

Itulah kekuatan sebuah signature. Dan mungkin itu juga satu pengajaran penting tentang kreativiti: kita tidak perlu mencipta seribu perkara untuk dikenang.

Kadangkala, satu idea yang benar-benar asli sudah cukup.

Legasi Yang Diwariskan

Keaslian sentiasa mengatasi peniruan.

BRUNELLO CUCINELLI — Legasi Kemanusiaan

Sebuah kampung, manusia, kerja tangan dan falsafah hidup. Cucinelli sendiri menunjukkan sekolah ketukangan di Solomeo sebagai tempat generasi baharu belajar kemahiran tersebut.

Brunello Cucinelli — Kemewahan Yang Berjiwa

Kemewahan sering dikaitkan dengan perkara yang mahal. Tetapi Brunello Cucinelli melihatnya daripada sudut yang lebih manusiawi.

Lahir daripada keluarga sederhana di Itali, Cucinelli membina namanya melalui cashmere — bahan yang halus, mewah dan terkenal kerana kelembutannya. Namun apa yang menjadikan kisahnya berbeza bukan sekadar kain yang dihasilkannya adalah falsafah di belakang jenama tersebut.

Di Solomeo, sebuah perkampungan kecil di Umbria, Cucinelli membangunkan bukan sahaja syarikat tetapi sebuah ekosistem yang meletakkan manusia, kerja tangan, budaya dan komuniti sebagai sebahagian daripada kejayaan.

Beliau sering bercakap tentang humanistic capitalism — satu pendekatan yang cuba mengimbangkan keuntungan dengan maruah manusia. Solomeo sendiri menjadi sebahagian daripada visi itu.

Bangunan dipulihkan. Ruang untuk budaya dan pendidikan diwujudkan. Ketukangan diberi tempat. Pekerja dilihat bukan semata-mata sebagai tenaga kerja tetapi sebagai manusia yang mempunyai kehidupan di luar pekerjaan.

Di sinilah kita melihat satu lagi wajah legasi. Bukan hanya: Apa yang kita hasilkan?

Tetapi: Apa kesan kita terhadap manusia yang membantu kita menghasilkan sesuatu itu?

Dalam zaman apabila pengguna semakin ingin mengetahui dari mana datangnya sesuatu produk, siapa yang membuatnya dan bagaimana mereka dilayan, persoalan seperti ini menjadi semakin penting. Brunello Cucinelli mengingatkan industri bahawa kemewahan tidak semestinya perlu menjauhkan manusia.

Sebaliknya, kemewahan boleh menjadi lebih bermakna apabila ia menghormati manusia.

Legasi Yang Diwariskan

Kemewahan tanpa kemanusiaan akhirnya kehilangan makna.

DIOR — Legasi Siluet

Gambar Bar suit 1947 dan New Look yang menunjukkan pinggang kecil dan skirt penuh yang menjadi simbol era tersebut

Christian Dior — Sebuah Bentuk Yang Mengubah Zaman

Ada sesuatu yang istimewa tentang siluet. Ia mungkin hanya bentuk sebuah pakaian tetapi pada masa tertentu dalam sejarah, satu bentuk boleh menjadi simbol perubahan.

Pada 1947, Christian Dior memperkenalkan koleksi pertamanya di Paris. Dunia masih berhadapan kesan Perang Dunia Kedua. Wanita baru sahaja melalui tahun-tahun yang penuh kekurangan dan pakaian yang praktikal serta berjimat cermat.

Kemudian hadir Dior. Pinggang yang lebih kecil. Skirt yang lebih penuh. Kain yang lebih banyak. Siluet yang lebih feminin.

Carmel Snow, editor Harper’s Bazaar ketika itu, dikatakan begitu terpesona sehingga menggambarkannya sebagai sebuah “New Look”. Nama itu kekal. Apa yang dilakukan Dior bukan sekadar memperkenalkan koleksi baharu. Beliau memberi dunia satu visual language untuk zaman selepas perang.

Menariknya, legasi Dior terus hidup walaupun pengasasnya meninggal dunia pada usia yang masih muda pada 1957.

Generasi pereka datang dan pergi.

Yves Saint Laurent.

Marc Bohan.

Gianfranco Ferré.

John Galliano.

Raf Simons.

Maria Grazia Chiuri.

Setiap seorang membawa tafsiran sendiri. Namun nama Dior terus dikenali. Inilah kekuatan sesebuah rumah fesyen yang mempunyai DNA yang jelas. Pengasasnya mungkin pergi tetapi idea yang ditanamnya boleh terus berkembang.

Reka bentuk yang hebat bukan sekadar mencipta pakaian. Ia mencipta bahasa untuk sebuah zaman.

ALEXANDER McQUEEN — saya tetap mahu masukkan

Pencipta sudah tiada, siapa yang menjaga jiwanya?

 

LEGASI YANG MELAMPAUI FESYEN

Daripada Hermès hingga Chanel, Dior dan Louboutin. Daripada ketukangan kepada kreativiti, daripada identiti kepada kemanusiaan — setiap rumah fesyen mempunyai jalan yang berbeza menuju satu destinasi yang sama: untuk meninggalkan sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Dan mungkin inilah perkara yang paling menarik tentang legasi. Ia tidak semestinya diwariskan dalam bentuk sebuah syarikat. Ia boleh berupa teknik bahkan sebuah cara melihat kehidupan.

Hari ini, dunia fesyen sedang memasuki satu lagi fasa perubahan besar. Teknologi, kecerdasan buatan, perubahan iklim, tuntutan terhadap kelestarian, generasi pengguna baharu dan perubahan cara manusia membeli semuanya sedang memaksa industri bertanya soalan yang sama sekali lagi:

Apakah yang patut dikekalkan?

Dan apa yang sudah tiba masanya untuk kita lepaskan? Mungkin itulah persoalan sebenar tentang legasi. Kerana tidak semua perkara daripada masa lalu perlu dibawa ke masa depan. Yang perlu diwariskan ialah nilai yang masih mempunyai makna.

Yang perlu ditinggalkan ialah perkara yang tidak lagi memberi nilai kepada manusia, masyarakat dan dunia. Dan selepas koleksi yang dipersembahkan itu menjadi sejarah — apa yang masih tinggal?

Jawapannya mungkin terletak pada satu perkataan: LEGASI.

Related posts

THE NEW YOU, 2026

adminwm

Mira Filzah Kongsi Menu Ramadan Secret Recipe Kegemarannya

adminwm

Travel Just Got a Whole Lot Smarter Samsung Galaxy S24

adminwm

Leave a Comment