
Ombak KLCC, sebuah ruang di mana seni, fesyen dan kehidupan bertemu
“Seni tidak semestinya tergantung di dinding. Kadang-kadang ia berdiri di hadapan kita, menaungi kita, dan mengajak kita berjalan melaluinya.”
Ombak KLCC menarik kerana ia tidak meletakkan seni sebagai sesuatu yang eksklusif untuk orang yang pergi ke galeri. Sebaliknya, seni menjadi sebahagian daripada pengalaman harian.
Ombak KLCC mungkin sebuah destinasi baharu untuk membeli-belah, tetapi cita-citanya lebih besar daripada itu. Dengan GALERI PETRONAS sebagai salah satu nadi utamanya, ia mahu menjadi tempat di mana seni tidak lagi terasa jauh daripada kehidupan seharian.
KENAPA WM PATUT PERGI?
Bukan kerana ia the new place to be. Kita patut belajar melihat sebuah kota dengan mata yang berbeza.
Pergilah ke Ombak bukan hanya untuk melihat butik, kedai atau restoran. Pergilah untuk melihat bagaimana sebuah bangunan menggunakan garis, ruang, cahaya, tekstur dan gerakan untuk mencipta pengalaman.

“Kadang-kadang kita perlu keluar membeli sesuatu, hanya untuk pulang membawa pulang sebuah pengalaman.”
DAN HUBUNGKAN DENGAN FESYEN
Fesyen sendiri sebenarnya ialah seni yang bergerak.
Tenunan → tekstil → fesyen → seni bina.
Ombak mengambil inspirasi daripada tenunan; fesyen mengambil bahasa yang sama — jalinan, lapisan, tekstur, gerakan dan bentuk.
Bukankah fesyen juga begitu? Sehelai kain bermula sebagai benang. Benang menjadi tenunan. Tenunan menjadi tekstur. Tekstur membentuk siluet. Dan akhirnya, sesuatu yang asalnya hanya helaian kain menjadi sebuah pernyataan tentang manusia yang memakainya. Ombak KLCC melakukan perkara yang hampir sama — cuma pada skala sebuah bangunan.
Ada bangunan yang kita kunjungi kerana ada sesuatu yang mahu dibeli. Ada pula bangunan yang membuat kita berhenti seketika — mendongak, memerhatikan garis, bentuk, cahaya dan ruang — lalu kita sedar bahawa kita sebenarnya sedang melihat sebuah karya seni.
Ombak KLCC adalah antara ruang yang membuat kita melihat Kuala Lumpur dengan cara yang sedikit berbeza.
Dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini, Ombak KLCC hadir bukan sekadar sebagai sebuah lagi destinasi baharu di tengah kota. Dengan seni bina yang mengambil ilham daripada gerakan ombak dan seni tenunan, bangunan ini membawa bahasa yang lebih lembut dan organik ke dalam landskap bandar Kuala Lumpur.
Tidak kaku. Tidak terlalu geometrik.

Sebaliknya, garis-garisnya bergerak, beralun dan bertindih — seolah-olah helaian kain sedang ditenun menjadi satu bentuk yang lebih besar.
Dan mungkin di situlah keindahannya.
Kerana fesyen juga bermula daripada perkara yang sama — benang, tekstur, jalinan, bentuk dan gerakan.
SEBUAH BANGUNAN YANG BERGERAK
Kita sering melihat seni bina sebagai sesuatu yang statik. Bangunan berdiri. Manusia bergerak. Tetapi Ombak KLCC cuba mengubah hubungan itu.
Nama dan reka bentuknya sendiri mengambil inspirasi daripada ombak — sesuatu yang sentiasa bergerak, berubah dan tidak pernah mempunyai bentuk yang benar-benar sama.
Pada fasadnya, elemen yang mengalir dan bersilang memberikan gambaran seperti tenunan yang diperbesarkan menjadi seni bina.
Dari jauh, ia kelihatan seperti sebuah struktur moden. Dari dekat, semakin banyak lapisan yang dapat dilihat.
Seperti kain yang indah, ia tidak hanya bergantung kepada siluet. Keindahannya datang daripada tekstur, jalinan, cahaya dan bagaimana semuanya berubah apabila dilihat dari sudut yang berbeza.
Bukankah itu juga cara kita melihat sehelai pakaian?
Sesuatu yang kelihatan sederhana dari jauh boleh menjadi begitu menarik apabila kita menghampirinya.
SENI YANG BOLEH DILALUI
Pada saya perkara paling menarik tentang Ombak ialah kita tidak perlu datang sebagai seorang pencinta seni untuk menikmatinya. Kita hanya perlu datang dengan mata yang mahu melihat.
Ruang dalamannya membuka perspektif yang berbeza — lengkung, atrium, eskalator, cahaya dan ruang kosong saling melengkapi. Ada bahagian yang terasa monumental, ada yang lebih intim.
Kita tidak hanya melihat seni bina. Kita berjalan melaluinya. Dan apabila seni menjadi sebahagian daripada perjalanan harian, ia tidak lagi terasa eksklusif.
Inilah yang menarik tentang perkembangan ruang budaya di kota hari ini. Galeri, butik, restoran, seni bina dan ruang awam tidak lagi semestinya berdiri sebagai dunia yang berasingan. Semuanya boleh hidup di bawah satu bumbung.
Ombak KLCC memahami kemungkinan itu.
APABILA SENI MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA KEHIDUPAN
Kehadiran GALERI PETRONAS di Ombak KLCC memberikan satu lagi dimensi kepada bangunan ini.
Galeri yang telah lama menjadi antara institusi penting dalam perkembangan seni kontemporari Malaysia kini mempunyai ruang baharu di Ombak, dengan The First Glimpse membuka peluang kepada orang ramai mengenali wajah baharunya sebelum pembukaan penuh galeri.
Ini penting.
Kerana apabila seni diletakkan lebih dekat dengan kehidupan harian, kita memberi peluang kepada lebih ramai manusia untuk bertemu dengannya secara tidak sengaja.
Mungkin seseorang datang untuk makan. Ada datang membeli sesuatu. Seorang anak datang bersama ibu bapanya dan dalam perjalanan itu, mereka berhenti di hadapan sebuah karya.
Itulah kuasa seni yang sebenar — ia tidak selalu perlu dicari. Kadang-kadang ia menemukan kita.
FESYEN, SENI DAN SEHELAI KAIN

Menariknya, idea Ombak yang bersumberkan gerakan dan tenunan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan dunia fesyen. Sebelum menjadi gaun couture, ia hanyalah sehelai kain. Sebelum menjadi kain, ia adalah benang.
Benang dijalin menjadi tenunan.
Tenunan membentuk tekstur.
Tekstur memberi tubuh kepada pakaian.
Kemudian seorang pereka mengambil semua itu dan memberikan jiwa.
Seni bina melakukan perkara yang hampir sama — cuma pada skala yang jauh lebih besar.
Garis menjadi struktur.
Tekstur menjadi permukaan.
Ruang menjadi bentuk.
Cahaya menjadi warna.
Dan akhirnya semuanya bergabung untuk menghasilkan pengalaman.
Mungkin itulah sebabnya fesyen dan seni bina sering terasa begitu dekat. Kedua-duanya bercakap tentang bentuk, tubuh, ruang dan emosi.
BUKAN SEKADAR TEMPAT UNTUK PERGI
Kita sering mengukur sesuatu tempat berdasarkan apa yang boleh kita lakukan di dalamnya.
Makan apa? Beli apa? Ambil gambar di mana? Tetapi sesekali, mungkin kita perlu bertanya soalan yang lain: Apa yang tempat ini membuat kita berkata-kata dan merasa keajaibannya?
Ombak KLCC menarik kerana ia mempunyai peluang untuk menjadi lebih daripada sekadar destinasi membeli-belah. Ia boleh menjadi sebuah ruang pengalaman.
Tempat untuk melihat seni, menikmati seni bina, bertemu manusia, berhenti sebentar daripada kesibukan kota. Dan mungkin, tempat untuk kita belajar melihat perkara yang biasa dengan mata yang baharu.
MELIHAT KUALA LUMPUR DENGAN MATA BAHARU
Kuala Lumpur sudah mempunyai simbolnya sendiri.
Twin Towers yang menjadi wajah negara.
KLCC Park yang menjadi ruang hijau di tengah kota.
Dan kini Ombak hadir dengan bahasa seni bina yang berbeza — lebih beralun, lebih terbuka dan lebih dekat dengan idea tentang pergerakan. Ia tidak cuba menenggelamkan apa yang telah ada. Sebaliknya, ia menambah satu lagi lapisan kepada cerita Kuala Lumpur.
Sebuah kota bukan hanya tentang bangunan tinggi. Ia juga tentang bagaimana manusia menggunakannya, bagaimana mereka merasainya dan apakah kenangan yang tertinggal selepas mereka meninggalkannya.
WHY SHOULD YOU GO?
Pergilah ke Ombak KLCC bukan semata-mata kerana ia baharu. Pergilah kerana kita perlu sesekali memberi diri kita peluang untuk melihat.
Lihat bagaimana cahaya jatuh pada permukaan.
Lihat bagaimana garis seni bina bergerak dari satu ruang ke ruang yang lain.
Lihat bagaimana manusia menjadi sebahagian daripada komposisi bangunan.
Lihat bagaimana seni boleh hadir tanpa perlu meminta perhatian.
Dan jika anda datang bersama anak-anak, mungkin ajak mereka berhenti seketika.
Tidak perlu memberi kuliah tentang seni. Cukup bertanya:
“Apa yang kamu nampak?”
Kerana barangkali di situlah pendidikan seni yang paling baik bermula — bukan dengan jawapan, tetapi dengan keupayaan untuk melihat.
THE ART OF LIVING
September ialah bulan apabila dunia fesyen kembali menjadi pentas utama.
Koleksi baharu. Wajah baharu. Idea baharu.
Dan fesyen tidak pernah berdiri sendiri. Ia hidup bersama seni, muzik, fotografi, filem, reka bentuk dan seni bina.
Ombak KLCC mengingatkan kita tentang hubungan itu.
Bahawa keindahan tidak semestinya datang dalam bentuk sehelai gaun. Ia boleh hadir sebagai sebuah ruang.
Sebaris lengkung.
Bayang-bayang yang jatuh di lantai.
Cahaya yang menembusi atrium.
Atau sebuah bangunan yang membuat kita berhenti berjalan untuk beberapa saat dan mendongak ke atas.
Seni bukan hanya tentang apa yang kita gantung di rumah atau apa yang kita pakai di tubuh. Seni juga bagaimana kita memilih untuk hidup dan ruang yang kita pilih untuk mengelilingi diri kita.
Kerana sesebuah kota tidak hanya dibina daripada bangunan. Ia dibina daripada idea, imaginasi dan keberanian untuk menjadikan sesuatu yang biasa — sebuah karya seni.
