
Ada sesuatu yang berbeza apabila percutian keluarga bukan sekadar keluar berjalan-jalan, tetapi membawa kita masuk ke dalam sebuah dunia penuh imaginasi. Itulah pengalaman yang kami rasai ketika berpeluang menginap di LEGOLAND Hotel Malaysia baru-baru ini, sekali gus menjadi antara yang terawal menikmati bilik bertemakan LEGO® CITY yang baharu dilancarkan.
Sejak melangkah masuk ke ruang lobi hotel, suasana ceria dengan karakter LEGO sudah cukup membuatkan anak-anak terpana. Namun, keterujaan sebenar bermula sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Kami sekeluarga disambut dengan suasana sebuah bandar LEGO yang penuh aksi, warna-warni dan kejutan di setiap sudut.

Bilik baharu LEGO CITY ini benar-benar membawa imaginasi ke tahap yang berbeza. Dengan dekorasi yang menampilkan anggota polis, bomba, pasukan pembinaan, penyelam laut dalam serta pelbagai karakter yang mencuit hati, setiap ruang seolah-olah mempunyai cerita tersendiri. Anak-anak bukan sekadar melihat dekorasi, malah sibuk meneroka dan mencipta kisah mereka sendiri.




Apa yang menarik, bilik ini bukan hanya cantik untuk dinikmati, tetapi turut menawarkan pengalaman interaktif. Aktiviti in-room treasure hunt menjadi antara tarikan yang menyeronokkan apabila anak-anak perlu mencari petunjuk tersembunyi di dalam bilik untuk membuka peluang mendapatkan kejutan LEGO istimewa.
Kemudahan ruang tidur yang diasingkan untuk ibu bapa dan anak-anak juga menjadikan penginapan lebih selesa. Anak-anak mempunyai ruang tidur sendiri dengan katil dua tingkat dan katil tarik keluar, manakala saya dan suami dapat menikmati ruang rehat yang lebih privasi. Inilah antara perkara yang menjadikan pengalaman menginap di LEGOLAND Hotel begitu istimewa untuk keluarga.
Bagi kami, pengalaman ini bukan sekadar tidur di hotel bertema, tetapi peluang untuk menikmati masa berkualiti bersama keluarga dalam suasana yang penuh kreativiti dan kegembiraan.
Dari Bilik LEGO ke Dunia Pengembaraan
Kalau menyangka keseronokan hanya tertumpu di dalam bilik, sebenarnya itulah baru permulaan. LEGOLAND Malaysia Resort menawarkan pelbagai tarikan yang membuatkan satu hari terasa begitu singkat.
Kami sempat meluangkan masa di Water Park, dan sudah tentu kawasan ini menjadi antara lokasi paling meriah untuk keluarga. Dengan pelbagai sediaan gelongsor air, kolam permainan dan aktiviti interaktif, suasananya memang cukup happening. Anak-anak bebas bermain air, sementara kami turut sama menikmati keseronokan yang jarang dapat dirasai dalam rutin harian.





Pengembaraan diteruskan ke Theme Park yang menawarkan pelbagai permainan dan tarikan berasaskan LEGO. Setiap zon mempunyai daya tarikannya tersendiri, daripada permainan yang menguji keberanian hingga pengalaman interaktif yang menggalakkan kreativiti. Melihat anak-anak begitu teruja mencuba setiap tarikan menjadi antara momen paling menggembirakan sepanjang percutian.

Kami juga tidak melepaskan peluang mengunjungi SEA LIFE Malaysia. Berbeza daripada suasana taman tema yang penuh aksi, SEA LIFE membawa kami ke dunia bawah laut yang lebih menenangkan dan mendidik. Melihat pelbagai hidupan marin dari dekat, termasuk meneroka habitat unik, menjadi pengalaman yang menarik untuk seisi keluarga.
Percutian yang Penuh Memori
Apa yang paling kami hargai sepanjang staycation ini ialah peluang untuk melakukan banyak perkara bersama-sama. Dari bangun pagi dalam bilik LEGO CITY yang penuh imaginasi, bermain air di Water Park, meneroka Theme Park hinggalah mengenali hidupan laut di SEA LIFE, setiap detik terasa begitu bermakna.

LEGOLAND Hotel Malaysia sememangnya menawarkan pengalaman yang berbeza daripada penginapan biasa. Bilik bertema LEGO CITY yang baharu memberikan satu lagi sebab untuk keluarga merancang percutian ke sini, terutama bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang gemarkan dunia LEGO.
Bagi kami, pengalaman menjadi antara yang terawal menikmati bilik baharu ini cukup istimewa. Anak-anak gembira, ibu bapa pun puas hati. Dan paling penting, kami pulang dengan memori indah yang akan terus dikenang.
Jika mencari destinasi percutian keluarga yang menggabungkan penginapan unik, taman tema, aktiviti air dan pengalaman dunia bawah laut dalam satu lokasi, LEGOLAND Malaysia Resort memang wajar berada dalam senarai.
Percayalah, sehari mungkin terasa tidak cukup. Malah, selepas merasai sendiri pengalaman ini, pasti ada keinginan untuk kembali lagi!
