GAYA HIDUPSARAH J SELECTS

Sara J Selects: Daripada Aspirasi ke Inspirasi

Sara J Selects — WM Magazine October Issue

Sebagai seorang pereka fesyen dan pelajar undang-undang, hidup saya sentiasa seimbang antara  rekaan dan pembelajaran. Dunia saya selama ini lebih tertumpu pada pentas fesyen dan helaian  undang-undang tetapi saya tidak pernah menyangka bahawa penulisan juga boleh menjadi medium  untuk saya berkongsi cerita, pandangan dan inspirasi. 

Segalanya bermula apabila Kak Wirda (Editorial-in- Chief WM Magazine) begitu terkesan dengan  tulisan saya lalu menawarkan peluang yang amat berharga untuk menjadi kolumnis di WM Magazine.  Saya akui, saya masih baharu dalam dunia penulisan, masih banyak yang harus dipelajari dan  diperbaiki. Namun, ruang ini saya anggap sebagai peluang untuk menyumbang sesuatu yang  bermakna kepada masyarakat. 

Kolum ini akan bergerak secara bergilir: ada masanya ia menjadi ruang untuk mengangkat kisah wanita  hebat, menyuntik semangat dan memperkasakan pembaca dan ada masanya ia akan menjadi  panduan imej fesyen untuk membuka sedikit pintu ke dunia fesyen, sambil membantu mereka yang  ingin mencari gaya dan imej diri yang sesuai. 

Dan yang paling penting, saya mahu menjadikan ruangan ini sebagai peringatan bahawa kita semua  boleh menjadi versi terbaik diri kita dengan sentiasa berusaha memperbaiki diri walaupun melalui  perkara yang sekecil-kecilnya, bila-bila masa, di mana sahaja. Saya juga bukan insan sempurna tetapi  boleh menimba ilmu pengetahuan bersama-sama, kita boleh berusaha untuk menjadi lebih baik hari  demi hari. 

Saya juga berharap kolum ini membawa manfaat kepada masyarakat walaupun mungkin nanti hanya  seorang dua sahaja yang terkesan secara positif dengan tulisan saya, itu sudah cukup membuatkan  saya amat bersyukur. Pada masa yang sama, saya ingin mengekalkan dan menerapkan penggunaan  Bahasa Melayu sebagai bahasa kebanggaan kita. Hanya segelintir negara di dunia yang mampu  bertutur fasih dalam bahasa ini, maka kita harus berbangga kerana memilikinya. 

Melalui “Sara J Selects,” saya mahu berkongsi bahawa fesyen bukan sekadar pakaian, ia adalah  bahasa keyakinan dan inspirasi bukan sekadar kata-kata, ia adalah cahaya yang boleh mengubah arah  hidup seseorang. Inilah langkah kecil saya, sebagai penulis baharu untuk belajar sambil memberi,  berkongsi sambil memperkasakan dan menulis dengan bahasa jiwa bangsa kita. — Sara Jamaludin

Temu Ramah: Datuk (Dr.) Hafsah Hashim
Pengerusi Women Leadership Foundation (WLF)
Tema: Projek Besar, Wawasan & WLF

Datuk (Dr.) Hafsah Hashim ialah seorang pemimpin berwibawa dengan lebih 36 tahun pengalaman  dalam sektor awam dan korporat. Beliau pernah berkhidmat hampir 14 tahun sebagai Ketua Pegawai  Eksekutif SME Corporation Malaysia (2005–2019), di mana beliau menerajui dasar dan strategi  pembangunan PKS negara. Sepanjang khidmatnya dalam perkhidmatan kerajaan, beliau juga  menabur bakti di pelbagai kementerian termasuk MITI, Kementerian Pertanian dan Kementerian  Perusahaan Utama.

Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dari Universiti Sains Malaysia serta Ijazah Sarjana  Pentadbiran Perniagaan dari Aston University, United Kingdom, kepakarannya diiktiraf dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan oleh Universiti Tenaga Nasional (2015).  Beliau turut dilantik sebagai Professor of Practice di Putra Business School serta Profesor Adjung di  UNITEN, UTM, UPM, UKM dan UTP mengangkat peranan beliau bukan sahaja sebagai pemimpin  tetapi juga pendidik dan pembimbing generasi baharu.

Kini, Datuk (Dr.) Hafsah terus mencorak legasi kepimpinan sebagai Pengasas & Pengerusi Women  Leadership Foundation (WLF), yang melaksanakan inisiatif berimpak tinggi seperti ASEAN Women  Economic Summit (AWES) dan projek komuniti Bridging Lives. Beliau juga merupakan Pengerusi  USAINS Holding Sdn Bhd, selain menggalas amanah sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bebas di Zurich  Takaful Malaysia Bhd, Zurich Life Insurance Malaysia Bhd, Universiti Southampton Malaysia dan SBS Nexus Bhd, serta ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Inovasi Malaysia.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan penting termasuk Pengerusi Pharmaniaga Berhad, ahli  lembaga pengarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Johor Corporation (JCorp), GreenTech  Malaysia, Penang Skills Development Centre (PSDC), SME Development Academy (SMEDA) dan  Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di samping berkhidmat sebagai Penasihat PKS  kepada Bank Islam Malaysia.

Dengan gabungan visi strategik, dasar ekonomi dan agenda pemerkasaan wanita, Datuk (Dr.) Hafsah  Hashim berdiri sebagai ikon kepemimpinan nasional, seorang wanita berkaliber, arkitek perubahan yang  sentiasa menginspirasi generasi kini dan mendatang.

Sebagai salah seorang pengasas dan Pengerusi Women Leadership Foundation (WLF),  apakah visi yang pertama kali terpahat dalam hati Datuk ketika mula menubuhkan WLF dan adakah visi itu berubah sejak dari permulaan hingga kini?

Visi awal kami sebenarnya sangat  jelas, untuk melihat lebih ramai wanita Malaysia berada di meja pembuat keputusan, khususnya di  peringkat C-Suite dan Lembaga Pengarah. Namun, seiring perjalanan masa, visi ini telah berkembang

dan matang. Hari ini, fokus kami bukan sekadar memastikan wanita sampai ke puncak tetapi  memastikan mereka memimpin dengan tujuan yang jelas dan purposeful leadership yang mampu  membawa perubahan bermakna kepada organisasi, komuniti dan masyarakat secara keseluruhan.  Dengan kata lain, daripada hanya membuka pintu peluang, kini kami mahu memastikan setiap wanita yang melangkah masuk membawa nilai, impak dan transformasi.

Projek besar seperti ASEAN AWES kini berada di bawah payung WLF, bagaimana Datuk  memastikan projek ini bukan sekadar event tahunan tetapi memberi kesan lestari kepada  usahawan wanita ASEAN?

AWES 2025 direka bukan sekadar sebagai acara tahunan tetapi sebagai platform untuk membina hubungan strategik jangka panjang. Sebab itu kami memperkenalkan inisiatif konkrit seperti “Bridging  Lives”, yang sudah pun mengenal pasti lokasi jambatan pertama di Sarawak. Selain dari itu, sesi mentorship WLF tidak terhenti selepas selesai acara AWES 2025, ia diteruskan bagi memastikan  kesinambungan sokongan kepada usahawan wanita. Kami juga bekerjasama rapat dengan MITI  supaya perbincangan dan cadangan daripada AWES dapat diterjemahkan kepada dasar dan tindakan  kerajaan. Bagi kami di WLF, kejayaan bukan diukur melalui jumlah peserta yang hadir tetapi melalui berapa ramai usahawan yang berjaya mengembangkan perniagaan atau naik ke posisi kepimpinan  hasil daripada ekosistem yang dibina.

Dalam melaksanakan ASEAN AWES, apakah cabaran paling kompleks menyelaraskan kerjasama antara negara (termasuk perbezaan budaya, undang-undang, jangkaan) dan  bagaimana Datuk mengatasinya?

Memang benar, menyelaras kerjasama serantau seperti ASEAN AWES datang dengan cabaran yang kompleks daripada kepelbagaian budaya, perbezaan undang-undang hinggalah jangkaan yang  berbeza-beza daripada setiap negara. Namun, kami melihat kepelbagaian ini bukan halangan, sebaliknya kekuatan bagi kami di WLF. Kami cuba mengatasi cabaran ini melalui dialog yang terbuka,

mendengar dengan empati dan membina kerangka bersama yang semua pihak boleh terima. Kami  juga memastikan suara setiap pihak didengar sejak awal perancangan event ini. Yang paling penting, kami letakkan purpose yang sama iaitu memberdayakan usahawan wanita ASEAN sebagai benang  merah yang menyatukan semua perbezaan. Dengan pendekatan ini, cabaran bertukar menjadi peluang  untuk membina jaringan yang lebih kukuh dan lestari.

Apakah pemikiran utama Datuk, adakah projek besar ini lebih mudah dimulakan dari atas  (pihak atasan) atau dari akar umbi dan bagaimana WLF menggabungkan kedua pendekatan ini?

Bagi saya, kedua-dua pendekatan penting, cuma pada masa yang berbeza. Projek besar memerlukan sokongan daripada pihak atasan untuk membuka pintu, menyediakan akses dan sumber. Tetapi impak  sebenar hanya tercapai apabila ia sampai ke akar umbi. Di WLF, kami menggunakan pendekatan yang  saya gelar “strategic sandwich” bekerjasama dengan kerajaan dan sektor korporat di peringkat atas,  membina kapasiti kepimpinan wanita di peringkat pertengahan dan pada masa yang sama turun ke  komuniti B40 dan M40 dibawah. Inisiatif “Bridging Lives” adalah contoh nyata dengan sokongan kerajaan Sarawak di peringkat dasar tetapi manfaatnya dirasai secara langsung oleh ibu dan anak di kampung-kampung terpencil. Inilah cara kami menggabungkan kekuatan atas dan bawah untuk  memastikan perubahan yang lestari.

Projek besar mudah terjejas oleh birokrasi, kelambatan pelaksanaan dan perubahan dasar.  Bagaimana Datuk memacu momentum agar WLF dan projeknya terus bergerak walau halangan?

Memang benar, projek besar sering berdepan dengan birokrasi, kelambatan pelaksanaan dan  perubahan dasar. Cara saya memastikan momentum terus bergerak ialah dengan membina hubungan  peribadi yang kukuh dengan para pembuat keputusan, sentiasa menyediakan pelan alternatif Plan B  dan C serta memecahkan projek besar kepada milestone yang lebih kecil dan mudah dicapai. Komunikasi yang kerap dan telus dengan semua pihak juga penting untuk memastikan keselarasan.  Bagi saya, “NO” jarang sekali bermakna penolakan mutlak, kadangkala ia hanya bermakna “belum  lagi.” Dan apabila saya sendiri merasa penat, saya kembali kepada WHY, wajah-wajah wanita yang  akan mendapat peluang melalui usaha ini. Itulah bahan bakar semangat yang membuatkan saya tidak  berhenti.

Dalam konteks WLF, apakah inisiatif “kepemimpinan akar umbi” (grassroots) yang tengah atau  akan dilaksanakan supaya wanita yang jauh dari bandar atau di kawasan terpencil turut  mendapat peluang yang sama?

Di WLF, kami percaya kepimpinan bukan hanya untuk mereka yang berada di bandar besar atau di bilik  mesyuarat korporat. Wanita di akar umbi juga adalah pemimpin dalam komuniti mereka dan wajar mendapat peluang yang sama. Sebab itu, kami melaksanakan inisiatif grassroots seperti program  “Bridging Lives” yang membawa impak terus kepada ibu dan anak di kampung terpencil di Sarawak.  Kami juga sedang merancang modul latihan kepimpinan komuniti yang direka khas untuk wanita B40  dan M40 di kawasan luar bandar daripada literasi digital, kemahiran keusahawanan hinggalah akses kepada rangkaian mentor. Matlamat kami jelas; membina barisan wanita pemimpin akar umbi yang mampu mengubah kehidupan keluarga dan komuniti mereka, sekaligus memperkukuh ekosistem kepimpinan  wanita Malaysia secara menyeluruh

Apabila menghitung kejayaan ASEAN AWES dan WLF secara keseluruhan, apakah metrik  keberhasilan yang Datuk lebih utamakan, bukan hanya jumlah peserta atau dana tetapi kesan  terhadap kehidupan individu?

Bagi saya, kejayaan tidak diukur semata-mata dengan jumlah peserta atau dana yang terkumpul. Yang  lebih penting ialah kesan nyata terhadap kehidupan individu. Saya melihat keberhasilan melalui berapa ramai wanita yang berjaya naik ke jawatan kepimpinan, berapa perniagaan wanita yang berkembang  dan jambatan yang kami bina, baik secara literal mahupun metaforik. Saya mahu tahu berapa ramai  kanak-kanak kini boleh ke sekolah kerana adanya jambatan fizikal yang menghubungkan kampung mereka, berapa ramai ibu yang boleh memberi tumpuan kepada perniagaan kerana mendapat sokongan dan sejauh mana perbincangan kami diterjemahkan menjadi perubahan dasar kerajaan. Bagi saya, satu kisah transformasi sebenar jauh lebih bernilai daripada seribu peserta yang hadir tetapi  melupakan mesej sehari selepas selesainya acara.

Ada projek yang dahulu dianggap gagal atau tidak berjalan seperti yang diharapkan? Bagaimana Datuk melihat “kegagalan” itu hari ini sebagai batu loncatan dalam membina WLF?

Saya percaya tiada organisasi yang boleh berkembang tanpa melalui percubaan dan kesilapan. Ya,  ada projek terdahulu yang tidak berjalan seperti yang kami harapkan bukan kerana ideanya tidak baik  tetapi kerana masa, sumber atau ekosistemnya belum sesuai. Namun, saya tidak melihatnya sebagai  kegagalan mutlak. Setiap pengalaman itu memberi kami pelajaran berharga; bagaimana memperkemas model pelaksanaan, cara melibatkan rakan kongsi dengan lebih berkesan dan  pentingnya mendengar suara komuniti sejak awal. Malah, banyak elemen daripada projek yang  dianggap “gagal” itu kini kami guna semula dalam inisiatif baharu yang lebih mantap. Bagi saya, kegagalan hanyalah batu loncatan yang menjadikan WLF lebih matang, lebih strategik dan lebih teguh  hari ini.

Bagi wanita yang merasa impian mereka terlalu besar untuk dikejar atau tidak tahu di mana hendak bermula, apakah langkah mikro pertama yang Datuk sarankan supaya mereka dapat  mula bergerak (menguji, belajar, mencuba)?

Jangan cuba mendaki gunung dalam sehari, mulakan dengan satu langkah kecil. Pertama, tulis impian anda di atas kertas dan tanya diri, “Mengapa (WHY) saya mahu ini?” Kedua, pecahkan impian besar itu kepada matlamat kecil yang lebih mudah dicapai. Ketiga, cari seseorang yang sudah berjaya dalam  bidang tersebut dan belajar daripada pengalaman mereka. Yang penting, ambil satu tindakan konkrit  dalam tempoh 24 jam, sama ada mendaftar domain, menghantar emel kepada seseorang atau mendaftar kursus. Berikan diri anda keizinan untuk membuat kesilapan kerana itulah sebahagian  daripada proses pembelajaran. Dan jangan lupa, sertai komuniti yang boleh menyokong perjalanan anda. Ingatlah, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah dan langkah itu boleh anda ambil  hari ini.

Dalam detik ketika Datuk merasa terbeban, letih atau mungkin ragu, apakah “pegangan hati”  atau falsafah yang Datuk gunakan untuk bangkit?

Apabila saya berasa terbeban atau letih, saya kembali mengingat WHY saya melakukan semua ini adalah untuk anak-anak saya dan untuk wanita yang selama ini tidak pernah mendapat peluang. Saya  mencari kekuatan melalui doa dan bersandar kepada Allah kerana iman adalah pegangan hati saya. Saya juga beruntung mempunyai rakan seperjuangan Pengasas WLP seperti Dato Hazimah dan Datuk  Zunaidah; kami saling menguatkan apabila salah seorang merasa lemah. Kadang-kadang saya membuka semula mesej daripada wanita yang hidupnya berubah hasil program kami, itulah suntikan  semangat yang nyata. Dan tentu sekali, saya perlu meluangkan masa untuk recharge bersama keluarga. Falsafah saya mudah; kepimpinan adalah maraton, bukan pecut. Saya tidak perlu selesaikan  segalanya hari ini, yang penting saya konsisten dan terus melangkah, walaupun dengan perlahan.

WLF menekankan nilai inklusiviti dan kolaborasi merentasi sektor, bagaimana Datuk  menjaga keseimbangan antara idealisme dan realiti dalam projek-projek besar agar tidak  tersasar?

Bagi saya, keseimbangan antara idealisme dan realiti bermula dengan menetapkan non-negotiables,  nilai inklusiviti tidak boleh dikompromi. Dalam setiap projek, soalan utama kami ialah, “Siapa yang kita tinggalkan?” Saya bersedia berunding tentang how tetapi bukan tentang why. Kami mendengar maklum  balas daripada akar umbi bukan hanya perbincangan di bilik mesyuarat dan kami mengukur impak  sekurang-kurangnya setiap enam bulan. Kadangkala,

ini bermakna kami perlu berkata “tidak” kepada dana besar yang bercanggah dengan nilai kami. Pada  masa sama, saya membina pasukan yang beragam supaya wujud keseimbangan antara semangat idealistik dan keperluan praktikal. Bagi saya, idealisme tanpa tindakan hanyalah mimpi, manakala tindakan tanpa idealisme adalah kosong. Kedua-duanya perlu berjalan seiring untuk  membawa perubahan yang bermakna.

Untuk seorang wanita yang membaca temu ramah ini dan merasa “stuck” dalam kehidupan  (kerjaya, hubungan, semangat), bagaimana Datuk menasihati mereka mengenal pasti “arah”  mereka semula dan memulakan langkah pertama?

Pertama sekali, berhenti sejenak dan tarik nafas. Tanya diri anda soalan-soalan sukar: Apa yang  membuat saya gembira lima tahun lalu yang saya tidak lakukan lagi hari ini? Jika saya hanya ada setahun untuk hidup, apa yang saya ingin lakukan? Tulis jawapan itu tanpa menapis atau menghakimi diri sendiri. Dari situ, pilih satu perubahan kecil yang boleh anda lakukan minggu ini, mungkin dengan

berkata “tidak” kepada sesuatu yang menguras tenaga atau mencuba semula perkara yang pernah anda minati. Jangan lalui perjalanan ini seorang diri; bercakaplah dengan seseorang yang dipercayai, sama ada kawan, mentor atau bahkan seorang terapis. Ingatlah, rasa “stuck” bukan tanda kegagalan  tetapi isyarat bahawa sudah tiba masa untuk berubah arah. Dan perubahan besar selalu bermula dengan satu keputusan kecil yang anda boleh buat hari ini.

Dalam perjalanan membina WLF sebagai “baby” bersama rakan pengasas (Datuk Zunaidah,  Dato’ Hazimah), pernahkah ada konflik visi atau pendekatan dan bagaimana Datuk  menyelesaikannya agar semangat bersama tak retak?

Ya, sudah tentu kami ada perbezaan pendapat, ini adalah sesuatu yang normal apabila tiga personaliti  kuat berkumpul. Kadangkala kami tidak sehaluan mengenai keutamaan program atau pendekatan dalam mencari solusi yang paling sesuai apabila berdepan dengan permasalahan. Yang sentiasa  menyatukan kami ialah satu prinsip yang kami pegang; kami bertiga berkongsi visi yang sama, iaitu  pemerkasaan wanita. Apabila konflik timbul, kami memilih untuk duduk bersama, mendengar dengan  penuh hormat tanpa menyampuk dan mencari titik persamaan. Dari awal lagi, kami sepakat bahawa ego mesti ditinggalkan di luar pintu. ianya bukan soal siapa betul atau salah tetapi apa yang terbaik untuk WLF dan wanita yang kami perjuangkan. Persahabatan, kepercayaan dan saling menghormati  menjadi asas kekuatan kami dan itulah yang memastikan semangat bersama tidak pernah retak. Persahabatan dan saling hormat-menghormati adalah asas kekuatan kami.

Apabila WLF melihat masa depan lima –10 tahun mendatang, apakah projek impian atau “baby  baru” yang Datuk ingin laksanakan di bawah payung WLF?

Apabila saya melihat lima –10 tahun ke hadapan, impian saya ialah melahirkan sebuah WLF Leadership  Academy iaitu satu pusat rujukan serantau untuk melatih wanita dalam kepimpinan berasaskan nilai,  sama ada mereka dari bilik darjah, kampung, mahupun bilik mesyuarat korporat. Selain itu, saya ingin  melihat projek Bridging Lives diperluas menjadi gerakan serantau membina jambatan; baik fizikal  mahupun peluang di seluruh ASEAN. Bayangan saya, dalam 10 tahun, WLF bukan sahaja berada di  Malaysia, malah di setiap negara ASEAN. Dengan ini, WLF di setiap negara ASEAN bukan sahaja  dapat melahirkan lebih ramai wanita di posisi tertinggi tetapi juga pemimpin akar umbi yang mengubah  komuniti mereka. Itu “baby baru” yang saya ingin asuh; projek yang meninggalkan legasi kepimpinan  wanita merentasi generasi di rantau ASEAN.

Jika Datuk boleh menulis sepucuk surat kepada generasi wanita Malaysia (terutama yang  rasa mereka kecil, lemah atau tiada arah), apakah kata-kata yang ingin Datuk titipkan agar  mereka rasa punya nilai dan harapan kepada wanita hebat yang sedang membaca ini?

Saya tahu, ada hari di mana anda merasa kecil. Anda rasa suara anda tidak penting, impian anda  terlalu besar dan anda tidak cukup pintar, cantik atau berani. Tetapi izinkan saya berkongsi satu rahsia; setiap wanita yang anda kagumi hari ini pernah merasai perkara yang sama. Mereka pernah ragu,  pernah jatuh, malah pernah hampir berputus asa. Namun, mereka memilih untuk bangkit. Sebenarnya  itu lah yang menjadikan mereka hebat. Anda dilahirkan dengan nilai yang tidak ternilai. Dalam diri anda  ada kekuatan yang mungkin anda sendiri belum sedar kewujudannya. Anda layak untuk setiap impian  yang terpendam dalam hati. Jangan biarkan sesiapa, termasuk suara ragu dalam diri anda meyakinkan  sebaliknya. Mulakan sahaja dari tempat anda berdiri sekarang dengan apa yang ada di tangan anda.  Satu langkah kecil sudah cukup untuk hari ini. Ingatlah, anda tidak bersendirian. Ada sebuah komuniti  wanita termasuk saya, yang bersedia menyambut anda apabila anda terjatuh dan meraikan anda  apabila anda berjaya. Masa depan Malaysia memerlukan kepemimpinan anda. Dunia sedang menantikan sumbangan anda. Jangan biarkan mereka menunggu terlalu lama. Dengan penuh kasih, doa dan  keyakinan — Datuk (Dr.) Hafsah Hashim.

Related posts

Pencegahan Kanser

admin

‘Gifts of the Forest’

admin

Hologic Sokong Pengesanan Awal Kanser Payudara Menerusi Pemeriksaan Proaktif

admin

Leave a Comment