Suami saya baru pulang dari Itali. Telefon penuh dengan gambar. Lorong kecil. Bangunan lama. Pintu kayu. Tingkap usang. Dia bercerita tentang bagaimana setiap bangunan di sana “dihormati”. Saya dengar sambil senyum.
Dia memang begitu — arkitek yang selalu nampak keindahan dalam benda lama. Beberapa hari kemudian kami pulang ke kampung. Rumah keluarga suami masih ada.
Dusun masih berdiri. Tapi ada satu perubahan kecil yang saya perasan. Di Itali, dia bercerita tentang “beauty”. Di kampung sendiri, dia bercakap tentang “maintenance”.
Saya tidak salahkan dia. Mungkin memang begitu cara manusia melihat dunia. Yang jauh menjadi inspirasi. Yang dekat menjadi tanggungjawab. Dan tanggungjawab selalu beratkan mata kita untuk melihat dengan cara yang sama.
The Things We Never Notice at Home
Saya pernah perasan sesuatu yang tidak saya sedari sebelum ini. Di rumah sendiri, kita jarang benar-benar “melihat”. Kita hanya bergerak.
Masak. Urus anak. Kemaskan rumah. Balik kerja. Tidur. Hari-hari jadi rutin yang tidak sempat diperhatikan. Sampai kita tidak sedar siapa yang penat sebenarnya.
Siapa yang diam. Siapa yang selalu mengalah. Siapa yang selalu memastikan semuanya berjalan.
Saya mula sedar banyak perkara di rumah bukan tidak penting. Cuma tidak pernah diberi ruang untuk “dilihat”. Dan mungkin itu sebabnya, kita selalu rasa orang lain lebih menarik daripada orang di rumah sendiri. Kerana di luar, semuanya dipamerkan.
Di rumah, semuanya disenyapkan.
We Stayed Two Night Too Long
Kami pernah balik ke kampung seorang kawan. Saya, suami, dan anak, kami ingatkan ia akan jadi pengalaman yang indah dan santai-santai. Tapi kami hanya bertahan dua malam. Esoknya pagi lagi kami sudah mula bersiap untuk pulang.
Bukan kerana kampung itu tidak indah. Bukan kerana tuan rumah tidak baik. Tapi kerana sesuatu yang tidak ramai akan bercakap dengan jujur — kami tidak tahu bagaimana untuk “tinggal lama” di tempat yang tidak bergerak dengan kadar hidup kami, terutama Alia, dia mati akal. Suami saya jadi lebih diam. Mereka mula mencari telefon mereka. Saya pula… hanya memerhati jam.
Dalam kereta pulang, saya terfikir: Mungkin bukan semua tempat perlu menjadi kenangan panjang. Ada tempat yang hanya hadir sekejap dalam hidup kita. Dan itu pun sudah cukup.
Things People Don’t See: Nostalgia Yang Datang Melalui Bau
Ada kenangan yang tidak pernah pulang melalui gambar.
Ia kembali melalui bau.
Setiap kali kereta memasuki jalan kampung yang diapit sawah menghijau, saya akan membuka sedikit tingkap. Membiarkan angin menyapa wajah ini, membawa bersama bau tanah, rumput yang baru dipotong, embun pagi, dan dedama yang entah bagaimana mempunyai harumnya sendiri.
Bau-bau itu tidak pernah dijual di mana-mana. Tidak pernah dibotolkan menjadi minyak wangi. Namun nilainya jauh lebih mahal daripada apa jua pewangi mewah.
Rumah kayu milik datuk yang masih tegap berdiri, dibina daripada kayu jati puluhan tahun dahulu, juga mempunyai aromanya yang tersendiri. Bau kayu tua yang menyimpan seribu musim hujan dan panas itu seolah-olah menyimpan suara-suara yang telah lama diam. Ketika melangkah masuk, saya seakan kembali menjadi anak kecil yang berlari tanpa kasut di lantai kayu, ketawa bersama sepupu, sementara nenek sibuk di dapur menyediakan makan tengah hari.
Saya percaya setiap rumah mempunyai bau kenangannya sendiri. Dan setiap bau mempunyai cerita yang tidak mampu diceritakan oleh kata-kata.
Suami saya juga memang menyukai pewangi. Di rumah, di dalam kereta, malah ketika mengembara, dia sentiasa memilih haruman yang menenangkan. Sebotol dua akan dibawa pulang untuk saya. Dan setiap kali pulang ke kampung, dia akan tersenyum sambil berkata, “Tiada pewangi yang mampu menandingi bau alam.”
Saya mengangguk dia mengerti, haruman yang paling indah bukan datang daripada botol kristal yang tersusun kemas di rak. Sebaliknya, ia lahir dari tempat-tempat yang pernah mengajar kita tentang kasih sayang, kesederhanaan dan kehidupan.
Mungkin sebab itu, setiap kali kami meninggalkan kampung, yang paling lama tinggal bersama bukan pemandangannya tetapi baunya.
