ACARA

Kembara Budaya Rona Sukma

KEMBARA BUDAYA RONA SUKMA – MALAYSIA @ SARAJEVO & KONYA, TURKIYE

PUISI, MUZIK, FESYEN dan MAKANAN menjadi tema dan wadah budaya unggul di Malaysia dalam sebuah acara persilangan budaya yang diusahakan oleh Meja Poedjangga dan Majalah WM bersama Malaysia Bosnia Business Council —. KEMBARA BUDAYA RONA SUKMA ‘COLOURS OF SOUL’ : MALAYSIA @ SARAJEVO & KONYA.

Suasana di Grand Hisar (Authentic Turkish Restaurant) di No 10 Stonor KLCC bermandi cahaya di petang itu. Keindahan hiasan dalamannya menarik setiap pengunjung yang berada di situ. Cukup membuat mereka juga ternanti akan hidangan yang enak dan lazat pastinya, terutama pada tetamu yang mahukan kelainan dalam pemilihan makanan harian mereka. Dan mengapa diadakan di restoran Turki, Grand Hisar? Kerana adanya kaitan dengan kembara mereka nanti selain di Sarajevo, juga ke Konya Turki. Seolah memberikan ‘umpan’ akan keunggulan yang bakal dirasai di sana nanti. Terima kasih Grand Hiser kerana menaja majlis ini, kerjasama anda amat dihargai.

Namun di petang itu tetamunya lebih tertumpu kepada berita menarik yang bakal disampai oleh penganjur kepada media; tentang acara persilangan budaya yang bakal diadakan di dua kota dengan kesenian serta berbudaya iaitu Sarajevo yang terkenal dengan julukan Balkan Blues dan Konya, kota tua di Turkiye tempat kelahiran falsafah Sufi dan Rumi..

Sidang Media juga memperkenalkan barisan delegasi seniman dan sasterawan tersohor negara termasuklah Datuk Syafinaz Selamat, Prof. Dato’ Dr. Lim Swee Tin, Saudara Umar Uzair, Dato Chef Zam dan Lin Haslinaz yang akan disatukan dalam sebuah acara festival peragaan, persembahan muzik, deklamasi puisi dan makanan yang. bakal berlangsung di dua kota yang tersohor ini. Acara ini juga bersesuaian dalam usaha menjabat Tahun Melawat Malaysia 2026, ke arah sebuah negara berjati diri dan memiliki kesenian berbahasa dan budaya yang unggul selain menjambatani hubungan sisiobudaya dan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa khususnya dengan Bosnia & Herzegovina, Turkiye dan rantau Eropah umumnya.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia dan Tourism Malaysia, projek seni bertaraf antarabangsa ini turut mendapat kerjasama erat daripada Kedutaan Malaysia di Bosnia dan Malaysia Bosnia Business Council.

 “Kami amat menyokong program sebegini bukan sahaja sebagai satu usaha mempereratkan hubungan perdagangan dan budaya dua hala bahkan sebagai menyambut ulang tahun ke 30 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina,” kata Encik Mohamed Syairoz Dato’ Mohamed Odman, Setiausaha Agung MBBC.

“RONA; warna, corak dan bentuk dalam sastera menjadi judul acara yang dipadankan dengan SUKMA; jiwa – bahagian bukan material dalam seseorang akan membawakan pelbagai perasaan dan wajah Malaysiana dalam gabungan bahasa, susastera nasional bersama muzik, lagu, gaya fesyen tempatan dan makanan ke persada antarabangsa. “Kita berharap melalui program ini rakyat Malaysia dapat melihat bagaimana pendidikan seni dapat menjadi teras kepada perhubungan di peringkat antarabangsa,” jelas Umar Uzair. Umar ialah penyanyi/penyair merangkap Pengarah Bersama RONA SUKMA. Turut mengalukan, Pengarah MajalahWM merangkap Pengarah Kembara Budaya Rona Sukma Puan Wirda Adnan, Pengarah Urusan Norma Norell Sdn Bhd, Datin Norma Norell dan Pengerusi Yayasan Wanita Malaysia Dato’ Normala A. Kahar.

KEMBARA BUDAYA RONA SUKMA yang julung kali diadakan ini akan bermula pada 1 hingga 12 Oktober 2025 turut berinisiatif memartabatkan imej Malaysia melalui diplomasi budaya dan mengukuhkan hubungan persahabatan dengan negara-negara Islam selain memberi peluang kepada seniman dan produk jenama tempatan untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kami amat mengalu-alukan penglibatan pelbagai organisasi bukan kerajaan dalam mendukung acara ini melalui sokongan kewangan. Istimewanya bagi para penaja, mereka sekaligus layak untuk  mendapat faedah potongan cukai 100% melalui program Potongan Cukai MOTAC. Bermula dari serendah RM30,000.00 sehingga ke pakej utama RM200,000.00 yang berpeluang menerima pelbagai faedah penajaan termasuklah bersama-sama dengan para delegasi ke Konya dan Sarajevo,” kata Pengarah Komunikasi, Promosi dan Pemasaran RONA SUKMA. To’ Puan Nora Muhamad.

Layari Instagram & Facebook @mejapoedjangga @majalahwm

#RonaSukma #ColoursofSoul #Kembara Budaya MalaysiaSarajevo Konya #VisitMalaysia2026

Related posts

Janji RM50 Juta; CIMB Terus Memperkasakan Pendidikan Negara

Afiza Kamarulzaman

CIMB Artober 2025 Rai Ulang Tahun Kelima–Terus Memperkasa Ekosistem Seni Malaysia

Afiza Kamarulzaman

Leave a Comment