GAYA HIDUP

Sodexo dan PichaEats Menggalakkan Pertukaran Budaya Bermakna Melalui Masakan

Sesi memasak interaktif dan bengkel latihan chef ini menghimpunkan pekerja dan chef daripada komuniti pelarian bagi tujuan memupuk perpaduan, kefahaman dan keterangkuman menerusi makanan

Sodexo, peneraju global dalam perkhidmatan makanan dan pengurusan fasiliti, menjalinkan kerjasama dengan perusahaan sosial tempatan, PichaEats, untuk menganjurkan dua acara masakan yang menyatukan masyarakat menerusi makanan di samping menyokong peluang  mencipta sumber sara hidup bagi komuniti pelarian di Malaysia.

Kerjasama ini yang berlangsung sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, mencerminkan komitmen Sodexo dalam memupuk rasa kebersamaan dan keterangkuman bagi komuniti yang terpinggir, di samping memperkayakan pengalaman di tempat kerja untuk pelanggan Sodexo. Ia juga selari dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, yang menzahirkan tekad negara bagi memupuk sifat belas kasihan, keterangkuman dan kemajuan kolektif untuk semua golongan.

Bagi tujuan ini, Sodexo menganjurkan dua acara:

MasakChef di Haleon Malaysia – Seramai 30 pekerja Haleon Malaysia, yang merupakan pelanggan Sodexo, menyertai MasakChef, sebuah sesi memasak interaktif di tempat kerja yang dianjurkan untuk menggalakkan kerja berpasukan dan pertukaran budaya. Cef Nusrat dari PichaEats, seorang chef pelarian dari Pakistan, membimbing para peserta untuk menyediakan Pani Puri, Samosa dan Kebab Ayam Balut di samping mempelajari tentang aspek warisan di sebalik setiap hidangan serta kisah ketabahan Nusrat.

Kelas Pakar Masakan bersama Chef Jordi Noguera – Chef Eksekutif Sodexo Malaysia dan Singapura mengendalikan sesi latihan amali untuk para chef PichaEats. Kelas ini memperkenalkan hidangan tradisi Spanyol seperti Tortilla dan Mushroom Croquetas, dan cef yang mengambil bahagian berpeluang untuk bertukar-tukar teknik dan pandangan tentang budaya mereka.

“Makanan berfungsi bukan sekadar sebagai sumber khasiat semata-mata — ia jambatan antara budaya dan wadah untuk memupuk aspek keterangkuman. Kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan interaksi bermakna yang memberi manfaat kepada semua pihak. Para pekerja berpeluang untuk mengenali budaya baharu, sementara chef pula berkongsi kemahiran dan bertukar-tukar cerita antara mereka, dan kami semua berpeluang untuk membina persefahaman yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai yang mencerminkan semangat Merdeka,” kata Pengarah Operasi Malaysia & Pengarah Pembangunan Perniagaan Malaysia & Singapura, Paul Francis Chong.

Malaysia kini memberi perlindungan kepada lebih 200,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR (data setakat Mei 2025). Tanpa akses kepada pekerjaan atau pendidikan formal, ramai pelarian berdepan cabaran harian untuk menyara keluarga mereka. PichaEats yang ditubuhkan pada 2016 memperkasakan cef pelarian dengan mencipta peluang menjana sumber pendapatan mampan menerusi perkhidmatan katering dan masakan, di samping meraikan warisan serta bakat mereka.

“Misi kami di PichaEats adalah untuk membuka lembaran baharu bagi komuniti pelarian menerusi makanan sebagai bahasa sejagat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PichaEats, Kim Lim. “Kerjasama dengan Sodexo membolehkan kami untuk mengetengahkan kisah dan citarasa mereka kepada khalayak baharu, sekali gus membuktikan bahawa kepelbagaian ialah kekuatan yang wajar diraikan, khususnya sempena Merdeka.”

Kata Ketua Analitik & Pelaporan Rantaian Bekalan Haleon Malaysia, Alfer Joshua F. Alfabete.

“Kerjasama ini memberikan saya keyakinan untuk maju lebih jauh daripada hanya sekadar dilihat sebagai seorang suri rumah. Ia peluang untuk saya menonjolkan kemahiran sebagai chef profesional. Melalui makanan, saya boleh memperkenalkan budaya Pakistan, di samping belajar tentang kerja dan pengalaman orang lain. Ia satu pertukaran bermakna bagi kedua-dua pihak,” kata Cef Nusrat, yang mengetuai sesi MasakChef.

Chef Osama dari Syria, yang menyertai Kelas Pakar Masakan bersama Chef Jordi, berkongsi pendapat berikut: “Sesi seperti ini membantu saya untuk berkembang sebagai seorang chef dan menimba pengalaman baharu. Ia membuatkan saya lebih yakin dan bermotivasi untuk terus memajukan diri”.

Related posts

I May Be Loud, Eccentric Or What – When I Speak, I Spell The Truth

admin

Spread Happiness With The Alley’s Happy Taro Series

adminwm

‘An Indian Spice Trail’ di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral

admin

Leave a Comment