FESYEN

Gaya, Identiti dan Usia

Ada satu perkara mengenai fesyen yang saya semakin faham apabila usia bertambah — kita tidak lagi berpakaian hanya kerana sesuatu itu sedang menjadi trend.

Ketika muda, mungkin kita mahu kelihatan perfect. Kita mahu mengikut musim, mencuba potongan baharu, bermain dengan warna dan sesekali menjadi seseorang yang sedikit berbeza daripada diri kita sendiri. Kita melihat majalah, melihat model, melihat selebriti lalu berkata dalam hati, cantiknya kalau aku boleh pakai begitu.

Tetapi usia mengajar kita satu perkara yang lebih halus: pakaian akhirnya kembali kepada siapa kita.

Fashion tells us what is new. Style tells us what remains.

Barangkali itu sebabnya ada pakaian yang sudah berpuluh-puluh tahun masih kelihatan indah, sedangkan ada trend yang baru beberapa bulan berlalu sudah terasa seperti semalam.

Gaya bukan sekadar apa yang tergantung di dalam almari. Ia adalah cara kita memperkenalkan diri sebelum sempat berkata apa-apa.

Ada wanita yang masuk ke sebuah ruang dengan gaun yang sangat sederhana tetapi seluruh dirinya kelihatan begitu kemas dan berkarisma. Ada yang gemar warna terang, ada yang tidak pernah jauh daripada hitam dan putih. Ada yang selesa dengan baju kurung, ada yang memilih sut, ada yang suka linen, sutera, denim atau kebaya lama yang diwarisi daripada ibu.

Tidak ada satu cara yang betul untuk berpakaian.

Yang ada ialah kesesuaian — dengan tubuh, usia, tempat, kehidupan dan, paling penting, dengan diri sendiri.

Ketika muda, kita mencari gaya

Saya sendiri pernah melalui banyak fasa.

Dalam dunia majalah, saya bertemu begitu ramai wanita dan melihat bagaimana pakaian boleh mengubah cara seseorang membawa dirinya. Model-model yang pada mulanya kelihatan biasa sahaja boleh berubah apabila rambut disisir, wajah disolek dan sehelai pakaian yang tepat dikenakan.

Begitu juga sebaliknya.

Pakaian yang mahal tidak semestinya menjadikan seseorang kelihatan mahal. Kadang-kadang yang menjadikan seseorang itu menarik ialah cara dia berdiri, cara dia berjalan, cara dia bercakap dan bagaimana dia membawa pakaian itu tanpa kelihatan seperti sedang cuba terlalu keras.

Di situlah saya belajar membezakan fesyen dan style.

Fesyen datang dan pergi.

Style tinggal lebih lama.

Trend memberitahu kita apa yang sedang berlaku. Gaya pula memberitahu orang lain siapa kita.

Coco Chanel, misalnya, bukan sekadar mencipta pakaian. Cara beliau sendiri berpakaian menjadi sebahagian daripada bahasa fesyen yang kita kenali hingga hari ini — tweed, mutiara, hitam dan putih, siluet yang lebih santai dan pakaian yang memberi wanita lebih kebebasan bergerak.

Itulah menariknya gaya. Ia tidak berhenti apabila musim berubah.

Ada gaya yang melampaui zaman

Kita boleh melihatnya pada Audrey Hepburn.

‘Little black dress’ yang dipakainya dalam Breakfast at Tiffany’s pada 1961 masih dikenali sehingga hari ini. Bukan kerana wanita hari ini mahu berpakaian tepat seperti Holly Golightly, tetapi kerana kesederhanaan potongan, cara ia digayakan dan keseluruhan imej itu telah menjadi sebahagian daripada sejarah fesyen.

Jane Birkin pula memberikan contoh yang berbeza.

Kemeja putih, jeans, blazer, bakul rotan, rambut yang tidak terlalu sempurna — semuanya kelihatan seperti pakaian biasa. Tetapi apabila digabungkan dengan cara dan sikapnya sendiri, ia menjadi identiti. Gaya Birkin sering dirujuk kerana sifatnya yang bersahaja dan tidak terlalu dibuat-buat.

Dan Princess Diana menunjukkan sesuatu yang lain — bahawa gaya juga boleh berkembang bersama kehidupan.

Daripada pakaian yang lebih formal dan terkawal sebagai anggota keluarga diraja muda, gaya Diana berubah secara beransur-ansur menjadi lebih peribadi, lebih berani dan jelas menunjukkan dirinya sendiri. Perubahan itu dapat dilihat melalui pakaian yang dipakainya sepanjang 1980-an dan 1990-an.

Jadi mungkin style bukan sesuatu yang kita temui sekali sahaja.

Ia berkembang bersama kita.

Apabila angka usia berubah

Saya sendiri sedang menghampiri penghujung usia 60-an dan tidak lama lagi akan masuk ke angka tujuh. Kalau saya katakan saya tidak pernah terfikir tentang angka itu, saya berbohong.

Sesekali saya berdiri di hadapan cermin dan melihat diri sendiri dengan sedikit lebih lama daripada biasa.

Ya, wajah tidak lagi semanis dahulu. Tubuh juga berubah. Angka di penimbang tidak lagi seperti ketika saya berumur 30 atau 40 tahun. Namun saya masih melihat seorang wanita yang mahu kelihatan baik.

Bukan hendak berpura-pura lebih muda atau berlawan dengan usia.

Saya mahu menjadi diri saya yang masih segar, bekerja, masih boleh berjalan ke sana sini, bertemu orang dan mempunyai banyak perkara yang mahu saya lakukan.

Dan ini semua penting.

Kita tidak sepatutnya berpakaian untuk menafikan usia. Kita berpakaian demi menghormatinya. Kerana menjadi lebih berusia tidak bermakna kita perlu berhenti bergaya. Cuma mungkin kita sudah tidak perlu membuktikan apa-apa.

Cantik tidak semestinya muda

Dunia fesyen untuk sekian lama begitu terikat dengan wajah muda. Model berusia 16, 18 atau 20-an menjadi gambaran ideal kecantikan, seolah-olah kecantikan mempunyai tarikh luput.

Tetapi dunia juga berubah. Hari ini kita melihat wanita yang lebih berusia terus hadir dalam kempen, majalah, filem, acara karpet merah dan pentas fesyen.

Helen Mirren, misalnya, sering muncul dalam penampilan yang tidak cuba menyembunyikan usianya. Iris Apfel pula menjadikan warna, cermin mata besar dan aksesori berani sebagai sebahagian daripada identiti yang begitu mudah dikenali.

Mereka tidak kelihatan menarik kerana cuba kelihatan 25 tahun sebalik  tahu siapa diri mereka.

Ada garis pada wajah yang menceritakan kehidupan. Ada ketenangan pada mata dan cara berdiri yang tidak lagi memerlukan pengesahan sesiapa. Dan mungkin itulah sebabnya sesetengah wanita menjadi lebih menarik apabila usia bertambah.

Mereka sudah tahu siapa diri mereka.

Apa yang kita pakai, dan mengapa?

Semakin berusia, saya rasa soalan yang lebih menarik bukan lagi:

“Apa yang sedang fashionable?”

Tetapi: “Adakah ini benar-benar saya?” Adakah aku selesa memakainya? Adakah ia sesuai dengan tempat yang aku pergi?

Adakah potongan itu menghormati tubuh aku? Adakah warnanya membuat aku rasa hidup? Adakah aku memilihnya kerana aku suka, atau kerana saya mahu dilihat seperti orang lain?

Soalan-soalan kecil begini sebenarnya membuat kita lebih bijak berbelanja dan lebih mengenali diri.

Kita juga mula faham bahawa tidak semua trend perlu diikuti. Ada trend yang cantik di atas pentas tetapi tidak semestinya cantik dalam kehidupan sebenar. Ada pakaian yang sangat indah pada orang lain tetapi bukan untuk kita.

Dan itu tidak mengapa.

Kita tidak perlu memakai segala sesuatu yang sedang popular untuk membuktikan bahawa kita masih relevan.

Apa yang membuat seseorang kelihatan bergaya?

Setelah bertahun-tahun melihat fesyen dan bekerja dengan model, saya semakin percaya bahawa gaya tidak bermula dengan harga.

Ia bermula dengan fit. Bagaimana pakaian itu jatuh pada tubuh. Kemudian proportion — bagaimana panjang, lebar dan bentuk sesuatu pakaian bekerja bersama tubuh kita. Kemudian grooming, kasut, beg, aksesori dan, yang paling sukar untuk dibeli, cara kita membawa diri.

Sebab itu sehelai blazer yang sederhana tetapi tepat potongannya boleh nampak lebih baik daripada pakaian yang jauh lebih mahal tetapi tidak sesuai.

Begitu juga dengan aksesori. Kadang-kadang hanya sepasang anting-anting, jam tangan, rantai atau selendang sudah cukup.

Gaya tidak semestinya memerlukan lebih banyak. Kadang-kadang ia memerlukan lebih sedikit tetapi lebih tepat. Less is more.

Gaya yang datang daripada kehidupan

Saya percaya gaya yang paling menarik selalunya datang daripada kehidupan yang dijalani. Wanita yang banyak membaca mungkin memilih pakaian yang sederhana tetapi mempunyai perincian yang halus.

Seorang wanita yang sering bepergian mungkin mempunyai koleksi pakaian yang mudah dipadankan.

Ibu mungkin lebih menghargai pakaian yang selesa tetapi tetap kemas.

Seorang wanita yang sudah lama bekerja mungkin tahu dengan tepat bagaimana sehelai blazer, sepasang kasut dan beg yang baik boleh mengubah seluruh penampilan.

Dan seorang wanita yang semakin mengenali dirinya mungkin akhirnya sedar bahawa dia tidak memerlukan terlalu banyak pakaian. Dia cuma memerlukan pakaian yang benar-benar menjadi dirinya.

Ada perkara yang tidak perlu kita tinggalkan

Saya juga tidak percaya bahawa apabila usia meningkat kita perlu menjadi terlalu konservatif dalam berpakaian.

Kalau kita suka warna, pakailah warna.

Kalau kita suka corak, pakailah corak.

Kalau kita masih suka kasut cantik, mengapa tidak?

Kalau kita suka aksesori, teruskan.

Yang berubah mungkin cara kita memilih, bukannya kegembiraan kita terhadap fesyen.

Saya masih suka melihat kain yang cantik, tekstur yang menarik, potongan yang baik dan aksesori yang mempunyai cerita. Cuma sekarang saya lebih menghargai sesuatu yang mempunyai nilai dan karakter, bukan sekadar kerana ia sedang menjadi trend.

Mungkin itu juga yang berlaku apabila usia bertambah — kita menjadi lebih selektif dan tahu apa yang kita mahu dan apa yang tidak perlu.

Akhirnya, fesyen adalah tentang kebebasan

Saya selalu melihat fesyen sebagai satu bentuk kebebasan. Kebebasan untuk memilih bagaimana kita mahu dilihat. Namun semakin saya melalui usia, semakin saya sedar bahawa kebebasan yang paling besar ialah apabila kita tidak lagi terlalu memikirkan bagaimana orang mahu melihat kita.

Kita memilih pakaian kerana kita selesa dengannya.

Kita menjaga diri kerana kita menghargai diri.

Kita berhias bukan kerana takut tua, tetapi kerana kita masih menghormati kehidupan yang sedang kita jalani.

Mungkin itulah gaya yang sebenar. Bukan pakaian yang paling mahal atau jenama yang paling terkenal, dan jauh sekali trend yang paling baharu. Tetapi apabila kita berdiri di hadapan cermin, kita masih boleh berkata:

“Ya. Ini aku.”

Dan pada setiap usia, itu mungkin pakaian yang paling indah untuk kita kenakan.

Related posts

Kebaya: Sehelai Busana, Seribu Kisah Warisan

Wirda Adnan

IKAT 2.0 CELEBRATES THE DIVERSITY OF PERANAKAN COMMUNITIES & HERITAGE

adminwm

AJL37, AINA, ERNI dan MARSHA PALING ‘VOGUE’

Sharil Izwan

Leave a Comment