
Fashion memberi kita bahasa untuk melihat zaman. Style pula memberi kita bahasa untuk mengenali diri.
Ada sesuatu yang menarik tentang pakaian. Ia kelihatan begitu biasa dalam kehidupan seharian sehingga kita jarang berhenti untuk bertanya mengapa kita memilih sesuatu dan meninggalkan yang lain.
Mengapa seorang wanita berasa begitu yakin dalam sehelai blazer? Mengapa seorang lagi tidak pernah berpisah dengan baju kurung? Mengapa ada orang yang boleh memakai pakaian lama puluhan tahun lalu masih kelihatan begitu moden, sedangkan pakaian yang baru beberapa musim lalu sudah kelihatan ketinggalan?
Mungkin jawapannya terletak pada perbezaan antara fesyen dan style.
Fesyen berubah. Style berkembang.

Fesyen memberitahu kita apa yang sedang berlaku pada sesuatu zaman. Style pula memberitahu kita siapa kita ketika berada di dalam zaman itu.
Yves Saint Laurent pernah mengungkapkan satu pemikiran yang sering disebut dalam dunia fesyen: “Fashions fade, style is eternal.”
Mungkin itulah sebabnya kita masih bercakap tentang sesetengah pakaian, walaupun zaman yang melahirkannya sudah lama berlalu.
Pakaian sebelum menjadi fesyen.
Sebelum fesyen menjadi sebuah industri bernilai berbilion-bilion dolar seperti hari ini, pakaian mempunyai fungsi yang jauh lebih besar daripada sekadar kelihatan cantik.
Ia menunjukkan siapa kita.
Dalam banyak masyarakat, pakaian memberitahu kedudukan sosial, pekerjaan, budaya, agama dan tempat seseorang dalam masyarakat. Kain, warna, sulaman dan perhiasan boleh membawa makna tertentu. Ada pakaian yang hanya boleh dipakai oleh golongan tertentu, pada majlis tertentu atau pada waktu tertentu.
Pakaian juga menyimpan sejarah.
Kita boleh melihat sesebuah masyarakat melalui apa yang dipakainya.
Melayu mempunyai baju kurung, kebaya dan songket. Jepun dengan kimono sementara India mempunyai sari. China pula ada cheongsam. Eropah pula melalui pelbagai perubahan siluet — daripada gaun yang berat dan berlapis kepada pakaian yang semakin ringan dan praktikal.
Apa yang kita anggap sebagai fesyen pada hari ini sebenarnya lahir daripada sejarah manusia yang sangat panjang.
Dan seperti manusia, pakaian juga berubah apabila kehidupan berubah.
Apabila Paris mula menentukan bahasa
Kemudian datanglah era apabila fesyen mula mempunyai nama, rumah fesyen dan pencipta yang menjadi terkenal di seluruh dunia.
Paris menjadi salah satu pusat pentingnya.

Haute couture berkembang sebagai satu bentuk seni dan kemahiran yang sangat tinggi. Pakaian tidak lagi sekadar dijahit untuk menutup tubuh; ia direka, dipotong dan dibentuk dengan ketelitian yang luar biasa.
Nama-nama besar muncul dan setiap seorang membawa bahasa mereka sendiri.
Gabrielle “Coco” Chanel memperkenalkan idea bahawa kemewahan tidak semestinya perlu kelihatan berat. Kesederhanaan, kebebasan bergerak dan pakaian yang lebih praktikal untuk wanita menjadi sebahagian daripada legasinya.
Kemudian, selepas Perang Dunia Kedua, Christian Dior memperkenalkan New Look pada 1947 — bahu yang lebih lembut, pinggang yang kecil dan skirt yang lebih penuh. Selepas bertahun-tahun hidup dalam suasana perang dan kekurangan, siluet itu membawa kembali satu bentuk kemewahan dan kewanitaan yang begitu berbeza.
Dua pendekatan yang berbeza. Namun kedua-duanya meninggalkan kesan.
Itulah fesyen pada tahap yang paling menarik: ia bukan sekadar pakaian. Ia bertindak balas kepada keadaan dunia.
Fesyen sebagai cermin zaman
Setiap generasi mempunyai cara sendiri untuk berpakaian.
Tahun 1920-an membawa perubahan besar apabila wanita mula meninggalkan sebahagian daripada siluet lama dan memilih pakaian yang memberi lebih kebebasan bergerak.




Tahun 1940-an dipengaruhi oleh perang dan keperluan praktikal.
Tahun 1950-an kembali kepada bentuk yang lebih feminin.
Tahun 1960-an membawa semangat muda, warna, bentuk yang lebih berani dan perubahan sosial yang besar.
Kemudian datang 1970-an dengan kebebasan, bohemian dan pengaruh muzik.
1980-an menyukai bahu besar, kuasa dan kemewahan.
1990-an pula bergerak ke arah yang lebih minimal, santai dan kadangkala sengaja tidak sempurna.
Setiap dekad meninggalkan sesuatu.
Dan menariknya, fashion hampir tidak pernah benar-benar mencipta sesuatu dari kosong.
Ia mengambil, mengubah, memendekkan, memanjangkan, mengecilkan atau membesarkan sesuatu yang pernah kita lihat sebelumnya.
Sebab itu trend selalu kembali. Tetapi apabila ia kembali, ia datang dengan wajah baharu.
Mengapa sesuatu menjadi timeless? Ada pakaian yang tidak pernah benar-benar hilang.

Little black dress.
Kemeja putih.
Blazer yang baik.
Trench coat.
Jeans.

Sepasang kasut yang sederhana tetapi tepat.
Pakaian-pakaian ini telah melalui begitu banyak musim dan perubahan, namun masih mempunyai tempat dalam almari moden.
Apa yang menjadikannya timeless? Bukan kerana ia tidak berubah. Sebaliknya, ia boleh berubah tanpa kehilangan identitinya.
Kemeja putih hari ini mungkin mempunyai potongan yang berbeza daripada kemeja putih 30 tahun lalu. Blazer boleh menjadi lebih longgar atau lebih fitted. Jeans boleh berubah bentuk dan potongan. Tetapi idea asalnya masih dikenali.
Itulah kekuatan sesuatu yang timeless.
Chanel dan idea tentang style
Coco Chanel sering dikaitkan dengan pemikiran bahawa fesyen berubah tetapi style kekal.
Saya fikir perkara yang lebih menarik daripada kata-kata itu ialah apa yang dilakukan oleh Chanel terhadap cara wanita melihat pakaian.
Dia bukan sekadar mencipta pakaian. Dia mencipta satu sikap.
Wanita boleh bergerak. Wanita boleh bekerja. Wanita boleh kelihatan kemas tanpa perlu kelihatan terlalu sarat. Mutiara boleh dipakai bersama pakaian yang lebih sederhana. Warna hitam boleh menjadi elegan.
Dan lama selepas banyak trend yang lahir pada zamannya berubah, idea itu masih hidup. Itulah apabila fesyen bertukar menjadi style.
Apabila lelaki masuk ke dalam almari wanita
Kemudian datang pula Yves Saint Laurent.
Salah satu sumbangan pentingnya ialah keberaniannya membawa elemen pakaian lelaki ke dalam wardrobe wanita. Le Smoking, tuxedo untuk wanita yang diperkenalkannya pada 1966, menjadi simbol bagaimana sesuatu yang secara tradisinya dianggap maskulin boleh diberi makna baharu.


Hari ini kita mungkin menganggap wanita memakai tuxedo sebagai perkara biasa. Tetapi pada zamannya, ia mempunyai keberanian tersendiri.
Dan itulah yang dilakukan oleh fesyen dari satu generasi ke generasi berikutnya — ia mencabar perkara yang kita anggap biasa.
Tetapi style bukan tentang melawan orang lain. Style tidak semestinya bererti berani. Ada wanita yang gayanya sangat sederhana. Ada yang hampir selalu memilih warna neutral. Ada yang suka corak. Ada yang menggemari barang kemas. Ada yang langsung tidak suka aksesori. Ada yang menjadikan satu beg sebagai identiti. Ada pula yang kelihatan paling cantik apabila memakai sesuatu yang begitu simple.
Tidak ada formula tunggal.
Diane von Furstenberg pernah menggambarkan style sebagai sesuatu yang sebenarnya sudah ada dalam diri kita — kita hanya perlu menemukannya.
Saya suka pemikiran itu kerana ia memberi rasa bebas memilih dalam fesyen waima dalam kehidupan keseluruhannya. Kita tidak perlu mencipta personaliti baharu setiap kali musim berubah.
Kita hanya perlu mengenali diri sendiri.
Apabila usia mengajar kita memilih
Mungkin sebab itu hubungan kita dengan fesyen juga berubah apabila usia bertambah. Ketika muda, kita mencuba. Kita mahu melihat bagaimana rupa kita dalam sesuatu yang baharu. Kita meniru sedikit, bereksperimen, tersalah sedikit dan semuanya sebahagian daripada proses mencari diri.
Kemudian usia datang membawa pengalaman. Kita mula tahu warna yang sesuai dan tahu potongan yang membuat kita rasa selesa. Kita tahu apa yang boleh kita pakai sepanjang hari tanpa perlu sentiasa membetulkan pakaian. Dan yang paling penting, apa yang tidak perlu kita pakai.
Saya fikir itu antara hadiah usia. Bukan kita menjadi kurang berminat kepada fesyen sebaliknya menjadi lebih selektif.
Saya sendiri, apabila melihat diri di cermin pada usia yang semakin menghampiri angka tujuh, sedar bahawa saya tidak lagi mahu berpakaian untuk kelihatan lebih muda.
Saya mahu kelihatan menarik dan kemas.
Saya mahu pakaian itu menyenangkan hati saya. Dan saya mahu masih mengenali diri saya apabila saya melihat cermin.
Itu sudah cukup.
Style tidak mempunyai umur
Ada satu tanggapan bahawa apabila wanita semakin berusia, dia perlu mengecilkan dunianya — warna semakin gelap, pakaian semakin longgar, aksesori semakin kurang dan akhirnya fesyen menjadi sesuatu yang hanya sesuai untuk orang muda.


Saya tidak beberapa setuju dengan pandangan ini kerana usia tidak sepatutnya menghapuskan kegembiraan. Kalau anda suka warna, pakailah warna. Jika suka kain yang cantik, nikmatilah teksturnya. Pilihlah barang kemas, pilihlah yang mempunyai makna. Begitu juga jika anda suka pakaian yang klasik, jadikan ia sebahagian daripada identiti.
Yang berubah bukan hak kita untuk bergaya. Yang berubah ialah cara kita memilih. Dan mungkin apabila kita semakin mengenali diri, kita tidak lagi memerlukan terlalu banyak perkara untuk kelihatan menarik.
Fesyen boleh dibeli. Style perlu dibina. Ini mungkin bahagian yang paling sukar diterangkan.
Kita boleh membeli pakaian, kasut, beg, barang kemas namun kita tidak boleh membeli style.
Style terbina daripada pengalaman, kesilapan, pemerhatian juga beranian mengatakan, “Ini bukan gaya aku.” Kerana seseorang boleh memakai pakaian yang sangat mahal tetapi kelihatan tidak selesa manakala yang lain mungkin memakai pakaian yang jauh lebih sederhana tetapi mempunyai kehadiran yang begitu kuat.
Ketahuilah pakaian hanya sebahagian daripada cerita. Cara kita membawanya ialah cerita yang lain. Fesyen bukan tentang mengejar sesuatu yang sentiasa berubah. Ia harus dinikmati akan perubahan sambil tidak kehilangan diri.
Anda boleh mengambil inspirasi daripada runway dan melihat majalah. Dan boleh menyukai trend baharu malah mencuba sesuatu yang belum pernah kita pakai. Namun selepas semua itu, kita pulang kepada diri sendiri kepada yang selesa dan sesuai dan yang kita suka. Dan membuatkan kita tersenyum apabila melihat cermin.
Fesyen mungkin memberitahu kita apa yang sedang berlaku.
Style memberitahu kita siapa kita.
Dan mungkin itulah sebabnya, selepas semua musim berlalu, ada wanita yang masih kelihatan menarik bukan kerana dia terus mengejar masa — tetapi kerana dia sudah menemukan gayanya sendiri.
Fashion changes. Style evolves. Identity remains.
Dan apabila kita akhirnya boleh melihat pakaian bukan sebagai sesuatu yang perlu membuktikan siapa kita, tetapi sebagai cara untuk meraikan siapa kita, mungkin pada ketika itu kita benar-benar sudah menemukan style kita.
Bukan yang paling baharu, tidak yang paling mahal tetapi yang paling sesuai dengan diri sendiri.
The Style Notes
Sesuatu yang terlalu ketat tidak semestinya membuat kita kelihatan lebih langsing.
Sesuatu yang mahal tidak semestinya kelihatan lebih mewah.
Sesuatu yang sedang trend tidak semestinya sesuai dengan kita.
Dan sesuatu yang sederhana tidak semestinya membosankan.
