
Setiap usia mempunyai ceritanya sendiri. Dan pada setiap usia, kita menjadi seseorang yang sedikit berbeza.
Tiga puluh bukan lagi dua puluh.
Empat puluh bukan lagi tiga puluh.
Lima puluh bukan lagi empat puluh.
Enam puluh bukan lagi lima puluh.
Dan apabila kita sampai ke tujuh puluh atau lebih, kita membawa bersama begitu banyak perkara yang tidak mungkin ada pada usia sebelumnya — pengalaman, kehilangan, cinta, pekerjaan, keluarga, kesilapan, kemenangan dan kebijaksanaan.
Mungkin benar seperti kata pepatah, “Usia bukan sekadar angka, tetapi tahun-tahun yang telah membentuk kita.”
Itulah yang ingin kita raikan bulan ini. Bukan usia yang semakin bertambah, tetapi kehidupan yang sedang berlangsung di dalamnya.
Saya menulis tentang perkara ini dengan sedikit rasa peribadi kerana saya sendiri sedang berdiri di satu persimpangan usia. Saya akan mengakhiri dekad enam puluhan tidak lama lagi dan, insya-Allah, melangkah pula ke angka tujuh.
Sekali fikir, ada juga rasa gentar. Angka itu kedengaran besar.
Tujuh puluh.
Tetapi itulah hakikat hidup. Kita tidak boleh meminta waktu berhenti hanya kerana kita belum bersedia melihat nombor seterusnya. Waktu terus berjalan, dan kita pula belajar berjalan bersamanya.
Kadang-kadang saya berdiri di hadapan cermin dan melihat diri sendiri dengan cara yang mungkin hanya kita lakukan apabila usia sudah banyak meninggalkan jejaknya.
Ya, wajah ini tidak lagi semanis dahulu. Satu ketika dulu saya boleh memakai hampir apa sahaja dan terasa semuanya nampak cantik. Namun hari ini tubuh ini sudah tidak sama, angka di penimbang semakin bertambah — walaupun, syukurlah, tidaklah banyak sangat!

Saya boleh melihat perubahan itu. Saya tidak perlu berpura-pura tidak nampak. Tetapi saya juga melihat sesuatu yang lain. Saya masih mahu kelihatan cantik dan selesa menghadapi hari-hari mendatang. Bukan kerana saya mahu muda sentiasa. Saya juga tidak juga mahu melawan usia. Cuma kerana saya masih berhadapan dengan dunia, bekerja, masih bertemu orang, masih keluar rumah maka itu saya mahu memakai sesuatu yang membuat saya rasa selesa tentang diri sendiri.
Saya masih percaya bahawa menjaga diri adalah satu bentuk penghargaan kepada kehidupan yang Allah pinjamkan kepada kita. Mungkin sebab itu saya tidak pernah benar-benar berhenti mengambil berat tentang wajah, pakaian, rambut, kulit atau bagaimana saya membawa diri. Bukan untuk menipu umur, tetapi kerana saya belum selesai dengan kehidupan.
Dan saya suka satu ungkapan yang sering terasa benar apabila usia bertambah:
“Ageing is not about losing youth. It is about gaining life.”
Saya tidak mahu menjadi muda semula. Saya cuma mahu menjadi versi diri saya yang baik pada usia saya sekarang.
Saya bersyukur, melihat diri saya hari ini, bahawa perubahan itu datang perlahan-lahan. Saya tidak merasa usia telah merampas diri saya secara tiba-tiba. Mungkin kerana selama ini saya memang mengambil sedikit masa untuk menjaga diri, dan mungkin juga kerana saya belajar menerima bahawa cantik tidak semestinya bermaksud kelihatan seperti dahulu. Sebaliknya cantik juga boleh bermaksud kelihatan seperti diri kita sendiri — pada usia kita sekarang.
Berada dalam dunia majalah, fesyen dan kecantikan untuk begitu lama sehingga saya sempat melihat sendiri bagaimana definisi cantik berubah dari satu generasi kepada generasi yang lain.
Pernah ada zaman apabila wajah tertentu menjadi ukuran. Kemudian tubuh tertentu. Kemudian model tertentu. Selepas itu selebriti, media sosial, filter, dan segala macam ukuran yang membuat seorang wanita sentiasa bertanya: Adakah aku cukup cantik?
Tetapi semakin lama saya hidup, semakin saya rasa soalan itu perlu diubah.
Bukan lagi, Adakah saya masih cantik seperti dahulu?
Tetapi, “Siapakah saya sekarang?” Kerana setiap usia membawa kita kepada versi diri yang baharu.
Ada yang kita pilih, ada yang dizahirkan oleh keadaan, dan ada yang lahir daripada perkara yang tidak pernah kita minta. Kita kehilangan orang yang kita sayang. Kita melalui pekerjaan dan perpisahan. Kita menjadi ibu, nenek, sahabat, pemimpin, anak yang masih merindui ibu bapa. Kita pernah berjaya dan pernah jatuh. Kita pernah yakin dan pernah meragui diri sendiri.
Semua itu akhirnya tinggal dan terlihat di wajah.


Barangkali itulah kecantikan yang tidak dapat dibeli oleh mana-mana krim, pakaian atau mahkota. Wajah yang mempunyai cerita.
Pada usia ini, saya tidak mahu kembali menjadi wanita yang pernah saya lihat di cermin tiga puluh atau empat puluh tahun dahulu. Saya menghargai wanita itu, tetapi dia sudah melalui perjalanannya.
Saya mahu mengenali wanita yang berdiri di hadapan saya hari ini. Saya menulis sebagai seorang wanita yang sedang melaluinya.
Bukan sebagai seseorang yang sudah sampai ke penghujung dan mempunyai semua jawapan. Saya juga masih belajar. Masih berubah. Masih mempunyai perkara yang ingin dilakukan, tempat yang ingin dilihat, buku yang ingin dibaca, kerja yang mahu diselesaikan dan kehidupan yang masih mahu saya nikmati.
Dan mungkin itulah yang dimaksudkan dengan becoming. Kita tidak pernah benar-benar selesai menjadi diri kita.
Pada usia dua puluh, kita sedang mencari siapa kita.
Pada tiga puluh, mungkin kita sedang membina.
Pada empat puluh, kita mula memahami.
Pada lima puluh, kita mula memilih apa yang benar-benar penting.
Dan apabila angka semakin besar, mungkin kita akhirnya belajar bahawa tidak semua perkara perlu dikejar.
Ada yang cukup untuk disyukuri. Ada yang cukup untuk dilepaskan. Dan ada juga yang masih mahu kita mulakan.
Seperti kata seorang penulis, “We don’t stop playing because we grow old; we grow old because we stop playing.”

Mungkin sebab itu kita perlu terus mempunyai rasa ingin tahu. Terus mahu belajar. Terus mahu keluar melihat dunia. Terus mahu berpakaian cantik jika itu membuat kita gembira. Terus mahu menjaga diri, pastinya dan terus mahu mencintai.
Kerana usia yang bertambah tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita mengecilkan kehidupan. Jadi, apabila saya melihat angka tujuh puluh semakin dekat, saya memilih untuk tidak melihatnya sebagai satu pintu yang tertutup. Saya mahu melihatnya sebagai satu lagi ruang dalam kehidupan yang belum saya kenali.
Takut sedikit, mungkin. Tetapi tetap akan melangkah, jika dipanjangkan usia.
Kerana usia bukan tentang berapa banyak tahun yang telah berlalu. Usia adalah siapa kita setelah melalui tahun-tahun itu. Dan itulah yang ingin kami lihat dalam Usia & Diri bulan ini — wajah-wajah, cerita-cerita dan kehidupan wanita pada setiap peringkat perjalanan mereka.
Kerana akhirnya, kecantikan bukan menjadi seperti dahulu. Ia tentang menjadi diri kita yang paling benar, pada usia kita hari ini.
