
Mencipta Ruang Yang Membawa Makna
Dahulu saya fikir rumah yang indah adalah tentang apa yang kita lihat. Susunan yang kemas. Perabot yang cantik. Warna yang harmoni. Ruang yang kelihatan sempurna.
Namun semakin saya memahami kehidupan, saya sedar bahawa sebuah rumah tidak pernah benar-benar dinilai melalui apa yang terlihat sahaja. Sebuah rumah mempunyai cerita. Ia menyimpan suara. Menyimpan momen kecil yang mungkin kelihatan biasa pada hari ini, tetapi suatu hari nanti menjadi kenangan yang paling berharga.
Rumah Bukan Sekadar Sebuah Ruang
Sebagai ‘content writer’ yang bekerja dengan cerita dan penulisan, saya sering memikirkan bagaimana manusia membina hubungan dengan tempat yang mereka diami. Setiap rumah mempunyai watak tersendiri.
Ada rumah yang penuh dengan buku kerana penghuninya gemar belajar. Ada juga rumah yang dipenuhi tumbuhan kerana mereka mencari hubungan dengan alam. Kemudian ada rumah yang menyimpan barang lama keluarga kerana setiap satunya mempunyai kisah tersendiri.

Ruang yang kita cipta sebenarnya adalah satu bentuk bahasa, menceritakan siapa kita, apa yang kita hargai dan bagaimana kita mahu menjalani kehidupan.
Daripada Cantik Kepada Bermakna
Dunia hari ini sering memberikan kita gambaran tentang rumah yang sempurna. Ruang yang indah, rekaan yang menarik dan gaya hidup yang kelihatan ideal.
Tetapi saya percaya, rumah yang paling bermakna bukanlah rumah yang paling sempurna. Sebaliknya ia rumah yang paling hidup. Rumah yang membenarkan kita menjadi diri sendiri. Tempat anak-anak membesar, keluarga berkongsi cerita. Tempat kita kembali selepas melalui hari yang panjang. Kerana keindahan sebenar sebuah rumah bukan hanya pada reka bentuknya tetapi pada kehidupan yang berlaku di dalamnya.
Quiet Luxury: Memilih Dengan Kesedaran
Salah satu perubahan menarik dalam dunia gaya hidup hari ini ialah bagaimana kita mula melihat semula konsep kemewahan. Kemewahan tidak lagi semata-mata tentang memiliki lebih banyak. Pilihan lebih bijaksana dan emilih sesuatu yang berkualiti, yang bertahan lama dan mempunyai nilai emosi.
Sebuah meja makan mungkin bukan yang paling mahal tetapi jika di situ keluarga berkumpul setiap malam, nilainya menjadi lebih besar daripada harga. Sebuah kerusi lama mungkin bukan lagi trend terkini tetapi jika ia membawa kenangan keluarga, ia mempunyai tempat yang istimewa.
Membawa Warisan Ke Dalam Kehidupan Moden
Saya percaya generasi baharu tidak perlu memilih antara masa lalu dan masa depan. Kita boleh menghargai kedua-duanya. Sebuah rumah moden masih boleh mempunyai jiwa tradisi. Tekstil warisan. Karya seni tempatan. Objek keluarga. Cerita daripada generasi terdahulu. Kerana warisan bukan sesuatu yang hanya disimpan. Warisan adalah sesuatu yang terus digunakan dan dihidupkan.
Rumah Sebagai Tempat Anak-Anak Mengenal Dunia
Sebagai seorang ibu, pandangan saya terhadap rumah juga berubah. Saya mula melihat rumah bukan hanya sebagai tempat untuk saya dan pasangan. Tetapi sebagai dunia pertama anak-anak kami. Di sinilah mereka belajar tentang kasih sayang. Di sinilah mereka mengenal rasa selamat dan membentuk memori pertama mereka tentang keluarga.
Mungkin suatu hari nanti mereka tidak akan mengingati setiap perabot yang ada di rumah ini tetapi mereka akan mengingati perasaan yang rumah ini berikan.
The Graceful Home
Sebuah rumah bukan dibina hanya dengan dinding dan ruang. Ia dibina dengan kehidupan. Dengan kasih sayang, masa bersama dan dengan kenangan yang terkumpul sedikit demi sedikit. Rumah yang paling indah bukanlah yang membuat orang lain kagum apabila melihatnya tetapi rumah yang membuat kita rasa bersyukur apabila kita pulang kepadanya.
Kerana setiap ruang mempunyai cerita dan setiap keluarga sedang menulis cerita mereka sendiri.
“Sebuah rumah bukan sekadar tempat kita tinggal. Ia adalah tempat pertama di mana kita belajar tentang cinta, keluarga dan siapa diri kita.”
Sebuah Rumah Yang Bernafas Bersama Keluarga

Rumah kami bukan sebuah rumah yang besar, cuma rumah teres dua tingkat yang sederhana, tetapi setiap ruang di dalamnya mempunyai cerita. Saya percaya nilai sebuah rumah bukan hanya diukur melalui keluasan ruang atau kemewahan yang dimiliki tetapi melalui bagaimana ruang itu digunakan. Ia menjadi tempat keluarga kami berkumpul. Bagaimana ia menjadi saksi kepada pertumbuhan anak-anak. Dan bagaimana ia memberi rasa selamat kepada mereka yang pulang ke dalamnya.
Meja Makan Yang Menjadi Pelbagai Cerita
Di ruang makan, terdapat sebuah meja panjang. Pada pandangan pertama, ia mungkin hanya sebuah meja makan untuk keluarga berkongsi hidangan. Tetapi bagi kami, ia mempunyai banyak peranan. Di situlah cerita kecil hari hari kami bermula. Dan pada waktu tertentu, meja itu berubah menjadi ruang belajar untuk Sheraaz. Kini dia sudah memasuki alam persekolahan.
Buku latihan, pensel dan kertas mula menjadi sebahagian daripada suasana rumah. Di situlah dia membuat kerja sekolahnya. Kadangkala sambil kami melakukan perkara lain di sekelilingnya, dia tekun menyiapkan tugasan. Bagi saya, momen seperti inilah yang menjadikan sebuah rumah mempunyai jiwa. Bukan kerana ruang itu sentiasa kemas tetapi kerana ruang itu digunakan untuk membina kehidupan. Dan di sebelahnya adalah living area untuk keluarga kami lepak, ada sofa panjang sambil tonton tv.
Ruang Kerja, Ruang Ibadah
Di bahagian belakang sudut sebelah dapur, terdapat ruang yang menjadi tempat kerja untuk saya dan suami. Hari ini bekerja dari rumah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai keluarga. Ruang itu menjadi tempat kami fokus, menulis, menyelesaikan tugasan dan mengurus pekerjaan. Tetapi yang lebih penting, ia juga menjadi ruang untuk kami berhenti seketika dan mendekatkan diri kepada Allah. I menjadi tempat solat. Sebuah sudut yang mengingatkan kami bahawa di sebalik kesibukan dunia, perlu ada ruang untuk ketenangan jiwa.
Sebuah Dunia Kecil Untuk Setiap Anak
Di tingkat atas, terdapat tiga bilik. Satu untuk kami sebagai pasangan. Dua lagi untuk Sheraaz. Sheraaz, yang semakin membesar mempunyai minat dan dunianya sendiri. Kegemarannya terhadap LEGO semakin berkembang. Apa yang dahulu hanya permainan kini menjadi satu bentuk kreativiti. Dia mula membina sesuatu yang lebih kompleks, lebih halus dan memerlukan kesabaran. Ada kalanya dia begitu menjaga hasil binaannya sehingga tidak mahu adik-adiknya menyentuhnya.
Saya memahami perasaan itu, kerana bagi seorang anak, sesuatu yang dibina dengan tangan sendiri mempunyai nilai yang lebih daripada sekadar permainan. Ia adalah hasil imaginasi dan usaha. Sementara Esra, Emaan pula berkongsi bilik sama.
Ruang Keluarga Yang Paling Hidup

Namun mungkin ruang yang paling mempunyai cerita ialah ruang keluarga bersebelahan bilik tidur. Di situlah kehidupan sebenar berlaku. Esra yang berusia tiga tahun dan Eeman yang masih kecil memenuhi ruang itu dengan dunia mereka sendiri. Mainan anak perempuan, buku cerita, permainan kecil dan gelak ketawa menjadi sebahagian daripada suasana rumah.
Kadangkala ruang itu mungkin tidak kelihatan sempurna. Tetapi bagi saya, rumah yang mempunyai kehidupan tidak mungkin sentiasa sempurna. Main dulu, kemas kemudian.
Sebagai seorang ibu, saya belajar bahawa setiap anak memerlukan ruang untuk berkembang mengikut cara mereka sendiri. Sheraaz mempunyai dunia imaginasi dan binaannya. Esra mempunyai dunia permainan dan kreativiti. Eeman pula sedang mengenali dunia melalui rasa ingin tahu seorang anak kecil.
Tugas saya bukan mencipta ruang yang sempurna untuk mereka tetapi mencipta ruang yang membolehkan mereka menjadi diri sendiri.
Apabila Rumah Menjadi Lebih Daripada Satu Tempat
Walaupun rumah kami menjadi tempat anak-anak membesar setiap hari, ada satu lagi ruang yang sentiasa mereka nantikan — rumah mama Janna di Alam Impian yang terletak tidak jauh dari USJ tempat saya tinggal. Di sana kami berkumpul bersama keluarga terutama pada hujung minggu.
Jika di rumah sendiri mereka mempunyai ruang untuk belajar, bermain dan mencipta dunia kecil mereka, di rumah mama Janna mereka mempunyai ruang yang lebih terbuka untuk bergerak bebas. Di situ ada halaman rumput hijau, ruang untuk berlari dan bermain di luar. Ya ruang untuk menikmati perkara yang semakin jarang dalam kehidupan moden — bermain di bawah langit terbuka.
Ada meja bulat untuk kami sekeluarga minum petang sambil memerhatikan anak-anak berlari di atas rumput, ketawa bersama dan menikmati masa tanpa terlalu bergantung kepada skrin, mengingatkan saya bahawa zaman kanak-kanak yang indah sebenarnya dibina daripada perkara yang sederhana. Bukan hanya mainan yang mahal, bukan hanya ruang yang cantik tetapi rasa kebebasan dan rasa disayangi.
Mungkin itulah keindahan sebuah keluarga. Anak-anak tidak hanya membesar dalam satu rumah. Mereka membesar dalam sebuah jaringan kasih sayang. Setiap ruang meninggalkan satu kenangan yang berbeza. Supaya suatu hari nanti, apabila mereka dewasa, mungkin yang paling diingati bagaimana perasaan mereka ketika berada di dalamnya.
“Rumah yang paling indah bukan hanya tempat kita pulang. Ia adalah tempat yang mengajar kita bahawa kita sentiasa mempunyai tempat di dunia ini.”
Oleh: Janna Hisham
