Tanggal 1 Mac 2025, setamat kelas tadarus sempena Ramadan, kami adik beradik perempuan sahaja (10 beradik tujuh perempuan dan tiga lelaki), adik mengingatkan hari ini tujuh tahun yang lalu emak menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Emerald Height Puncak Jalil. Mengambil sedikit waktu berdoa, sambil masing-masing sebak, berlinangan air mata, dan rindu yang tidak terkira rasanya. “Andai rindu ini tak mampu membuat kami bertemu di dunia ini biarlah doa yang buatkan kami bersatu dengan mak di akhirat nanti.”
Emak mendidik kami untuk saling menyayangi, saling berkongsi dan merindui. Mak, tidak taburkan kami dengan harta tetapi hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang mengajar kami supaya sentiasa bersyukur atas rezeki yang diberikNya. Mendidik kami bertanggung jawab pada diri dan keluarga, dan penting menjaga silatulrahim.
Keberadaan kami 10 beradik, terutama the ladies membuat hidup tidak pernah menjemukan. Berkongsi cerita, meluah duka, menziarahi satu sama lain, beribadah, beriadah, dan makan bersama. Semenjak Covid 19 melanda dan sehingga kini hampir setiap hari kami bertemu di alam maya, menceduk ilmu agama daripada yang lebih tahu. Yes we have each other, saya kira inilah hadiah paling besar emak dan apak berikan kepada kami. Sesuatu yang saya most cherished in life. Anak-anak kita kenal sepupu, sayang dan hormat namun faham akan batas pergaulan lelaki perempuan kerana bukan muhrim.
Syukur. Silaturahim terikatnya cinta kasih dalam keluarga, tersimpan kebaikan yang tidak terhitung, terbuka pintu rezeki dan keberkahan. Ternyata didikan emak berbayar kerana seperti dalam doa dan keinginannya, kesembilan anaknya menghadap dia sebelum perginya, sementara adik lelaki yang baru hendak memulakan perjalanan dari kampung diminta untuk menguruskan kepulangan jenazah ke alam barzakh. Anak-anak turut sama memandikan dia, anak sulung mengimamkan jenazah dan di kubur, yang turun ke dalam menyambut jenazah untuk disemadikan juga anak menantu dan cucu-cucu lelakinya.
It was wonderful to grow up with so many siblings. Having lots of siblings is like built-in best friends. Help your brother's boat across, and your own will reach the shore
Jujur saya katakan kami adik beradik pun jarang sangat berselisih faham. Tiada apapun hendak didengki dan ditengkarkan. Sedikit tanah tinggalan orang tua dibahagikan sama rata. Menarik sekali fahaman politik pun satu keluarga ke arah menyokong pada parti yang sama, bila sekepala mudah cerita. Dan yang sentiasa diingatkan adalah jaga nama baik keluarga, tuk opah, emak ayah bukan orang bangsawan atau hartawan tetapi agamawan, lantaran jangan sampai dicela, anak ulama/ustaz tetapi perangai macam syaitan.
Sering saya mendengar cerita adik beradik tidak sebulu, dengki mendengki, cucuk menyucuk, berebut harta malah sampai mati aib dibuka. Tidak kurang ada berbunuhan atas cuma sekeping tanah yang tidak bernilai mana pun. Mungkin ramai yang tahu akan tiga beradik glamor yang langsung tidak pandai menjaga aib keluarga, membusuk, mengeji, envy, iri, kita yang membaca pun berasa geli. Sampai bila? Kesian mak ayah tersiksa di kubur.
Teringat satu lagi kisah tiga beradik, ketiganya perempuan. Yang tengah agak rapat dengan saya satu ketika dulu. Tapi pantang bila kami bertemu, dia akan bercerita keburukan kakak dan adiknya. Saya ingatkan adik tiri tetapi tidak, mereka seibu sebapa tetapi saling membenci, berdengki, mengumpat. Saya terpaksa put a stop kerana benci mendengar, takut saya pula terbawa mengata dan masuk neraka.
“Cukup Gie, bila kita mengeji adik beradik ia akan terpalit pada diri sendiri, orang akan kata kamu yang jahat, yang tamak dan busuk hati. Biar bernanah di dada, aib keluarga wajib dijaga, jangan sampai tujuh keturunan orang mangata.
A sister is a forever friend. No matter how much we argue, you’re still my favorite
Antara ramai kawan-kawan, saya senang sekali melihat dua beradik ini, saya bahasakan Kak Gee dan Kak Nora. Di mana ada kak Nora di situ ada kaki Gee. Melihat keduanya kadang berkongsi makan sepinggan air mata mengalir, sejuk perut ibu yang mengandung. Selamanya tinggal berdekatan tetapi semenjak suami kak Gee ke alam abadi, keduanya membeli unit kondo sebelah menyebelah, supaya lagi dekat. Begitu pengorbanan keduanya, suka duka, senang susah sentiasa bersama. “To have a loving relationship with a sister is not simply to have a buddy or confidant, it is to have a soulmate for life.” Victoria Secunda.
Ramadan Mubarak dan Syawal akan menjelang. Tidak ada pemberian paling indah dan perilaku yang mulia selain meminta maaf di bulan yang suci ini lebih-lebih lagi dengan kaum kerabat sendiri. Tidak sempurna hidup tatkala ada kebencian tertanam di jiwa. Jika sekian lama tidak bertegur sapa, ayuh buang rasa sakit, pedih dan pilu di hati. ‘Dalam khilafku, dalam salahku, dalam budiku yang pernah melukaimu, dan semua kata-kata yang terucap tidak menyenangkan hati mu, wahai abang, kakak dan adik, dan lebih-lebih lagi ibu dan ayahku, di bulan yang indah dan suci in maafkanlah aku.’
Saya juga mengambil kesempatan ini mohon dimaafkan atas apa jua kekurangan, kesilapan, kata-kata dalam tulisan yang tidak menyenangkan. Taqabbalallahu minna wa minkum Minal aidzin wal faidzin. Maaf zahir dan batin.