FESYEN

Sepasang Terompah Seribu Langkah

Apakah erti sepasang terompah dalam dunia siber yang sarat dengan teknologi canggih? Hari ini, ramai melihatnya sebagai satu keperluan asas masyarakat zaman dahulu dan satu hal remeh-temeh. Malah ramai generasi muda masa kini terutamanya remaja dan kanak-kanak tidak mengenali dan tidak pernah melihat apatah lagi memakainya.

Inilah pengalas kaki yang digunakan seharian oleh masyarakat dahulu kala yang peranannya kini diambil alih selipar. Terompah dikenali dengan tapaknya yang diperbuat  daripada kayu sementara bahagian atasnya berwarna merah diperbuat daripada kanvas atau plastik tanpa corak dan adakalanya hitam atau bercorak menjadi pilihan. 

Namun kini ia bagaikan tenggelam dalam arus peredaran zaman dan tidak lagi kelihatan masyarakat memakainya sebagai pakaian basahan di mana sahaja mahupun di pasar. Mungkin ada segelintir pekerja atau penjual di pasar basah masih menggunakannya, atau di bilik air dan tempat mengambil wuduk di surau atau masjid yang meneruskan legasi terompah.

Tercipta sebagai pakaian asas yang sekadar untuk melindungi diri daripada tersepak batu, terpijak ranting dan duri di jalanan, namun di kaca mata seorang yang berwawasan dan punya daya kreatif yang tinggi, ianya tidak begitu. Terompah diangkat martabatnya begitu tinggi hingga merangsang inspirasi untuk berkarya dan membawanya ke peringkat antarabangsa. 

Itulah pengalaman seorang lelaki bernama Dato Lewre Liew, terompah dilihatnya sebagai suatu ciptaan hebat lagi istimewa, dan telah merangsang nalurinya untuk mencipta sesuatu yang lebih inovatif.

Well in the fashion world anything is possible and nothing is impossible. Things inspire you in different ways and not as others see it. You may also be inspired in a very funny and sometimes magical too. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada saya, ia membuka ruang fikiran saya untuk berkarya secara tradisi tetapi impaknya amatlah relevan dengan kehidupan pantas kita hari ini yang mengutamakan falsafah Environmental, Social, and Governance atau pendeknya ECG.

Masih ingat tak zaman nenek moyang kita dulu-dulu, yang mana terompah adalah satu hasil tukangan seni, dicipta begitu mudah, ringkas tetapi istimewa dalam kehidupan harian mereka... it was constructed in a very simple way and yet brilliant,” tambahnya.

Hanya menggunakan bahan semulajadi seperti batang pokok yang dipotong, dan diperlicinlkan, ia menjadi satu pakaian asas yang bijak kerana dibuat tebal supaya tapak kaki tidak merecik air yang ada di lantai kala berjalan di pasar, bilik mandi malah ke mana sahaja. Menariknya, ada satu rahsia lagi mengenai ciptaan ‘remeh’ ini, terompah adalah satu terapi semulajadi untuk otot kaki dan saraf di bahagian sekitarnya.

Setelah hampir tiga dekad berkecimpung dalam bidang pembuatan dan pertukangan kasut secara professional juga dikenali diperingkat antarabangsa, Liew, nama yang sinonim dengan keanggunan kehalusan seni ketukangan kasut, ingin lari daripada rekaan dan bentuk yang sekian lama beliau hasilkan. Liew sebaliknya menceduk ilham daripada rekaan lama dengan memberikan nafas baru dan segar. Maka lahirlah rekaan dan koleksi terompah moden, ‘Terompah’ daripada jenama Lewré.

    Dato Liew yang sentiasa segar dengan idea baru dan berinovasi

LEWRE, Green Fashion dan Generasi Akan Datang

Persoalannya, apa kaitannya sepasang terompah dengan falsafah ESG dan apa itu ESG sebenarnya? Terompah yang beliau reka merangkumi komitmennya terhadap inisiatif ESG. Produk berteras atau mempunyai ciri-ciri keprihatinan terhadap ESG bermaksud hasil rekaan dan ciptaan diilhamkan dengan kepentingan menjaga alam sekitar, mengelakkan pencemaran namun produk yang terhasil tetap memenuhi keperluan serta citarasa semasa.  

“Usaha ini sangatlah jelas,” sambungnya lagi bersungguh, “The world is sick with mankind’s attitude. Sudah tiba masanya kita belajar menghargai alam sekitar dan memeliharanya,” dengan kenyataan itu, Liew tegaskan; koleksi terompah citarasa moden yang beliau hasilkan hari ini lebih daripada sekadar kenyataan fesyen. 

Menggunakan sumber asli yang selama ini terbiar atau dibakar begitu sahaja untuk dilupuskan, Liew mengambil langkah mengutip batang-batang pokok kelapa sawit untuk dijadikan tapak kasut koleksi Terompahnya.

Beliau yakin Terompah akan memberi inspirasi kepada orang lain dalam industri fesyen untuk menyuntik prinsip ESG ke dalam koleksi mereka sendiri. Ini membuktikan bahawa fesyen boleh bergaya dan mampan, namun tidak perlu memperlekehkan hal-hal persekitaran sebaliknya dapat menyumbang kepada usaha pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.

“Selain menghidupkan semula trend terompah yang juga kini dikenali sebagai wedges, tongs dan sebagainya yang mahu, ini adalah cara saya dan jenama Lewré menghormati warisan sambil memperjuangkan kemampanan yang mana juga  secara tidak langsung dapat memperkasakan komuniti terpinggir. Projek ini berhasrat dapat meliputi aktiviti amal atau corporate social responsibility (CSR) kami.”

Secara langsung Liew berharap koleksi ini boleh menyokong komuniti B40, ibu tunggal dan individu kurang upaya di Malaysia dengan mempromosi ketukangan seni dan seterusnya mewujudkan peluang memperkasakan ekonomi. Dengan kerjasama para pengusaha ladang baik yang kecil mahupun besar, Liew berharap tidak ada lagi batang-batang pokok kelapa sawit yang dibakar. Selain mencegah pencemaran, tindakan tersebut dapat membantu menjana pendapatan pengusaha ladang, baik yang kecil mahupun estet milik syarikat gergasi. 

Bagaimana semua ini dilakukan? Menurut Liew, telah ada rangka dan perancangan dan Liew berharap jenama Lewré akan meneruskan legasinya bukan sahaja sebagai jenama kasut fesyen yang disukai ramai tetapi juga satu jenama fesyen yang prihatin dan bertanggungjawab.

Koleksi Terompah Lewre Bespoke yang diperbuat daripada bahan asli batang pokok 
            kelapa sawit sebagai tumitnya.

Legasi LEWRE, Tanggungjawab Sosial dan Jaminan Alam Sekitar

Terkenal juga sebagai pereka kasut diraja, ciptaan Lewré telah menghiasi kaki beribu penggemar kasutnya daripada kalangan peminat fesyen dan pencinta trend, kerabat diraja dan selebriti dari seluruh dunia juga turut meminati hasil rekaan beliau. Ini menjadikan jenama kasutnya berprestij dalam dunia fesyen tinggi. 

Hari ini, daripada Kate Middleton hinggalah kepada peringkat Permaisuri dan Sultanah di Malaysia, rekaan Lewré terus diminati. Setiap rekaan Bespoke yang ditempah khas biasanya mengambil masa yang lama untuk menghasilkannya kerana ketelitian yang disuntik ke dalam setiap inci dan sudut rekaan bahagian serta citarasa si pemakai. Inilah yang menjadi simbol keunggulan seni halus dan kecanggihan unik LEWRE Bespoke. 

Antara kerabat Diraja dan VIP yang pernah menjadi pelanggannya,

Perjalanan perniagaan kasut Lewré, bermula pada 1997 lagi. Tahun demi tahun ia mula dikenali di serata pelosok negara hinggalah apabila beliau memperkenalkan jenama Lewré di peringkat antarabangsa, detik itulah yang memulakan dan telah membuktikan dedikasinya terhadap kualiti dan inovasi. 

Jenama LEWRE Bespoke kini menjadi household brand yang membanggakan Malaysia

Selama bertahun-tahun, dia telah mengemudi trend dunia fesyen yang berkembang sambil mengekalkan komitmennya terhadap ketukangan tapak kasut yang indah dan eksklusif untuk jenama Lewre. 

Hari ini, Lewré bukan sekadar pereka tetapi pemimpin berwawasan yang mendorong sempadan fesyen, menggabungkan tradisi dengan kemampanan dan membentuk semula cara kita berfikir tentang kasut mewah. Di barisan hadapan visi ini ialah koleksi terbarunya, Terompah, yang merangkumi komitmennya terhadap inisiatif ESG. 

Koleksi Terompah, yang diilhamkan daripada terompah kayu tradisional Malaysia ini, lebih daripada sekadar kenyataan fesyen. Ia adalah cara Lewré menghormati warisan sambil memperjuangkan kemampanan dan memperkasakan komuniti terpinggir.

Berbicara dengan seorang guru yang berpengalaman seperti beliau, tidak hairan jika anda merasakan satu renjatan semangat yang turut memotivasikan diri. Suasana senyap seketika kala ditanya tentang kerjayanya dan masa depan jenama Lewre untuk beberapa tahun yang akan datang. Beliau mengelamun begitu jauh dan dalam, hingga menutup matanya buat seketika.

Kolaborasi Pereka Key Ng

“Satu kejayaan baru-baru ini ialah Minggu Fesyen Couture (CFW) yang diadakan di Kuala Lumpur, di mana jenama Lewré bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal Key Ng. Kolaborasi ini merupakan projek fesyen mampan yang sebenarnya adalah  satu terobosan penting dalam dunia fesyen,” jelas Liew yang secara pantas mengakui kepentingan kerjasama dalam menghidupkan visinya. 

Kerjasama ini mempamerkan bukan sahaja bakat Liew untuk rekaan busana (couture) tetapi juga komitmennya untuk memacu kemampanan dalam industri fesyen melalui kolaborasi dengan beberapa pihak lain. 

Seperti yang mereka jangkakan kolaborasi projek tersebut mendapat pujian yang tinggi dan sambutan hebat malah telah menyediakan platform global untuk jenama mereka, seterusnya mendorong mereka ke pentas antarabangsa. 

Sebagai seorang pakar dan begitu berpengalaman dalam bidang perkilangan fesyen secara besar-besaran, Key Ng dan Liew pula melalui Lewré, telah mencetuskan satu breakthrough yang bukan sahaja menakjubkan malah sesuatu yang harus dilaksanakan demi menjamin masa depan fesyen dan manusia sejagat,

Mereka percaya bahawa acara seperti CFW menawarkan peluang yang tidak ternilai bagi para pereka untuk berhubung dengan khalayak yang lebih luas dan menyerlahkan kepentingan kemampanan dalam melestarikan landskap fesyen hari ini. 

Meneruskan impian dan angan-angannya, Lewré menambah, “Saya tidak sabar untuk terus membina momentum yang kami peroleh daripada CFW ini dan sedang meneroka peluang bekerjasama dengan lebih ramai pereka dan jenama di seluruh dunia, masing-masing mempunyai falsafah selari dengan kami dan mementingkan ESG. 

Dengan tumpuannya ke pasaran antarabangsa, Lewré yakin pendekatan inovatifnya terhadap fesyen mampan akan bergema di khalayak global. Dalam dunia di mana kesedaran fesyen dan alam sekitar semakin terjalin, komitmen Lewré Liew yang tidak berbelah bagi untuk menggabungkan warisan, kemewahan dan kemampanan lestari adalah inspirasi yang tepat pada masanya.

Ketika Royal Couturier terus mengembangkan jenamanya, tumpuannya kekal jelas--fesyen dengan tujuan, memperkasakan komuniti, dan meninggalkan legasi yang berkekalan untuk generasi akan datang. 

Pada Oktober lalu Lewré Holdings, dengan kerjasama teknologi inovatif LC+ yang dipatenkan oleh Weng Meng dan kolaborasi pereka terkenal Malaysia Key Ng, dengan bangganya mempersembahkan pratonton fesyen The Power of Nature.

Acara eksklusif ini, telah disokong oleh Sunway College & Hab Teknologi Reka Bentuk Fesyen STYLO, ditetapkan untuk mentakrifkan semula fesyen mementingkan alam sekitar.

Acara yang dianjurkan November tahun lalu ini telah menampilkan koleksi terompah kayu tumit tinggi yang menakjubkan, menyerlahkan gabungan reka bentuk mampan dengan ketukangan seni tinggi. Keanggunan tandatangan Lewré, digabungkan dengan teknologi mampan Weng Meng yang canggih, membawa ke hadapan pilihan produk unik yang memperjuangkan tanggungjawab alam sekitar dan kesejahteraan.

Key Ng ialah pereka fesyen Malaysia tersohor yang terkenal dengan karyanya yang menggabungkan reka bentuk kreatif yang bersatu dengan kemampanan. Koleksi Power of Naturenya merangkum etosnya untuk meraikan alam semula jadi melalui reka bentuk yang bertanggungjawab dan cantik.

Related posts

Maje FW23 Collection

adminwm

Fantasi Fesyen Couture Iris Van Herpen

admin

Riviera Raya Lebaran Collection 2024 – Combining Mediterranean Elegance with Raya Celebrations

adminwm

Leave a Comment