GAYA HIDUPSANA-SINI

Resipi Ayam Goreng Malaysia Tembus Pasaran Global; Bakal Jelajah Mekah,Madinah

Siapa kata resipi kita hanya ‘jaguh kampung’ yang menawan selera rakyat tempatan semata? Asal sahaja ada perancangan berkesan dan promosi menarik, pasti menu masakan kita mampu ‘mendonia’ dengan pilihan ramuan yang tepat dan tawaran sajian bersifat universal.

Ini bakal dibuktikan oleh restoran jenama ayam goreng tempatan, Ahmad’s Fried Chicken, yang sudah mula menambat selera masyarakat setempat dan dilihat semakin memberi saingan kepada jenama makanan segera luar negara. Ia kini menyasarkan pembukaan 66 cawangan baharu termasuk di luar negara seperti Mekah dan Madinah.
Menurut Pengasas dan Pengarah Ahmad’s Fried Chicken, Taufik Khairuddin, rancangan itu diperhalusi berikutan sambutan luar biasa pelanggan sejak pembukaan cawangan pertama mereka di Cyberjaya pada Disember tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan. Setakat ini, sebanyak 30 cawangan telah dibuka di seluruh negara meliputi empat restoran, lima restoran mini dan 21 kios.

Mencatat sebuah lagi kejayaan restoren mereka, baru-baru ini Ahmad’s Fried Chicken mengadakan majlis perasmian cawangan baharu di Setiawangsa. Lebih istimewa, perasmian itu dilakukan oleh penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam suasana meriah dan santai. Usai perasmian, para jemputan disajikan dengan hidangan restoren berkenaan yang rata-rata memuji keenakan rasa keempukan ayam dan hidangan sampingan lain yang
ditawarkan mereka.

“Kami komited untuk memperluaskan lagi jenama Ahmad’s ke kawasan bandar dan pedalaman seluruh negara bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati sajian 24 menu warisan istimewa kami. Ini merupakan restoran ke empat dan cawangan di Setiawangsa ini adalah yang ke-30,” ujarTaufik lagi.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan cawangan di Tanah Suci, Pengasas Bersama Ahmad’s Fried Chicken, Lailatul Sarahjanna Mohd Ismail, berkata rancangan itu adalah sebahagian daripada hasrat mereka untuk memperkenalkan cita rasa warisan Malaysia ke peringkat global dan Mekah dan Madinah menjadi pilihan pertama mereka.

“Cadangan membuka cawangan di Mekah dan Madinah bukan sahaja bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah di sana, malah sebagai peluang membawa nama makanan tempatan ke luar negara.

“Kami percaya menu kami yang mesra poket dan halal ini mampu diterima masyarakat antarabangsa, khususnya di lokasi tumpuan umat Islam sedunia,” jelasnya. Tambah beliau lagi, cawangan di Setiawangsa ini beroperasi selama 24 jam dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti WiFi percuma serta ruang yang selesa, menjadikannya pilihan
tepat untuk pelanggan yang ingin menjamu selera sambil melakukan kerja dalam suasana tenang dan selesa.

Ahmad’s turut merancang pembukaan 37 lagi cawangan menjelang hujung tahun ini dengan tumpuan di beberapa kawasan di seluruh Malaysia. Semoga terus sukses!

Related posts

UPGRADING SAMSUNG FOOD

adminwm

Kawalselia Kendiri Kandungan adalah Kemahiran Hidup yang Penting

admin

Adab Makan & Makanan Sunnah Saranan Rasulullah SAW

adminwm

Leave a Comment