
Dalam cahaya petang yang berbias-bias dan suasana yang diraikan dengan penuh rasa, PETRA memperkenalkan Koleksi Lebaran 2026 menerusi sebuah Raya Soirée yang elegan, menandakan hampir sedekad jenama ini menyulam naratif fesyen yang tenang, matang dan sarat makna. Bertempat di Hilton Petaling Jaya, acara ini bukan sekadar pelancaran koleksi, tetapi sebuah perayaan identiti wanita moden yang berakar pada warisan, sambil melangkah yakin ke masa hadapan.
PETRA Lebaran 2026 hadir sebagai penghormatan terhadap kekayaan budaya Nusantara, ditafsir semula melalui lensa kontemporari yang bersahaja tetapi berani. Setiap helaian direka untuk wanita yang menghargai keindahan yang tidak perlu ditonjolkan secara berlebihan—cukup dengan potongan kemas, fabrik mewah dan perincian yang berbicara perlahan namun berkesan.
Meraikan Fesyen di Ruang Lokasi Mewah



Menariknya, pelancaran tahun ini menyatukan dua dunia yang saling melengkapi, antara fesyen dan hospitaliti mewah! Sesuatu yang istimewa dihadirkan melalui kolaborasi eksklusif PETRA bersama Hilton Petaling Jaya. Hotel ikonik ini menjadi latar sempurna bagi penyampaian cerit Raya PETRA, dengan pengenalan Lobby Event Space (LES), sebuah ruang baharu yang kontemporari, sofistikated dan serba versatil.
Direka sebagai ruang hibrid, LES menawarkan keseimbangan antara fungsi dan estetika, sesuai untuk pertemuan formal mahupun acara sosial yang intim. Dengan susun atur yang menggalakkan interaksi dan pertukaran idea, ruang ini menjadi pentas ideal bagi PETRA mempersembahkan koleksi Lebaran 2026 dalam suasana yang eksklusif dan bersahaja, sejajar dengan identiti jenama itu sendiri.
Siluet Klasik, Jiwa Kontemporari
Berakar daripada Baju Kurung sebagai siluet asas, koleksi ini diperkaya dengan potongan moden yang lebih terstruktur, pemilihan fabrik yang jatuh indah serta cetakan yang dikurasi dengan teliti. Keseimbangan inilah yang menjadi kekuatan PETRA, yakni tradisional tetapi tidak terikat, ekspresif tanpa kehilangan kehalusan.


Tahun ini, inspirasi Nusantara diterjemahkan dengan lebih mendalam melalui siluet kebaya sebagai teras koleksi. Ritma cetakan ikat digabungkan dengan motif flora yang lembut dan romantis, menghasilkan rekaan yang terasa akrab namun segar. Ia adalah refleksi kewanitaan yang lembut, yakin dan berakar pada identiti serantau. Ia diperhalusi untuk gaya hidup wanita moden hari ini.
Lebih Daripada Sekadar Busana Raya
PETRA Lebaran 2026 bukan sekadar koleksi pakaian untuk Syawal, tetapi sebuah pernyataan jati diri. Direka untuk menyantuni kepelbagaian saiz dan personaliti, setiap helaian mencerminkan wanita yang melangkah ke hadapan dengan keyakinan, sambil menjunjung nilai warisan sebagai pegangan.

Koleksi ini menampilkan 28 rekaan eksklusif, merangkumi koleksi wanita, PETRA Petite untuk kanak-kanak serta Baju Melayu Teluk Belanga, menjadikannya seleksi lengkap untuk seisi keluarga. Ditawarkan pada harga antara RM299 hingga RM795, PETRA Lebaran 2026 boleh didapati secara dalam talian, di PETRA Store Seksyen 7 Shah Alam dan di Isetan KLCC.
Dalam dunia fesyen yang sering berubah pantas, PETRA memilih untuk bergerak dengan tenang sambil meraikan warisan, memperhalusi rekaan dan mengangkat wanita moden dengan penuh hormat. Lebaran 2026 ini, PETRA sekali lagi membuktikan bahawa keanggunan sebenar terletak pada keseimbangan antara masa lalu dan masa kini.
