Lebih 10,000 selendang bercorak Keffiyeh yang direka khas dijual secara dalam talian di seluruh dunia bagi membantu ribuan rakyat Palestin yang cedera, malah juga kehilangan tempat tinggal. Modanisa, platform e-dagang untuk fesyen sopan pertama Turki, baru-baru ini telah melancarkan sebuah kempen pengumpulan dana bagi mangsa keganasan di Palestin dan menyeru agar semua pelanggan dapat memberi sumbangan untuk membantu mereka.
Segala keuntungan yang diperoleh daripada jualan selendang tersebut akan disumbangkan ke Palestin untuk memberikan penjagaan perubatan, rawatan, makanan, air, keperluan asas dan juga produk perlindungan Covid-19 kepada mangsa-mangsa.
Usaha ini akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kumpulan Antarabangsa Wafaa di Palestin, yang merupakan ahli jawatankuasa UN ECOSOC. Wafaa mempunyai pasukan-pasukannya di Gaza, Tebing Barat dan Jerusalem untuk menggerakkan bantuan yang diperlukan.
“Sambutan adalah memberangsangkan dan masih lagi meningkat sejak pelancarannya pada 3 Jun 2021. Kami telah menerima sokongan dari 140 buah negara meliputi lima benua dan ingin menyampaikan ribuan terima kasih kepada para pelanggan kami yang telah memberi sumbangan dan menjayakan kempen pengumpulan dana ini.”
“Wanita-wanita Modanisa, jauh dan dekat telah menghulurkan bantuan dan bersatu untuk membantu penduduk-penduduk Palestin yang amat perlukan bantuan sekarang. Jenama kami juga berusaha untuk mendorong kaum wanita untuk menyokong usaha murni ini bagi melahirkan komuniti yang cintakan kedamaian dan penyayang di seluruh dunia,” kata Samim Sürel, Pengarah Pemasaran dan Jenama Modanisa.
Kempen ini yang masih lagi diteruskan, dengan anggaran sasaran kutipan berjumlah RM415,000 bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat untuk membina kehidupan mereka semula, langkah demi langkah.
Modanisa telah memulakan kempen ini sebagai syarikat pertama yang memberikan sumbangan berjumlah kira-kira RM41,000, disusuli dengan sumbangan buat kali kedua berjumlah RM 124,000. Ini adalah tambahan kepada jumlah dana yang dikumpul hasil sokongan orang ramai dari serata dunia yang telah membeli selendang bercorak Keffiyeh.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program Tanggung Jawab Sosial Korporat Modanisa, yang bermatlamat untuk memperkasakan golongan wanita daripada pelbagai latar belakang warganegara bagi membantu mereka yang memerlukan. Di samping itu juga, sumbangan berasingan turut diberikan melalui LaunchGood, sebuah platform amal yang telah bekerjasama dengan Modanisa bagi mengumpul dana bagi Palestin.