FESYEN

THE CREATIVE DIRECTORS-Mereka yang memberi wajah, suara dan jiwa kepada fashion house dunia

Dia bukan sekadar pereka yang melakar pakaian. Dia adalah orang yang mentafsir sejarah, membaca perubahan zaman dan menentukan bagaimana sebuah rumah fesyen akan dilihat, dirasakan dan diingati oleh generasi seterusnya.

Dialah Pengarah Kreatif.

Sebuah rumah fesyen mungkin mempunyai sejarah beratus tahun, arkib yang luar biasa, butik di seluruh dunia dan nilai komersial yang begitu besar. Namun sejarah tidak boleh sekadar disimpan. Ia perlu terus hidup.

Dan di sinilah pentingnya seorang Pengarah Kreatif (Pengarah Kreatif)

Dia harus tahu apa yang perlu dihormati dari masa lalu, apa yang perlu diperbaharui dan apa yang harus ditinggalkan. Terlalu banyak menghormati sejarah, jenama boleh kelihatan seperti muzium. Terlalu banyak mengejar perkara baharu, identitinya pula boleh hilang. Di antara kedua-duanya itulah seni sebenar seorang Creative Director.

MEREKA YANG MENENTUKAN SEBUAH ERA

Sepanjang sejarah fesyen moden, ada Pengarah Kreatif yang sekadar mengisi satu jawatan. Tetapi ada juga yang melakukan sesuatu yang jauh lebih besar.

Mereka mengubah bahasa sebuah rumah fesyen.

Ada yang menghidupkan semula jenama yang hampir dilupakan. Ada yang menjadikannya lebih moden dan yang mencipta satu estetika sehingga seluruh dunia mahu mengikutinya. Pengaruhnya begitu kuat sehingga walaupun mereka sudah lama meninggalkan sesebuah rumah fesyen, kesannya masih dapat dilihat hari ini.

Inilah beberapa nama yang, pada pandangan WM, bukan sekadar Creative Director.

Mereka adalah penentu era.

KARL LAGERFELD
The Great Reinventor

Apabila Karl Lagerfeld mengambil alih Chanel pada 1983, beliau tidak mencipta Chanel. Dan mungkin itulah kehebatannya.

Beliau memahami bahawa Gabrielle Chanel telah meninggalkan bahasa yang begitu kuat — tweed, mutiara, camellia, rantai, hitam dan putih, jaket — tetapi bahasa itu perlu terus bercakap kepada generasi baharu. Karl tidak melihat arkib sebagai sesuatu yang perlu disalin sebaliknya melihatnya sebagai bahan untuk dicipta semula.

Di tangannya, Chanel menjadi sebuah rumah yang mampu menghormati masa lalu sambil sentiasa kelihatan seperti sedang menuju ke masa depan.

Karl membuktikan bahawa seorang Pengarah Kreatif tidak semestinya perlu menjadi pengasas untuk menjadi sebahagian daripada sejarah.

Kadangkala tugas yang lebih sukar ialah: membuat dunia jatuh cinta sekali lagi kepada sesuatu yang sudah lama mereka kenali.

JOHN GALLIANO
The Storyteller

Kalau ada seorang Pengarah Kreatif yang membuat kita memahami bahawa fesyen boleh menjadi teater, sejarah, fantasi dan emosi, nama itu ialah John Galliano.

Beliau adalah seorang storyteller. Koleksi-koleksinya bukan sekadar pakaian yang keluar satu demi satu di atas runway. Ada watak, drama. Ada zaman yang dibangkitkan semula dan ada seorang wanita yang seolah-olah baru keluar daripada sebuah cerita.

Di Dior, Galliano membawa unsur romantik, drama dan spectacle ke tahap yang luar biasa. Beliau menjadikan runway sebagai sebuah dunia yang lengkap — tempat di mana pakaian bukan sahaja dilihat, tetapi dirasai.

Dan di sinilah kita melihat perbezaan antara seorang designer yang hebat dengan seorang Pengarah Kreatif yang benar-benar berpengaruh.

Designer mencipta pakaian. Storyteller mencipta dunia di sekeliling pakaian itu.

Galliano juga mengingatkan kita bahawa bakat dan manusia yang memilikinya adalah dua perkara yang berbeza — satu persoalan yang mungkin lebih menarik untuk kita bincangkan dalam bahagian kedua siri ini. Kerana di sebalik genius seorang Pengarah Kreatif, sentiasa ada seorang manusia dengan kelemahan, emosi, ego, tekanan dan perjalanan hidupnya sendiri.

ALEXANDER McQUEEN

The Visionary

Alexander McQueen melihat fesyen bukan sekadar sebagai pakaian, tetapi sebagai seni, emosi dan cerita.

Dengan latar belakang tailoring yang sangat kuat, McQueen membawa sesuatu yang luar biasa ke dalam dunia fesyen — keberanian untuk mencabar apa yang dianggap cantik, sempurna dan boleh diterima. Di Givenchy dan kemudian melalui rumah fesyennya sendiri, beliau mencipta koleksi yang kadangkala gelap, dramatik dan provokatif, tetapi sentiasa mempunyai sebab untuk wujud.

Runway McQueen bukan sekadar tempat model berjalan. Ia adalah pentas untuk bercerita. Beliau memahami tubuh manusia, sejarah, alam, kematian, kecantikan dan kerapuhan — lalu menterjemahkan semuanya melalui siluet, tailoring dan persembahan yang meninggalkan kesan mendalam.

McQueen mengingatkan kita bahawa seorang Pengarah Kreatif  boleh menjadi lebih daripada seorang designer. Dia boleh menjadi artist. Dan mungkin itulah sebabnya pengaruhnya masih terasa sehingga hari ini. Walaupun hayatnya terlalu singkat, visinya tidak pernah benar-benar meninggalkan dunia fesyen.

Alexander McQueen mengubah dunia fesyen.

TOM FORD
The Master of Desire

Tom Ford datang ke Gucci dengan sesuatu yang sangat jelas dalam fikirannya: fesyen bukan sekadar apa yang kita pakai. Ia adalah apa yang kita rasa.

Beliau memahami kuasa sensualiti, fotografi, iklan, selebriti dan imej jauh sebelum semua itu menjadi bahasa utama media sosial. Di bawah kepimpinannya, Gucci berubah menjadi salah satu nama paling berpengaruh pada era 1990-an.

Tom Ford memahami bahawa orang mungkin membeli pakaian kerana kualitinya. Tetapi mereka jatuh cinta kepada fantasy yang dibawa oleh jenama itu.

Itulah kekuatannya. Beliau bukan hanya menjual design. Beliau menjual desire.

Dan dari situ kita belajar bahawa Pengarah Kreatif  moden bukan sekadar perlu memahami kain dan potongan. Dia perlu memahami psikologi manusia.

MIUCCIA PRADA
The Intellectual

Miuccia Prada membawa sesuatu yang berbeza ke dalam dunia fesyen. Beliau tidak sentiasa mahu menjadikan wanita kelihatan “cantik” dalam pengertian tradisional. Sebaliknya, beliau sering bertanya: Mengapa sesuatu itu dianggap cantik?

Dan daripada persoalan itulah lahir sebuah bahasa Prada yang begitu tersendiri — intelektual, kadangkala pelik, kadangkala minimal, kadangkala sengaja tidak sempurna tetapi sentiasa membuat kita berfikir.

Miuccia menunjukkan bahawa fesyen tidak perlu sentiasa menjerit untuk menjadi penting. Kadang-kadang ia cukup dengan membuat kita berhenti dan bertanya:

“Mengapa aku suka ini?”

Dan mungkin di situlah pengaruh seorang Pengarah Kreatif  paling kuat. Bukan apabila semua orang terus memahami apa yang dilakukannya tetapi apabila akhirnya orang lain mula mengikut cara fikirnya.

PHOEBE PHILO
The Modern Woman

Phoebe Philo membuktikan bahawa pengaruh tidak semestinya datang melalui logo besar, budaya selebriti atau pentas yang penuh spectacle.

Di Céline, beliau mencipta seorang wanita yang kelihatan begitu moden kerana dia tidak perlu membuktikan apa-apa.

Pakaian mempunyai ruang. Siluet mempunyai keyakinan. Aksesori menjadi objek keinginan tanpa perlu terlalu banyak logo. Wanita Philo kelihatan seperti seorang wanita yang mempunyai kehidupannya sendiri.

Dan pengaruh itu begitu besar sehingga estetika yang dikaitkan dengannya terus menjadi rujukan walaupun selepas beliau meninggalkan Céline.

Itulah ukuran pengaruh sebenar. Apabila bahasa seorang Pengarah Kreatif terus hidup walaupun orangnya sudah tiada di situ.

NICOLAS GHESQUIÈRE
The Futurist

Nicolas Ghesquière membawa satu persoalan menarik kepada Louis Vuitton:

Bagaimana sebuah rumah yang begitu kaya dengan sejarah boleh kelihatan futuristik tanpa kehilangan identitinya?

Beliau tidak cuba menjadikan Louis Vuitton sesuatu yang lain. Sebaliknya, beliau mengambil elemen-elemen sejarah rumah itu — travel, craftsmanship, leather goods dan heritage — lalu membawanya ke bahasa yang lebih moden, architectural dan futuristik.

Ini adalah salah satu kemahiran paling sukar dalam fesyen. Membawa masa depan tanpa memutuskan hubungan dengan masa lalu.

GIORGIO ARMANI
The Man Who Changed Modern Elegance

Giorgio Armani. Beliau membuktikan bahawa seorang Pengarah Kreatif tidak semestinya perlu sentiasa mengejutkan dunia. Kadangkala pengaruh yang paling besar datang daripada seseorang yang mencipta satu bahasa dan kemudian berpegang teguh kepadanya.

Armani mengubah tailoring. Beliau melembutkan struktur suit, menjadikannya lebih santai, lebih sensual dan lebih dekat kepada tubuh. Beliau bukan sekadar mencipta pakaian. Beliau mencipta satu idea tentang modern elegance.

Dan apabila satu siluet atau satu cara berpakaian menjadi begitu dikenali sehingga namanya sendiri menjadi bahasa, kita tahu bahawa seorang designer telah melangkaui dunia fesyen.

Dia telah membentuk budaya.

Related posts

TAHUN BARU, KOLEKSI BARU UNTUK PELANGGAN SETIA HABIB

adminwm

UNIQLO and MARNI Collection

admin

CHRISTIAN LOUBOUTIN CELEBRATES THE 30th ANNIVERSARY OF THE RED SOLE

adminwm

Leave a Comment