EYE ME

Kawan, Aku Sedih. Kamu Tidak Kenal Aku Rupanya…

Seorang teman tidak bisa disebut sebagai teman sampai ia diuji dalam tiga keadaan. Pada saat kamu memerlukannya, bagaimana sikap yang ia tunjukkan di belakangmu dan bagaimana sikapnya setelah kematianmu.”  Ali bin Abi Thalib

Saat Rita kehilangan suami akibat serangan jantung, dia juga kehilangan teman baiknya. Pelik, Sally tidak bertanya khabar dan tidak sekalipun datang menziarahi ketika dia di dalam iddah. Rita cuba menghubungi, tiada jawapan. “Sakitkah dia?” Tetapi selalunya sakit macam mana pun Rita akan diberitahu, dialah yang selalu membawa Sally ke klinik malah dia yang memotong tali pusat Rizal, anak sulung Sally, kerana si bayi yang tidak sabar keluar dari perut ibunya. Atau Sally sengaja tidak mahu mengganggunya. Hendak juga dia pergi ke rumah Sally tetapi mengingatkan kata ustazah iddah wanita yang kematian suami ialah empat bulan 10 hari, dia akur. Kesedihannya bertambah, suami tiada, kawan baik pun entah apa masalahnya langsung hilang dari radar. Rita tidak sabar menunggu habis iddah, selain ke kubur, dia juga mahu mencari Sally.

Ketika kamu merasa rendah atau sedih, cubalah lihat sekelilingmu. Siapa teman-temanmu? Kelilingi dirimu dengan orang yang senantiasa mengingatkanmu pada Allah maka kamu akan bahagia.” –Dr. Bilal Philips

Penantian tamat, sempat memasak nasi Arab untuk dibawa ke rumah Sally. Dia mahu makan bersama dan bercerita panjang. Cadangnya selepas berjemaah maghrib dan isyak, dia mahu mengajak keluarga Sally bersama-sama membaca yasin untuk arwah suami. Hajat tidak kesampaian, kerana Rita yang tidak diundang tidak lagi dibenarkan masuk ke dalam rumah Sally. Sally ke pagar dan memberitahu, “Sorry Rita, I tak sihat, dan kami dah makan, terima kasih.” 

Rita terkedu. Berkali-kali dia mengetuk kepalanya dan dalam linangan air mata dia cuba mengingatkan apa yang telah dia lakukan sehingga temannya berkelakuan sungguh aneh. Tidak lama, kerana dia sudah ada jawapannya.

Assalamualaikum Sally. Terima kasih kerana menjadi sahabatku untuk beberapa ketika. Aku faham mengapa persahabatan kita terpaksa berakhir di sini. Tidak mengapa aku terima dengan tangan terbuka. “One of the most beautiful qualities of true friendship is to understand and to be understood.” – Lucius Annaeus Seneca. Aku sedih. Rupanya aku salah tafsir. Aku tahu kamu lakukan kerana kamu percaya inilah yang terbaik dilakukan bukan? Halalkan makan minum dan maafkan aku, terima kasih.”

Sahabat, pertemuan dan perpisahan, adalah ketentuan Ilahi. Semoga kita terus berada di bawah naunganNya.

“Aku tidak kan beraya, 

Menahan hibanya rasa, 

Kau pergi meninggalkan diriku, 

Redhalah apa terjadi, 

Usahlah di kau kesali, 

Mungkin ada rahmat yang tersembunyi0

Oh, Tuhan, 

Tunjukkan ku jalan, 

Untuk menempuhi dugaan ini, 

Teman, maafkan jika ku melukaimu, 

Moga ikatan ukhuwah yang dibina, 

Ke akhirnya.”

Apakah hanya Rita sahaja yang menangis akibat daripada tindakan kawan baiknya itu? Tidak. Demikian Sally yang juga ‘meraung’ di dalam jiwanya. Dia tahu dia berlaku terlalu kejam terhadap kawannya Rita. Tidak sepatutnya dibiarkan Rita terkontang kanting sendirian, sedang dia baru kehilangan suami, dia sepatutnya berada di sisi Rita untuk mengembalikan semangatnya. Dia sepatutnya menjadi peneman setia, tetapi sebaliknya dia terpaksa berbuat demikian. Dia tahu dia kejam tetapi demi masa depannya…

Rita cantik, tinggi lampai dan hati kecilnya selalu merasakan suaminya senang sekali dengan Rita. Dia takut untuk menghadapi saat di mana satu hari cinta suami akan beralih kepada kawan rapatnya. Tidak mustahil kerana Rita balu. Tidak mustahil kerana pernah Rita menyebut, “You beruntung dapat suami seperti abang Halim, alim, berduit, penyayang…”  Ah waktu itu dia bangga mendengar pujian yang keluar dari mulut teman rapatnya, tetapi hari ini dia merasakan itu mungkin akan membawa padah. Cerita kawan merampas suami kawan bukan dongeng kerana di depan matanya, yakni ibu saudaranya sendiri menerima nasib sedemikian. Dan dia diingatkan, “Rita balu, kamu hati-hati.” Sally awalnya berasa macam satu jenaka demikian katanya, tidak mungkin ini terjadi kepada dirinya. “Pokok pangkalnya pada hati, aunty.”

“Kamu nampak apa di hatinya? Sedalam mana kamu kenal dia? Suami kamu mampu, dan kalau dia mahu, apakah kamu dapat melarangnya? Maaf aunty nak cakap, kamu pulak semenjak dua menjak ini, aunty nampak badan kamu bertambah berisi.” 

Rita menulis lagi di dalam diarinya… “Tergamak kamu Sally menganggap aku serupa dengan mereka, yang hanya mementing diri sendiri. Kamu tidak kenal aku rupanya. Ingat, aku yang mengenalkan Halim kepada kamu, aku yang memujuk Halim untuk memperisterikan kamu. Kalau Halim itu pilihanku, mengapa aku memberi laluan kepada kamu? Kamu fikir sementelah aku ini tidak lagi berlaki, aku mahu rampas Halim daripada kamu? Allahuakbar. 

“Sendirian bererti kamu menjauhi teman yang buruk. Tapi, memiliki teman yang baik itu lebih baik daripada sendirian.” –Umar bin Khattab

“Ya Sally, tahu apa yang mahu aku ceritakan kepada kamu hari itu bila aku ke rumahmu? Selama lebih empat bulan aku menemui cinta yang baru. Cinta yang abadi, cinta yang bakal membawaku ke tempat yang teramat terindah yang kamu dan aku tidak dapat pun membayangkan di saat ini, benar ia terlalu-lalu indah. Aku menjalin hubungan dengannya, setiap hari, setiap pagi dan setiap malam aku melayaninya, dan ia membawa aku kepada satu kegembiraan dan kebahagiaan yang selama ini tidak pernah aku rasai. Aku pasti Zaki di sana akan turut bahagia, kerana setiap hari aku memberikan hadiah termahal kepadanya untuk dia menghadap sang penciptaNya dengan surah-surah al-Quran, khas untuknya. 

“Sally, Saidina Ali bin Abi Thalib meriwayatkan, “Seorang teman sejati adalah, dia yang memberi nasihat ketika melihat kesalahanmu dan dia yang membelamu saat kamu tidak ada. Baginda mengajak kita semua membawa teman-teman kita untuk semakin dekat kepada Allah supaya kelak kita bisa bersama mereka lagi di syurga.”

“Sally, Khalil Gibran menyebut, Persahabatan bukanlah kesempatan tetapi merupakan tanggungjawab yang manis. Sahabat sejati tentunya adalah seorang teman yang selalu ada untukmu saat susah maupun senang. Ia akan selalu menyemangatimu dan mendukungmu dalam kehidupan. Tertawa dan menangis bersama itulah seindahnya sebuah persahabatan.

“Sally, sahabat yang baik adalah orang yang kita percayai dan membuat kita tenang bersamanya. Dia menjadi tempat berbagi keluhan, berbagi kesedihan dan tidak menjual rahsia diri kita. Sahabat yang baik yang mencari kita ketika yang lain mencacimu, sahabat yang baik yang merangkul kita ketika yang lain memukul.” – Fiersa Besari.

Jangan engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya.

“Ya Allah, tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hajatnya daripada keperluan dunia dan akhirat yang telah Engkau redhai. Dan untuknya tiada satu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya.

“Ya Allah, lindungilah sahabatku daripada hilangnya nikmatMu. Jauhkan dia daripada kemurkaan dan jauhkan dia juga dari seksa kubur. Masukkan dia ke syurga FirduasMu.” – ilmualam.com

Related posts

Nasihat Tahun Baru

Wirda Adnan

Bila Tiba Masa Mohon Derma…

Wirda Adnan

FESYEN KETERLALUAN

Wirda Adnan

Leave a Comment