Saya lihat trend gaun wanita sengaja direka panjang meleret atas tuntutan fesyen dan gaya semasa. Kebiasaannya gaun tersebut dipakai pada hari majlis persandingan dan majlis-majlis berprestij. Persoalannya, apakah hukum wanita memakai pakaian panjang meleret?Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Ini berdasarkan dalil al-Quran :
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya
Surah Al-A’raf (26)
Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa. Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (dharuriyah) untuk menutup aurat. Manakala “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat). Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara majazi (kiasan) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas( Lihat. Tafsir al-Quran al-Azim (3/400).
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian mengikut pakaian adat setempat sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.
Seterusnya, kaum wanita boleh melabuhkan pakaiannya sehasta daripada buku lali agar tidak tersingkap aurat di bahagian tumit kakinya. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA.anhuma, sabda Rasulullah SAW:
مَن جرَّ ثوبَهُ خيلاءَ لم ينظُرِ اللَّهُ إليهِ يومَ القيامةِ ، فقالَت أمُّ سَلمةَ كيف يصنع النساء بذيولهن؟ قالَ : يُرخينَ شبرًا ، فقالت : إذًا تنكشفَ أقدامُهُنَّ ، قالَ: فيُرخينَهُ ذراعًا ، لا يزِدنَ علَيهِ
Maksudnya: Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana kesombongan, Allah SWT tidak melihatnya pada hari kiamat. Maka, Ummu Salamah telah bertanya: Bagaimana wanita menguruskan bahagian bawah jubahnya? Maka Baginda SAW menjawab: Labuhkan ia sebanyak sejengka. Maka Ummu salamah berkata: Jika masih terlihat di bahagian bawah kaki. Baginda bersabda : “Maka labuhkan sebanyak sehasta dan jangan lebih dari itu.”
Riwayat al-Tirmidzi (1731)
Hadis ini menjelaskan bahawa kaki wanita adalah aurat (Lihat, Nail al-Authar (301). Sementara, Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis diatas menyatakan :
حُكْمِ النِّسَاءِ فِي ذَلِكَ لِاحْتِيَاجِهِنَّ إِلَى الْإِسْبَالِ مِنْ أَجْلِ سَتْرِ الْعَوْرَةِ لِأَنَّ جَمِيعَ قَدَمِهَا عَوْرَةٌ فَبَيَّنَ لَهَا أَنَّ
حُكْمَهُنَّ فِي ذَلِكَ خَارِجٌ عَنْ حُكْمِ الرِّجَال . وَقَدْ نَقَلَ عِيَاضٌ الْإِجْمَاعَ عَلَى أَنَّ الْمَنْعَ فِي حَقِّ الرِّجَالِ دُونَ النِّسَاء
“Wanita perlu melabuhkan kain melebihi buku lali (isbal) bagi menutupi keseluruh kawasan kakinya kerana aurat. Hal ini berbeza hukumnya terhadap kaum lelaki yang dilarang melabuhkan kain atau seluar melebihi paras mata buku lali (isbal). al-Qadhi Iyadh telah menukilkan ijma’ ulama bahawa larangan isbal hanya khusus bagi kaum lelaki tidak termasuk kaum wanita” ( Lihat Fath al-Bari 10/259). Perbahasan lanjut berkaitan hukum isbal bagi lelaki, rujuk artikel kami pada ruangan Irsyad al-Fatwa siri 205.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memanjangkan pakaiannya kerana tuntutan fesyen seperti gaun pengantin atau selainnya yang melebihi sehasta. Maka, kami cenderung menyatakan bahawa wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya sehasta dari buku lali untuk menutupi aurat keseluruhan kakinya berdasarkan hadis yang telah dinyatakan. Namun sekiranya memakai pakaian yang sengaja direka terlalu panjang meleret melebihi sehasta, maka ia merupakan satu bentuk pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil-dalil berikut:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf : 31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174). Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154). Bahkan, Allah menjelaskan bahawa perbuatan membazir adalah amalan syaitan berdasarkan firman berikut:
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوٰنَ ٱلشَّيٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا
Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Surah al-Isra’ (27)
Setiap muslim perlu menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan kesombongan dan rasa bangga diri. Hal tersebut berdasarkan dalil dalam al-Quran dan hadis berikut:
Firman Allah SWT :
وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya : “Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
Surah al-Hadid : (23)
Berlebih-lebihan dalam berpakaian akan dapat menimbulkan rasa bangga diri dan berlagak angkuh kepada orang lain. Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ
Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”
Riwayat Ibnu Majah (3606)
Maksud pakaian syuhrah adalah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya atau bentuknya yang mampu untuk meraih pandangan manusia lain untuk melihat ke arahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takabur dalam diri pemakai. Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah (Lihat, Nail al-Authar (303).
Hal tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhu (rendah diri) kerana ingin menzahirkan nikmat kurniaan Allah SWT. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:
فَإِذَا آتَاكَ اللَّهُ مَالاً فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللهِ عَلَيْكَ ، وَكَرَامَتِهِ
Maksudnya: Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya.
Riwayat Abu Daud (40)
Penutup
Tuntasnya, setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kaum wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya melebihi sehasta daripada buku lali bagi tujuan menutup aurat di bahagian kaki. Namun, sekiranya kaum wanita memakai pakaian yang direka labuh panjang meleret atas alasan tuntutan fesyen dan gaya semasa, ianya kelihatan satu bentuk pembaziran dan melambangkan kemegahan. Hal ini, Islam memberi peringatan supaya tidak membazir dan bermegah dalam berpakaian bagi mengelakkan sifat angkuh dan rasa bangga diri terhadap orang lain. Justeru, umat Islam sewajarnya memilih ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna disamping mengikut piawaian yang telah ditetapkan syarak.
Akhir kalam, semoga pencerahan tersebut dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dan marilah berdoa agar kita dapat menjalankan kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan